Thursday, February 13, 2025
HomeArtikelKepentingan Pengetahuan Sejarah Dalam Menyemai Keharmonian

Kepentingan Pengetahuan Sejarah Dalam Menyemai Keharmonian

Umum mengetahui, Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal di mata dunia dengan keharmonian walaupun hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum. Kesatuan kaum tetap terpelihara sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957 sehinggalah ke hari ini. Pemahaman terhadap sejarah tanah air tidak dinafikan merupakan antara elemen utama yang membentuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pertama sekali, mengapakah dikatakan bahawa sejarahlah yang membentuk perpaduan kaum di Malaysia? Hal ini kerana masyarakat yang memahami, mendalami dan menelusuri sejarah serta undang-undang negaranya sendiri merupakan mutiara negara serta insan yang bertanggungjawab kerana masyarakat ini sedar akan kepentingan sejarah dalam kehidupan seperti mana kata-kata George Santayana, “mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.”

Kemerdekaan negara Malaysia, jika dilihat semula merupakan hasil kerjasama antara masyarakat berbilang kaum serta etnik di negara ini dan bukannya bangsa Melayu sahaja. Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Tan Cheng Lock yang merupakan Presiden MCA daripada kaum Cina, Tun V.T Sambathan pula yang merupakan Presiden MIC daripada kaum India serta Rentap dari Masyarakat Iban Sarawak.

Nama-nama di atas tidaklah asing lagi dalam kehidupan seorang rakyat Malaysia yang mengangkat tinggi nilai patriotisme. Sumbangan dan pengorbanan tokoh-tokoh berbilang bangsa inilah yang membawa kebebasan negara Malaysia daripada cengkaman kuasa British.

Kesungguhan ternyata membuahkan kejayaan. Berkat usaha dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock serta Tun V.T Sambathan memujuk kaum masing-masing untuk bersatu dan hidup bersama walaupun mempunyai banyak perbezaan antara pelbagai kaum di samping terpaksa menempuhi berbagai-bagai halangan dalam memerdekakan negara, lahirlah Malaysia, sebuah negara yang mampu memerintah sendiri tanpa pengaruh kuasa luar.

Kemerdekaan negara bukanlah satu perkara yang telah dicapai melalui jalan mudah. Bukan juga usaha semalaman. Kemerdekaan negara telah melalui jalan yang sukar, onak dan belukar. Kemerdekaan adalah hasil perancangan rapi dan teliti serta buah fikiran ramai insan dan tokoh-tokoh terdahulu.

Pengorbanan perajurit negara harus dihargai. Mereka tidak mati untuk negara hanya untuk mengetahui segala pengorbanan yang telah mereka lakukan sebagai sia-sia. Sebagai seorang insan yang bersyukur terhadap nikmat pemberian Tuhan tanpa mengira agama, wajarlah masyarakat Malaysia mensyukuri dan menghargai kemerdekaan yang telah 64 tahun dinikmati.

Sejarah sememangnya perkara yang teramatlah penting dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Faktor sejarah perlu diambil kira ketika memilih pemimpin dan peneraju negara. Pemimpin yang adil, berwawasan, berdisiplin serta bertanggungjawab adalah kehendak majoriti rakyat Malaysia.

Seorang pemimpin tidak boleh diundi hanya mengikut kata hati dan naluri seseorang. Seorang rakyat yang bertanggungjawab dan mencintai serta mahukan yang terbaik untuk negara perlulah mengundi dan memilih pemimpin mengikut faktor sejarah.

Faktor sejarah yang bagaimana persoalannya?

Faktor sejarah yang perlu diambil kira adalah mengenal pasti kewibawaan seseorang individu tersebut dengan mengetahui keberkesanan kepimpinannya yang terdahulu dan sumbangan seorang individu tersebut terhadap negara.

Setelah penelitian terhadap perkara ini dilakukan, barulah seorang pemimpin yang bertanggungjawab dapat dilantik dengan adil dan saksama. Rakyat semestinya tidak mahu melantik pemimpin seperti Hulagu Khan yang hampir menghancurkan sepertiga dunia mahupun ‘Hitler’, pemimpin yang telah membawa kepada kehancuran negara, seperti yang telah berlaku kepada Negara Jerman suatu ketika dahulu. 

Pelbagai langkah boleh dilaksanakan bagi memupuk minat terhadap sejarah dalam generasi pascamerdeka pada hari ini. Langkah-langkah ini perlulah dilakukan serta diteruskan demi menjamin keharmonian negara serta memastikan sejarah negara tidak hilang begitu sahaja ditelan zaman. Setiap individu tanpa mengira bangsa dan agama, selagi mana mereka bergelar rakyat Malaysia, patutlah menjalankan tugas dalam memelihara kemerdekaan negara ini.

Guru-guru di sekolah seharusnya memupuk minat dalam kalangan murid terhadap mata pelajaran sejarah agar nilai patriotisme dapat dipupuk dalam diri murid. Guru-guru harus menyampaikan penceritaan sejarah melalui gaya yang menarik serta mudah difahami dan mengaitkannya dengan isu semasa pada hari ini agar murid berasa seronok untuk mempelajari sejarah dan menghargai sejarah.

Pembelajaran sejarah pastinya tidak akan berakhir di dalam kelas sahaja. Apabila seseorang  murid itu berasa gembira mempelajari sejarah kerana dapat memahaminya, dia pasti kemudiannya akan  menceritakan tentang perkara yang telah diajari oleh guru tersebut kepada rakan-rakan yang lain. Melalui cara ini, sejarah negara dapat dikekalkan dalam generasi muda pada hari ini dan juga generasi akan datang.

Seterusnya ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memupuk minat terhadap sejarah bagi anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu-bapa merupakan model serta orang yang rapat dengan anak-anak, bertepatan dengan aforisme popular, “anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.”

Antara usaha kreatif yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah membawa anak-anak mereka melawat pelbagai muzium yang terletak di seluruh Malaysia di serta melawat festival kemerdekaan yang dianjurkan oleh institusi pendidikan mahupun anggota pertahanan negara seperti askar dan polis. Melalui cara ini, minat terhadap sejarah tanah air dapat dipertingkatkan dalam diri anak-anak tersebut.

Kesimpulannya, sejarah bukanlah sesuatu yang remeh dan tidak patut dipandang enteng. Sejarah adalah identiti negara. Hilangnya sejarah, hancurlah keharmonian negara. Sikap bagai kacang melupakan kulit patutlah dijauhi oleh generasi muda hari ini. Warga belia patutlah memahami dan menghargai sejarah kerana merekalah tulang belakang negara serta pemimpin kelak pada masa hadapan.

Penulis; Nur Aqeelah Hanim Binti Rosli, Mahasiswa Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Senarai Rujukan

https://www.ipendidikan.my/kepentingan-mempelajari-sejarah.html

https://utmkskptdsite.wordpress.com/2013/06/27/tokoh-tokoh-pejuang-kemerdekaan-malaysia/

RELATED ARTICLES

Most Popular