Thursday, March 28, 2024
HomeArtikelKepelbagaian Jenis Sekolah Di Malaysia Membantu Mempersiapkan Masa Depan Pewaris Negara

Kepelbagaian Jenis Sekolah Di Malaysia Membantu Mempersiapkan Masa Depan Pewaris Negara

Ilmu merupakan tonggak penting dalam kehidupan seseorang untuk melahirkan insan yang intelektual agar bersedia menghadapi cabang kesukaran dalam hidup dengan ilmu yang telah dipupuk dalam diri.

Namun begitu, apakah tempat yang khusus untuk menuntut ilmu bagi melahirkan insan-insan yang berintelektual ini. Seperti yang sedia maklum, sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menuntut pelbagai jenis ilmu yang lengkap dengan profesion guru yang mahir untuk mengajar dalam bidang-bidang tertentu.

Mengapa tema sekolah menjadi topik yang ingin diutarakan, sedangkan mendengar perkataan sekolah sahaja merupakan perkara yang sudah tidak asing didengar oleh masyarakat pada era modenisasi yang saban hari berkembang juga. Adakah kita mengetahui bahawa sistem pendidikan di negara kita juga telah berkembang, seiring dengan arus kemodenan negara kita.

Setelah 65 tahun negara kita bebas daripada dunia penjajah, Malaysia menunjukkan prestasi yang pesat dalam mendirikan sebuah sistem pendidikan yang utuh. Buktinya, pelbagai jenis sekolah telah dibina dan didirikan bagi membantu pelajar-pelajar sesuai dengan minat dan tahap pembelajaran mereka.

Berdasarkan tema yang telah diketengahkan iaitu tentang kepelbagaian jenis sekolah di Malaysia, mampu membuktikan bahawa untuk seseorang itu beroleh kejayaan melalui banyak cara dengan bakat yang terpendam daripada pelajar-pelajar, dapat dicungkil daripada pelbagai jenis sekolah yang didirikan ini. Sebagai contoh, di Malaysia terdapat beberapa jenis sekolah yang dapat mencungkil bakat pelajar mengikut bidang mengikut apa yang mereka cenderung atau minat, iaitu sekolah vokasional atau lebih mudah diklasifikasikan sebagai Kolej Vokasional.

Apa yang membezakan sekolah vokasional ini dengan sekolah biasa atau sekolah berasrama seperti MRSM (Maktab Sains Rendah Mara) atau SBP (Sekolah Berasrama Penuh), adalah matlamat sekolah vokasional lebih tertumpu pada latihan kemahiran dan praktikal, berbanding pendidikan akademik yang belajar secara teori.

Kelebihan bagi mereka yang belajar di sekolah vokasional, mereka sudah terlatih dengan lebih mendalam dalam bidang yang mereka ceburi dan pastinya dengan mudah dapat menempah tempat dalam sektor pekerjaan, berdasarkan pengalaman yang lebih awal mereka dapat ketika belajar di sekolah vokasional tersebut. Misalnya, pelbagai jenis kursus ditawarkan seperti seni kulinari, teknologi automotif, kursus fesyen, pelancongan dan lain-lain, mengikut apa yang setiap cawangan sekolah atau kolej vokasional tawarkan atau disediakan.

Hal ini kerana, pelajar yang telah berjaya menamatkan pembelajaran di sekolah vokasional selama empat tahun, mereka akan diiktiraf untuk mendapat sijil diploma selaras dan sama seperti pelajar universiti yang lain. Maka, ini membuka peluang kepada para pelajar yang ingin cepat mendalami ilmu praktikal dalam bidang yang mereka minati dengan lebih cepat, sekolah atau kolej vokasional adalah tempat yang terbaik.

Pada masa yang sama, terdapat juga sekolah yang hampir sama konsepnya dengan sekolah vokasional iaitu Sekolah Menengah Teknik (SMT). Apa yang membezakan Sekolah Menengah Teknik dengan Sekolah Vokasional adalah Sekolah Menengah Teknik hanya menempatkan untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 sahaja.

Kemasukan mereka perlu ditapis berdasarkan keputusan PMR (Penilaian Menengah Rendah) yang telah dimansuhkan pada tahun 2014, dan digantikan dengan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3). Objektif Sekolah Menengah Teknik ini ditubuhkan dengan misi memfokuskan para pelajar untuk mempelajari subjek akademik yang tertumpu kepada kecenderungan mereka seperti dalam bidang teknikal, perdagangan, pertanian dan kejuruteraan.

Sekolah Menengah Teknik dapat dilihat perbezaannya dengan sekolah menengah biasa berdasarkan subjek dan silibus yang dipelajarinya. Sudah tentu, kedua-dua jenis institusi pendidikan ini iaitu kolej vokasional atau Sekolah Mengah Teknik ini memerlukan pelajar-pelajar untuk tinggal di asrama.

Hal ini berhubung kait dengan tajuk yang dikemukakan iaitu Kepelbagaian Jenis Sekolah di Malaysia membantu mempersiapkan masa depan negara, di mana dengan adanya pelbagai jenis sekolah ini, memberi pelajar merasakan peluang untuk belajar dengan suasana yang berbeza. Misalnya, setiap pelajar lain cara belajarnya dan lain kecenderungannya terhadap sistem pembelajaran itu sendiri, maka dengan pelbagai platform yang disediakan, sedikit sebanyak membantu pelajar meluaskan pilihan karier dalam sesuatu profesion.

Namun begitu, fokus kerajaan dalam membantu mempersiapkan masa depan pewaris negara bukan sahaja bermula daripada sekolah menengah tetapi ia sudah bermula apabila kerajaan mendirikan beberapa buah sekolah dalam menjamin perpaduan kaum iaitun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Mengapa kedua-dua sekolah ini diangkat menjadi salah satu jalan dalam memastikan kejayaan pelajar adalah kedua-dua sekolah ini mempunyai kelebihan tersendiri. Hal ini kerana dalam melahirkan tokoh intelektual, mereka seharusnya tidak melupakan tanah air mereka dan identiti yang mereka pegang. Misalnya, terdapat juga segelintir ibu bapa pelajar berbangsa Melayu memilih dua sekolah jenis kebangsaan ini sebagai sekolah harian buat anak mereka.

Anak-anak mereka akan mendapat manfaat dari segi menerima ilmu yang lebih banyak berbanding pelajar sekolah lain iaitu apabila mereka perlu belajar subjek bahasa Cina jika mereka memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebagai tempat untuk memulakan pembelajaran di sekolah rendah.

Apa yang boleh diutarakan dalam penubuhan dua sekolah ini adalah ia sudah tentu akan menjamin perpaduan kaum dan terhindar daripada sebarang ketidakadilan sebagai pelbagai etnik yang tinggal di Malaysia tetapi dengan adanya kedua-dua sekolah ini dapat menguatkan jati diri pewaris negara yang mempunyai ilmu terhadap pendidikan kaum lain juga.

Perkara ini merupakan sesuatu yang harus dicakna kerana semua orang sudah sedia maklum bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa, kaum, budaya dan agama yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang sangat unik. Maka, dalam menyesuaikan konsep negara Malaysia, dengan penubuhan pelbagai jenis sekolah ini dapat membantu merancang masa depan anak-anak muda yang akan menjadi pemangkin negara melalui sistem pendidikan itu sendiri.

Akhir sekali, dengan beberapa jenis sekolah yang didirikan dan dibina ini, membantu pelajar-pelajar dapat merancang masa depan mereka dengan lebih yakin. Malah, hal ini dapat membantu pelajar yang merasa tertekan untuk mendapat keputusan yang cemerlang, lalu kolej vokasional adalah tempatnya kerana objektif utama kolej ini adalah mempersiap siagakan pelajar-pelajar dalam kerja amali dan praktikal yang memudahkan mereka  menceburi dalam pasaran profesion yang mereka minati.

Jika Sekolah Menengah Teknik menjadi pilihan, pelajar-pelajar harus mempersiapkan ilmu yang cukup untuk memilih aliran yang terbaik untuk kita ceburi. Ekoran daripada itu, terdapat banyak lagi jenis-jenis sekolah di Malaysia ini yang telah banyak dicipta dan diperbaharui visi dan misi sistem pendidikan agar ia boleh menjamin kejayaan murid-murid dengan pelbagai cara iaitu memfokuskan minat serta kecenderungan mereka terhadap sesuatu bidang itu.

Semoga dengan kepelbagaian jenis sekolah ini dapat melahirkan pewaris negara yang berkualiti dengan ilmunya bak kata pepatah “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Penulis; Saidatul Saleha Binti Muhammad, Pelajar Tahun 1, Jurusan Fiqh Dan Fatwa, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular