Wednesday, January 22, 2025
HomeArtikelKufur Nikmat Punca Hilang Kebahagiaan Hati

Kufur Nikmat Punca Hilang Kebahagiaan Hati

Manusia diciptakan mempunyai sifat tidak puas akan sesuatu keinginan sama ada dari segi harta, rupa paras, ilmu mahupun pangkat yang mendorong mereka mencapai sesuatu kemahuan mengikut hawa nafsu semata.

Hal ini telah di nyatakan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud; “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih.

Sifat ini boleh membawa kepada kufur nikmat jika tidak diuruskan dengan baik di mana seseorang itu tidak berasa syukur akan sesuatu hal yang didapati bahkan sentiasa mengeluh dan mencari kesempurnaan dalam kehidupannya.

Mereka tergolong daripada orang yang tidak mengakui secara langsung atau tidak langsung bahawa segala nikmat itu hakikatnya datang daripada Allah yang maha pemberi rezeki. Sifat kufur ini menggambarkan sombongnya manusia itu kepada Penciptanya yang sekadar menginginkan keseronokan dunia dan tidak sedar hakikat syukur yang sebenar.

Kufur nikmat juga boleh membawa manusia jauh merasai ketenangan hati. Ini kerana, sifat kerakusan manusia sendiri dalam mendapatkan nikmat hanya sekadar untuk mengejar dan mencapai satu kepuasan hati yang tidak kesudahan.

Kesannya, golongan ini akan sentiasa meraih perhatian dan pujian manusia. Hidup mereka juga hanya melihat kepada fizikal dan zahir sahaja. Tidak hairanlah terdapat segelintir manusia di dunia ini yang mengambil tindakan yang luar biasa mengubah rupa paras secara ekstrem mengikut cita rasa mereka.

Kufur nikmat juga boleh membawa manusia kepada ketidakwarasan dalam tindakan mereka. Segala nikmat yang diberi menjadikan mereka lalai dan lebih jauh daripada Allah. Kehidupan mereka tertumpu pada pandangan manusia yang bersifat fana yang membuatkan seseorang itu mudah putus harapan dan mengalah kepada kehidupan.

Persoalannya, adakah kita tergolong daripada orang yang kufur akan nikmat? Atau adakah kita ini cukup bersyukur dengan nikmat yang diberi olehnya?

Oleh itu, kita sebagai muslim diwajibkan untuk sentiasa bermuhasabah menjadi lebih baik daripada hari ke hari. Hakikatnya, Allah menyediakan terlalu banyak nikmat di dunia ini. Seperti firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 20 yang bermaksud “dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?.”

Bermula kita buka mata daripada tidur merupakan satu nikmat yang besar dariNya. Percayakah anda bahawa pasti seseorang itu lebih menghargai sesuatu jika dia kehilangan sesuatu walau sebentar. Seperti contoh apabila seseorang itu sakit mereka terbatas melakukan sesuatu perkara yang membuatkan mereka lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan.

Disebabkan itu, kita sepatutnya mensyukuri segala nikmat daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Kehidupan kita juga perlu bergantung pada maha Pencipta yang memberi segalanya.

Hati juga perlu dididik untuk rendah hati atas segala sesuatu. Mempunyai kemewahan bukan satu kesalahan jika ianya seiring dengan sifat syukur dan menggunakan segala rezeki yang dikurniakan dengan bermanfaat.

Ini akan membawa hidup kita lebih tenteram dan memandang sesuatu perkara dengan hikmah dan bersangka baik dengan Pencipta kita selain dapat merasakan kasih sayang Allah yang maha agung. Seperti hadis nabi SAW yang menerangkan kasih sayang Allah yang bermaksud;

Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada disisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku” hadis riwayat al-Bukhari.

Cara kita menzahirkan kesyukuran bukanlah sekadar mengucapkan kalimah “Alhamdulillah” semata-mata dalam seharian kita. Kita juga boleh menzahirkannya melalui beribadah kepada Allah dan melaksanakan perbuatan yang diperintah dan mencegah segala kemungkaran.

Bahkan kita juga digalakkan menggunakan dan memanfaatkan rezeki dan kelebihan nikmat ke jalan yang benar. Seperti contoh, mereka yang dikurniakan nikmat harta yang banyak dan pangkat yang tinggi mendermakan harta dan kuasa mereka membantu orang yang kurang berkemampuan sebagai tanda bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Kesannya, kita akan sentiasa menganggap pandangan manusia bukanlah untuk dikejar dan tiada nilai padanya melainkan pandangan dan keredaan Allah kepada kita untuk kehidupan seterusnya. Ini kerana, Allah melihat hamba-Nya hanya kepada amalan mereka dan bukan pada zahir semata.

Manusia yang bersyukur juga akan merasakan setiap ujian yang hadir bukanlah ujian yang menyusahkan akan tetapi hadiah untuk kita sentiasa dekat dengan-Nya yang hakikatnya seseorang itu akan mencapai ketenangan hati.

Kesimpulannya, kufur nikmat perlu dijauhi daripada setiap individu. Jika kita rasa banyak kekurangan dalam kehidupan ini, lihatlah mereka yang lebih susah daripada kita agar lahir sikap sentiasa bersyukur. Lahirkanlah rasa syukur dalam diri kerana rasa cukup dengan kehidupan akan hadir. Seperti janji Allah dalam Al-quran, surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras“.

Bersyukur bukan satu hal yang merugikan bahkan ianya sangat berguna untuk diri kita.

Penulis; Nurul Afina Binti Kamarul Azhar pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jurusan Perbankan dan Kewangan Islam.
RELATED ARTICLES

Most Popular