Saturday, March 2, 2024
HomeArtikelKerelevenan Agenda Madani Dalam Membentuk Perpaduan Malaysia

Kerelevenan Agenda Madani Dalam Membentuk Perpaduan Malaysia

Pada era globalisasi ini, kita dapat lihat bahawa Kerajaan yang mentadbir negara kita berubah-ubah kerana terdapatnya sistem politik yang tidak stabil. Pada masa ini, Kerajaan yang mentadbir terletak di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Bin Dato’ Ibrahim. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia kesepuluh yang dilantik selepas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob iaitu Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun melaksanakan agenda Madani dalam membentuk perpaduan di Malaysia.

Agenda Madani adalah gerakan sosial yang mendorong penyertaan aktif warganegara dalam proses demokrasi dan pembangunan masyarakat. Agenda ini mempunyai relevansi yang besar dalam memperkuat keahlian aktif masyarakat dalam proses demokrasi dan memperjuangkan hak-hak masyarakat. Konsep Madani ini menekankan aspek tata kelola dalam pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya ketika berdepan kemelut politik dan ekonomi negara.

Terdapat beberapa perkara yang menjadi cabaran utama dalam melaksanakan agenda Madani ini. Menurut artikel Berita Harian yang ditulis oleh Dr Mohamad Fitri Mohamad Yusoff bertajuk Agenda pembangunan MADANI tuntut sokongan penuh rakyat (2023), cabaran-cabarannya adalah kestabilan politik, perpaduan kaum, tadbir urus baik, pertumbuhan ekonomi dan pendidikan membina.

Dalam salah satu cabaran pembangunan agenda Madani iaitu memerangi Islamofobia, Malaysia Madani menentang prasangka dan ketidakadilan yang dilakukan terhadap agama Islam. Malaysia Madani menyokong saudara sesama Islam. Hal ini dikatakan oleh Menteri Luar Negeri iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam Forum Antarabangsa Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Kompleks F, Putrajaya.

Cabaran lain ialah terdapat rakyat yang pelbagai latar belakang dan mentaliti, sikap rakyat, pembangunan ekonomi dan wabak penyakit. Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia mendepani cabaran dalam isu Covid-19 sama seperti negara lain. Oleh hal yang demikian, bagi mengekang penularan wabak ini, rakyat digalakkkan mengambil vaksin. Terdapat pelbagai vaksin Covid-19, antaranya pfizer, moderna, astrazeneca dan sebagainya. Hal-hal ini menyukarkan Kerajaan Madani untuk menyatupadukan rakyat. Oleh hal yang demikian, sukar untuk menjalankan agenda Madani ini kerana terdapat kekangan yang melanda.

Penumpuan kepada penyelesaian masalah antara salah satu agenda Madani yang dibentangkan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Isu pasca pandemik Covid-19 menjadi salah satu perkara yang terdapat dalam agenda Madani beliau. Persis peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, Kerajaan Madani berusaha untuk menyatukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan agenda Madani ini. M yang bermaksud mampan ini bertujuan untuk menyeimbangkan antara manusia dan alam. A iaitu kesejahteraan memberi maksud keseimbangan dalam kehidupan. D iaitu daya cipta yang mengandungi beberapa pembaharuan, reka cipta, dan reka baharu. A yang seterusnya ialah hormat iaitu bermaksud adab terhadap sesama insan. N iaitu keyakinan tentang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk moral dunia dan sekeliling. I iaitu ihsan yang bermaksud peduli tentang masyarakat sekeliling.

Terdapat juga sambutan Hari Raya Aidilfitri Malaysia Madani tanpa mengira kaum yang dijalankan oleh Kerajaan ini dalam membentuk perpaduan di Malaysia. Kerajaan Madani menjalankan sambutan rumah terbuka secara besar-besaran. Beribu rakyat yang turut hadir dalam menjayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut. Sambutan ini diadakan di negeri Kedah, di Hotel Raia, Alor Setar. Jamuan ini dapat mengeratkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat.

Selain itu, Kerajaan Madani juga melaksanakan program-program bantuan kepada rakyat. Sebagai contoh, Inisiatif Payung Rahmah. Dalam inisiatif ini, terdapat bantuan Kafe Rahmah untuk pelajar kolej di universiti, Jualan Murah Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah, dan Bakul Rahmah. Terdapat juga inisiatif Menu Rahmah untuk membantu rakyat yang memerlukan dan menangani kos sara hidup di Malaysia.

Menurut artikel bertajuk Membangun Malaysia Madani bagi bina masa depan negara-PM (2023) oleh wartawan BH, agenda dasar kerangka MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.

Menurut artikel Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani dilancarkan (2023) oleh Ludfi Mohamed, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang juga telah melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur. Program yang dijalankan bertujuan untuk menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap usaha Kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI. Di bawah Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani ini pula terdapat program lain yang dijalankan, antaranya adalah Program Semarak Kenegaraan, Program Semarak Perpaduan, dan Program komuniti RAHMAH.

Malaysia Madani juga dibina untuk menekankan keadilan sosial. Dalam menekankan keadilan sosial ini, rakyat yang miskin harus dibela dan kemiskinan seharusnya dibasmi. Kemiskinan yang berlaku juga adalah disebabkan rasuah yang semakin berleluasa. Oleh hal yang demikian, rasuah juga seharusnya dibasmi untuk mengekalkan keadilan sosial. Jika rasuah ini dapat dikawal, banyak wang rakyat yang boleh diselamatkan. Hal ini diperkatakan oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam artikel bertajuk Merealisasikan Kerangka Malaysia Madani Perlu Komitmen Semua Pihak (2023) oleh Muhammad Basir Roslan.

Model perniagaan inklusif juga adalah salah satu strategi pencapaian Malaysia Madani. Aktiviti perniagaan dengan melibatkan sektor korporat juga dilihat dapat memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Melalui usaha sama dalam rantai bekalan sebagai pemborong, pembekal, rakan dagang atau sebagai pelanggan, hal ini dapat memberi impak kepada pembangunan perniagaan dan ekonomi negara Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui artikel bertajuk Model Perniagaan Inklusif: Strategi Pencapaian Malaysia Madani (2023) oleh admin.

Kesan daripada pelaksaan agenda Madani ini, dapat dilihat bahawa segelintir masyarakat dapat dibantu seperti golongan B40. Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah sangat membantu golongan yang memerlukan pada ketika ini. Hampir semua gerai makanan melaksanakan Menu Rahmah dalam menu mereka bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan. Selain itu, Inisiatif Menu Siswa Rahmah yang dijalankan juga dapat membantu golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan. Inisiatif ini dilaksanakan di hampir 20 universiti awam serta politeknik termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dalam artikel bertajuk Menu Siswa Rahmah RM3.50 di universiti awam, politeknik (2023) oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi, Menu Siswa Rahmah itu dapat disediakan berikutan pihak universiti awam tidak mengenakan kos penyewaan gerai kepada peniaga, membabitkan kos RM3 juta setahun di universiti awam dan RM700,000 setahun di politeknik.

Agenda ini juga dapat membantu memperkuat hubungan antara pemerintah dengan masyarakat. Dengan penyertaan aktif rakyat, agenda ini juga dapat memperkuat kapasiti masyarakat dalam menghadapi pelbagai tentangan global seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan ekonomi.

Selain itu, agenda ini turut dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak-hak mereka dan memperjuangkan hak-hak minoriti serta mempromosikan perdamaian dan toleransi antara berbagai kelompok etnik dan agama yang berbeza. Agenda ini dapat membantu menguatkan demokrasi dan memperkuat hubungan antara masyarakat dengan pemerintah.

Agenda Madani juga dilihat membantu mendorong pembangunan sosial dan ekonomi yang berlanjutan di Malaysia. Agenda ini dapat menjadi saranan untuk mendorong perubahan dalam kebijakan pemerintah yang lebih responsif dan adil terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat.

Kesimpulannya, agenda Madani ini dilihat relevan untuk dilaksanakan oleh Perdana Menteri dalam usaha untuk membangunkan negara Malaysia. Agenda ini dilihat memiliki potensi besar untuk membantu memperkuat demokrasi dan pembangunan sosial ekonomi yang berlanjutan di Malaysia, dan mendorong terciptanya masyarakat yang lebih berwibawa dan adil. Oleh hal yang demikian, peranan aktif masyarakat dalam agenda ini sangat penting untuk mencapai tujuan-tujuan ini. Agenda Madani ini dilihat dapat membantu rakyat pada masa kini dan mencapai kesepakatan perpaduan antara pelbagai kaum.   

Penulis;

1. Siti Sarah Sofea Binti Saiful Hisham -  Mahasiswa Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

2. Dr Velan Kunjuraman.- Pensyarah Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular