Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKenali Jenis-jenis Personaliti Ekstrovert dan Introvert

Kenali Jenis-jenis Personaliti Ekstrovert dan Introvert

Pernahkah anda mendengar istilah ekstrovert dan introvert? Ekstrovert dan introvert adalah ciri personaliti di bawah kategori ekstraversi.

Dalam menilai dan mengukur personaliti seseorang, para psikologi berpendapat bahawa setiap kategori personaliti mempunyai spektrum seperti skala di mana setiap hujung skala mewakili nilai ekstrem sesebuah personaliti.

Sebagai contoh, dalam kategori ekstraversi, di penghujung skala pada satu bahagian diwakili ekstrem ekstrovert manakala bahagian lawannya diwakili ekstrem introvert. Apakah itu ekstrovert dan apakah itu introvert?

Ekstrovert

Ekstrovert adalah istilah yang digunakan bagi mengelaskan individu yang bersifat suka bersosial. Individu yang lebih cenderung kepada ekstrovert mendapat kepuasan dan mendapat tenaga dengan cara bersosial dan bergaul dengan orang lain. Ekstrovert terbahagi kepada 4 jenis iaitu;

1.     Extroverted Sensors

Individu yang tergolong dalam extroverted sensors suka bersosial dengan cara melakukan aktiviti fizikal yang merangsang lima deria mereka.

Mereka juga lebih gemar bergaul dan merapatkan hubungan dengan cara melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan bersama berbanding berbual dari hati ke hati dan perbualan mendalam.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi mereka tetapi ia memberi kesan yang kurang berbanding melakukan aktiviti bersama mereka. Individu ini selalunya seorang yang berani mengambil risiko serta sukakan cabaran dan pengembaraan.

2.     Extroverted Intuitors

Golongan ini suka mendalami idea abstrak dan fokus terhadap kemungkinan dan kebarangkalian yang akan terjadi, berbanding apa yang sedang terjadi.

Mereka suka berbahas secara mesra dan melibatkan diri dalam perbualan intelektual dan mendalam di mana mereka dapat berbincang dan saling menukar pendapat.

Extroverted Intuitors berminat dalam memikirkan apakah yang akan berlaku. Mereka terdorong untuk menghadiri majlis kerana teruja untuk mengetahui apa yang belum berlaku ataupun apa yang mungkin akan berlaku.

Mereka dapat dikenal pasti sebagai individu yang bercerita tentang idea abstrak berbanding bercerita tentang kehidupan seharian atau tentang diri sendiri. 

3.     Extroverted Feelers

Extroverted feelers adalah individu yang suka dikelilingi orang kerana berpeluang untuk belajar tentang individu lain dan berkongsi pengalaman bersama.

Mereka bersemangat dalam menambah kenalan baru apabila menghadiri majlis sosial. Mereka peka dan prihatin terhadap keselesaan dan kepuasan orang lain.

Mereka bagus dalam berbicara dan handal dalam perbualan. Mereka adalah individu yang selalu digelar peramah.

4.     Extroverted Thinkers

Individu kategori ini dilihat sebagai mereka yang bersifat pemimpin secara semula jadi dengan keyakinan yang tinggi. Mereka ialah individu yang berpandukan matlamat dan bekerja keras, melakukan yang terbaik demi mendapatkan hasil dan mencapai matlamat, membuatkan mereka berasa berjaya.

Mereka sukakan cabaran dan berasa seronok menyelesaikan masalah yang susah. Mereka berfikir seperti usahawan, menghadiri majlis sosial untuk merebut peluang rangkaian yang ditawarkan.

Mereka sering dikatakan agresif dan suka bermegah. Mempunyai tujuan hidup dan kepuasan mencapai matlamat memberi semangat dan tenaga kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Introvert

Lawan bagi ekstrovert adalah introvert. Introvert adalah mereka yang lebih selesa di dalam ruang privasi mereka berbanding bergaul dan bersosial dengan khalayak ramai seperti ekstrovert.

Mereka memerlukan masa bersendirian untuk mengembalikan dan memulihkan tenaga mereka. Mereka mempunyai fikiran yang mendalam dan lebih selesa meluangkan masa bersama orang lain dalam bilangan yang sedikit. Introvert sering disalahertikan sebagai pemalu.

Belum ada bukti yang kukuh menunjukkan sifat malu berkait dengan personaliti introvert atau ekstrovert. Seorang yang pemalu berkemungkinan untuk mempunyai personaliti ekstrovert. Seperti ekstrovert, introvert juga terbahagi kepada 4 jenis, iaitu ;

1.     Social Introvert

Jenis ini adalah apa yang sering didefinisikan sebagai introvert secara amnya. Mereka lebih selesa berinteraksi di dalam kumpulan dengan bilangan yang kecil dan sedikit atau lebih suka bersendirian.

Mereka bukanlah pemalu tetapi mereka lebih gemar duduk di rumah atau berada di zon selesa mereka dan meluangkan masa dengan rakan karib sahaja.

2.     Thinking Introvert

Jenis thinking introvert adalah konsep yang masih baru diperkenalkan. Mereka

 tergolong dalam kalangan yang suka berangan-angan. Mereka berfikir secara mendalam,  sering muhasabah diri dan selalunya mempunyai kreativiti yang tinggi. 

3.     Anxious Introvert

Anxious Introvert adalah mereka yang sering dikenali sebagai pemalu. Mereka berasa kekok dalam bersosial dan malu apabila dikelilingi orang yang tidak dikenali.

Mereka berasa gelisah apabila berada dalam kelompok besar dan disebabkan oleh sifat semula jadi mereka, mereka cenderung untuk masih berasa malu dan gelisah apabila kembali bersendirian kerana mereka akan memikirkan kembali apa yang berlaku dan kemungkinan buruk yang boleh berlaku.

4.     Restrained Introvert

Individu dalam golongan introvert ini akan mengambil masa dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka sering berfikir sebelum bertindak atau berkata-kata. Mereka ialah individu yang tertib dan terkawal setiap tingkah lakunya. Mereka tidak bertindak secara terburu-buru atau mengikut impuls.

Mungkin akan ada yang terfikir, “Bagaimana pula jika seorang individu itu mempunyai ciri-ciri introvert dan juga ekstrovert dalam masa yang sama?”

Mereka mungkin tergolong dalam kalangan ambivert. Golongan ambivert dikatakan mempunyai personaliti seorang introvert tetapi juga berkeperibadian seperti ekstrovert.

Mereka selesa untuk bergaul dengan orang ramai tetapi mereka tidak mempunyai masalah untuk bersendirian. Mereka tidak berasa sunyi apabila berseorangan.

Walaubagaimanapun, kewujudan golongan ambivert adalah antara isu yang diperdebatkan. Beberapa pihak menyatakan bahawa istilah ambivert tidak wujud kerana personaliti dinilai seperti spektrum, menjadikan setiap individu boleh mempunyai ciri introvert dan ekstrovert dalam satu masa, tetapi setiap individu akan mempunyai kecenderungan yang lebih terhadap satu personaliti, sama ada cenderung terhadap personaliti introvert atau ekstrovert.

Mereka menggunakan analogi tangan. Jika anda seorang yang bukan kidal, tidak semestinya tangan kiri anda tidak berfungsi.

Personaliti adalah suatu misteri yang mungkin mustahil untuk dirungkai secara seluruh, tetapi dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang personaliti manusia, kita bukan sahaja dapat memahami personaliti diri, ia juga membantu dalam memahami perilaku orang disekeliling kita.

Penting untuk kita tidak menghukum personaliti seseorang dan mempraktikkan sifat memahami. Setiap personaliti mempunyai kelebihan dan kekurangannya, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diperbaiki. Setiap individu adalah berbeza dan mempunyai keunikan yang tersendiri.

Dengan mengenali diri dengan lebih baik, potensi diri dapat diasah dan kelemahan diri dapat diperbaiki. Introvert bukanlah lebih hebat daripada ekstrovert dan begitu juga sebaliknya. Adab dan disiplin diri yang menentukan hebatnya seseorang individu.

Penulis; Nur Afiqah Sakinah Binti Mohammad Nick, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular