Monday, February 9, 2026
HomeArtikelMakanan Viral Punca Obesiti

Makanan Viral Punca Obesiti

Salah satu fenomena yang semakin mempengaruhi tabiat pemakanan masyarakat masa kini adalah makanan viral. Tanpa kita sedar, kehadiran media sosial telah mengubah cara kita berinteraksi dengan makanan. Fenomena makanan viral merujuk kepada hidangan atau minuman yang mendapat populariti mendadak di platform media sosial, sering dikongsi dengan pantas dan meluas oleh pengguna.

Setiap hari, kita disajikan dengan pelbagai hidangan menarik yang menjadi viral di platform-platform seperti Instagram, TikTok, dan YouTube. Walaupun makanan viral ini mungkin menarik dan lazat, namun kita perlu menyedari bahawa terlalu banyak pengambilan makanan viral boleh menjadi punca kepada masalah obesiti.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, masalah kegemukan atau obesiti merupakan antara penyakit kronik yang serius dan semakin meningkat khususnya di Malaysia. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS,2019), lebih separuh rakyat dewasa di negara ini dikategorikan sebagai obes. Statistik ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 47.7 peratus berbanding laporan NHMS pada tahun 2015.

Salah satu contoh makanan yang popular adalah ‘Kek Tapak Kuda’ yang sering kali menjadi tular di media sosial. Ramai yang berpusu-pusu membeli kek ini dengan “topping” yang berlebihan di mana ia sebenarnya mengandungi kandungan gula yang tinggi. Pengambilan gula yang berlebihan telah terbukti berkaitan dengan peningkatan risiko obesiti dan penyakit berkaitan seperti diabetes jenis 2.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan peningkatan paras glukosa darah, yang boleh mencetuskan rasa lapar dan keinginan untuk lebih banyak makanan manis.

Selain itu, ‘Mukbang’ juga sering kali tular di aplikasi Youtube. Tahukah kita bahawa mukbang ini mendorong pengambilan kuantiti makanan berlebihan. Apabila seseorang mengambil makanan dalam jumlah yang melebihi keperluan tubuh mereka, lebihan kalori akan disimpan sebagai lemak. Hal ini boleh menyebabkan pola pemakanan yang tidak seimbang dan meningkatkan risiko obesiti.

Tahukah bahawa kandungan lemak yang tinggi berbahaya untuk badan kerana ianya akan mendorong kita untuk mendapat penyakit kronik seperti penyakit hati berlemak (Fatty Liver Disease).

Dalam pada itu, remaja kini juga kebanyakannya suka akan kopi disebabkan oleh rasanya yang sangat enak. Namun, ia telah menjadi subjek perdebatan mengenai peranannya dalam menyumbang kepada masalah obesiti. Walaupun kopi adalah minuman rendah kalori, minuman kopi mengandungi bahan tambahan yang boleh meningkatkan risiko obesiti.

Sesetengah minuman kopi komersial, terutamanya yang dihidangkan dengan gula, sirap atau krim tinggi lemak, boleh menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan. Oleh itu, pengambilan kopi dalam kombinasi dengan bahan tambahan seperti gula dan lemak boleh meningkatkan pengambilan kalori anda, yang membawa kepada penambahan berat badan dan risiko obesiti.

Tambahan pula, makanan viral juga cenderung mempunyai ketidakseimbangan nutrisi. Banyak makanan viral terkenal dengan rasa yang kaya, unik dan penyediaan yang mengagumkan tetapi sering kali kekurangan nutrien penting seperti serat, vitamin dan mineral. Makanan-makanan yang kurang nutrisi boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam diet harian anda dan menyebabkan kekurangan nutrien walaupun pengambilan kalori tinggi.

Di samping itu, tekanan untuk mengambil bahagian dalam trend makanan viral dan mempamerkan ciptaan ini di platform media sosial boleh mempengaruhi individu untuk menikmati makanan yang mungkin tidak selaras dengan matlamat diet mereka. Tekanan sosial ini boleh menyebabkan pengambilan makanan virus secara berlebihan, menyumbang kepada diet yang tidak sihat dan peningkatan risiko obesiti.

Bagi individu yang mempunyai kecenderungan genetik kepada obesiti, memakan makanan viral boleh menimbulkan risiko yang lebih besar. Pertambahan berat badan yang cepat akibat daripada pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh memburukkan lagi masalah kesihatan sedia ada dan membawa kepada pelbagai komplikasi berkaitan obesiti.

Oleh hal yang demikian, penting untuk kita mengambil tindakan yang berkesan dalam memerangi masalah peningkatan berat badan yang berlebihan. Berikut adalah beberapa strategi praktikal yang boleh membantu mengurangkan masalah obesiti secara berkesan:

1. Pemakanan yang sihat dan seimbang.

  • Cakna akan keperluan karbohidrat, lemak, dan zat-zat pemakanan yang sesuai dengan peringkat umur.
  • Menjadikan piramid makanan sebagai panduan dalam pemilihan menu atau jenis makanan.
  • Makan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan yang utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan malam.

2. Pengawalan saiz hidangan.

  • Mengetahui saiz hidangan yang sesuai dengan saiz badan.
  • Amalkan separuh piring dengan sayur-sayuran, satu per empat piring dengan protein, dan satu per empat piring dengan karbohidrat.
  • Makan secara sederhana dan berhenti apabila kenyang .

3. Melakukan senaman yang betul dan konsisten.

  • Membiasakan diri dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya selama dua puluh minit dalam tiga kali seminggu secara konsisten.
  • Membuat aktiviti senaman dengan cara yang betul
  • Contoh senaman yang boleh dilakukan ialah jogging, dan berbasikal.

4. Elakkan makanan berproses.

  • Memasak makanan di rumah supaya dapat mengawal bahan-bahan yang digunakan dalam masakan.
  • Sentiasa membaca label makanan dengan teliti sebelum membeli sesuatu produk makanan.
  • Memilih alternatif yang sihat. Sebagai contoh, jika anda gemar makan coklat, pilih coklat hitam dengan kandungan koko yang tinggi sebagai pengganti.

Kesimpulannya, walaupun makanan viral mungkin sensasi di media sosial, kita mesti berhati-hati tentang kesan kesihatan jangka panjang daripada memakannya. Memilih makanan yang seimbang dan berkhasiat kekal sebagai kunci untuk mengelakkan obesiti dan isu kesihatan yang berkaitan.

Oleh itu, walaupun makanan viral mungkin menarik perhatian, namun mengamalkan kesederhanaan dan memasukkan pilihan yang lebih sihat ke dalam diet kita adalah penting untuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan. Bersama-samalah kita saling mengingati bahawa ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Penulis: Mardhiah Binti Abd Halim, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular