Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKonflik Kewangan, Pemusnah Kebahagiaan Keluarga

Konflik Kewangan, Pemusnah Kebahagiaan Keluarga

Konflik dan keluarga sememangnya berpisah tiada. Kewangan sering kali menjadi punca kebahagiaan dan keruntuhan sesebuah keluarga. Mengapa? Keluarga merupakan sebuah institusi penting yang membentuk sebuah masyarakat manusia yang sempurna. Pengkaji dan penyelidik dari pelbagai bidang penyelidikan mengutarakan definisi yang berbeza mengikut kefahaman dan ideologi mereka.

Menurut (Safrudin, 2015:15) keluarga merupakan suatu kumpulan sosial yang berkongsi tempat tinggal, mempunyai kerjasama ekonomi dan disatukan oleh ikatan perkahwinan yang dipersetujui secara sosial dan saling berinteraksi antara satu sama lain mengikut peranan sosial masing-masing. Ernest W. Burgess dan Harvey J. Locke (1971:7) mentakrifkan keluarga sebagai kehidupan yang sekurang-kurangnya terdiri daripada dua orang yang mempunyai pertalian darah, perkahwinan atau anak angkat yang mana berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain dalam anggota keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa, datuk, nenek, adik-beradik, cucu dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa menjejaki gerbang mahligai perkahwinan dan memulakan keluarga baharu merupakan perkara yang mengujakan.

Kewangan merujuk kepada pengurusan wang dan proses memperoleh dana yang diperlukan untuk menjalani kehidupan harian. Telah menjadi tanggungjawab kaum Adam iaitu lelaki untuk mencari nafkah bagi memenuhi keperluan keluarganya.

Dalam membina kehidupan berkeluarga yang lebih sistematik, perancangan dan persiapan yang lengkap diperlukan sebelum mereka berani mengambil risiko, menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri, terutamanya dari segi kewangan. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang konflik dalam hal ehwal kekeluargaan misalnya konflik kewangan yang mampu meruntuhkan mahligai rumah tangga yang terbina.

Namun begitu, peningkatan trend perceraian saban tahun dilihat semakin membimbangkan. Sebagai bukti, menurut Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sejumlah 45,420 kes perceraian dalam kalangan umat Islam telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021. Antara faktor utama berlakunya peningkatan kadar perceraian di Malaysia adalah disebabkan konflik kewangan yang meregangkan hubungan suami isteri sama ada yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama mendirikan rumah tangga.

Sejak dunia ditimpa dengan musibah pandemik Covid-19 pada akhir tahun 2019, kes penceraian yang didaftarkan menunjukkan peningkatan yang amat ketara. Punca utama keruntuhan kebanyakan rumah tangga berlaku pada era pandemik mahupun endemik adalah kekangan ekonomi akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Adalah benar bahawa banyak syarikat, kilang, hotel dan sebagainya terpaksa diberhentikan pengoperasiannya sepanjang musim pandemik bagi membendung penyebaran wabak Covid-19. Hal ini telah menyebabkan ramai yang dihentikan kerja dan hilang pekerjaan apabila banyak industri yang terjejas sehingga gulung tikar dan muflis.

Keadaan ini mengakibatkan keluarga berpendapatan rendah khususnya mereka yang terdiri daripada kumpulan M40 dan B40 tertindas dan hilang arah. Hal ini demikian kerana tiada perancangan kewangan yang baik dan tidak membuat simpanan kecemasan sebagai persiapan menghadapi sebarang kejatuhan ekonomi kerana sesungguhnya malang itu tidak berbau dan kita perlulah sentiasa menyediakan payung sebelum hujan untuk mengharungi masalah tersebut.

Seterusnya, pengurusan kewangan keluarga adalah penting bagi melihat perancangan perbelanjaan dengan lebih jelas dan terperinci. Sudah menjadi lumrah kehidupan untuk melindungi diri sendiri dan keluarga tersayang daripada perkara-perkara yang tidak diingini pada masa akan datang.

Oleh hal yang demikian, penetapan bajet dan berbelanja mengikut lingkungan bajet tersebut menjadi asas kepada pengurusan kewangan keluarga yang terancang. Berlaku retakan dalam hubungan kekeluargaan kerana pasangan suami isteri gagal bertindak sedemikian di mana mereka berbelanja melebihi jumlah pendapatan malah sehingga menggunakan simpanan mereka untuk kepuasan masing-masing. Sebagai contoh, si suami membeli kenderaan mewah dan si isteri menggayakan jenama fesyen yang terkenal dan mahal semata-mata untuk mengikut trend walaupun mereka sedar ianya di luar kemampuan.

Keadaan ini mendorong kepada perbalahan antara pasangan dan berlaku ketidaksefahaman yang merumitkan lagi konflik sedia ada. Akibatnya, kegagalan mengurus kewangan keluarga menyebabkan beban hutang semakin menggunung tinggi, sekali gus mendatangkan tekanan kepada ahli keluarga dari segi fizikal mahupun mental.

Konflik kewangan yang berlaku dalam sesebuah keluarga menyumbang kepada tekanan emosi dan hilang kawalan diri. Rentetan tekanan ini menyebabkan keganasan dan penderaan fizikal serta emosi pasangan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan daripada Datuk Seri Rina Mohd Harun, Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bahawa sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan pada tahun 2021 iaitu 42% lebih tinggi berbanding jumlah kes yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Menurut (Simister, 2012), keganasan rumah tangga boleh didefinisikan sebagai keganasan atau penyalahgunaan kuasa seseorang terhadap yang lain dalam suasana domestik misalnya perkahwinan yang melibatkan perhubungan jenis heteroseksual secara dominannya merupakan serangan lelaki terhadap wanita.

Selari dengan itu, majoriti mangsa yang terlibat dalam keganasan antara pasangan adalah terdiri daripada golongan wanita (Ellsberg & Heise, 2005). Tidak berhenti di situ, keganasan rumah tangga juga boleh melibatkan golongan kanak-kanak, ibu bapa, atau orang tua. Sebagai contoh, ibu bapa menggunakan keganasan fizikal terhadap anak-anak untuk melepaskan kemarahan atau tekanan akibat beban hutang yang tidak terkawal dengan tanggapan bahawa keganasan itu adalah cara mereka mendidik anak agar tidak berakhir menjadi penghutang seperti mereka pada masa akan datang.

Keluarga muda sering terjerumus kepada permasalahan hutang akibat kelalaian mengurus kewangan sehingga ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram atau ‘Ah Long’ tanpa berfikir panjang kerana kadar bunga yang dikenakan adalah sangat tinggi. Mengikut kajian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), terdapat peningkatan aduan kes Ah Long sebanyak 40% kerana kegagalan pengurusan kewangan keluarga secara berhemah.

Beban hutang yang melampau boleh mendorong kepada pelbagai bentuk keganasan termasuk penderaan fizikal, lisan, emosi, seksual, paksaan kepada perkosaan perkahwinan dan penyalahgunaan fizikal yang ganas seperti memukul, mutilasi alat kelamin wanita dan sebagainya. Kesemua tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini boleh mendatangkan impak negatif contohnya kecederaan, kematian, dan gangguan psikologikal yang boleh menghancurkan kebahagiaan rumah tangga yang sedia ada.

Secara kasarnya, dapat dilihat dengan jelas bahawa konflik kewangan menjadi punca utama yang menjerumus kepada keruntuhan atau kehancuran kebahagiaan rumah tangga. Jika kewangan keluarga dirancang dan diuruskan dengan baik, perselisihan faham, masalah tekanan emosi dan penceraian dapat dielakkan. Kegiatan lafaz talak dan cerai menjadi zikir harian perlulah dibendung bagi memastikan kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia kerana keluarga merupakan salah satu struktur masyarakat yang terpenting dalam membina masa depan negara yang lebih cerah.

Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi konflik kewangan yang tidak terkawal dalam hubungan kekeluargaan, setiap pasangan suami isteri perlu menyertai kursus perkahwinan yang lebih komprehensif untuk menimba pengetahuan yang lebih luas berkaitan pengurusan kewangan dan pendidikan rumah tangga sekurang-kurangnya setahun sekali.

Mereka juga boleh menghadiri sesi kaunseling secara atas talian mahupun secara bersemuka untuk mengawal emosi. Institusi kerajaan dan swasta turut mengambil insentif untuk membendung masalah ini dengan melaksanakan program psikopendidikan melalui DeStress Clinic, Klinik Undang-Undang, Wanita Antijenayah dan program Sukarelawan Skuad Waja sejak tahun 2021.

Sebagai rumusannya adalah amat penting untuk kita berhemah dalam menguruskan kewangan keluarga bagi masa depan anak-anak dan diri sendiri. Setiap perbelanjaan, baik kecil atau besar, haruslah dibuat berdasarkan kesejahteraan dan kestabilan kewangan keluarga.  Ini kerana kebahagiaan tidak bersandar pada harta, kedudukan mahupun wang ringgit. Sebaliknya, kebahagiaan adalah kesederhanaan yang dapat memberikan ketenangan minda berpanjangan terutamanya dari segi kewangan. Kesimpulannya, kerjasama dan kesefahaman antara pasangan memainkan peranan yang penting dalam mendirikan keluarga bahagia yang bebas daripada sebarang konflik yang boleh menghancurkan mahligai kasih yang terbina bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Penulis;

1. Farhana Farwien binti Farok  – Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

2. Dr. Velan Kunjuraman – Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular