Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan bahawa Malaysia telah menjadi negara ditangga ketiga yang mempunyai rakyat yang paling ramai tidak berkahwin di Asia tenggara didahului dengan negara Filipina dan Brunei yang berada ditangga pertama dan kedua.
Menurut laporan yang dikongsikan oleh SeaAsia Stats, peratusan rakyat Malaysia yang belum berkahwin, bercerai, berpisah atau balu adalah sebanyak 44.68%. Adakah membujang atau dengan erti kata yang lebih moden iaitu “single” merupakan trend pada zaman ini? Antara faktor yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk membujang ialah dari segi kekangan ekonomi, ingin bebas daripada kongkongan dan masalah penceraian yang semakin meningkat.
Faktor pertama yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk single ialah kekangan ekonomi dan kewangan. Seperti yang kita tahu, proses perkahwinan di Malaysia bukanlah perkara yang mudah dan memerlukan kos yang banyak dari segi hantaran perkahwinan, kenduri perkahwinan, majlis doa selamat, pakaian dan banyak lagi. Dengan ekonomi yang kurang stabil, terutamanya anak muda yang baru menjejakkan kaki dalam bidang pekerjaan, mereka merasakan bahawa perkahwinan adalah satu beban yang mereka tidak mampu untuk hadapi.
Perkara sebegini menyebabkan ramai rakyat Malaysia menangguhkan hasrat mereka untuk berkahwin dan lama-kelamaan menjadi suatu normalisasi untuk mereka hidup berdikari dan hidup membujang. Selain itu, bukan sahaja kos perkahwinan yang menjadi masalah tetapi ramai rakyat Malaysia yang masih single merasakan mereka tidak bersedia untuk menanggung tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sebagai contoh mudah, kaum lelaki yang perlu menanggung ahli keluarganya dari segi makan, tempat tinggal, keperluan, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Dengan tanggungjwab sebegini diikuti dengan masalah ekonomi zaman ini, menjadikan mereka merasa hidup bersendirian dan single lebih berbaloi dan kurang tekanan. Oleh itu, trend hidup single ini boleh disebabkan oleh faktor ekonomi dan kewangan yang semakin merosot.
Yang kedua, ingin bebas daripada kongkongan juga merupakan salah satu punca ramai rakyat Malaysia ingin membujang. Perkara ini lebih menjurus ke arah wanita. Ramai wanita pada zaman ini merasakan hidup berpasangan merupakan satu kongkongan kepada mereka kerana mereka perlu mengikut arahan dan kata-kata daripada suami mereka. Kebanyakan wanita pada zaman ini lebih gemar untuk menjelajah dan menerokai dunia bersama rakan-rakan atau bergerak secara solo.
Mereka merasakan itu adalah sebuah kebebasan dan peluang kepada mereka untuk mereka cuba membuktikan bahawa mereka sebagai seorang wanita juga mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Selain itu, mereka yang sewaktu kecil dibesarkan di dalam suasana yang dikongkong oleh ahli keluarga lebih mudah untuk terjerumus dalam matlamat untuk keluar daripada kepompong kehidupannya. Perkara sebegini menjadi salah satu faktor yang boleh meningkatkan kadar rakyat Malaysia yang tidak mahu berkahwin.
Ramai juga dalam kalangan wanita yang takut dengan kemungkinan untuk mempunyai pasangan yang mungkin tidak selari dengan pemikiran mereka yang menyebabkan mental mereka dikongkong lalu boleh menyebabkan tekanan dan stres kepada mereka. Oleh sebab itu, di dalam Islam, proses pertunangan atau suai kenal diizinkan untuk kita lebih mendalami bakal pasangan kita supaya kita tidak tersalah memilih pasangan hidup kita kelak. Oleh itu, keinginan untuk bebas daripada kongkongan dan keluar daripada kepompong kehidupan yang tertekan menjadikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak berkahwin dan single.
Yang ketiga, masalah penceraian yang kian meningkat juga merupakan sebab kepada ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk tidak berkahwin. Seperti mana yang kita tahu, kehidupan berumah tangga bukan sesuatu yang mudah bukan sahaja kepada kaum lelaki tetapi kepada kaum wanita juga. Untuk melalui kehidupan berumah tangga, setiap pasangan mestilah matang membuat keputusan, bijak mengendalikan masalah dan tahu bertindak dengan baik dalam setiap masalah yang dihadapi.
Sekiranya setiap keluarga tidak mempunyai komunikasi yang baik antara satu sama lain, ini boleh menyebabkan pertelingkahan dan salah faham antara satu sama lain. Masalah seperti ini boleh menjurus kepada penceraian. Statistik pada 2023 menunjukkan kadar penceraian di negara Malaysia pada tahun 2022 meningkat sebanyak 43.1% iaitu 62,890 berbanding tahun sebelumya iaitu 43,936.
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua perangkawan Malaysia (DOSM), menyatakan bahawa daripada statistik tersebut telah menunjukkan kadar penceraian adalah 35-39 tahun untuk kaum lelaki dan untuk kaum perempuan dalam kalangan yang berumur 30-34 tahun.
Antara sebab-sebab berlakunya penceraian ialah tiada kesepakatan dalam menyelesaikan masalah dan tiada komunikasi yang baik antara pasangan. Isu sebegini membuatkan ramai kalangan warga Malaysia takut untuk menghadapi kemungkinan yang sama. Mereka merasakan perkahwinan yang hanya menjurus kepada penceraian adalah sesuatu yang membazir masa, tenaga dan wang. Tambahan lagi dengan kadar penceraian dalam kalangan artis, penyanyi atau boleh kita katakan sebagai influencer menyebabkan mereka lebih optimis dalam membuat keputusan untuk berkahwin. Oleh itu, kadar penceraian yang semakin meningkat juga menjadi punca kepada rakyat Malaysia untuk tidak berkahwin.
Kita dapat simpulkan pada hari ini, masalah tidak mahu berkahwin bukan disebabkan oleh trend yang saja-saja namun di sebalik trend ini terdapat banyak sebab yang telah menyebabkan trend single ini wujud. Namun, masalah ini perlulah diatasi dengan secepat mungkin kerana masalah tidak berkahwin juga dapat menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan bukan sahaja kepada individu tetapi kepada keluarga dan negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2022 jumlah populasi rakyat Malaysia adalah 32.4 juta yang mana peningkatan pertumbuhan populasi hanyalah sebanyak 0.2%. Sekiranya masalah atau trend ini tidak dapat diatasi, kadar pertumbuhan populasi boleh menurun dan menyebabkan populasi rakyat Malaysia semakin berkurang. Oleh itu, perkahwinan adalah penting untuk mengembangkan generasi yang seterusnya.
Penulis: Nur Annisa Suraya Binti Mohd Ramli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Nilai, Negeri Sembilan.