Thursday, December 1, 2022
HomeArtikelKesan Penyebaran Berita Palsu dan Solusinya

Kesan Penyebaran Berita Palsu dan Solusinya

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sememangnya membimbangkan kita. Aktiviti ini bukanlah satu perkara baharu bahkan sudah terjadi sejak zaman berzaman. Seiring dengan peredaran zaman, masyarakat tampaknya hanya beralih arah kepada medium yang lebih mudah untuk berkomunikasi berbanding masyarakat terdahulu yang menyampaikan berita melalui sembang-sembang petang dan bergosip secara langsung.

Namun, amalan ini sepertinya susah dihakis bahkan masyarakat kita tampaknya semakin berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama dalam menyebarkan maklumat yang tidak dipastikan sumber dan kesahihannya.  

Pada zaman serba canggih ini, penyebaran berita palsu atau separa benar nampaknya semakin berleluasa ditambah dengan kewujudan pelbagai platform media sosial yang dijadikan medium untuk melakukan aktiviti merugikan ini. Kemudahan yang ada nampaknya digunakan sewenangnya oleh sesetengah pihak untuk menyampaikan maklumat tidak benar kepada masyarakat awam.

Seperti yang kita ketahui, media sosial mempunyai jumlah pengguna yang sangat ramai dan penyebaran berita palsu tersebar bagaikan kilat. Melalui media sosial, penyebaran maklumat palsu semakin sukar disekat bahkan diperiksa kesahihannya.

Hal ini terbukti dengan banyaknya berita-berita yang tidak pasti sumber dan kebenarannya yang tersebar di media sosial terutamanya Whatsapp dan Facebook. Dua aplikasi tersebut mempunyai jumlah pengguna yang paling ramai di Malaysia dan menjadi medium utama masyarakat kita untuk saling berkomunikasi, terutamanya dalam waktu sekarang yang sangat sukar untuk bertemu satu sama lain. Sebahagian daripada masyarakat kita menggunakan media sosial sebagai medium untuk bersosial pada waktu terluang.

Masalah Covid-19 yang semakin serius di negara kita telah menyebabkan limpahan maklumat palsu di media sosial semakin sukar dikawal. Hampir setiap hari bahkan boleh dikatakan setiap minit kita menerima pelbagai maklumat berkaitan pandemik ini namun seringkali sumber dan kebenarannya tidak boleh dipastikan. Hal ini menyebabkan masyarakat semakin sukar untuk mebezakan fakta atau auta sesuatu maklumat berkenaan.

Isu Covid-19 antara isu yang paling banyak dibicarakan dalam media sosial pada waktu sekarang. Penularan wabak Covid-19 khususnya di Malaysia telah menyebabkan masyarakat sering berkongsi tentangnya di media sosial. Bermacam-macam berita yang dihidangkan kepada kita di pelbagai media sosial tidak kira samada Whatsapp, Facebook, Twitter, Telegram dan Instagram. Masyarakat mudah terpengaruh dengan dengan banyaknya berita- berita palsu yang tersebar di media-media sosial ini dan ini membawa kepada banyak kesan-kesan buruk kepada kita.

Berita Harian dalam laporannya pada 23 Oktober 2020 menyatakan pihak polis terpaksa membuka 270 kertas siasatan berkaitan perkongsian berita palsu COVID-19 di mana 19 kes dibawa ke mahkamah. Selain itu, Pasukan Respon Pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan dan menjelaskan 388 berita palsu.

Kebanyakan berita-berita palsu ini bertujuan untuk memanipulasi, mempengaruhi dan mengapi-apikan perasaan masyarakat terhadap seseorang individu ataupun sesebuah organisasi. Dampaknya sangat besar kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat umum.

Limpahan berita-berita palsu di media sosial juga terkadang boleh menyebabkan masyarakat mulai merasa tertekan kerana kebanyakan berita-berita ini isinya berita-berita negatif dan buruk sahaja. Berita-berita ini boleh menimbulkan ketakutan dan kerisauan dalam diri masyarakat serta seringkali menjadi faktor perbalahan dalam masyarakat.

Pandemik Covid-19 di Malaysia telah melihat perubahan-perubahan berita yang banyak disebarkan di media sosial seiring waktu. Jika di awal-awal pandemik dahulu masyarakat dihidangkan limpahan maklumat tentang cara mengelak daripada terkena Covid-19, namun nampaknya sekarang ini isu vaksin Covid-19 yang hangat diperkatakan.

Di saat pihak kerajaan bertungkus lumus menyeru masyarakat untuk mendaftar dan mendapatkan vaksin, ada pula pihak tidak bertanggungjawab yang giat menyebarkan keburukan dan kesan palsu vaksin kepada masyarakat.

Maklumat palsu tentang kesan-kesan vaksin ini telah mempengaruhi keputusan sebilangan rakyat Malaysia dalam pengambilan vaksin. Kesan dan akibat daripada perbuatan ini cukup serius sehingga boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat awam. Lihat sahaja berita-berita belakangan ini yang melaporkan puluhan ribu rakyat Malaysia yang tidak hadir temujanji mendapatkan vaksin.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataanya baru-baru ini menyatakan lebih 9000 individu gagal hadir untuk menerima dos pertama bagi pemberian fasa kedua. Sinar Harian juga dalam laporannya pada 24 Mei lalu juga menyatakan kerajaan negeri Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyatnya tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh ditetapkan. Manakala Harian Metro melaporkan sebanya 9.8 peratus rakyat negeri Johor yang telah mendaftar vaksin gagal hadir temu janji pada tarikh ditetapkan.

Tindakan menyebarkan berita palsu ibarat menyebarkan virus Covid-19. Kesan dan akibat daripada perbuatan ini cukup serius sehingga bukan sahaja boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat awam, malah mempengaruhi ekonomi dan politik sesebuah negara.

Akibat daripada penyebaran pernyataan-pernyataan palsu di media sosial, timbul kekacauan dan salah faham dalam masyarakat. Misalnya akibat berita-berita palsu yang tersebar tentang Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat mulai panik untuk membuat pembelian walaupun kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa pernyataan yang memerlukan rakyat berbuat demikian.

Akibat daripada ini, rakyat berpusu-pusu menyerbu pasaraya untuk membeli barang keperluan. Situasi ini sangat berbahaya untuk orang awam dalam situasi sekarang kerana virus ini sangat mudah merebak dalam keadaan sesak,

Selain itu, penyebaran berita palsu juga boleh mengakibatkan keadaan sesuatu negara tidak stabil dan kucar-kacir. Berita-berita palsu ini sering mengganggu gugat kesejahteraan awam bahkan kadangkala hingga memaksa kerajaan untuk membuat penjelasan. Akhirnya ia akan menyebabkan kerugian kepada ekonomi global.

Menangani penyebaran maklumat atau berita palsu bukanlah satu perkara yang mudah dan kerajaan terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menangani dan membasmi perbuatan ini. Memetik laporan penyelidikan yang dibuat oleh Prof Roberto Cavazos seorang pakar ekonomi daripada University of Baltimore bersama syarikat kecerdasan buatan dan keselamatan siber CHEQ, berita palsu telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi global berjumlah kira-kira AS$78 bilion (RM322 billion) setahun.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk membantu masyarakat dalam membasmi penyebaran maklumat palsu dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah mengambil peranan masing-masing demi kesejahteraan awam.

Usaha ini sangat penting bukan sahaja untuk mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat, bahkan untuk mewujudkan amalan komunikasi beretika dan berkesan dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih.

Pihak kerajaan telah melaksanakan undang-undang untuk mengekang penyebaran berita palsu terutamanya yang berkaitan Covid-19. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata dengan berkuatkuasanya Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020 (Akta 825), sebarang berita dan laporan palsu serta penyalahgunaan media sosial ditangani melalui undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).  

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga menasihatkan orang ramai untuk berhenti menyebar berita tidak pasti. Selain itu, pihak KKMM juga memberi nasihat melalui pesanan khidmat ringkas dengan mesej ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’.

Langkah-langkah Bagi Menghentikan Penyebaran Berita Palsu

Rakyat juga boleh mengikuti cara-cara berikut untuk menghentikan penyebaran berita palsu.

1.     Rujuk Sumber yang Dinyatakan

Masyarakat perlulah memverifikasikan maklumat yang diterima atau dibaca daripada sumber yang sahih. Seringkali maklumat yang tersebar di media sosial tidak mempunyai sumber dan hanyalah berisi pernyataan-pernyataan berbentuk provokatif.

Orang ramai dinasihatkan memeriksa sesuatu berita atau keaslian suatu perkara yang tersebar. Sangat penting untuk membandingkan maklumat yang diterima tanpa sumber dengan sumber yang sahih sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita.  

2.     Rujuk Sumber Rasmi dan Media Arus Perdana

Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai platform untuk dijadikan rujukan. Laman-laman sesawang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan perlulah digunakan sebaiknya oleh orang awam untuk dijadikan rujukan dan mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

Contohnya, rakyat boleh melayari laman web Majlis Keselamatan Negara, Telegram Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai lagi untuk mendapatkan info terkini tentang keadaan Covid-19 di Malaysia. Info-info ini telah disahkan kebenarannya oleh pihak berwajib sebelum disebarkan dan rakyat tidak perlu ragu dengan kebenarannya.

3.     Jangan Sebar

Rakyat Malaysia diminta untuk berhenti menyebarkan sebarang maklumat yang tidak mempunyai sumber sahih dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kerisauan kepada orang ramai.

Hal ini juga mungkin membantu pihak yang mencipta berita palsu ini senang dengan perbuatan tidak bermoral mereka. Akibat daripada perbuatan ini, ia hanya akan menimbulkan kerisauan yang tidak berasas dalam kalangan orang awam. Fikir dahulu dan jangan terlalu laju apabila hendak berkongsi maklumat diterima. Jika tidak pasti, lebih baik jangan kongsi.

4.     Melaporkan Berita-Berita Palsu

Orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan kepada polis sebarang berita yang mempunyai unsur penipuan. Selain itu, kita juga boleh melaporkan berita-berita palsu kepada media sosial yang menjadi tempat penyebaran.

Media sosial seperti Facebook dan Instagram mempunyai butang ‘Report’ untuk konten atau mesej yang berbaur penipuan. Jika ramai yang melaporkan maklumat tersebut, maka pihak Facebook dan Instagram akan menghapusnya. Selain itu, anda boleh melaporkan berita palsu yang disebarkan di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Konklusinya, setiap individu memainkan peranan penting dalam menghentikan penyebaran berita palsu yang boleh merugikan dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat setempat. Setiap daripada kita juga mempunyai peranan penting dalam membendung penyebaran berita-berita palsu ini.

Selain itu, rakyat Malaysia disarankan untuk memupuk budaya membaca bukan sekadar tajuk sahaja serta tidak mempercayai bulat-bulat berita yang disampaikan di mana-mana platform media sosial. Samalah-sama kita peka dengan kebenaran sesuatu maklumat dan bersama hentikan penyebaran berita palsu yang merugikan banyak pihak.

Penulis; Syaza Amanina binti Badrul Hisham, pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia,Nilai.

RELATED ARTICLES

Most Popular