Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKetidaksamaan Hak Antara Jantina

Ketidaksamaan Hak Antara Jantina

Adakah anda pernah membayangkan dunia di mana setiap orang mempunyai hak yang sama rata tanpa mengira jantina mereka?

Seseorang boleh mendefinisikan ketidaksamaan hak antara jantina sebagai syarat undang-undang, sosial, dan budaya di mana pemisahan hak dan martabat wanita dan lelaki ditunjukkan dalam akses mereka yang tidak sama untuk menikmati hak, anggapan masyarakat secara amnya serta budaya stereotaip.  

Secara lebih khusus, terdapat pelbagai jenis ketaksamaan hak antara jantina seperti ketidaksamaan hak dalam pendidikan, ekonomi, dan kehidupan sosial.  Dalam artikel ini, saya hanya ingin mengetengahkan isu ketidaksamaan hak antara jantina dalam bidang ekonomi.

Faktor utama yang menyumbang kepada ketidaksamaan hak antara jantina dalam ekonomi adalah kurangnya kesamarataan hak di tempat kerja. Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam industri seperti syarikat perkilangan atau teknologi, peluang pekerjaan dalam bidang kejuteraaan lebih mudah untuk diisi oleh calon lelaki berbanding calon wanita.

Jikalau seseorang wanita itu berjaya mendapatkan pekerjaan di syarikat seperti itu, masih sukar bagi mereka untuk menaiki tangga karier di ruang yang didominasi oleh kaum lelaki. Lambat laun mereka akan menemui jalan buntu dalam karier mereka.

Hal ini tidak sama untuk kaum lelaki. Peluang untuk mereka terbuka jauh lebih luas dan lebih mudah untuk mereka untuk naik pangkat untuk ke posisi yang lebih tinggi. Pihak majikan bukannya ingin mencipta suasana kerja yang sihat untuk semua pekerja tanpa mengira jantina mereka, malah mereka seringkali membuat generalisasi seperti ‘wanita terlalu emosional untuk menangani tekanan jawatan tinggi’ atau ‘wanita akan menghadapi masalah besar apabila menjawat jawatan tinggi kerana susah untuk menyeimbangkan keluarga dengan tanggungjawab seorang ketua di pejabat kedudukan ‘membuat semua orang beralih pemikiran mereka kepada wanita yang tidak mampu mencapai apa-apa di tempat kerja.

Wanita juga seringkali merasa payah untuk meminta kenaikan gaji mereka. Mereka risau jika dituduh oleh rakan sekerja sebagai tamak atau tidak tahu bersyukur dengan gaji yang diberi oleh majikan mereka. Ini menyebabkan mereka berasa ragu-ragu untuk menyedari nilai sumbangan mereka di tempat kerja.

Tinjauan Glassdoor pada tahun 2016 menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja Amerika tidak merundingkan gaji mereka semasa bekerja dan yang paling terkini, 3 dari 5 (59%) tidak berbuat demikian. Tetapi, apabila dipecahkan mengikut jantina, angka itu lebih mengejutkan.

Wanita kurang berunding berbanding rakan lelaki mereka. 68% wanita bersetuju dan tidak merundingkan upah yang ditawarkan, iaitu jurang 16% berbanding lelaki (52%).

Sekiranya kita meletakkan diri kita pada tempat wanita ini, tidak dapat dinafikan bahawa meminta kenaikan gaji kita tidak akan dianggap sebagai suatu kesalahan besar kerana perbelanjaan setiap keperluan dalam hidup kita sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Bagaimana pula dengan ibu tunggal yang menyara kehidupan keluarga mereka? Adakah mereka tidak dikira sebagai sumber utama rezeki rumah tangga ketika itu? Oleh itu, kenaikan gaji sepatutnya diberi sama rata tanpa mengira jantina.

Berikutan masalah perlakuan tidak adil terhadap wanita di tempat kerja ini, salah satu inisiatif yang perlu diambil untuk menjadikan kesaksamaan jantina dapat dilakukan adalah dengan memberikan layanan yang sama rata bagi semua pekerja di tempat kerja.

Pihak majikan seharusnya memperhatikan prestasi semua pekerja mereka dan menawarkan jawatan tinggi kepada mereka yang benar-benar berkelayakan. Saya tidak memberi saranan untuk mereka mengurangkan jumlah kaum lelaki untuk memegang jawatan penting, tetapi hanya dengan memperlakukan semua pekerja dengan perlakuan yang sama rata tanpa mengira jantina, mereka akan dapat meningkatkan prestasi kerja pekerja mereka terutama wanita.

Malah persekitaran tempat kerja seperti penerimaan rakan sekerja juga penting. Sebilangan rakan sekerja menuduh wanita yang berjaya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi merasuah pihak atasan untuk mendapatkan jawatan mereka sekarang.

Rakan sekerja sebaliknya harus menyokong dan memberi semangat kepada wanita-wanita ini agar mereka bekerja lebih keras untuk memberi lebih banyak sumbangan kepada syarikat. Hanya dengan merubah cara berfikir dan bertindak dapat membawa kesan yang besar dalam mereliasasikan impian untuk mencapai kesetaraan jantina di tempat kerja.

Kesimpulannya, ketidaksamaan jantina dalam sektor ekonomi adalah masalah yang berterusan sehingga kini. Walaupun ini menjadi isu besar dalam masyarakat, masih ada inisiatif yang dapat diambil untuk mengatasi masalah serius ini.

Semua pihak yang terlibat haruslah memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan kesetaraan jantina sebagai sasaran yang dapat dicapai. Tanpa penyertaan setiap orang dalam berusaha menyelesaikan perbezaan jantina, dan hanya bergantung pada mereka yang berkuasa untuk berusaha, kesamarataan hak antara jantina akan menjadi fantasi yang tidak dapat direalisasikan untuk menjadi kenyataan.

Penulis; Aliyya Syahmina bt Mohd Suffian pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular