Monday, December 9, 2024
HomeArtikelKeramat Bahasa Pusaka: Dirancu Di Alam Maya

Keramat Bahasa Pusaka: Dirancu Di Alam Maya

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Pantun daripada Kurik Kundi Merah Saga, Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) di atas menunjukkan betapa berharganya bahasa yang menjadi wadah perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia.

Bahasa pusaka adalah harta keramat daripada nenek moyang kita yang boleh digunakan dalam pertuturan seharian mahupun dalam tulisan. Bangsa yang mempunyai bahasa pertuturan sendiri merupakan bangsa bertuah kerana pada hakikatnya bahasa tidak ternilai harganya bahkan tidak boleh dijual mahupun dibeli. Bahasa juga boleh mengangkat martabat negara di mata dunia, bukan sahaja menggambarkan sifat individu malah sesuatu bangsa. Bahasa yang baik dan beradab juga menunjukkan jati diri serta budi pekerti individu ataupun bangsa.

Di Malaysia khususnya, bahasa pusaka kita iaitu Bahasa Melayu telah menjadi alat untuk menghubungkan perpaduan dalam kalangan bangsa Malaysia yang berbilang kaum tanpa mengira agama dan perbezaan warna kulit. Dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu adalah mutlak dan menjadi bahasa rasmi negara Malaysia (Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, 2006). Dalam erti kata lain, Bahasa Melayu telah menjadi juzuk penting untuk sebarang urusan pentadbiran negara dan pentadbiran negeri.

Alam maya dalam wahana media sosial membentuk sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang dibangunkan atas dasar ideologi dan teknologi sejajar dengan peredaran zaman. Alam maya membantu manusia pemuatnaikan dan perkongsian buah fikiran, gambar, audio dan grafik lebih cepat serta lebih banyak sela berbanding media konvensional, seperti percetakan dan penyiaran. Pada abad ini, penggunaan teknologi dalam alam maya secara meluas telah menjadikan dunia semakin kecil atau seperti ‘bandar global’ kerana segala-galanya mudah diakses. Hal ini sememangnya memudahkan para pengguna untuk mengakses sebarang maklumat dan data.

Peredaran zaman menuju era globalisasi membenarkan manusia berhubung dari pelusuk dunia tanpa ada batas. Dunia tanpa batasan ini menyebabkan kadar penggunaan pelbagai jenis bahasa meningkat dan bercampur aduk. Penggunaan bahasa campuran, juga dikenali sebagai bahasa rojak, adalah penulisan atau pertuturan yang menggunakan pelbagai bahasa dalam satu masa.

Perkembangan teknologi komunikasi telah banyak memberi kesan terhadap cara manusia berinteraksi. Kemunculan alam maya moden telah mengubah cara dan stail masyarakat berkomunikasi. Pengguna daripada pelbagai latar belakang budaya dan bahasa menggunakan wadah ini untuk menunjukkan persepsi, pendapat, budaya secara bebas dan bercampur aduk mengikut fahaman bahasa yang mereka gunakan. Rentetan fenomena ini, terdapat kewujudan perkataan baharu atau kontemporari serta campuran bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris yang sengaja dicipta untuk menerangkan perkara dan keadaan tertentu dengan lebih mudah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dewan, Datuk Abdul Adzis Abas dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan pencemaran Bahasa Melayu dapat memberi kesan jangka panjang daripada bahasa rojak yang menggunakan Bahasa Inggeris dan berbunyi pelik. Era pasca modenisasi menyebabkan bahasa pusaka bukan sahaja dirancu di alam maya malahan virus kerancuan ini telah merebak ke stesen-stesen penyiaran televisyen dan penerbitan. Terdapat peningkatan kerancuan bahasa pusaka seperti yang diperhatikan dalam drama televisyen dan dalam perbualan harian masyarakat, yang mencerminkan gejala bahasa rojak.

Selain itu, kewujudan istilah baru dalam kalangan golongan muda seperti ‘Pishang’,’Makcik Bawang’,‘Kunyit’, ‘Payung’ dan lain-lain juga yang memberi definisi lain secara tidak langsung menyebabkan penyalahgunaan frasa dan maksud. Ada juga tanggapan mengatakan bahawa bahasa Melayu sukar untuk dikuasai dan akhirnya pengguna menggunakan alternatif lain dengan menggunakan bahasa rojak bergantung kepada keadaan, suasana, serta komunikasi harian.  Meskipun kaedah Bahasa Melayu rojak dapat menarik penonton untuk menonton filem atau drama yang diterbitkan, gejala ini akan menjejaskan standard bahasa pusaka khususnya dalam golongan muda dan belia jika tidak dibendung laksana sudah terhantuk baru terngadah.

Penggunaan aplikasi-aplikasi sosial  seperti ‘TikTok’, ‘Instagram’, ‘Facebook’ dan ‘X’ juga merupakan virus utama yang menyebabkan wabak bahasa rojak terutama dalam kalangan pempengaruh ataupun ‘Influencer’. Tidak dapat dipertikaikan lagi, pengguna-pengguna akan menonton bahkan terdapat sesetengah pengguna mengikuti apa sahaja kandungan yang diketengahkan oleh para pempengaruh.

Hal ini kerana pengguna gemar menonton hiburan dan mendengar maklumat secara santai seperti pempengaruh CelotehDrMalar, Khairulaming yang mampu menarik ratusan ribu malah jutaan pengikut. Hal ini bukanlah satu titik tolak untuk tidak menolak kerancuan bahasa kerana terdapat ramai dalam kalangan pempengaruh mencelarukan bahasa pusaka dengan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea (Hangugeoa).

Mereka juga lemah dalam penggunaan bahasa ibunda sendiri malah berbangga dapat berbahasa penjajah dengan lancar hingga rancunya jati diri bangsa Malaysia. Sikap pongah dalam perlumbaan meraih populariti semakin meruncing sehingga sanggup menghakis bahasa keramat sendiri. Jika gejala bahasa rojak ini tidak dibendung, ia akan menjadi suatu kebiasaan dan menghasilkan struktur bahasa yang melanggar ketetapan tatabahasa yang tulen. Jelas, gejala penggunaan bahasa rojak akan menggugat kewibawaan dan identiti bahasa Melayu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penggunaan bahasa rojak sudah tentu menjejaskan reputasi bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana pencemaran bahasa pusaka menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai identiti bahasa yang tidak stabil. Keadaan ini akan menyebabkan kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai dan ciri utama bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan, beberapa ciri bahasa pusaka akan hilang dan digantikan oleh ciri bahasa asing. Sekiranya gejala ini terus berlaku, bahasa rojak akan perlahan-lahan melenyapkan harga dan keramat bahasa pusaka bagai campak baju nampak kurap. Gejala ini akan mengurangkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan.

Sediakan payung sebelum hujan, supaya airnya jernih, ikannya jinak. Maka, kerancuan bahasa pusaka di alam maya haruslah dibendung serta diimbangi supaya mati tidak akan menyesal, luka tidak akan menyiuk. Generasi kini khususnya generasi millenium merupakan golongan paling ramai menggunakan aplikasi-aplikasi dalam alam maya berbanding lapisan umur yang lain.

Generasi ini sudah tentu perlu diselami cara, gaya, stail, dan perspektif menggunakan alam maya mengikut horizon kehidupan mereka sendiri. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif perlu diatur dalam penggunaan media sosial demi penerapan minat generasi muda yang lebih efisien terhadap kepentingan dan kesedaran bahasa Melayu sebagai bahasa pusaka yang berkeramat.

Antara cara penerapan minat dan kesedaran pengguna-pengguna alam maya dengan mewujudkan komuniti Bahasa Melayu atas talian. Hal ini demi memupuk sikap membaca dan membina kesedaran tentang pentingnya menjaga keramat bahasa pusaka daripada dirancu. Inisiatif ini boleh dilaksanakan melalui medium seperti Telegram, X, Whatsapp, Reddit atau Instagram. Kaedah ini sangat efisien untuk menyebarkan bahan bacaan, perkongsian, fakta-fakta menarik dalam bahasa Melayu secara ringkas mahupun kompleks dengan teknik yang santai tetapi bermaklumat. Terdapat juga pelajar-pelajar yang mengharapkan komunikasi di dunia media sosial sebagai medium ilmu bahasa untuk mempelajari ilmu bahasa Melayu mereka. Sayang seribu kali sayang jika bahasa Melayu dirancukan dalam diskusi antara penyampai dan pendengar.

Dunia teknologi yang berkembang pesat telah menjadikan media sosial  sebagai lubuk aneka ikhtiar pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahupun institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, pempengaruh, atau sesiapa sahaja yang  mengetahui akal dan budi generasi muda kini untuk menghasilkan konten mengenai bahasa Melayu, bahana bahasa rojak dan sebagainya.

Selain penghasilan konten, pertandingan seperti Sayembara Bahasa Melayu peringkat negeri, Seni Coret Jawi, pertandingan video pendek, karya digital, atau Eksplorasi Bahasa  juga wajar dianjurkan. Lebih-lebih lagi, terdapat peningkatan trend wawancara, rakaman audio, atau podcast di aplikasi YouTube atau Spotify. Pihak-pihak yang arif tentang bahasa Melayu juga boleh adakan audio siar dan di siarkan di Spotify atau segmen di radio.

Keramat bahasa pusaka perlulah dijaga khazanahnya daripada dirancu sama ada di alam maya mahupun dalam komunikasi verbal seharian. Penularan istilah-istilah bahasa rojak dalam aplikasi media sosial perlulah dikawal daripada awal supaya frasa atau maksud ayat tidak salahertikan di samping dapat mengekalkan ketulenan keramat bahasa Melayu itu sendiri.

Kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa kebangsaan juga perlu diperkukuh dan diketengahkan khususnya kepada generasi muda yang banyak menggunakan istilah-istilah baru tersebut. Dengan adanya langkah-langkah bersepadu dan kerjasama semua pihak, kita mampu menyelamatkan bahasa pusaka berkeramat ini daripada kerancuan dan hilang dari muka bumi bertuah ini, selari dengan kata pujangga, “Takkan hilang Melayu di mata dunia”.

Penulis: Nur Zahirah Aisyah binti Bostamam, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular