Thursday, March 28, 2024
HomeArtikelKetagihan Permainan Atas Talian Membawa Padah!

Ketagihan Permainan Atas Talian Membawa Padah!

Pada era globalisasi ini, permainan atas talian “online gaming” telah berkembang dan dimainkan di seluruh negara tidak mengira lapisan umur daripada kanak-kanak malahan sehingga golongan tua. Pertambahan jumlah permainan atas talian ini meningkat dari hari ke hari disebabkan oleh peningkatan kemajuan alat teknologi moden seperti telefon pintar, komputer riba, tablet dan sebagainya. 

Sehubungan dengan itu, mereka lebih memillih untuk bermain permainan atas talian untuk mengisi masa lapang mereka kerana sudah sedia ada dan akan mendatangkan satu perasaan yang gembira apabila telah berjaya menghabiskan permainan tersebut. Tanpa disedari permainan atas talian ini telah banyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka malah boleh juga mempengaruhi tingkah laku mereka. 

Sebagaimana yang kita ketahui, terdapat sesetengah golongan masyarakat telah mendedahkan dan memberikan anak-anak mereka menggunakan gadjet-gadjet elektronik walaupun masih berada dalam lingkungan umur 5 tahun ke bawah. 

Hal ini menunjukkan kurangnya kesedaran tentang kesan bermain permainan atas talian secara berlebihan.  Ramai yang berpendapat bahawa permainan atas talian ini membawa banyak kesan negatif terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

Pembelajaran Terjejas

Antara salah satu kesan negatif bermain permainan atas talian adalah akan menyebabkan kemerosotan pembelajaran akibat ketagihan untuk bermain. Perkara ini dapat dilihat apabila pelajar lebih cenderung menghabiskan masa untuk bermain permainan atas talian daripada mengulangkaji pembelajaran. 

Pada masa yang sama, sistem ganjaran yang menawarkan item maya seperti senjata, perisai, pakaian atau hadiah misteri akan menjadikan permainan sukar dihentikan. Sehubungan dengan itu, mereka tidak dapat menyiapkan tugasan yang menyebabkan banyak kerja tertangguh pada satu masa dan tidak dapat menumpukan perhatian untuk megulangkaji pembelajaran. 

Perkara ini pasti akan memberi tekanan kepada pelajar seterusnya akan wujudnya perasaan tidak bersemangat untuk belajar akibat merasakan perkara tersebut adalah sesuatu yang sukar dan tidak menyeronokkan. 

Oleh hal yang demikian, peranan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan pembelajaran anak mereka dalam kedaan yang baik. Ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak mereka dengan membuat dan menyediakan jadual aktiviti seharian sejak dibangku sekolah lagi. 

Sejajar dengan itu, sikap tanggungjawab terhadap pengurusan masa dapat disemai dalam diri anak-anak. Dengan pengurusan masa yang baik, mereka akan dapat mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat yang boleh membawa kepada kemudaratan dan membantu mereka untuk menjalani kehidupan secara sistematik, teratur dan lancar. 

Menjejaskan Kesihatan 

Seterusnya, impak negatif permainan atas talian secara tidak terkawal adalah dapat menjejaskan tahap kesihatan terhadap kanak-kanak dan remaja. Perkara ini berlaku kerana mereka lebih cenderung mementingkan permainan tersebut daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan manfaat seperti bersenam, bermain badminton, berbasikal, berkebun, menolong ibu bapa dan sebagainya. 

Golongan remaja dan kanak-kanak ini lebih tertarik untuk menghabiskan masa mereka untuk bermain permainan secara talian ini lebih-lebih lagi apabila mendapat ramai kawan menerusi permainan tersebut apatah lagi pada musim pendemik ini. 

Mereka akan ketagih untuk memenangi permainan tersebut kerana ingin mempertahankan kedudukan dan membeli alatan atau barang secara maya hasil daripada permainan mereka. Sehubungan dengan itu, mereka akan mudah lesu, tidak cergas, boleh menyebabkan obesiti. 

Bukan itu sahaja, mereka juga akan mudah mengabaikan waktu makan dan tidak menghiraukan kesihatan diri. Keadaan ini akan membawa kepada kekurangan nutrisi dan zat yang diperlukan oleh badan untuk pembesaran, penghasilan hormon, mengawal tindak balas badan serta imuniti badan. 

Sehubungan dengan itu, masyarakat terutamanya ahli keluarga perlulah menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti yang dapat mengcergaskan badan dengan menyediakan alatan sukan seperti raket, bola tangkis, basikal, bola sepak dan sebagainya. 

Selain itu, pemantauan pengambilan makanan dalam kalangan ahli keluarga juga perlu diberi perhatian dengan memastikan waktu makan anak-anak terjaga, menyediakan makanan yang berkhasiat dan tidak membeli makanan ringan. 

Hal ini kerana, pengambilan makanan yang seimbang amat penting bagi membekalkan nutrisi yang cukup untuk tumbesaran dan membantu dalam menjalankan pelbagai fungsi organ di dalam badan.

Mengganggu Waktu Tidur dan Rehat

Di samping itu, bermain permainan atas talian yang tidak terkawal ini boleh menganggu waktu tidur dan rehat mereka. Apabila mata terdedah pada cahaya dari alat elektronik keadaan ini akan menjejaskan perembesan hormon mengantuk iaitu melatonin yang akan menyebabkan kesukaran untuk tidur. 

Keadaan ini akan mengurangkan kualiti tidur dan rehat mereka dan secara langsung menganggu aktiviiti pada keesokan harinya. Menurut Dr Chin Pik Kee, Perunding Oftalmologi Sunway Medical Centre, beliau menyatakan bahawa pendedahan mata teralalu lama dihadapan skrin akan menyebabkan mata keletihan, mata merah, penglihatan kabur seterusnya menyebabkan  ketidakselesaan. 

Selain itu, satu laporan dari Korea yang menyatakan bahawa terdapat 12 orang kanak-kanak telah terjejas setelah mereka terdedah penggunaan talefon pintar iaitu selama empat ke lapan jam setiap hari untuk sekurang-kurangnya empat bulan. Sehubungan dengan itu, 9 orang daripada mereka telah kembali pulih dengan berpantang penuh daripada skrin dan 3 orang selebihnya memerlukan pembedahan pembetulan mata. 

Jelaslah, bermain permainan atas talian akan membawa kepada kemorosotan kesihatan fizikal. Oleh yang demikian, ibu bapa berperanan mendedahkan keburukan permainan atas talian terhadap kesihatan mata kepada anak-anak. 

Selain itu, mereka haruslah menggalakkan aktiviti senaman mata yang dapat menguatkan oto-otot mata, menguatkan sistem penumpuan mata serta merangsang penglihatan yang terdapat di otak bagi mengekalkan kesihatan mata kerana mencegah tu lebih baik dari merawat.

Kekurangan Kemahiran Sosial

Dalam konteks yang sama, kekurangan kemahiran sosial juga merupakan salah satu kesan negatif ketagihan permainan atas talian terhadap golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka akan lebih memilih untuk menyendiri seperti kera sumbang dengan bermain gadjet sepanjang masa dan bersikap antisosial. 

Sehubungan dengan itu, mereka tidak dapat mempelajari kemahiran bersosial atau kemahiran interpersonal seperti memulakan perbualan, memasuki perbincangan dan memberi pandangan. Pada masa yang sama, mereka tidak berkeyakinan diri kerana tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik. 

Di samping itu, hubungan kekeluargaan juga akan renggang kerana kurangnya interaksi antara ahli keluarga. Keadaan ini dapat dilihat ketika menunggu makanan yang dipesan di restoran, kebanyakan mereka lebih memilih untuk bermain gadjet daripada memanfaatkan masa tersebut untuk berinteraksi dan bergurau senda bersama ahli keluarga. 

Oleh yang demikian, kemahiran sosial dapat dipupuk sekiranya mereka mampu untuk menjaga adab seperti tidak bermain gadjet sekiranya berada bersama-sama keluarga dan kawan-kawan serta ketika berhadapan dengan seseorang. 

Adab dan nilai murni ini dapat diterapkan kepada generasi muda sekiranya setiap orang bertanggungjawab dengan menunjukkan contoh teladan yang baik antara satu sama lain. Dengan ini, lahirlah masyarakat yang berdisiplin dan mampu berkomunikasi baik. 

Boleh Menyebabkan Pembaziran

Seterusnya, sikap boros berbelanja juga merupakan kesan negatif bermain permainan atas talian. Permainan atas talian telah menjadi pasaran permainan terbesar di dunia dengan pendapatan industri mencecah $ 76.7 Bilion pada akhir tahun 2020 dan terdapat 2.2 juta pemain mudah alih di seluruh dunia (Techjury, 2020). 

Permainan atas talian ini mendorong pemain untuk membelanjakan wang simpanan untuk membeli sesuatu alat maya atau menaik taraf permainan. Perkara ini terjadi apabila mereka terlalu taksub akan permainan yang dimainkan dan sanggup berbelanja untuk meningkatkan kekuatan dan kualiti permainan agar mudah memenanginya. 

Selain itu, perkara ini dapat diketengahkan kerana bermain permainan atas talian memerlukan capaian internet. Keadaan ini akan mendorong mereka untuk menghabiskan wang mereka untuk melanggani data. Mereka merasakan bahawa keseronokkan sekarang lebih penting tanpa memikirkan kegunaan wang tersebut pada masa akan datang. 

Oleh yang demikian, ibu bapa serta masyarakat hendaklah bekerjasama dengan mendedahkan keburukan sekiranya tidak mengawal perbelanjaan menerusi permainan atas talian ini. Selain itu, ibu bapa mestilah mendidik anak-anak mereka dengan amalan menabung dan cara-cara pengurusan wang perbelanjaan yang baik sejak kecil agar sikap boros dapat dielakkan dalam diri individu dengan mampu menguruskan wang simpanan sebaik mungkin.

Dapat Mempengaruhi Tingkah laku Agresif

Di samping itu, kesan negatif bermain permainan atas talian secara tidak terkawal adalah dapat mempengaruhi tingkah laku agresif terhadap kanak-kanak dan remaja. Perkara ini berlaku kerana mereka terdedah dengan adegan-adegan yang ganas dan perkataan-perkataan yang kasar daripada permaianan atas talian yang berunsurkan perang, pembunuhan serta pembulian. 

Sekiranya keadaan ini tidak dipantau, perkara ini mampu mempengaruhi tingkah laku mereka kerana kebiasaannya mereka akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihatnya dan didengarnya serta merasakan bahawa perbuatan yang ganas itu dapat menarik perhatian orang lain terhadap kehebatan dan kekuatannya. 

Keadaan ini dapat dilihat apabila terdapat kanak-kanak yang dalam lingkungan usia sekolah rendah telah berani untuk memukul kawannya sewenang-wenangnya apabila mereka merasa marah. 

Pada masa yang sama juga, unsur-unsur ganas mampu mempengaruhi kesihatan mental mereka seperti mudah sensitif, mudah marah dan agresif apabila menerima nasihat atau teguran dari orang lain. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan ketagihan permainan video ini sebagai salah satu dalam kategori masalah kesihatan mental, tingkah laku atau ‘’neurodevelopmental’’ yang dikenali sebagai gangguan perkembangan. 

Bersangkutan dengan hal tersebut, ibu bapa, penjaga, guru dan orang disekeliling hendaklah memberikan perhatian dan cakna akan setiap tingkah laku dan perubahan anak-anak mereka agar tidak mudah terjerumus dan terpengaruh dengan sikap dan budaya yang buruk. 

Ilmu agama dan pendidikan moral hendaklah disemai sejak dari bangku sekolah lagi bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya agar jati diri dan nilai murni dapat disemai dalam diri mereka seterusnya tidak goyah dengan anasir-anasir negatif yang dapat merosakkan akhlak. 

Konklusinya, jelaslah bahawa permainan atas talian yang tidak terkawal membawa kepada banyak kesan naegatif dari segi fizikal, jasmani dan emosi kepada remaja dan kanak-kanak. 

Oleh yang demikian, pemantauan daripada orang sekeliling amatlah penting bagi membendung dan mengelakkan ketagihan bermain permainan atas talian yang mampu memberikan banyak kesan negatif dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. 

Selain itu, sikap disiplin dan keazaman tinggi dalam diri hendaklah diterapkan agar mereka dapat mengawal diri daripada leka dengan keseronokkan bermain permainan atas talian seterusnya menjalani kehidupan seharian secara produktif. 

Melalui sikap yang murni ini, lahirlah generasi muda yang mempunyai badan yang cergas dan otak yang cerdas, cemerlang dalam pembelajaran, mampu berkomunikasi dengan baik serta dapat menjamin kemajuan negara pada masa akan datang.

Penulis; Nur Syahmina Binti Mohd Zamberi, Pelajar Tahun 2 Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular