Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelMasalah Kesetaraan dan Keadilan Dalam Peluang Pekerjaan Menjadi Isu Utama Di Malaysia 

Masalah Kesetaraan dan Keadilan Dalam Peluang Pekerjaan Menjadi Isu Utama Di Malaysia 

Di Malaysia, kesetaraan dan keadilan dalam peluang pekerjaan telah menjadi kebimbangan utama dalam negara. Dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agamanya yang luas, Malaysia bagaimanapun menghadapi halangan yang ketara dalam memastikan keseimbangan akses dan peluang pekerjaan yang adil.

Diskriminasi, ketidakadilan, dan ketidaksamaan dalam peluang kerja terus menjadi realiti yang menjejaskan kemajuan sosial dan ekonomi negara. Penulisan melalui rencana ini akan menggariskan inisiatif kritikal yang mesti dibuat untuk menggalakkan kesetaraan dan keadilan dalam peluang pekerjaan di Malaysia. 

Peningkatan pendidikan dan pengetahuan merupakan langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan masalah kesetaraan dan keadilan dalam peluang pekerjaan. Bagi mencapai kesetaraan dan keadilan dalam pekerjaan, pihak kerajaan perlu mencari inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan keadilan dan kesaksamaan.

Perkara ini mampu menamatkan sikap diskriminasi dalam pekerjaan berdasarkan suku, agama, jantina dan warisan etnik, maka kempen kesedaran awam yang penting harus dijalankan. Penekanan utama kurikulum kebangsaan juga harus diberikan kepada pendidikan inklusif dan pelbagai.

Pendidikan harus menggalakkan kesedaran yang lebih tinggi tentang cita-cita keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia. Ia juga penting untuk membangunkan dan meningkatkan program latihan kerja yang direka khusus untuk memenuhi keperluan kumpulan terpinggir seperti wanita, minoriti, dan orang kurang upaya. 

Pada hari ini kita dapati begitu banyak pihak meraikan sumbangan dan penglibatan wanita dalam sektor politik, ekonomi dan sosial. Namun begitu apabila melihat Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Bidang Terpilih Malaysia 2020 (Statistics on Women Empowerment in Selected Domains, Malaysia 2020) telah mengeluarkan kenyataan bahawa penglibatan golongan wanita dalam sektor politik masih kurang iaitu sebanyak 10.8 peratus.

Melalui kenyataan ini, umum dapat mengetahui keterlibatan lelaki dalam arena politik Malaysia lebih ramai berbanding dengan wanita. Selain itu, Wanita juga ketinggalan di sub-indeks Kesihatan dan Kelangsungan Hidup dengan skor 0.958, diikuti Penyertaan dan Peluang Ekonomi (skor 0.717), kadar Penyertaan Tenaga Kerja (LFPR) dalam kalangan wanita juga masih rendah pada 55.6 peratus pada tahun 2019 berbanding negara maju lain seperti Australia (72.5%) dan Singapura (69.1%). Oleh itu, sekiranya kita hendak menjadi negara maju maka wajarlah kita contohi Australia dan Singapura yang tenaga kerja wanitanya 60% ke atas. 

Memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang mampu memberi kesetaraan dan keadilan kepada mereka yang bekerja. Bagi menangani isu diskriminasi pekerjaan, penguatkuasaan undang-undang yang kuat diperlukan.

Untuk menghadapi situasi diskriminasi, sistem perundangan yang berkesan dan telus harus diperkukuh. Agensi pemantauan bebas juga harus ditubuhkan untuk memantau dan menyiasat tuntutan pelanggaran hak pekerja. Penalti yang ketat harus dikenakan ke atas firma atau orang yang didapati melanggar undang-undang dari segi diskriminasi pekerjaan.

Penguatkuasaan undang-undang adalah langkah penting ke arah mengekalkan kesaksamaan dan keadilan dalam prospek pekerjaan Malaysia. Tindakan yang bercanggah dengan undang-undang akan diambil tindakan yang keras, mewujudkan kesan pencegahan kepada pelanggar undang-undang.

Sistem perundangan yang lebih cekap dan telus amat diperlukan oleh masyarakat madani. Ini bermakna penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan tepat pada masanya dan saksama. Proses kehakiman mesti telus, dengan akses yang sama kepada maklumat dan proses yang adil untuk semua pihak yang berkenaan. 

Tambahan pula, adalah penting untuk menubuhkan sebuah agensi pengawasan yang saksama yang bertanggungjawab memantau dan menyiasat pelanggaran hak buruh yang disyaki. Badan ini mestilah bebas daripada campur tangan politik atau kepentingan parti politik tertentu. Kewujudan badan ini akan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa penyalahgunaan hak buruh akan dilayan dengan serius dan adil. 

Cadangan beberapa pihak untuk mewujudkan akta khusus untuk diskriminasi dalam pekerjaan amat disokong oleh masyarakat madani hari ini. Cadangan tersebut bukanlah dipandang enteng oleh pihak berkenaan kerana ia bukanlah isu yang ringan apabila melibatkan pendiskriminasi dalam sektor pekerjaan.

Hal ini dapat membendung perspektif atau tindakan yang tidak diingini timbul disebabkan masalah ini kerana tidak mendapat keadilan dan akta yang tepat sehingga tidak mampu dipersoalkan. Isu diskriminasi ini disambut dengan baik dalam negara kita apabila diskriminasi terhadap wanita bertudung. Ini berlaku di mana beberapa hotel peringkat antarabangsa telah menolak atau tidak menerima di hotel bahagian khidmat pelanggan disebabkan memakai tudung semasa bekerja.

Walaupun isu ini sudah mendapat jalan penyelesaian, tidak mustahil isu sama persis akan berlaku dan wajar diambil oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan akta yang khusus bagi diskriminasi dalam sektor pekerjaan.  

Kita sedia maklum bahawa negara kita mempunyai undang-undang dalam sektor pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177]. Ia dilihat tidak memadai bagi memberi perlindungan yang secukupnya terhadap isu yang berkaitan dengan masalah diskriminasi dalam negara kita.

Ia juga tidak terlalu spesifik terhadap kes diskriminasi dalam norma pekerjaan. Kita perlu mencontoh negara dunia lain yang telah memperuntukkan akta yang khusus dalam anti diskriminasi alam pekerjaan bagi mengelakkan isu berbangkit antara kaum. Sebagai contoh Australia (Sex Discrimination Act 1984), Austria (Equality of Treatment Act), Denmark [Gender Equality (Consolidation) Act dan sebaginya.  Akta khusus sebegini tidak mampu dipersoalkan lagi oleh masyarakat madani sekiranya menghadapi masalah pekerjaan melalui sudut ini.  

Pembangunan dasar kerajaan yang menggalakkan kesetaraan dan keadilan juga amat perlu dalam pembangunan sektor pekerjaan di Malaysia. Untuk mencapai kesaksamaan dalam peluang kerja, dasar kerajaan yang kukuh amat diperlukan.

Kerajaan harus melaksanakan dasar yang mengawal kuota dan perlindungan untuk kumpulan yang berisiko mendapat peluang pekerjaan. Dasar ini boleh termasuk kuota pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat yang adil untuk minoriti dan wanita.

Program afirmatif juga harus diperkenalkan untuk merangsang penyertaan aktif kumpulan yang kurang diwakili dalam sektor pekerjaan tertentu. Kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta juga perlu dibangunkan untuk membangunkan dasar dan program inklusif yang menggalakkan kesaksamaan dalam peluang pekerjaan. 

Sebagai contoh, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad, empat tahun lalu merupakan satu dasar yang menjadi langkah untuk negara Malaysia supaya terus membangun seiring dengan negara lain. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa. Dasar ini dapat membantu ramai pengangguran dalam negara untuk memiliki pekerjaan terutamanya graduan yang lepas tamat belajar dari sesebuah institusi pendidikan.  

Oleh itu, tindakan yang konkrit dan menyeluruh mesti dilaksanakan untuk mewujudkan kesaksamaan dan keadilan dalam peluang pekerjaan di Malaysia. Meningkatkan kesedaran, pendidikan inklusif, melaksanakan dasar kerajaan, dan menambah baik penguatkuasaan undang-undang adalah semua komponen kritikal pendekatan yang mesti dilaksanakan.

Malaysia boleh membina masyarakat yang lebih saksama dan inklusif dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sektor korporat, NGO dan masyarakat secara keseluruhan. Di mana setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk merealisasikan potensi mereka dalam dunia pekerjaan untuk meningkatkan status sosial mereka. 

Penulis;

1) Mohammad Arif Bin Jamani - Mahasiswa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

2) Dr. Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Univeristi Kebangsaan Malaysia, Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular