“Aduh! Sakitnya kaki dan punggung saya,” “Kaki saya sering berasa kejang sejak kebelakangan ini,” “Saya sering berasa lemah dan lesu sepanjang hari,” “Sejak kebelakangan ini saya asyik demam on off je,” “Dada saya selalu berasa sakit dan berdegup laju!” Awas! Ini mungkin petanda anda tidak mempunyai kesihatan pada tahap yang memuaskan.
Beralih daripada kebimbangan kesihatan individu kepada inisiatif nasional, Malaysia MADANI, wawasan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfokuskan kepada kesepaduan rakyat serta mengangkat Malaysia ke persada global. Salah satu daripada enam nilai teras yang diperkenalkan ialah Kesejateraan. Pendekatan holistik ini mengiktiraf kepentingan mengimbangi kedua-dua aspek material dan rohani kemakmuran. Dengan mengutamakan kebajikan rakyatnya, Malaysia berhasrat untuk mencapai pembangunan dan kemakmuran yang menyeluruh.
Kesihatan diri merupakan suatu aset yang penting untuk dijaga dengan rapi dan perlu di ambil berat kerana ianya suatu nikmat yang besar yang diberikan oleh Tuhan. Antara kepentingan menjaga kesihatan adalah untuk mengelakkan diri daripada mendapat risiko penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung dan kanser. Bukan sahaja ia penting untuk kesihatan fizikal, namun penjagaan kesihatan yang rapi dapat meningkatkan kesihatan mental yang sejahtera kerana akal yang cerdas lahir dari badan yang sihat.
Penjagaan kesihatan amat penting supaya seseorang itu dapat meningkatkan produktiviti dalam seharian. Hal ini dapat menjamin seseorang itu melakukan kerja-kerjanya dengan lebih efisien. Namun, seseorang yang tidak mempunyai kesihatan yang memuaskan, kadar produktivitinya akan berkurangan hari demi hari kerana sering dalam keadaan yang lesu dan senang keletihan.
Bukan itu sahaja, badan yang sihat dapat membantu seseorang dengan mengurangkan beban kewangan untuk tujuan kesihatan. Hakikat bahawa kos rawatan perubatan memang mahal, semakin kronik penyakit semakin tinggi kos perubatan. Namun, hakikat ini masih tidak menyedarkan orang ramai bahawa menjaga kesihatan itu penting kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Dalam hal ini, seseorang dapat mengurangkan keperluannya untuk mengeluarkan duit dengan jumlah yang tinggi untuk penjagaan kesihatan yang mahal sedangkan, menjaga kesihatan itu boleh sahaja dilakukan dengan cara yang lebih murah.
Bercakap berkaitan menjaga kesihatan, sering kali topik ini dipandang rumit oleh masyarakat kita kerana persepsi masyarakat terhadap penjagaan kesihatan iaitu ia memerlukan kos yang tinggi serta masa lapang yang banyak. Namun sebenarnya ianya sama ada mahu atau tidak, kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.
Langkah pertama untuk memastikan kesihatan yang baik adalah dengan menjaga pemakanan kita dengan seimbang. Konsep Suku Suku Separuh yang ditekankan oleh Pinggan Sihat Malaysia merupakan teknik yang baik untuk memastikan pemakanan yang seimbang tercapai, di samping memegang kata-kata makan bila lapar berhenti sebelum kenyang.
Selain mengekalkan diet seimbang, senaman yang kerap juga penting untuk kesihatan keseluruhan. Brisk walking atau aktiviti berjalan pantas merupakan aktiviti senaman yang paling mudah dan baik untuk kesihatan jantung, sesuai juga untuk golongan warga emas dan golongan yang mempunyai keupayaan fizikal yang terhad.
Menurut World Health Organisation (WHO), setiap minggu sekurang-kurangnya 150 minit atau lebih kurang 22 minit sehari bagi golongan dewasa untuk melakukan aktiviti fizikal berintensiti senderhana seperti brisk walking. Senaman ini mudah untuk dilakukan dimana-mana dan sesuai pada bila-bila masa mesekipun ketika berada di dalam bangunan.
Bukan itu sahaja, pendedahan matahari yang cukup juga merupakan kunci utama kepada tubuh yang afiat bagi seseorang. Tahukah anda bahawa kita perlu mendapatkan cahaya matahari sekurang-kurangnya lima ke tiga puluh minit dua kali seminggu. Hal ini kerana, cahaya matahari penting bagi kita sebagai sumber utama kepada vitamin D atau dikenali sebagai sunshine vitamin!
Mari kita mendalami isu kekurangan vitamin D di Malaysia yang mana ramai tidak tahu bahawa masalah kekurangan vitamin D dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin membimbangkan bahkan berdasarkan hantaran KKM pada tahun 2018 melalui siaran Facebook, 80 peratus remaja Malaysia mempunyai masalah kekurangan vitamin D.
Masalah kekurangan vitamin D ini boleh disebabkan beberapa faktor antaranya disebabkan oleh gaya hidup yang sedenteri, suka terperuk di dalam bangunan berbumbungkan pendingin hawa sepanjang hari dan pemakaian pelindung matahari (sunscreen). Bahkan, faktor pemakaian juga menjadi punca kepada kurang penyerapan vitamin D pada kulit kita. Disebabkan itu, kita sering lihat anak-anak muda kini sering mengadu mereka sakit pada sendi atau berasa lemah pada bahagian otot.
Kekurangan vitamin D dalam badan boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit riket dalam kalangan kanak-kanak dan osteomalacia pada orang dewasa. Malah, bayi juga cenderung mendapat penyakit riket dan kekurangan kalsium dalam badan sejak lahir kerana ibunya kekurangan vitamin D. Kedua-dua penyakit ini tidaklah semestinya mangancam nyawa, namun ia akan memberi kesan terhadap pergerakan atau kerja-kerja harian.
Oleh yang demikian, dinasihatkan kepada warga Malaysia untuk melakukan sekurang-kurangnya sekali dalam jangka masa dua tahun untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terutamanya bagi golongan warga tua dan golongan yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan strok.
Hal ini kerana, pemeriksaan kesihatan dapat mengesan sebarang penyakit walaupun pada keadaan yang kita tidak menunjukkan sebarang gejala. Dengan adanya keputusan pemeriksaan kesihatan dan sesi konsultasi daripada doktor bertauliah, doktor dapat memberi nasihat dan memberikan cadangan langkah seterusnya seperti mengambil ubat atau suplemen kesihatan di atas nasihat doktor apabila menjadi keperluan.
Akhir sekali dan paling penting, setelah memilih langkah kesihatan proaktif kepada pilihan gaya hidup yang berbahaya, mari kita tangani kesan buruk merokok.Katakanlah tidak pada rokok atau vape! Bukan sahaja ia membahaya kesihatan diri, namun kesihatan orang lain juga terjejas. Walaupun hanya 30 minit pendedahan kepada asap rokok kepada orang lain, ianya boleh menyebabkan kerosakan jantung sama seperti perokok setiap hari. Bukan itu sahaja, gejala merokok juga membawa risiko seseorang itu menagih dadah. Jadi, hentikanlah gaya hidup yang tidak sihat ini.
Kesimpulannya, mengutamakan kesihatan bukanlah semata-mata tanggungjawab individu tetapi juga usaha kerjasama yang melibatkan kedua-dua badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang berkembang maju untuk rakyat Malaysia.
Marilah kita berganding bahu dalam menyahut cabaran berdasarkan matlamat Malaysia MADANI, berusaha ke arah gaya hidup lebih sihat untuk mencapai kesejahteraan fizikal dan mental. Ini kerana sesungguhnya badan yang sihat dapat memupuk perpaduan di kalangan rakyat, selaras dengan objektif inisiatif kerajaan MADANI.
Penulis; Nur Aliah binti Samsukamal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.