“Melentur buluh biarlah dari rebungnya” pepatah ini bermaksud mendidik anak sejak dari kecil. Begitu juga dengan kerjaya seorang atlet negara di mana mereka didedahkan kepada aktiviti bersukan sejak dari kecil lagi. Anak-anak ibarat kain putih yang diberikan warna oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka untuk masa depan yang lebih cerah.
Sukan merupakan satu lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam suatu permainan. Mengikut arus perdana pada masa kini, sukan sering menjadi keutamaan bagi menghiasi dada akhbar dan bukan saja melibatkan kejohanan tempatan malahan di peringkat global.
Acara sukan serta kejohanan-kejohanan berprestij merupakan antara program yang sangat penting dan wajib diadakan sama ada setahun sekali, dwi-tahunan, empat tahun sekali atau sebagainya. Bertitik tolak daripada itu, pelbagai kejohanan sama ada peringkat domestik mahupun antarabangsa telah dituan rumahkan oleh Malaysia seperti SUKMA, sukan SEA dan sukan Komanwel semata-mata untuk memartabatkan sukan di mata masyarakat dan secara tidak langsung nama negara terkenal di peringkat antarabangsa.
Apakah cabaran yang dihadapi oleh para atlet? Secara umumnya bersukan mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan. Kebanyakan sukan semestinya memerlukan mental yang sihat dalam membuat pertimbangan bagi mengejar pencapaian terbaik dan meraih kemenangan tetapi kesihatan fizikal juga berkait rapat dengan ketahanan mental seseorang.
Dalam bidang sukan, tidak dinafikan penglibatan wanita pada masa kini begitu menyerlah dengan meraih pelbagai kejayaan dalam peringkat kebangsaan dan juga di pentas antarabangsa. Cabaran utama yang dihadapi oleh atlet ialah menjejaskan kesihatan fizikal dan mental yang mendorong kepada kejatuhan prestasi permainan mereka.
Antara cabaran dan risiko atlet wanita adalah berhadapan dengan tekanan apabila dikritik fizikal atau lebih dikenali sebagai “body shaming”. Sebagai contoh, sebuah berita tragis yang telah dikejutkan dalam dunia sukan, seorang atlet triation dari Korea Selatan iaitu Choi Suk-Hyeon yang mengambil keputusan drastik iaitu membunuh diri setelah mengalami tekanan yang hebat daripada penderaan fizikal dan mental yang dialaminya.
Masalah kesihatan fizikal dan mental harus dititikberatkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi kepentingan para atlet negara. Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melancarkan Kod Sukan Selamat (KSS) sebagai panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan yang selamat dan tanggungjawab komuniti yang terlibat secara menyeluruh.
Dengan adanya kod tersebut, kesihatan dan keselamatan para atlet terjamin kerana kod ini bertujuan melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal atlet. KSS juga berperanan melindungi pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan dengan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan oleh semua penggiat sukan.
Sekiranya para atlet atau mana-mana pihak memerlukan bantuan untuk mengadu, mereka dapat mengetahui saluran yang betul untuk melaporkan kes oleh badan sukan terbabit bagi menyelesaikan kes tersebut.
Walaupun Malaysia merupakan negara yang sangat bergiat aktif dalam bidang sukan tetapi masih ada masalah-masalah yang berlaku dalam sektor sukan. Apakah usaha kerajaan untuk membangunkan bidang sukan agar dapat melahirkan atlet yang berkualiti?
Langkah utama dalam memajukan industri sukan tempatan adalah memastikan infrastruktur sukan yang lengkap disediakan di seluruh negara. Secara asasnya, setiap aktiviti sukan memerlukan gelanggang permainan seperti padang, kolam renang dan balapan. Cuba kita lihat di kawasan berdekatan kita, adakah setiap daerah mempunyai kolam renang, padang dan balapan yang cukup sifatnya dan diselenggara dengan baik?
Sekiranya tidak, maka ini menunjukkan kegagalan penyediaan infrastruktur sukan yang lengkap. Hal ini dikatakan demikian kerana infrastruktur yang tidak lengkap dan keadaan yang tidak baik menyumbang kepada pembantutan kemajuan sukan negara.
Jika setiap daerah tidak menyediakan infrastruktur sukan yang mudah diakses oleh komuniti, maka pencarian atlet terbatas. Sebagai contoh, untuk menjadi seorang penerjun, tidak semua daerah menyediakan kolam renang untuk sukan akuatik. Oleh itu, kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan infrastruktur sukan dalam komuniti sentiasa dalam keadaan baik dan diselenggara. Secara tidak langsung, khidmat komuniti ini bukan sahaja menguntungkan komuniti setempat malah mampu mengangkat jenama syarikat swasta seperti Petronas yang menaja industri sukan badminton negara.
Selain itu, usaha kerajaan untuk membangunkan sukan negara dengan menyediakan jurulatih yang profesional dalam bidang sukan. Hal ini kerana jurulatih berperanan dalam perkembangan atlet melalui sukan-sukan yang disertai dan menyediakan atlet-atlet dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk perkembangan, peningkatan dan kejayaan dalam sukan mereka (Mallet 2002).
Sejak kebelakangan ini, isu ketiadaan jurulatih kepada seorang pemain badminton profesional iaitu Lee Zii Jia menyebabkan prestasinya sedikit menurun. Beliau pernah berkata, berlatih tanpa jurulatih merupakan satu cabaran baharu untuk beliau tetapi beliau tetap meneruskan kejayaannya dalam sukan badminton untuk karier masa depan. Berdasarkan isu tersebut, terbuktilah bahawa jurulatih memiliki pengaruh yang besar untuk memimpin pasukan atlet atau pasukan dengan memberi keyakinan kepada atlet di bawah bimbingannya agar dapat berdaya saing semasa menyertai pertandingan.
Masalah ini tidak berpanjangan lagi apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo telah mengambil inisiatif untuk membantu jaguh perseorangan lelaki profesional negara menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh beliau. Pada Mei 2023, jaguh perseorangan lelaki profesional negara itu telah mempunyai jurulatih baharu iaitu Wong Tat Meng dari Hong Kong yang bertindak selaku Pengarah Kejurulatihan Pasukan LZJ. Oleh itu, jurulatih perlu menyediakan satu pengalaman sukan yang terbaik untuk semua peringkat umur dengan tujuan untuk memastikan pernyataan disertai (Astro Awani 2023).
Usaha kerajaan dengan menyediakan jurulatih yang terbaik dapat membantu para atlet dalam semua bidang sukan bukan tertumpu sukan badminton semata-mata. Hal ini dikatakan demikian dapat meningkatkan mutu sukan negara dan melahirkan atlet negara yang berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Usaha kerajaan untuk membangunkan bidang sukan negara yang seterusnya adalah dengan memberi pengiktirafan insentif kepada para atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat global. Misalnya, pemberian pangkat, wang tunai, harta yang berupa emas atau tanah kepada para atlet untuk terus bersaing secara sihat bagi merebut gelaran pemenang dalam apa jua acara yang dipertandingkan.
Senario ini dapat dilihat melalui pencapaian pemain badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mendapat gelaran “Datuk” di atas pencapaian yang cemerlang. Selain itu, ganjaran juga diberikan kepada atlet Paralimpik Tokyo iaitu Abdul Latif Romly, Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang telah meraih emas kepada negara, mereka telah mendapat jumlah ganjaran RM1 juta di atas pencapaian mereka (Utusan Malaysia 2021). Hasil keras para atlet tidak akan dipersiakan oleh badan sukan negara, malah pencapaian mereka harus dihargai dan diingati sampai bila-bila.
Kesimpulannya, pelbagai usaha boleh dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara untuk membangunkan bidang sukan negara dan melahirkan atlet yang berkualiti tinggi. Setiap pihak sewajarnya menggembleng tenaga untuk merealisasikan impian masyarakat agar imej negara menjadi lebih baik di persada dunia. Hal ini sejajar dengan cogan kata temasya sukan Malaysia 2022 iaitu “Demi Malaysia”.
Mutu sukan negara boleh berubah disebabkan oleh kegagalan sesetengah persatuan-persatuan sukan dan masalah konflik dalaman persatuan mendorong mutu sukan kita terus menjunam. Oleh itu, hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat atlet negara bersaing dengan negara lain di kejohanan yang tinggi menjadi kenyataan. Sebagai contoh, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia menjadi kenyataan. Terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 33.2 juta rakyat Malaysia sesuai dengan pepatah pengayuh sudah di tangan, perahu sudah di air. “Majulah sukan untuk negara”
Penulis; 1. Noraisikin Binti Mohamad – Mahasiswa Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 2. Dr. Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.