Saturday, October 5, 2024
HomeArtikelKesan Penyebaran Berita Palsu

Kesan Penyebaran Berita Palsu

Mutakhir ini, aplikasi media sosial semakin bertambah dan berkembang seperti Instagram, Facebook, Tik Tok dan lain-lain. Ramai masyarakat berpeluang untuk mengubah nasib mereka melalui media sosial terutamanya dari segi pemasaran perniagaan. Malah, penggunaan internet telah dianggap sebagai lumrah kehidupan.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan sehingga Disember  2018,  Malaysia  mempunyai  28.7  juta  pengguna  Internet  yang  merupakan  87.4  peratus  daripada  jumlah penduduk negara ini.

Malangnya, ada juga segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kuasa tular di media sosial untuk tujuan yang negatif, iaitu penyebaran berita palsu. Penyebaran berita palsu adalah propaganda yang terdiri daripada penyebaran maklumat salah atau olok-olok secara sengaja melalui media akhbar tradisional, media penyebaran mahupun media sosial dalam talian.

Berita palsu ini disebarkan dengan tujuan untuk mengaburi mata ramai dan untuk mengaibkan pihak tertentu demi kepentingan kewangan atau politik sendiri. Sebagai contoh, menggunakan tajuk berita yang sensasi, tidak jujur atau direka semata-mata untuk menggalakkan pembacaan, perkongsian dalam talian.

Sejak seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, penyebaran berita palsu menjadi lebih berleluasa. Perkara ini bukan lagi dikategorikan sebagai kesalahan minoriti, malah di klasifikasikan sebagai perbuatan yang terkutuk kerana ianya akan menyusahkan dan menyulitkan banyak pihak.

Perbuatan menyebarkan berita palsu adalah salah satu kesalahan yang melanggar etika. Hal ini begitu serius sehinggakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran bahawa amalan itu boleh membawa kepada penerimaan berita palsu dan penolakan maklumat benar.

Kesan yang paling ketara sejak pandemik COVID-19 yang kita dapat lihat ialah penyebaran berita palsu boleh menjejaskan ketenteraman negara. Banyak mesej-mesej berantai yang telah disebarkan tentang jangkitan covid-19 yang tidak sahih.

Sebagai contoh, di awal fasa virus Covid-19 masuk ke Malaysia, banyak mesej berantai yang mereka menyatakan bahawa virus COVID-19 telah tersebar luas sedangkan keadaan jangkitan pada masa itu masih lagi terkawal.

Hal ini membimbangkan seluruh rakyat Malaysia dan menggugat keamanan negara. Seperti mana yang kita tahu, jika penyebaran virus ini tidak terkawal, negara akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung rantaian jangkitan virus COVID-19.

Perlaksanaan PKP pula akan menjejaskan banyak pihak dan pendapatan rakyat Malaysia. Untuk menguatkan lagi hujah ini, menurut akhbar Berita Harian Mac 2018, Peguam Adnan Seman telah mengatakan bahawa, negara Iraq pernah diuji dengan kesan penyebaran berita palsu kepada negara mereka sehinggakan mencetuskan peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

Hal ini kerana ada berita palsu yang menyatakan kononnya negara Iraq menyimpan senjata api. Akhirnya, maklumat itu telah disahkan palsu setelah tentera Barat tidak menjumpai senjata yang dimiliki oleh Iraq.

Kita hendaklah mengambil iktibar daripada peristiwa ini supaya negara Malaysia sentiasa aman dan tenteram dari segala pergolakan. Selain daripada isu berkaitan pandemik Covid-19, penyebaran berita palsu mengenai isu politik juga dilihat menjadi trend zaman kini.

Orang ramai telah dinasihatkan untuk tidak memanipulasikan berita berkenaan isu politik kerana hal ini akan merumitkan lagi keadaan sehinggakan boleh menggugat keamanan negara.

 Selain itu, penyebaran maklumat yang telah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada kesihatan mental masyarakat. Antara golongan yang akan terjejas dari secara psikologi ialah penganggur.

Sebagai contoh, seorang individu telah ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di sebuah syarikat ternama. Namun, sebenarnya tawaran tersebut adalah palsu. Malah, tawaran itu juga telah ditawarkan oleh individu yang tidak berkaitan dengan syarikat ternama tersebut.

Jadi, hal ini akan memberikan tekanan mental kepada si mangsa. Lebih-lebih lagi, statistik kadar pengangguran di negara kita melonjak naik sejak perintah kawalan pergerakan berlaku di Malaysia.

Ramai masyarakat kehilangan pekerjaan secara mendadak dan tanpa wang pampasan. Majikan terpaksa mengurangkan kakitangan mereka kerana  tidak mampu untuk membayar gaji ekoran PKP di Malaysia yang menjejaskan keuntungan mereka.

Pendedahan maklumat negatif dan palsu yang berterusan akan mempengaruhi cara seseorang itu berfikir, bertindak dan menyelesaikan konflik. Kita dapat lihat bahawa maklumat negatif dan palsu akan lebih cepat menular berbanding maklumat yang positif dan benar kerana maklumat negatif dan palsu lebih sensasi dan kontroversi.

Hal ini akan melahirkan masyarakat yang sering menyalahkan pihak lain dan membawa kepada isu-isu perkauman. Sebagai contoh, pada awal pandemik Covid-19 diisytiharkan di Malaysia, kes tertinggi datang daripada Kluster Tabligh.

Masyarakat bertubi-tubi memberikan stigma yang negatif dan kecaman yang dahsyat terhadap golongan tabligh sedangkan jangkitan virus covid-19 tidak mengenal orang, usia mahupun darjat. Sesiapa sahaja berpotensi untuk mendapat jangkitan tersebut jika tidak menjaga dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan.

Kita sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian virus Covid-19, malah kita juga seharusnya mengambil cakna dalam memutuskan rantaian berita palsu.

Terdapat tiga langkah utama yang boleh kita lakukan. Pertama sekali, kita hendaklah mengenal pasti sumber berita yang disebarkan. Jika berita tersebut disebarkan oleh masyarakat biasa seperti ahli keluarga dan saudara-mara, seeloknya elakkan menyebarkan berita tersebut. Kemungkinan besar untuk berita itu tidak sahih adalah sangat tinggi kerana ia adalah salah satu mesej berantai yang bertujuan hanya untuk merisaukan masyarakat.

Jika ingin menyebarkan berita, pastikan ianya datang dari laman yang sahih seperti akaun media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Seterusnya, sebelum menyebarkan berita, kita haruslah berfikir tentang manfaat dan kepentingannya. Jika sesuatu berita atau maklumat tersebut sangat signifikan, kita wajar untuk berkongsi tetapi jika ia tidak begitu berfaedah, elakkan untuk berkongsi supaya perkongsian yang kita lakukan dijamin sahih.

Ketiga, kita hendaklah berhati-hati dengan berita atau maklumat yang terlalu beremosi kerana bimbang ianya hanyalah permainan emosi semata-mata terutama sekali maklumat berkaitan dengan pengutipan derma ataupun pelaburan yang melibatkan wang ringgit.

Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah sama-sama berganding bahu dalam menangani isu penyebaran berita palsu demi keharmonian dan keselamatan negara kita. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Akhlak dan etika rakyat mencerminkan keharmonian negara. Kedaulatan undang-undang adalah salah satu yang tertulis di dalam Ikrar negara Malaysia.

Jadi, rakyat Malaysia haruslah mematuhi dan akur dengan undang-undang yang telah ditetapkan seperti mana menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau di penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Penulis; Nur Firzanah binti Mohd Esa, Pelajar Perubatan Tahun 2, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular