Thursday, March 28, 2024
HomeArtikelKewajipan Berbakti Kepada Ibu Bapa

Kewajipan Berbakti Kepada Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan dua insan yang telah melahirkan dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Ketika masih berada di dalam kandungan ibu, mereka tidak jemu meluahkan kasih sayang terhadap kita sehinggalah sekarang, malahan mereka berasa sangat teruja menyambut kelahiran kita.

Mereka jugalah yang mendidik dan membimbing kita menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Ini menunjukkan bahawa betapa besarnya jasa dan pengorbanan mereka kepada kita.

Sebagaimana Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Nisan ayat 36 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” 

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah telah memerintahkan semua umat manusia untuk berbakti kepada ibu bapa. Oleh itu, sebagai seorang anak, kita mestilah menunaikan tanggungjawab kita untuk membalas budi baik mereka dengan berbakti kepada mereka. Berikut merupakan antara cara yang boleh kita laksanakan untuk berbakti kepada kedua-dua orang ibu bapa.

8 Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa

1.     Memberi Kasih Sayang

Kasih sayang adalah perkara yang sangat penting dalam sesebuah keluarga. Ia dapat membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni. Tambahan pula, sifat kasih sayang merupakan antara sifat-sifat Allah yang mulia.

Kasih sayang membawa makna yang sangat tidak terbatas. Sejak kita kecil lagi, mereka mencurahkan kasih sayang terhadap kita bagai menatang minyak yang penuh tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Di samping itu, kita sepatutnya mendahulukan cara ini terhadap ibu bapa kerana ia tidak memerlukan usaha yang susah sama sekali.

2.     Memberi Perhatian

Ibu bapa sangat memerlukan perhatian daripada seorang anak, tambahan lagi mereka yang semakin meningkat usia akan lebih mudah sensitif. Mereka akan mudah berasa sunyi ketika bersendirian. Sebagai seorang anak, kita mestilah sentiasa mengambil tahu dan menyedari situasi mereka.

Sekiranya, kita berada jauh daripada mereka, seharusnya kita menelefon mereka untuk bertanyakan khabar atau menceritakan hal-hal kecil kepada mereka. Walaupun ia kelihatan kecil, namun ia sudah dapat mengisi rasa kesunyian mereka. Tambahan lagi, disebabkan pandemik COVID-19, sebagai seorang anak juga tidak terkecuali daripada larangan merentas daerah dan negeri.

Oleh itu, kita boleh menggunakan teknologi terkini untuk menghubungi mereka seperti membuat panggilan secara video (video call). Hal ini dapat mengubati rindu mereka terhadap kita dan tidak berasa kesunyian.

3.     Meluangkan Masa Bersama-Sama

Sebagai seorang anak, kita mestilah menunjukkan komitmen masing-masing walaupun sibuk bekerja atau belajar. Di samping itu, kita perlulah bijak membahagikan dan menguruskan masa tersebut untuk meluangkan masa bersama ibu bapa. Hal ini dapat menghindarkan mereka daripada berasa terpinggir dan kurang perhatian daripada kita. Sebagai contoh, kita meluangkan masa bersama mereka sewaktu hujung minggu dengan membawa mereka makan di restoran atau pun membawa mereka bersiar-siar di tempat rekreasi.

Selain itu, terdapat juga segelintir anak yang sering meluangkan masa mereka di dalam bilik. Hal ini patut dijauhi oleh kita kerana ia akan mengurangkan masa kita bersama ibu bapa. Menonton televisyen bersama juga merupakan satu aktiviti yang dapat kita lakukan bersama mereka.

Di samping itu juga, bagi mereka yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa, mereka hendaklah melawat dan mengunjungi ibu bapa agar ibu bapa berasa senang dan dapat melepaskan rindu terhadap anak mereka. Sebagai anak, kita mestilah mencuri masa untuk menziarahi mereka tidak kiralah dalam masa yang singkat atau pun lama.  

4.     Memenuhi Permintaan

Sebagai ibu bapa, mereka sering memenuhi dan melaksanakan semua permintaan kita dengan tidak rasa jemu melayan kerenah kita ketika kecil. Oleh itu, kita juga hendaklah melakukan perkara yang sama kepada mereka. Permintaan mereka mungkin dalam bentuk fizikal atau mental.

Contoh mudah bagi fizikal adalah, mereka meminta pertolongan kita untuk mengemas rumah. Sebagai seorang anak, kita hendaklah membantu mereka agar dapat mengurangkan beban mereka. Contoh bagi mental pula adalah, mereka ingin kita melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Terdapat segelintir individu yang tidak mahu memenuhi permintaan ini kerana mereka berpikiran bahawa ibu bapa mereka tidak memberikan kebebasan kepada mereka dalam membuat keputusan. Sebaliknya, kita haruslah berfikir dari sudut positif, yang mana ibu bapa hanya mahukan anak mereka berjaya dalam hidup. Oleh itu, selagi permintaan mereka kita dapat penuhi mengikut kemampuan kita, seharusnya kita laksanakannya demi membalas jasa baik mereka.

5.     Bertutur Dengan Lemah Lembut

Cara ini dapat menjaga hati dan perasaan mereka daripada terluka dengan kata-kata kita yang kurang sopan. Ia juga dapat menunjukkan rasa hormat kita terhadap mereka. Di samping itu, Allah SWT juga menyuruh kita untuk menjaga pertuturan terutamanya ketika bersama ibu bapa. Malahan, menengking dan menyergah mereka juga adalah perkara yang dilarang oleh Allah.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’: 23)”

6.     Menyediakan Tempat Tinggal

Perkara ini sesuai bagi kes ibu bapa yang tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai atau pun tidak mampu mendiami di tempat tinggal tersebut. Sudah menjadi kewajipan kita sebagai anak untuk memastikan ibu bapa mendapat tempat tinggal yang selesa.

Terdapat juga anak-anak yang mengambil ibu bapa mereka tinggal bersama mereka. Hal ini perlulah dicontohi kerana ibu bapa berasa lebih selesa tinggal bersama anak mereka sendiri. Kita juga dapat menjaga mereka sendiri lebih-lebih lagi buat ibu bapa yang mempunyai kesihatan yang kurang baik.

Namun begitu, terdapat juga segelintir anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Kebanyakan masyarakat melihat perkara ini dari sudut negatif yang mana menganggap anak itu tidak mahu menjaga ibu bapa mereka lalu mengabaikan mereka dengan menghantar ke pusat rumah orang tua.

Akan tetapi, kita juga perlu mengambilnya dari sudut yang positif. Terdapat anak yang sibuk bekerja dan tidak dapat menjaga ibu bapa mereka sepanjang masa. Demi memastikan keselamatan ibu bapa, mereka menghantarnya ke rumah orang tua kerana di sana terdapat orang yang dapat menguruskan kehidupan mereka.

Di samping itu juga, anak tersebut perlulah sering mengunjungi ibu bapa mereka atau pun membawa mereka bersiar-siar agar ibu bapa mereka tidak berasa mereka terpinggir atau diabaikan oleh anak mereka sendiri.

7.     Menghulurkan Bantuan Kewangan

Cara ini adalah merujuk kepada anak yang sudah mempunyai kewangan sendiri yang mampu membantu ibu bapa mereka dari segi kewangan. Hal ini kerana, setelah berhenti atau bersara daripada kerja berikutan dengan umur yang mereka semakin meningkat, mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk menampung kehidupan seharian. Mereka mungkin mempunyai simpanan sendiri untuk masa hadapan, namun sebagai anak, sanggupkah kita meliha ibu bapa kita hidup dalam keadaan serba kekurangan?

Di samping itu, setiap ibu bapa juga ada memasang niat untuk melaksanakan haji dan umrah bagi menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim. Oleh itu, kita seharusnya menghulurkan duit kita kepada mereka agar dapat mengurangkan sedikit beban mereka untuk keperluan seharian di samping ingin menyimpan untuk masa hadapan.

Namun begitu, ia mestilah selari dengan kemampuan kita. Jumlah yang sedikit juga sudah memadai bagi yang berpendapatan rendah. Walaupun nilai yang sedikit, namun ibu bapa kita sangat menghargainya.

8.     Mendoakan Kebaikan Untuk Ibu Bapa

Amalan membaca doa untuk ibu bapa sudah diterapkan kepada kita semenjak kecil lagi oleh para guru. Antara amalan lain yang boleh dilakukan adalah dengan membaca dan berniat untuk sedekahkan al-Fatihah kepada ibu bapa. Perkara ini boleh dilakukan untuk ibu bapa yang masih hidup atau pun sudah meninggal dunia.

Antara kelebihan berdoa kepada ibu bapa adalah pintu rezeki kita sentiasa terbuka. Ini dibuktikan dengan hadith Rasullah SAW iaitu, “Tidak akan terputus rezeki seseorang anak selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari”. Justeru, kita hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa setiap hari sama ada selepas solat atau pun sewaktu kita sedang melakukan aktiviti seharian.

Dalam surah al-Isra’ ayat 24 yang bermaksud, “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. Allah juga memerintahkan kita untuk sentiasa mendoakan ibu bapa dengan doa tersebut, yang mana kita telah diperkenalkan sejak kecil.

Kesimpulannya, sebagai anak, sudah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk berbakti kepada ibu bapa bagi membalas jasa mereka. Kita juga perlu sentiasa ingat bahawa redha Allah adalah kepada redha ibu bapa. Semakin kita menderhakai mereka, semakin besar balasan yang Allah akan beri sama ada di dunia atau pun akhirat. 

Penulis; Nur Syafiqah Binti Suhaimi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan
RELATED ARTICLES

Most Popular