Thursday, July 25, 2024
HomeKehidupanKetahui Cara Mencintai Diri Sendiri

Ketahui Cara Mencintai Diri Sendiri

Dewasa ini, pernahkah kita terfikir untuk belajar menyayangi diri sendiri dahulu sebelum kita menyayangi orang lain?

Ya, mesti ada yang terdetik dalam hati, ada juga yang tidak pernah terfikir langsung tentang ini. Hakikatnya, ini adalah salah satu perkara yang amat penting dalam kehidupan seseorang.

Kita selalu cuba untuk menjaga hati orang, tetapi hati sendiri tidak dijaga, dibiarkan terluka dengan pedih sehingga diri sendiri menderita. Kadang kala kita selalu berusaha untuk menghargai insan yang tersayang, sanggup melakukan apa sahaja demi orang- orang terpenting di dalam hidup kita, tetapi kita terlupa untuk melakukannya untuk diri sendiri.

Adakah itu yang dinamakan cintakan diri sendiri? Sama sekali tidak.

Secara definisinya, mencintai diri adalah tentang penerimaan diri, penguasaan diri dan juga rasa hormat terhadap diri sendiri. Istilah cinta diri ini bukan sekadar kita menyayangi diri kita, malah ini adalah suatu perkara yang merangkumi pelbagai aspek yang sedikit sebanyak mampu mengubah hidup kita menjadi lebih baik.

Kebanyakan orang tidak ambil kisah langsung tentang perkara ini. Jadi tiada hairanlah mengapa masalah sosial, kemurungan, dan juga emosi tidak stabil semakin meningkat sejak kebelakangan ini, yang boleh mengakibatkan hidup seseorang terjejas.

Oleh itu, beberapa kaedah mudah, yang kita boleh aplikasikan dalam kehidupan seharian supaya sifat cinta terhadap diri dapat tumbuh di dalam sanubari hati ini.

Belajar Menerima Kekurangan Diri Sendiri

Pertama sekali, kita harus belajar untuk menerima segala kekurangan yang ada dalam diri kita. Hal ini demikian kerana, di dalam dunia media sosial zaman sekarang, ramai di antara kita yang selalu memuji para artis, atau seseorang yang lebih baik rupa parasnya daripada kita.

Kita mula menilai rupa kita yang serba kekurangan seperti muka yang buruk, hitam, berjerawat, dan sebagainya. Kita seharusnya ingat bahawa semua manusia tidaklah sempurna.

Bersyukurlah kerana sesungguhnya Allah telah menciptakan semua makhluknya di dunia ini dengan sebaik-baik kejadian. Jadi tiada istilah seseorang itu buruk, hodoh di mata orang ramai.

Percayalah, kita semua sangat cantik dan kacak di mata kita. Selalulah memuji diri di hadapan cermin. Ini sedikit sebanyak dapat membuatkan hati tersenyum dengan sendiri tanpa kita sedari. Dengan itu, kita akan lebih mudah menyayangi diri kita yang serba indah ciptaan oleh-Nya.

Dalam pada itu, sebagai seorang hamba yang sangat kerdil di sisi-Nya, kita memang tidak boleh lari dalam melakukan kesilapan, seperti peribahasa,“Bumi mana yang tidak kena hujan.”

Hal ini demikian menyebabkan kita mudah berasa bahawa diri ini sangat teruk, sangat tidak berguna. Oleh yang demikian, kita haruslah belajar untuk merendahkan ego agar kita sedar dan sentiasa memaafkan segala kesalahan diri kita.

Berusahalah untuk memperbaiki segala tingkah laku kita yang buruk kepada tingkah laku yang lebih baik. Buang perkara-perkara negatif yang merunsingkan fikiran kita, dan carilah suasana yang positif supaya diri ini sentiasa bermotivasi dengan perkara yang baik.

Cara ini tidaklah mudah bagi seseorang, tetapi jika kita yakin bahawa “Usaha tangga kejayaan,” semestinya kita akan dapat melakukannya sehingga berjaya. Tuntasnya, apabila kita dapat memaafkan diri kita, kita akan mudah untuk menerima sisi baik dan buruk tentang diri kita, seterusnya dapat mencintai diri ini dengan sepenuh hati.

Mengambil Berat Tentang Diri Sendiri

Selain itu, sebelum kita menjaga hati orang lain, kita perlulah mengambil berat dahulu akan hati kecil kita ini. Hal ini kerana, sedang asyik memastikan hati orang lain tidak terluka, secara tidak sedar di dalam hati kita, sudah adanya torehan kecewa serta sedih yang telah melukakan hati kita.

Ini menyebabkan diri kita juga sakit dan merintih dalam diam, seperti sebuah perumpamaan yang berbunyi, “Umpama dihiris dengan sembilu.”

Misalnya dalam sebuah percintaan yang memerlukan komitmen yang tinggi, akan berlakunya masalah seperti berlaku curang terhadap pasangan, tidak kira lelaki mahupun perempuan, yang pentingkan diri sendiri tanpa mementingkan perasaan pasangannya.

Ini mengakibatkan hati seseorang menjadi hancur, serta kecewa kerana diperlakukan sebegitu rupa. Kesannya, dirinya mula mengalami kemurungan yang berpanjangan sehingga menjejaskan gaya hidupnya, seperti tidak lalu makan, tidak ingin bergaul dengan orang luar, menangis sepanjang masa mengenangkan nasib dirinya dan sebagainya.

Kata orang, putus cinta itu adalah salah satu rahmat dari Allah. Ini kerana Dia ingin menyedarkan kepada kita bahawa kita telah mencintai orang yang salah.

Sehubungan dengan itu, seseorang itu haruslah menjaga hatinya dengan melupakan si dia, serta meneruskan kehidupan seperti biasa. Jangan dibazirkan air mata untuk sesuatu yang sudah berlalu.

Justeru itu, fokuskan diri untuk masa hadapan yang lebih cerah. Belajarlah bersungguh-sungguh sehingga memperoleh kejayaan yang cemerlang, serta mendapat kerjaya yang bagus. Di saat diri telah berjaya dalam kehidupan, di situlah kita akan sedar bahawa kita sangat gembira dengan pencapaian dalam hidup kita, seterusnya kita akan semakin mencintai diri kita ini.

Mencari Masa Untuk Diri Sendiri

Di samping itu, cara untuk menimbulkan rasa cinta terhadap diri sendiri adalah dengan mencari masa untuk diri sendiri. Hal ini demikian kerana pada zaman ini, ramai orang terlalu sibuk mengejar urusan kehidupan dunia,seperti bekerja, belajar dan sebagainya sehinggakan mereka tiada masa untuk berehat, masa untuk diri sendiri.

Justifikasinya, kita boleh merancang untuk melakukan apa sahaja yang kita sukai dalam tempoh yang dirancang itu.

Sebagai contoh, seseorang itu boleh memilih setengah hari atau satu hari untuk dia berjalan-jalan sambil membeli belah, atau menonton wayang kegemarannya, melakukan aktiviti lasak yang digemari dan sebagainya.

Ada juga sesetengah individu yang sangat suka berseronok secara berseorangan, tanpa halangan daripada sesiapa pun. Kesannya, masa yang terluang itu dapat membuatkan dirinya semakin bahagia dan gembira dengan diri sendiri. Bak kata Diane Von Furstenberg, seorang pereka fesyen terkenal dari Belgium, “Sangat penting untuk meluangkan waktu untuk diri sendiri dan menemukan kejelasan.

Hubungan yang paling penting adalah hubungan yang kamu miliki dengan dirimu sendiri.” Justeru itu, dengan meluangkan masa untuk diri sendiri adalah salah satu penghargaan untuk diri sendiri, yang dapat meningkatkan rasa cinta terhadap diri seseorang.

Memberi Ganjaran Kepada Diri Sendiri

Dari sudut lain, kita boleh memberikan ganjaran kepada diri sendiri sebagai tanda kita menghargai segala usaha dan penat lelah yang kita telah lakukan. Hal ini demikian kerana kadang kala kita tidak boleh sentiasa berharap bahawa ada mata yang akan melihat akan usaha kita dan memberikan sesuatu yang istimewa untuk kita. Kalau tiada sesiapa yang dapat berbuat sebegitu, maka tidak lain tidak bukan, diri sendirilah yang boleh melakukannya.

Satu contoh yang boleh kita telusuri ialah, seorang pelajar membeli makanan kegemarannya sebagai satu hadiah untuk dirinya kerana dia telah selesai menyiapkan tugasan-tugasan seperti kerja kursus, kuiz dan tesis sebelum tarikh akhir. Justeru itu, walaupun ganjaran itu tidak mahal, tetapi bagi seseorang, itu adalah hadiah yang istimewa, menunjukkan bahawa dia amat menghargai dirinya, lantas dia akan terus menyayangi dirinya.

Menjaga Kesihatan Diri

Jika ditinjau dari aspek lain pula, menjaga kesihatan diri juga merupakan cara kita mencintai diri kita. Mungkin pada pandangan orang lain, benda sekecil ini tidaklah penting, tetapi bagi kita, ia amat penting.

Mempunyai mental yang sihat dapat mengelakkan diri daripada menghidapi masalah mental yang teruk pada masa hadapan nanti. Tamsilnya, penjagaan kesihatan diri meliputi beberapa perkara, yang pertama ialah pemakanan yang seimbang.

Melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang kalorinya, tubuh badan akan menjadi sihat dan segala penyakit kronik seperti diabetes, kanser, darah tinggi dapat dihindari.

Tidur malam selama enam hingga lapan jam juga dapat membantu badan kita mendapat rehat yang secukupnya dan secara tidak langsung, badan akan memperoleh tenaga yang cukup untuk melakukan aktiviti harian dengan baik.

Malah, melakukan aktiviti senaman seperti berjoging, berbasikal, mahupun berjalan kaki, dapat merembeskan peluh yang sihat untuk tubuh kita, di samping berpeluang untuk mengurangkan berat badan, sebagaimana yang selalu diidam-idamkan oleh hampir semua orang yang menginginkan tubuh badan yang kurus dan sihat.

Kesannya, kita akan lebih gembira apabila kita berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Ramai yang tidak suka apabila mereka jatuh sakit, kerana mereka tidak dapat melakukan perkara yang mereka suka, menyebabkan mereka mula mengeluh dengan diri sendiri.

Konklusinya, bermacam-macam cara untuk kita belajar bagaimana untuk mencintai diri sendiri. Jika kamu tidak mahu mencintai diri sendiri hari ini, maka kamu tidak akan boleh mencintai diri kamu pada keesokan hari.

Hal ini kerana, apa jua alasan yang kamu berikan pada hari ini, alasan itu akan tetap bersama dengan kamu pada keesokan hari. Mungkin juga kamu akan memiliki alasan yang sama sepuluh tahun dari sekarang.

Oleh itu, mulalah menyukai diri kamu terlebih dahulu, seperti mana kamu menyukai dan menyayangi ibu bapa kamu, dan orang-orang di sekeliling kamu. Dan janganlah kamu cepat menghukum diri, akibat daripada kamu menilai semua kekurangan pada diri kamu, sebaliknya carilah kelebihan kamu yang dapat memberikan manfaat untuk diri dan orang lain.

Memang benar, apabila kita mencintai diri sendiri, ia mampu memancarkan aura positif terhadap orang sekeliling. Itulah yang menjadi daya tarikan dan keunikan diri kamu.

Tuntasnya, dalam apa jua perkara sekalipun, jangan sesekali lupa untuk sentiasa melakukan setiap perkara, menjadikan yang terbaik dan mencurahkan kasih sayang kepada diri sendiri, kerana dengan cara ini, kita dapat membina kehidupan yang lebih bahagia, bukan setakat untuk diri sendiri, tetapi juga menjamin kesejahteraan hidup bersama keluarga dan orang tersayang.

Penulis; Siti Syazwani Binti Saiful Bahari, pelajar berjurusan Bioteknologi Makanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular