Saturday, April 13, 2024
HomeArtikelMalu atau Perlu: Pendidikan Seksual Di Sekolah

Malu atau Perlu: Pendidikan Seksual Di Sekolah

Pendidikan Seks adalah topik yang ‘taboo’ dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana sesetengah rakyat di Malaysia berpandangan bahawa Pendidikan Seks adalah perkara yang hanya boleh dipelajari secara tertutup melalui sistem kekeluargaan bukannya melalui sistem pendidikan.

Sesetengah ibu bapa di Malaysia mempunyai pemikiran yang tertutup ataupun konservatif yang menganggap perkara berkaitan seksual sebagai perkara ‘deviant’ yang bertentangan dengan norma masyarakat.

Sebelum ini kita digemparkan dengan kes di mana seorang guru membuat gurauan tentang kegiatan perkosa di mana gurauannya tersebut dikritik oleh pelajarnya. Umum sedia maklum bahawa topik sensitif ini tidak patut dibicarakan dalam konteks gurauan. Namun begitu, rambut sama hitam hati lain-lain menunjukkan tidak semua peka terhadap sensitiviti isu ini sehingga membawanya ke dalam konteks gurauan.

Oleh hal yang demikian, Pendidikan Seks perlu diajar dari usia muda untuk mengajar erti kepekaan dan pemahaman yang mendalam terhadap isu sensitif seperti rogol dan gangguan seksual. Kita sepatutnya membentuk minda remaja semasa mereka lebih muda kerana minda mereka lebih suci dan bersih ketika di awal usia remaja. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Menurut laporan statistik PDRM pada tahun 2019, data statistik menunjukkan bahawa remaja dalam kalangan umur 13 tahun dan 15 tahun adalah golongan paling ramai yang menjadi mangsa rogol, iaitu sebanyak 264 kes atau 57% sepanjang tahun tersebut. Hal ini amat membimbangkan kerana remaja seusia 13 tahun sudah terdedah dengan bahaya gangguan seksual dan perkara sebegini sepatutnya dapat dielakkan sekiranya mereka diterapkan pendidikan dan penerangan mengenai seksual yang sepatutnya.

Pendidikan Seks sangat diperlukan di sekolah untuk membendung isu sosial seperti antun seksual, kehamilan remaja, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan seksual sama ada di alam maya mahupun di dunia realiti.

Menurut Dr Nor Faiza Mohd Tohit iaitu Pakar Perubatan Kesihatan Awam di International Islamic University Malaysia (IIUM), Pendidikan Seksual adalah suatu ilmu yang memperkasakan seseorang untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seksual. “Ia juga adalah pendidikan untuk mengelakkan hubungan seks yang ditegah agama. Perkara ini amat penting berikutan peningkatan kes pedofilia, sumbang mahram dan rogol yang amat membimbangkan.” Kenyataan ini disokong dengan data di mana telah berlaku peningkatan yang mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan kes jenayah seksual iaitu membabitkan 1,065 kes direkodkan sepanjang tahun.

Mengapa perlu adanya Pendidikan Seksual di sekolah? Mengikut data laporan Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Malaysia telah mencatat sebanyak 28,741 kes rogol di antara tahun 2005 hingga 2014. Berdasarkan jumlah ini, dianggarkan 10 orang wanita dirogol setiap hari, di mana separuh daripadanya adalah remaja berumur 16 tahun ke bawah.

Isu ini perlu digariskan dan dipandang dengan lebih serius. Jika terus dibiarkan mungkin ada dalam kalangan ahli keluarga kita yang akan menjadi mangsa. Perlu diingatkan bahawa setiap mangsa yang menjadi mangsa serangan seksual akan dihantui trauma yang akan membelenggu diri mereka sepanjang hayat.

Kesan mental yang lain adalah seperti kemurungan, keresahan dan malahan yang lebih teruk adalah Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). Menurut Dr. Collen Cullen iaitu seorang ahli psikologi dari Columbia University Irving Medical Center, “pengalaman dengan ganguan seksual boleh mencetuskan gejala kemurungan dan kebimbangan yang baru kepada mangsa atau seseorang itu juga mungkin menunjukkan gejala PTSD, terutama jika gangguan itu membawa kepada keganasan atau serangan.”

Perasaan malu membelenggu diri sekiranya perbincangan mengenai isu seks di bawa ke meja bulat, namun sampai bilakah kita perlu menutup mata dan memekakkan telinga seolah-olah tindakan membeli kondom di kedai serbaguna 7 Eleven juga dianggap kotor di mata masyarakat.

Di sebalik sifat kesopanan yang ditonjolkan di khalayak ramai, sisi gelap di dalam kamar bilik tidur dibiarkan berleluasa. Pendidikan Seksual bukanlah untuk menggalakkan individu melakukan seks namun lebih luas daripada yang disangkakan. Pendidikan Seksual mengajar individu cara melakukan hubungan seksual yang lebih selamat supaya dapat menghindari penyakit kelamin. Selain itu, Pendidikan Seksual juga melibatkan emosi, fikiran, sosial dan spiritual bukan sahaja dari sudut fizikal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat menggalakkan Pendidikan Seksual komprehensif atau dalam Bahasa Inggeris ialah Comprehensive Sexuality Education (CSE). Rosaklah masyarakat jikalau remaja hanya memahami seks secara satu hala iaitu hubungan kelamin, kesan negatifnya adalah hilang rasa hormat terhadap orang lain dan terhadap diri sendiri. Kes rogol dan penderaan seksual berlaku kerana masyarakat gagal memahami topik Pendidikan Seksual dengan betul.

Jika dilihat dari sudut pandangan Barat berkenaan isu ini, masyarakat di sana bersifat lebih terbuka dan matang dalam membincangkan topik sensitif ini namun bukan semua perkara perlu dijadikan teladan bak kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih. Hal ini kerana negara-negara maju tersebut juga mengalami masalah yang sama iaitu mereka mencatatkan kes rogol tertinggi di dunia contohnya seperti Sweden, Belgium, dan Amerika Syarikat. Namun rakyat Malaysia yang mempunyai budaya sopan santun dan konservatif yang agak tinggi sedar akan batas yang tidak boleh dilanggar kerana kita mencontohi budaya masyarakat Timur.

Kesimpulannya, Pendidikan Seksual adalah subjek yang perlu diajar dan diterapkan di peringkat sekolah kerana ianya penting bagi remaja untuk memahami dan mempelajari Pendidikan Seksual untuk mengelakkan sebarang salah laku seksual di masa hadapan. Institusi persekolahan perlulah menjalankan tanggungjawab moral bagi perkembangan minda anak-anak.

Penulis;

1. Nurnajwa Binti Mohd Fairuz- Mahasiswa, Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
2.Dr. Velan Kunjuraman- Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular