Kita telah melangkau tahun 2021, namun masih ada lagi yang tidak membaca label pada bungkusan makanan sebelum membeli makanan tersebut. Ia adalah suatu perkara yang sangat penting untuk membaca dan menyemak label pada paket makanan untuk mengelakkan penipuan dalam makanan. Apakah itu penipuan dalam makanan?
Kebiasaannya kita hanya terdengar tentang penipuan tentang pancingan suara melalui panggilan di telefon atau dikenali sebagai ‘Voice Phishing Scam’. Umum telah mengetahui bahawa perbuatan keji tersebut berlaku dengan berleluasa diseluruh dunia dan sangat ditakuti oleh masyarakat.
Tidak berbeza dengan ‘Voice Phishing Scam’, penipuan pada label makanan juga mengundang mudarat kepada diri kita, terutamanya sistem badan kita. Penipuan dalam makanan adalah apabila bahagian depan bungkusan makanan mempunyai dakwaan yang berlainan dengan label makanan di belakang bungkusan makanan. Contohnya, terdapat satu produk pada bungkusannya mendakwa bahawa makanan tersebut mempunyai rendah lemak dan kurang gula.
Namun, apabila melihat pada label makanan di belakang, ternyata kandungan lemak dan gulanya sama dengan makanan yang berjenama lain namun tidak mempunyai apa-apa dakwaan pada bungkusan tersebut, malah mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi berbanding makanan yang tidak mendakwa apa-apa.
Ramai orang telah cakna dengan kuantiti pengambilan makanan dan pemilihan makanan yang sihat, oleh itu industri makanan juga telah mengatur strategi untuk mengikut keinginan pelanggan. Mereka mengubah dan menaik taraf bungkusan produk mereka sesuai keinginan pelanggan iaitu membeli makanan yang mempunyai tinggi nutrisi.
Namun, sayang sekali kerana pengguna telah tertipu dengan dakwaan dan iklan yang terdapat pada bungkusan depan produk makanan atau minuman tersebut. Kerana itulah, pentingnya membaca label makanan. Sebelum membeli sesuatu makanan atau minuman, semak label makanan di belakang bungkusan terlebih dahulu.
Berikut adalah perkara yang perlu disemak sebelum membeli sesuatu produk makanan:
1. Daftar Kandungan Bahan
Pertama sekali, baca daftar kandungan bahan dalam pembuatan produk tersebut. Daftar bahan disusun mengikut jumlah bahan itu digunakan daripada paling banyak kepada paling sedikit. Ini bermakna yang paling atas atau yang pertama sekali disebut adalah bahan yang paling banyak digunakan dalam pembuatan makanan tersebut.
Walaupun sesuatu makanan tersebut dilabel sebagai makanan yang sihat dan umum mengetahui bahawa makanan itu mempunyai kandungan serat yang tinggi, periksa dahulu daftar kandungan bahannya.
Kemudian, lihat bahan apa yang paling banyak digunakan dan hakimi sendiri baik atau tidak jika bahan itu yang paling banyak digunakan. Jika dalam daftar tersebut gula adalah yang pertama, maka berhati-hatilah.
2. Fakta Nutrisi
Kedua, adalah untuk melihat fakta pemakanan. Melalui fakta pemakanan, seseorang boleh mengetahui kandungan pemakanan, saiz hidangan, dan kalori dalam sesuatu produk makanan. Sebagai contoh, jika terdapat produk yang meletakkan dakwaan ‘kurang gula’ di bungkusannya, maka periksa fakta nutrisinya dan bandingkan dengan makanan yang sama tetapi berlainan jenama yang tidak mempunyai sebarang “claim” atau dakwaan.
Sekiranya produk tanpa claim mempunyai jumlah gula yang serupa, kita telah ditipu oleh produk dengan claim ‘kurang gula’. Selain itu, jika sesuatu produk claim mempunyai rendah lemak dan sebagainya, mungkin kandungan bahan yang lain lebih banyak atau lebih tinggi.
Ini adalah kerana, syarikat pengeluar makanan perlu memodifikasi makanan mereka untuk jadi lebih sedap walaupun lemak telah dikurangkan, maka mereka akan menambah bahan lain dengan banyak untuk menyeimbangkan rasa yang telah hilang.
3. Logo Halal
Di samping itu untuk Muslim, perkara yang paling penting adalah untuk memeriksa label halal pada bungkusan makanan. Sesuai dengan firman Allah S.W.T tentang makan makanan yang halal di dalam kitab suci Al-Quran, Surah Al-Baqarah Ayat 168:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ كُلُوْا مِمَّا فِى الْاَرْضِ حَلٰلًا طَيِّبًا ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Pastikan makanan yang hendak dibeli mempunyai logo halal yang sah. Pembeli perlu membezakan antara logo halal yang sah atau logo halal palsu. Ini kerana, terdapat banyak pengeluar makanan yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang dengan meletakkan logo halal palsu pada produk mereka.
Di Malaysia, kita hanya mempunyai satu logo halal rasmi iaitu dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Selain itu, logo halal dari negara lain yang telah diiktiraf oleh JAKIM juga adalah sah.
Namun begitu, masih terdapat banyak produk yang menggunakan logo halal palsu. Ini kerana pensijilan halal tidak diwajibkan kepada pengeluar makanan. Terpulang kepada syarikat pengeluar makanan tersebut untuk memohon sijil halal atau tidak. Kesannya, logo halal palsu masih digunakan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain menggunakan logo halal palsu, terdapat sebilangan syarikat pengeluar makanan yang licik dan tidak jujur menggunakan cara yang salah untuk memasarkan produk mereka dan menipu pelanggan. Mereka menggunakan perkara yang berkait dengan Islam pada pembungkusan produk. Contohnya seperti ikon tangan membaca doa dan menggunakan nama Islam atau Muslim seperti Ahmad, Masjid dan Sunnah.
Namun, setelah diperiksa produk tersebut tidak mempunyai logo halal. Alangkah sedihnya jika muslim tertipu. Maka, sebagai Muslim kita seharusnya lebih cakna semasa membeli sesuatu produk. Janganlah pula sudah terhantuk baru tengadah, sudah tertipu baru mahu beringat. Sekarang, ramai masyarakat yang telah sedar untuk memeriksa label pada produk penjagaan kulit mereka. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang sedar untuk memeriksa label makanan.
Oleh itu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak dengan memeriksa label makanan sebelum membeli sesuatu produk. Ini adalah kerana, makanan yang kita makan akan diproses dalam badan kita yang berharga dan akan digunakan sepanjang hayat kita. Sebelum sesuatu yang buruk berlaku pada badan kita, bukankah lebih baik jika kita sediakan payung sebelum hujan?
Penulis; Nuha Aqilah binti Zulkifli, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Rujukan:
Being fooled at the supermarket? 20 Claims on Food Labels Exposed! – Family Wellness HQ. (2012, December 20). Retrieved June 16, 2021, from Family Wellness HQ website: http://familywellnesshq.com/being-fooled-at-the-supermarket-20-claims-on-food-labels-exposed/
Link, R. (2020, September 28). All You Need to Know About the New Nutrition Facts Label. Retrieved June 16, 2021, from Healthline website: https://www.healthline.com/nutrition/new-nutrition-facts-label-2020#bottom-line
Osman, Suraiya & Jalil, Abdullaah & Ab Rahman, Suhaimi. (2020). MISUSE OF ISLAMIC ATTRIBUTES IN FOOD PRODUCTS LABELLING AND MARKETING IN MALAYSIA. 59-67.
Shanker, D. (2014, June 3). 12 Ways Food Companies Pretend Your Snacks Are Healthy. Retrieved June 16, 2021, from BuzzFeed website: https://www.buzzfeed.com/deenashanker/health-claims-to-ignore-at-the-supermarket