Saturday, October 5, 2024
HomeArtikelKepentingan dan Usaha Transformasi Pendidikan Vokasional Dalam Pembangunan Negara

Kepentingan dan Usaha Transformasi Pendidikan Vokasional Dalam Pembangunan Negara

Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) merupakan satu pendidikan yang menyediakan latihan khusus untuk kemahiran-kemahiran teknikal dan beberapa kemahiran yang lain. Vokasional membawa maksud usaha sesebuah organisasi itu bagi melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan, kemahiran asas dan juga mempersiapkan mereka untuk menjadi pekerja yang mahir, secara tidak langsung golongan ini akan dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan melahirkan bagi pekerja mahir yang baru.

Menurut Evans dan Herr (1978), menyatakan bahawa dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), terdapat tiga objektif asas pembentukan sistem PTV iaitu untuk memenuhi kehendak masyarakat terhadap pekerja, meningkatkan sumber-sumber pilihan yang ada dalam mendidik pelajar dan perkhidmatan sebagai medium motivasi yang tinggi untuk memperbaiki pelbagai bentuk pembelajaran.

Mempelajari teori sahaja tidak mencukupi bagi seseorang individu itu untuk menjadi kompeten atau mahir dalam hands-on skills. Secara amnya, kebanyakan secara praktikal di alam pekerjaan yang sebenar adalah berbeza daripada teori yang dipelajari.

Menurut satu temubual yang diadakan bersama Ketua Jabatan Hospitaliti, Politeknik Pasir Gudang (2009), permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir pada masa ini bukan hanya kepada pelajar yang menguasai teori semata-mata, tetapi kepada pelajar yang lebih menguasai praktikal terhadap kerja-kerja tersebut. Hal ini akan membuatkan seseorang itu akan dilihat sebagai pemimpin apabila dapat membentuk orang-orang yang berkemahiran dalam pekerjaannya.

Selain itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional penting untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan tenaga mahir untuk pasaran kerja masa hadapan. Misalnya, Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) dilaksanakan bagi mengubah landskap Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menghasilkan graduan berkualiti, berkemahiran serta kebolehpasaran sesuai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata, TPV dilaksanakan bagi memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Vokasional sebagai aliran perdana. Justeru, katanya semua pihak perlu memaksimumkan penggunaan platform Telegram Outreach Program Pendidikan Teknikal bagi meningkatkan lagi kesedaran kepentingan Pendidikan Tinggi Teknikal dan Vokasional untuk pertumbuhan ekonomi negara. Telegram yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu juga saluran untuk mempromosikan program TVET.

Sehubungan itu, pelancaran Mata Pelajaran Vokasional di Sekolah Menengah Akademik (MPV) pada tahun 2002 di sekolah-sekolah akademik menengah atas merupakan satu inovasi besar Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebelum mata pelajaran bercorak vokasional ditawarkan kepada pelajar di sekolah menengah akademik, mereka terpaksa memohon di SMT/V yang tempatnya agak terhad.

Kadar penyertaan pelajar di SMT/V ialah tujuh peratus daripada jumlah enrolmen kohort Tingkatan 4, iaitu satu angka yang rendah berbanding kadar penglibatan murid di negara-negara maju seperti Jerman, Perancis dan Itali meliputi penyertaan melebihi 60 peratus (Ahmad Sipon, 2001).

Kemasukan dalam TVET di Malaysia mengalami penurunan dalam beberapa tahun terakhir. Menurut laporan Sinar Harian, kerajaan telah memperuntukkan RM29 juta melalui Belanjawan 2021 bagi melaksanakan program-program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), namun inisiatif kerajaan ini dilihat belum mencapai objektifnya kerana kemasukan pelajar ke universiti bagi peringkat ijazah sarjana muda masih lagi pada tahap rendah iaitu kadar kemasukan TVET hanya 50 peratus sedangkan pelajar diberi subsidi 100 peratus dan percuma, malah setiap bulan menerima elaun antara RM150 hingga RM250.

Hal ini demikian kerana kumpulan sasaran tidak ingin memasuki institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta kerana memakan masa yang lama untuk mendapatkan ijazah. Bagaimanapun Akta Pendidikan 1996 dalam Bab 7, Seksyen 36 dengan jelas meletakkan pendidikan vokasional termasuk di bawah pendidikan teknik yang merangkumi latihan kemahiran, latihan khusus yang berhubungan dengan pekerjaan tertentu, latihan bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada dan apa-apa latihan teknik atau vokasional yang diluluskan.

Di samping itu, kepentingan pendidikan vokasional mempunyai akses dan penyampaian TVET berkualiti. Antara perubahan besar yang berlaku dalam sistem penyampaian TVET adalah pertambahan bilangan politeknik induk di Malaysia kepada 29 buah keseluruhannya.

Bilangan ini tidak termasuk pembukaan Metro sebanyak 5 buah dalam usaha untuk memenuhi keperluan sosio ekonomi tempatan dan wilayah dalam bidang tertentu.

Pertambahan bilangan pusat pendidikan TVET melalui politeknik khususnya mempamerkan peningkatan bilangan pelajar dalam aliran TVET serta membuktikan kepentingan pendidikan TVET dalam usaha meningkatkan kadar modal insan berkemahiran tinggi. Namun, jika dilihat dari aspek akses enrolmen pelajar dari Kolej Vokasional contohnya, lepasan diploma dari kumpulan ini tidak mempunyai peluang yang luas dalam menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana mereka lebih memilih untuk bekerja.

Walau bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi laporan statistik Tenaga Buruh Malaysia memaklumkan kadar pengangguran di negara ini terus berkurangan kepada 4.5 peratus membabitkan 729,600 penganggur pada September lalu berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Laporan berkenaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi masa hadapan dan 60 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki aliran TVET. Penglibatan dan sokongan dari pihak universiti khususnya dalam membuka peluang pendidikan kepada pelajar lepasan Diploma Politeknik dalam usaha memperkasakan agenda TVET dilihat mampu membantu negara mencapai status negara maju dari aspek pembangunan modal insan yang dapat menyediakan tenaga mahir dalam industri utama dan sokongan.

Seterusnya, usaha untuk mentransformasikan pendidikan vokasional ialah potensi industri dalam negara dan daya saing dalam kalangan tenaga kerja dapat ditingkatkan dengan pendidikan TVET. Sebagai contoh, Jerman merupakan antara contoh negara maju yang memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasionalnya sehingga melahirkan tenaga kerja yang baik seterusnya menghasilkan jenama terkenal di dunia iaitu Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen. Mereka melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri yang mereka kuasai dan membawa jenama negara mereka ke tahap antarabangsa dan diketahui segenap pelusuk dunia.

Majikan pada hari ini memerlukan pekerja yang bukan hanya memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga kepada kemahiran insaniah. Sebagai contoh, para pelajar ditekankan dengan kemahiran generik semasa tempoh pengajian mereka. Antara yang menjadi keutamaan di dalam memastikan mereka berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh 5 tahun bergraduasi ialah penguasaan dalam kemahiran employabiliti yang diterapkan kepada para graduan untuk mencapai pembangunan kerjaya.

Hal ini merangkumi elemen kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir, kemahiran bekerja secara berkumpulan, kemahiran pengurusan diri dan kemahiran menggunakan teknologi. Dalam keadaan wabak pandemik pada ketika kini, etika dalam mengendalikan peralatan digital perlulah dipantau dan dikawal penggunaannya agar sahsiah yang terbentuk adalah sentiasa positif dan berkualiti. 

Di samping itu, usaha pemerkasaan TVET tertumpu dalam libat sama industri bagi menyemak kerelevenan kurikulum dan penyampaian praktikal dalam menjamin kebolehpasaran graduan TVET. Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) telah diperkenalkan bagi tujuan memberikan pelajar TVET pengetahuan dan kemahiran praktikal selari dengan amalan industri. Libat sama industri amat signifikan dalam mewujudkan tenaga pakar baharu selari dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang membolehkan graduan TVET bersedia dengan mempelajari teknologi terkini bagi penyediaan tenaga berkemahiran tinggi.

Antara inisiatif strategik bagi libat sama industri yang telah dilaksanakan seperti Structurea Internship (SIP), Reskilling, Upskilling & Crosskilling dan Finishing School. Pendidikan dan latihan berkemahiran yang berkualiti tinggi dapat memastikan modal insan yang dihasilkan kekal relevan dengan kehendak pasaran dan industri bagi mendepani cabaran dan persaingan antarabangsa.

Dalam pada itu, inisiatif dalam menjenamakan semula TVET adalah salah satu kaedah mempromosikan laluan pendidikan vokasional sebagai karier pilihan. Pengiktirafan ahli teknologi sebagai profesional termasuklah menyampaikan maklumat berkaitan visi TVET dan peluang yang disediakan pada masa hadapan turut digiatkan. Tidak ramai yang ingin menceburkan diri dalam bidang TVET kerana mereka beranggapan kerjaya ini tidak menjamin masa depan.

Jika di luar negara, pekerjaan di dalam sektor TVET mampu untuk meraih gaji yang lumayan sehinggakan perumpamaan pada gaji graduan berkemahiran tinggi ini berbanding gaji seorang doktor gigi. Masyarakat mula membuka mata apabila ramai graduan TVET dipaparkan di akhbar. Kempen secara meluas di dalam media nasional sama ada stesen TV dan radio serta media sosial giat digerakkan bagi memaparkan sisi positif laluan kerjaya TVET. Antaranya adalah graduan TVET dari kolej vokasional yang berjaya menjadi jurukimpal wanita pertama dalam air di Malaysia dengan bayaran lumayan, kejayaan graduan MARA dari perniagaan berskala kecil sehinggalah berskala besar yang mewujudkan rantaian ekonomi mapan, lestari, dan hasil produk serta inovasi yang berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara.

Kerajaan juga dari semasa ke semasa menilai semula sistem pengajian, skim perjawatan dan skim kenaikan pangkat terhadap pekerja berkemahiran yang menyandang posisi perjawatan di dalam kerajaan. Ternyata, penyetaraan gaji bagi bidang TVET ini semakin lama semakin bertambah baik dengan sifat cakna para pejuang aliran TVET.

Kesimpulannya, dalam mendokong aspirasi TVET negara, pemahaman terhadap pemerkasaan TVET perlu difahami dengan baik agar para penyedia pendidikan TVET dan masyarakat secara umumnya jelas dengan maksud dan matlamat agenda TVET negara, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi endemik ini. Mekanisme bagi mengatasi dilema pemerkasaan ini telah lama dijalankan dan memerlukan lebih tumpuan dalam mengurangkan impak endemik agar pendidikan TVET berterusan dan kekal daya tahan.

Penulis;

1. Fadziela Hanis Binti Fadzir - Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 

2. Dr Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular