Menghayati gaya hidup yang sihat bermula dengan membuat pilihan yang sihat setiap hari. Menambah makanan yang kaya nutrisi ke dalam diet anda, meluangkan masa untuk bersenam secara berkala sepanjang minggu, dan memberi tumpuan kepada kesihatan mental merupakan antara langkah awal untuk memulakan kehidupan yang lebih sihat dan gembira.
Di sini, telah disenaraikan panduan dan nasihat daripada pakar-pakar, yang menawarkan panduan untuk meningkatkan kesihatan fizikal, mental, dan emosi anda. Sebaik sahaja anda telah membaca artikel ini, anda akan bersedia untuk memulakan perjalanan menuju ke arah perubahan gaya hidup yang lebih baik.
1. Membuat Matlamat Kesihatan Yang Spesifik
Anda boleh cuba untuk membuat matlamat kesihatan yang spesifik dan boleh dilaksanakan untuk meningkatkan keadaan kesihatan anda. Apabila anda mempunyai matlamat yang spesifik untuk dicapai, anda akan lebih bermotivasi untuk menjalankan perubahan gaya hidup yang sihat. Cuba untuk menganalisis bahagian mana dalam gaya hidup anda yang perlu diperbaiki, antaranya dari segi kecergasan fizikal, pemakanan, kesihatan mental dan lain-lain.
2. Makan Dengan Baik
Pilih pilihan makanan yang berkhasiat dan tetapkan diet seimbang. Memang tidak dapat dinafikan bahawa mengamalkan diet sihat adalah penting dalam mencapai gaya hidup yang sihat secara menyeluruh. Dengan mematuhi pelan pemakanan yang berkhasiat, anda dapat mengurangkan risiko obesiti, penyakit jantung, diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, dan beberapa jenis kanser.
Selain itu, pemakanan yang sihat juga boleh memberi kesan baik terhadap emosi dan menyumbang kepada kebahagiaan secara keseluruhan. Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan:
- Makanlah pelbagai buah-buahan misalnya epal, oren dan mangga.
- Selitkan pelbagai jenis sayuran yang berwarna-warni dalam hidangan anda, termasuk ubi keledek, bayam, dan lada.
- Pelbagaikan sumber protein anda dengan daging tanpa lemak, ayam, taufu, telur, makanan laut, dan kacang-kacang.
- Pilihlah produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak seperti susu, keju, dan yogurt.
- Gunakan minyak yang sihat ke dalam diet anda, seperti minyak sayuran, minyak zaitun dan minyak dari kacang.
3. Minum Air Putih Secara Mencukupi
Berusahalah untuk mengekalkan hidrasi yang mencukupi sepanjang hari. Seperti makanan yang berkhasiat, air memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan tubuh anda. Air membantu dalam proses penghadaman, mengekalkan tahap kelembapan badan anda, dan membuang toksin dari sistem badan anda. Disyorkan bagi orang dewasa untuk mengambil kira-kira 13 cawan ataupun sekitar 3.1 L air setiap hari untuk memastikan hidrasi yang mencukupi (keperluan air ini boleh berbeza bergantung kepada faktor-faktor seperti umur, berat badan, persekitaran, dan tahap aktiviti fizikal).
Selain itu, minuman dan makanan lain yang mengandungi kandungan air yang tinggi seperti beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, turut menyumbang kepada pengambilan air harian anda. Elakkan mengambil minuman bergula seperti minuman bergas, jus buah, dan minuman tenaga. Antara tanda-tanda kekurangan air dalam badan bagi orang dewasa termasuk kencing yang kurang kerap, air kencing berwarna gelap, keletihan dan pening.
4. Melaksanakan Senaman
Cari apa-apa aktiviti fizikal yang membawa kegembiraan kepada anda. Kelebihan kekal aktif secara fizikal adalah banyak. Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang berkala mengurangkan risiko penyakit seperti strok dan tekanan darah tinggi, membantu dalam pengurusan berat badan, meningkatkan fungsi kognitif, dan menyumbang kepada keseluruhan kesejahteraan mental.
Pakar kesihatan mengesyorkan agar orang dewasa melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik yang intensitinya sederhana atau 75 minit aktiviti aerobik yang intensitinya tinggi setiap minggu. Aktiviti aerobik intensiti sederhana merangkumi berjalan cepat, berbasikal dan menari. Manakala, aktiviti aerobik intensiti tinggi termasuk berjoging, berlari, berenang, dan terlibat dalam sukan seperti bola keranjang atau bola sepak.
Selain daripada senaman aerobik, gabungkan aktiviti menguatkan otot ke dalam rutin anda dua kali seminggu, dengan menumpukan kepada kumpulan otot utama seperti kaki, pinggul, belakang, perut, dada, bahu, dan lengan. Memiliki rakan senaman boleh meningkatkan motivasi dan membuat senaman lebih menyeronokkan.
5. Dapatkan Kualiti Tidur Yang Baik Dan Mencukupi
Usaha untuk mencapai sekurang-kurangnya 7 jam tidur yang berkualiti setiap malam. Tempoh tidur yang mencukupi menyumbang kepada fungsi imuniti badan yang lebih baik, memberi penumpuan yang lebih baik di siang hari, mampu mengawal berat badan, dan memberi emosi yang baik dan stabil. Bagi kebanyakan dewasa, sekurang-kurangnya 7 jam tidur berkualiti adalah penting, manakala kanak-kanak memerlukan antara 8 hingga 13 jam bergantung kepada umur mereka.
Melaksanakan strategi-strategi ini dapat membantu meningkatkan kualiti tidur anda:
- Menjaga jadual tidur yang konsisten untuk memastikan corak tidur yang tetap
- Tidur dalam bilik gelap, sunyi, dengan suhu yang selesa
- Mengelakkan makanan berat atau kafein sebelum waktu tidur
- Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal pada siang hari
- Mengawal masa penggunaan skrin dan mengelakkan penggunaan elektronik sebelum waktu tidur
6. Menenangkan Diri Anda
Cuba libatkan diri anda dalam aktiviti yang menenangkan untuk mengurangkan tekanan ataupun nama lainnya stress. Aspek lain yang penting dalam mengekalkan gaya hidup yang sihat melibatkan pengurangan tahap tekanan. Tekanan boleh menyumbang kepada gejala fizikal seperti sakit kepala, sakit dada, dan keletihan, di samping memberi perasaan gelisah dan mudah marah.
Selain bersenam, mendapatkan tidur yang mencukupi, dan makan dengan baik yang dapat membantu mengurangkan tekanan, meluangkan masa setiap hari untuk aktiviti yang memberi ketenangan juga harus dipertimbangkan kepentingannya. Antara aktiviti yang boleh anda buat:
- Meluangkan masa untuk hobi, seperti menulis diari atau mendengar muzik
- Membaca buku
- Meluangkan masa berkualiti dengan rakan, keluarga, atau pasangan anda
- Meluangkan masa di luar seperti melihat alam semula jadi
- Menjaga dan bermain dengan haiwan kesayangan
Secara kesimpulannya, kita dapat melihat akan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian, termasuk pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal yang mencukupi, tidur yang berkualiti, pengurangan tekanan, dan mengambil masa untuk berehat dan bersantai. Banyak lagi langkah-langkah lain yang boleh anda lakukan selain daripada yang ditulis dalam penulisan ini. Apa yang utamanya adalah konsistensi dalam menjalankan cara-cara ini akan membantu dalam meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan. Dengan mengambil langkah-langkah yang disyorkan dalam penulisan ini, individu dapat mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik.
Penulis: Muhammad Najmi bin Mohammad Fauzi, pelajar perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia