Saturday, August 13, 2022
HomeArtikelKesan Globalisasi dan Modenisasi Terhadap Hubungan Etnik di Malaysia

Kesan Globalisasi dan Modenisasi Terhadap Hubungan Etnik di Malaysia

Malaysia merupakan salah satu negara yang terkenal dengan yang rakyat berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni serta mengamalkan konsep kebebasan beragama. Arus pemodenan di Malaysia juga semakin berkembang kerana mempunyai status negara membangun.

Sejak dari hari kemerdekaan, isu modenisasi dan hubungan etnik tidak pernah lumpuh dalam perjuangan Malaysia untuk membangunkan negara. Kesan modenisasi mempunyai aspek positif dan negatif yang telah terhadap hubungan etnik di Malaysia.

Modenisasi bermaksud proses transformasi atau perubahan menuju kemajuan atau peningkatan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Perubahan yang berlaku boleh dibahagikan kepada dua kategori. Yang pertama adalah perubahan berencana yang bermaksud satu proses yang mana matlamat, cara dan ukuran pencapaian ditentukan terlebih dahulu sebelum sesuatu perubahan dilakukan dan inilah yang disebut modenisasi.

Seterusnya perubahan tidak berencana membawa maksud suatu proses peniruan gaya hidup barat yang tidak disertai oleh suatu usaha perubahan secara berencana atau diistilahkan sebagai ‘pembaratan’.  Pembentukan bangsa Malaysia yang mengandungi kepelbagaian etnik juga amat berkait dengan projek modenisasi di Malaysia.

Antara kesan globalisasi terhadap hubungan etnik di negara kita adalah dari segi politik. Politik adalah rupa pemerintahan di mana orang-orang yang terlibat, bekerjasama melalui prosedur yang telah ditetapkan sesebuah institusi untuk menyelesaikan konflik dan memerintah negara dengan adil.

Modenisasi politik dapat diperhatikan berdasarkan beberapa perkara iaitu pengamalan sistem demokrasi berparlimen, pilihanraya dan penglibatan tiga kaum terbesar dalam bidang politik di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Oleh hal yang demikian, setiap kaum mewakili kaum masing-masing untuk mempertahankan kepentingan etnik masing-masing.

Namun, itu adalah politik pada zaman sebelum ini. Kini pada zaman pemodenan politik era baru, kita dapat melihat dengan tertubuhnya beberapa parti politik yang menggabungkan ketiga-tiga kaum di bawah satu parti politik. Hal ini menunjukkan kaum-kaum tersebut telah menerima pemikiran politik moden yang mana, kaum berlainan boleh bekerjasama dalam satu payung.

Seterusnya, di Malaysia kesan modenisasi sosial dapat dilihat dari aspek bidang Pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya. Ketika zaman penjajahan, setiap etnik diasingkan mengikut tempat tinggal. Sebagai contoh, kaum Melayu tinggal di kawasan pinggir bandar, kaum Cina di kawasan bandar manakala kaum India di kawasan ladang.

Perkara sedemikian juga dapat dilihat dengan terbinanya sekolah-sekolah mengikut kaum serta menggunakan Bahasa ibunda mengikut kaum masing-masing. Bukan dari segi sekolah sahaja diasingkan, malah dari aspek kurikulum sekolah juga mengikut negara asal mereka kerana mereka membawa guru-guru serta buku teks dari negara asal mereka.

Oleh hal yang demikian, pada tahun 1964 pegawai British telah tersedar bahawa sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan sewajarnya diwujudkan untuk menyatukan rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Disebabkan itu, sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan telah diteruskan selepas negara kita memperoleh kemerdekaan.

Hal ini diteruskan untuk membentuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Pada hari ini, dapat dilihat bahawa walaupun masih terdapat sekolah jenis kebangsaan di negara ini, namun sistem pendidikan Malaysia dapat berkembang secara baik dengan wujudnya elemen perpaduan kaum.

Modenisasi di Malaysia telah melalui satu proses yang panjang sejak negara kita memperoleh kemerdekaan. Malah, salah satu proses pemodenan yang penting adalah mengenai hubungan etnik masyarakat Malaysia. Proses modenisasi memberi kesan positif dan negatif dalam isu hubungan etnik. Terdapat tiga jenis aspek utama modenisasi yang memberi kesan kepada hubungan etnik seperti yang dijelaskan oleh Fred W. Ringgs.

Aspek-aspek yang telah disebutkan ialah perindustrian, demokrasi dan nasionalisme. Perindustrian merupakan satu penilaian dan penggunaan terhadap barang yang digunakan untuk menghasilkan satu sumber seperti arang batu, minyak dan elektrik.

Seterusnya, demokrasi ialah penerimaan sistem politik berdasarkan pilihan raya yang adil untuk memilih pemimpin yang akan mewakili rakyatnya. Negara kita juga mengamalkan sistem demokrasi yang mana suara dan hak individu lebih diutamakan. Namun, perkara yang melanggar daripada norma masyarakat dan perlembagaan di Malaysia seperti hak kemanusiaan kepada golongan LGBT, sekularisme, pluralisme serta hak bersuara yang berlebihan tidak dapat diterima.

Aspek yang terakhir adalah nasionalisme yang bermaksud satu konsep kedaulatan yang diperjuangkan oleh rakyat di sebuah negara yang mengaku dirinya sebagai warganegara. Modenisasi menyebabkan wujudnya perasaan persaingan di antara etnik di Malaysia. Selain itu, ia memberi kesan terhadap pertumbuhan semangat nasionalisme.

Terdapat beberapa faktor seperti perindustrian, sistem pendidikan, perkembangan sistem komunikasi, sekularisme dan kapitalisme yang memberi kesan terhadap perjuangan bangsa dan semangat nasionalisme.

Natijahnya modenisasi ia memberi kesan ke atas hubungan etnik dari segi politik, ekonomi dan juga sosial. Hal ini kerana, ianya dapat dilihat dengan wujudnya kesedaran etnik dari segi bidang politik, persaingan dari aspek politik dan ekonomi di antara kaum serta konflik yang timbul antara kaum.

Masyarakat Malaysia bukan sahaja terdiri daripada pelbagai etnik tetapi terdiri daripada pelbagai agama. Sekiranya konflik gagal didamaikan maka berkemungkinan peristiwa hitam yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 akan berulang semula. Oleh itu, sebagai masyarakat Malaysia kita sepatutnya menghormati setiap individu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama agar dapat hidup dengan aman harmoni dan sentosa.

Penulis; Nur Syahirah binti Abu Hanifah, Pelajar Tahun 1, Jurusan Sarjana Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.
RELATED ARTICLES

Most Popular