Makanan Tradisonal Siam Kelantan

0
122
Makanan Tradisonal Siam Kelantan

Masyarakat Siam Kelantan merupakan salah satu suku kaum minoriti tempatan yang mempunyai taraf kerakyatan Malaysia. Sejarah awal kedatangan masyarakat Orang Siam ke Kelantan tidak dapat dipastikan kerana tiada catatan sejarah yang tepat yang menyatakan kedatangan mereka ke Kelantan. Namun demikian, masyarakat Siam Kelantan dipercayai menetap di Kelantan sejak lebih 600 tahun.

Fakta tersebut dibuktikan dengan penemuan imej Buddha lama di Wat Phikulthong Vararam dan tapak bangunan awal di Wat Chonprachumthatchanaram di Kampung Dalam, Tumpat. Majoriti besar masyarakat Siam Kelantan mendiami daerah Tumpat dan selebihnya berada di seluruh negeri Kelantan iaitu di Pasir Mas, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

Makanan ttradisional masyarakat Siam Kelantan sangat dipengaruhi dengan budaya makanan tradisional masyarakat Siam di Thailand. Perkara ini dapat dilihat dengan kebanyakan makanan tradisional masyarakat Siam Kelantan ialah makanan tradisional bagi Masyarakat Siam di Thailand itu sendiri.

Selain itu, kebanyakan makanan tradisional yang diasimilasi daripada budaya masyarakat Melayu dan masyarakat Siam turut dinamakan dengan bahasa Siam bagi mengekalkan identiti masyarakat Siam Kelantan.

Soal selidik telah dilakukan kepada seorang masyarakat Siam Kelantan yang bernama Nazatul Wahida binti Mat Daud yang berusia 30 tahun.  Hasil soal selidik didapati kebanyakan masyarakat Siam Kelantan gemar menikmati hidangan makanan tradisional mereka seperti somtam, khao mok gai, khao jam, luk chup dan miang kham. Kesemua makanan tersebut mudah diperolehi di seluruh negeri Kelantan.

Somtam

Sumber Photo: 123RF

Antara makanan tradisional masyarakat Siam Kelantan yang banyak terdapat di seluruh Kelantan ialah somtam. Somtan merupakan hidangan sampingan masyarakat Siam Kelantan yang rasanya pedas dan menyelerakan. Somtan boleh juga dijadikan sebagai lauk dan dinikmati bersama nasi putih dan pulut.

Makanan ini merupakan makanan jenis salad yang mudah disediakan berasaskan kepada salad betik mentah, kacang tanah, cili, ketam, mangga dan limau. Kini, makanan somtam atau salad betik mentah adalah salad berempah yang agak pedas yang diperbuat daripada kepingan nipis betik mentah.

Hidangan somtam ini berasal dari daerah Isaan yang terletak di bahagian timur Thailand. Mengikut catatan lain, hidangan ini dipercayai berasal dari Loas dan berkembang ke Thailand. Masyarakat Siam Kelantan biasanya memilih somtam ini bagi menggantikan hidangan berat dalam diet harian mereka.

Betik muda atau mangga muda menjadi asas kepada hidangan somtam di mana biasanya buah yang dipilih belum masak sepenuhnya. Seterusnya, buah tersebut dihiris menjadi jalur nipis dengan alat pemarut ketika dalam proses penyediaan. Hidangan ini menggabungkan lima rasa utama sesuai dengan cita rasa masyarakat setempat iaitu rasa masam limau, pedas cili, sos ikan masin, savuri dan juga kemanisan yang ditambah oleh gula melaka.

Bahan yang sering digunakan untuk menyediakan somtam ialah hirisan betik muda, cili, bawang merah serta sos khas yang dicampurkan ke dalam somtam. Kesemua bahan ini akan memberikan rasa manis, pedas dan masam yang boleh dinikmati begitu sahaja.

Khao Mok Gai

Sumber Photo: Lion Pride

Khao mok gai atau “ayam dan nasi dengan segala-galanya” ialah versi nasi beriyani Thailand. Hidangan Khao Mok Gai ini berasal dari Arab. Hidangan ini sangat terkenal di kalangan masyarakat Siam Kelantan khususnya yang beragama Islam. Makanan ini dimasak bersama kepingan ayam dan rempah ratus yang memberi aroma wangi bagi menghasilkan nasi yang berwarna kuning dan rasa tekstur ayam yang lazat.

Nasi ini dihidangkan bersama ayam dan sos masam manis dan pedas yang berwarna hijau. Hidangan ini turut disertakan bersama kepingan timun atau pelbagai acar bagi menghiasi nasi untuk menambah rasa yang lebih enak. Biarpun hidangan ini kelihatan seperti nasi ayam biasa, namun hidangan ini memiliki rasa yang tersendiri dan berbeza daripada hidangan-hidangan yang mirip dengannya.

Herba-herba yang digunakan seperti kulit kayu manis, bunga cengkih dan kunyit untuk memberi warna kuning kepada nasi Khao Mok Gai. Selain itu, hidangan ini menggunakan herba-herba bagi menaikkan aroma yang menyelerakan.

Namun begitu, herba-herba Khao Mok Gai ini sukar didapati di pasaran dan kebiasaannya terdapat di kawasan penempatan masyarakat Siam Kelantan. Terdapat juga fakta nutrisi terutamanya pada herba-herba yang digunakan.

Khao Jam

Sumber Photo: Rebecca Saw

Khao Jam (Khao Yam) adalah sejenis hidangan yang berkembang daripada nasi kerabu (yang terkenal di Kelantan) dan dipengaruhi oleh masakan Thailand. “Khao” boleh dimaksudkan dengan nasi manakala “jam” bermakna campur. Oleh itu, masakan Khao Jam dapat diterjemahkan dengan hidangan berasaskan nasi di mana segala ramuan dicampurkan untuk menghasilkan suatu hidangan yang lengkap.

Khao Jam hampir mirip dengan nasi kerabu kecuali nasi Khao Jam berwarna hijau manakala nasi kerabu berwarna biru. Cara memasak Khao Jam  sedikit unik di mana gabungan beras tempatan dan beras Thailand akan digunakan. Hal ini demikian kerana beras Thailand mempunyai kelikatan yang tinggi.

Khao Jam kelihatan seperti hidangan berwarna-warni kerana masakan ini menggunakan pelbagai jenis herba. Antara sebab hidangan ini mengandungi banyak herba adalah kerana masyakat pada masa dulu menetap di kawasan yang terdedah kepada banjir. Oleh sebab demikian, mereka menjamu nasi yang dicampur pelbagai jenis herba bagi menghindari menggigil. Selain itu, hidangan ini dikatakan membantu mencegah “reumatik” iaitu masalah yang mempengaruhi sendi dan tisu penghubung.

Seperti nasi kerabu yang berwarna biru hasil kerana bunga telang yang direndam bersama nasi semasa penyediaannya, begitu jugalah nasi Khao Jam yang berwarna hijau hasil rendaman bersama herba-herba. Tetapi sebelum itu, herba-herba tersebut dikisar dan diekstrak bagi mendapatkan jus. Jus tersebut diambil dan dijadikan untuk menanak nasi.

Sesetengah resipi menyatakan jenis-jenis herba yang digunakan adalah sebanyak di antara 20 hingga 50 jenis herba. Namun begitu, tiada peraturan dan resipi yang tetap yang menyatakan jenis-jenis herba yang mesti digunakan di dalam sajian. Hal ini kerana segala herba yang digunakan terletak di tangan individu tersebut dan herba-herba yang sedia ada sahaja.

Luk Chup

Sumber Photo: 123RF

Luk chup ialah sejenis manisan tradisi daripada Thailand. Istilah “luk” bermaksud buah manakala “chup” pula bermakna celup. Keunikan manisan ini adalah kepelbagaian bentuk dan warna yang sememangnya mampu membuat ramai orang yang tertarik untuk merasai manisan yang berasaskan kacang ini.

Selain itu manisan ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Siam Kelantan dan masyarakat Thailand, malah manisan ini sudah diterima oleh banyak negara untuk menyediakannya sebagai pencuci mulut ketika menjamu selera, jamuan dan perayaan-perayaan tertentu.

Pada masa dahulu, Luk Chup hanya dibuat untuk kerabat diraja, keluarga diraja dan orang-orang istana sahaja. Namun kini, sajian ini boleh dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status dan darjat.

Bagi membuatkan manisan ini tampak kreatif dan menarik, seseorang itu perlulah memiliki kemahiran seni mengukir. Semakin cantik bentuk yang dihasilkan maka semakin ramai yang ingin menjamunya. Luk chup seringkali dibentuk menjadi bentuk dan imej buah-buahan atau sayur-sayuran dengan warna yang sepadan dengan warna makanan yang diwakili. Namun, kini bentuk Luk Chup telah divariasikan kepada bentuk haiwan dan kartun animasi yang comel.

Walapun begitu, jika seseorang itu tidak mahir atau langsung tidak memiliki kemahiran mengukir atau membentuk, maka tidak ada salahnya untuk menghasilkan bentuk-bentuk yang mudah dan diingini. Hal ini tidak menjadi masalah atau isu besar asalkan rasanya masih lazat. Manisan ini boleh tahan lama tetapi hendaklah disimpan ke dalam peti sejuk dingin.

Bahan-bahan yang biasa digunakan untuk membuat menu ini termasuklah kacang hijau, santan, gula, serbuk jeli, air dan pewarna makanan. Kacang, santan dan gula dibancuh sehingga menjadi pes. Kemudian, pes tersebut dibentuk kepada bentuk yang diinginkan. Selepas itu, pewarna makanan boleh dilukis di atas pencuci mulut tersebut. Kadang-kadang, Luk Chup dicelupkan ke dalam gelatin bagi memberikan rupa yang berkilat.

Selain itu, hasil temubual bersama Nur Fazira binti Abdullah berumur 23 tahun mendapati hidangan Luk Chup ini menjadi salah satu juadah ketika majlis keramaian seperti hari-hari perayaan, kenduri perkahwinan dan perjumpaan keluarga.       

Miang Kham

Sumber Photo: 123RF

Miang Kham merupakan hidangan pembuka selera masyarakat Siam Kelantan. “Miang” membawa maksud makanan yang dibalut menggunakan daun manakala “kham” pula mengungkap makna satu suapan. Hidangan ini terdiri daripada daun kaduk yang dimakan bersama halia, isi kelapa goreng, udang kering, kacang tanah, limau nipis, bawang merah dan cili yang dihiris halus.

Sajian ini dimakan bersama dengan sos masam manis yang dimasak menggunakan resepi khas. Kesemua bahan ini akan dibungkus bersama di dalam daun kaduk. Kemudian, sajian ini dimakan begitu sahaja. Hal ini demikian kerana kesemua bahan yang dibungkus bersama daun kaduk mampu memberikan rasa manis, masam, rangup dan pedas yang secukup rasa.

Kebiasaannya Miang Kham dimakan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terutamanya pada musim hujan kerana daun kaduk mudah diperoleh dalam tempoh tersebut. Kebanyakan restoran Thai menghidangkan Miang Kham ini sebagai hidangan pembuka selera.

Bahan utama Miang Kham ini ialah daun kaduk. Daun kaduk mengandungi banyak khasiat. Antaranya daun kaduk mampu untuk merawat sembelit, sakit gigi dan lenguh badan. Selain itu, air rebusan daun kaduk juga elok untuk mengurangkan selesema dan sakit pinggang manakala daunnya yang menghijau seakan-akan daun sirih sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ulam.

Walaupun Miang Kham terkenal dalam kalangan masyarakat Siam Kelantan tetapi miang Kham merupakan kudapan tradisional yang berasal dari Wilayah Utara Thailand dan Laos. Mengikut sejarah, Miang Kham mula diperkenalkan di bawah pemerintahan Raja Rama ke-5 atau lebih dikenali sebagai Raja Chulalangkorn oleh isteri kelimanya, Permaisuri Dara Rasamee. Sehubungan dengan itu, Miang Kham sinomin dengan gelaran snek diraja Siam itu.

Penulis; Nur Afifah Zahidah binti Mohd Nazri, Pelajar Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Rujukan

Anem, M. (2018). SOMTAM – KERABU BETIK MANGGA. Capaian 18 Oktober 2019, dari http://animhosnan.blogspot.com/2018/08/somtam-kerabu-betik-mangga.html

Itawarah. (t.t). Saji.my: 17 Makanan Thailand Yang Terkenal Paling Best Kena Cuba. Capaian 22 Oktober 2019, dari https://saji.my/makanan-thailand/

Nem, Cinda, E. (2012). Persatuan Masyarakat Siam Kelantan. Capaian 19 Oktober 2019, dari http://nemcinda.blogspot.com/

Rus, U. (2018). Luk Chup Manisan Tradisi Thai Kegemaran Ramai Yang Sangat Comel | Donna. Capaian 18 October 2019, dari https://www.donna.com.my/luk-chup-manisan-tradisi-thai-kegemaran-ramai-yang-sangat-comel/

Schmidt, D. (t.t). Resipi Miang Kham Thai Traditional Food. Capaian 25 Oktober 2019, dari https://ms.hiloved.com/miang-kham-makanan-finger-thai-tradisional/

Thai Chicken Biryani, Halal Chicken and Curry Rice, Khao Mok Gai. (2014). Capaian 10 October 2019, dari https://highheelgourmet.com/2014/07/19/thai-chicken-biryani-khao-mok-gai/

Wong, J. (2016). Kelantan: Nasi kerabu. Capaian 15 Oktober 2019, dari https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/09/16/kelantan-nasi-kerabu#sRlgRzqGrhVwyZTQ.99

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here