Thursday, June 30, 2022
HomeArtikelKomuniti Rukun Tetangga Dapat Membendung Kes Jenayah?

Komuniti Rukun Tetangga Dapat Membendung Kes Jenayah?

Apakah itu rukun tetangga? Adakah rakyat Malaysia mengetahui fungsi sebenar rukun tetangga dan juga kepentingannya?

Rukun tetangga merupakan sebuah kumpulan penduduk yang tertumpu di suatu kawasan perumahan dan juga diketuai oleh salah seorang ahli kumpulan tersebut. Menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, rukun tetangga merupakan model transformasi bagi pelaksanaan program dan aktiviti berlandaskan lima teras iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Rukun tetangga juga merupakan salah satu program secara sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam keamanan masyarakat setempat di Malaysia. Namun begitu, menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, rukun tetangga juga bermaksud untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadian-kejadian yang menggugat perpaduan nasional dalam erti kata lain “kawasan panas” iaitu kawasan yang menjadi tumpuan kes jenayah seperti ragut, pecah rumah dan rogol. Hal ini menyebabkan, masyarakat akan hidup dalam keadaan ketakutan dan trauma.

Seterusnya, memberikan kesan kepada individu tersebut sehingga menjejaskan aktiviti hariannya. Jika sebelum ini seseorang itu hidup dalam keadaan yang gembira atau aman malah boleh bersosial dengan orang sekeliling, tetapi selepas berlakunya kejadian yang tidak diingini seseorang itu akan menjadi takut atau trauma untuk keluar rumah.

Perkara ini akan membawa kepada masalah yang lebih teruk iaitu kemurungan. Oleh itu, tanggungjawab komuniti rukun tetangga untuk menghindari kejadian sebegitu sangat penting agar penduduk setempat tidak mengalami pengalaman yang menyebabkan mereka trauma seumur hidup.

Contohnya sebagaimana yang diketahui, sudah dua tahun kita berada di rumah akibat daripada penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan ramai di antara kita yang terkesan dengannya. Antaranya, ada di antara kita dibuang kerja. Ini menyebabkan secara tidak langsung kadar pengangguran di Malaysia turut meningkat.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020. Malah, pada Mei 2021 kadar pengangguran menurun kepada 728,100 ribu orang bersamaan dengan 4.5 peratus.

Kadar pengangguran yang tinggi telah menyebabkan kadar tekanan hidup dan kadar jenayah meningkat. Rakyat yang mengalami situasi tersebut akan berasa tertekan terutama bagi mereka yang mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga dari segi aspek kewangan. Disebabkan itu, ada di antara mereka terpaksa merompak atau mencuri di sekitar kawasan kediaman perumahan mahupun di kedai atau pasaraya. Jelas bahawa, kesan wabak Covid-19 kepada rakyat Malaysia sangat besar sehingga menjejaskan keselamatan masyarakat lain dan kesihatan mental.

Disebabkan itu, kewujudan rukun tetangga sangat penting kerana rukun tetangga dapat menjamin kesejahteraan rakyat. Mengapakah rukun tetangga dapat menjamin kesejahteraan rakyat?  Ini kerana, anggota rukun tetangga merupakan wakil daripada kejiranan kawasan tersebut yang telah saling mengenali antara satu sama lain. Mereka juga sering mengambil berat terhadap penduduk kawasan setempat tidak kira sama ada sewaktu pandemik ataupun tidak.

Jelaslah bahawa, komuniti rukun tetangga ini bukan hanya diperlukan sewaktu pandemik malah kekal selama-lamanya demi menjamin kesejahteraan penduduk setempat. Disebabkan itu, kerajaan sangat mengesyorkan rakyat Malaysia untuk menyertai komuniti rukun tetangga.

Selain itu, komuniti rukun tetangga dapat mengeratkan hubungan di antara masyarakat yang berbilang agama, kaum dan bangsa seperti yang dituntut dalam Islam. Berdasarkan firman Allah SWT di dalam Al-quran surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Jelas sekali, bahawa rukun tetangga mengajar masyarakat tentang kebaikan yang harus kita lakukan seperti saling bantu-membantu di antara satu sama lain dalam erti kata lain berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Islam mengajar kita berbuat baik dan melarang kita untuk melakukan perkara keji seperti mengabaikan jiran agar kehidupan kita berada dalam keadaan aman dan harmoni. Sebagai contoh, terdapat seorang di kawasan kejiranan kita ditimpa masalah iaitu dia di buang kerja sehingga wang simpanannya juga habis kerana hampir setahun tidak bekerja dan jumlah wang simpanannya juga tidak banyak akibat daripada membayar bil, yuran dan perbelanjaan makanan. Maka, anggota rukun tetangga akan membantu dari segi aspek makanan harian dan sedikit wang saku malah bukan anggota rukun tetangga sahaja yang boleh membantu akan tetapi seluruh kawasan kejiranan tersebut juga boleh membantu jiran mereka yang ditimpa kesusahan.

Hasil daripada kewujudan komuniti rukun tetangga ini maka lahirlah sifat tanggungjawab dan sifat tolong-menolong di dalam setiap individu. Itulah fungsi sebenar rukun tetangga yang diidamkan oleh kerajaan Malaysia.

Pada kebiasaannya, anggota rukun tetangga akan melakukan rondaan pada setiap malam dan dilakukan secara bergilir-gilir. Rondaan yang dilakukan ini untuk memastikan kawasan mereka itu terhindar daripada perkara yang tidak diingini. Komuniti rukun tetangga boleh mengesyorkan dan mengambil beberapa langkah yang perlu atau wajar bagi membolehkan penduduk melindungi diri mereka daripada apa-apa aktiviti jenayah.

Ketika di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan bahawa kadar kes jenayah menurun kepada 70 peratus kerana rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali jika perlu seperti faktor kesihatan atau membeli barang keperluan rumah. Namun begitu selepas diberi sedikit kelonggaran daripada kerajaan pada Jun tahun lalu, telah menyebabkan kejadian jenayah mula aktif Kembali. Hal ini menyebabkan banyak kes rompakan di rumah mahupun di kedai berlaku.

Oleh itu, dengan rondaan yang dilakukan oleh anggota rukun tetangga dapat mengurangkan kes jenayah kerana penjenayah sudah semestinya takut untuk ‘beraksi’ kerana mereka pasti akan tertangkap oleh anggota rukun tetangga

Sebagai kesimpulannya, komuniti rukun tetangga sememangnya diperlukan bagi membendung kes jenayah. Di samping itu ia dapat menyatupadukan rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan budaya. Komuniti rukun tetangga juga dapat mendidik kita terutamanya dari segi aspek sosial dan keselamatan. Oleh itu, rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti hari ini.

Perpaduan memajukan Negara.

Penulis; Wardah binti Rahim, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dengan Komunikasi, USIM

Sumber

  1. Al-Quran
  2. https://www.sinarharian.com.my/article/118520/BERITA/Semasa/Kadar-pengangguran-meningkat-kepada-48-peratus-pada-November-2020
  3. https://www.jpnin.gov.my/ms/komuniti/rukun-tetangga
  4. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkp-kes-jenayah-turun-70-peratus-di-seluruh-negara-235135
  5. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2021/7.%20Julai/TENAGA%20BURUH%20MEI%202021-COMBINE.pdf
RELATED ARTICLES

Most Popular