Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelMasalah Kesihatan Mental Bukan Satu Gurauan

Masalah Kesihatan Mental Bukan Satu Gurauan

Pada 17 Mac 2019, satu jenis virus yang sangat bahaya telah dikenal pasti di Wuhan, China. Virus ini boleh menyerang sistem pernafasan manusia dan menyebabkan kematian ke atas individu tersebut.

Virus ini dikenali sebagai virus COVID-19 dan malangnya virus tersebut telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga menyebabkan pandemik COVID-19 atau pandemik koronavirus. Wabak ini juga telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Virus ini merebak dengan cara yang sama seperti influenza iaitu melalui titisan pernafasan apabila seseorang individu itu batuk atau bersin. Oleh yang sedemikian, virus ini dianggap virus yang paling mudah berjangkit dan tersebar.

Mana-mana individu yang terkena jangkitan virus tersebut akan menerima tanda-tanda gejala. Masa antara pendedahan dan permulaan gejala biasanya lima hari, tetapi mungkin berkisar antara dua hingga empat belas hari.

Gejala umum termasuklah demam, batuk dan sesak nafas. Komplikasi ini termasuk radang paru-paru dan sindrom kesukaran pernafasan. Setelah sekian lama para saintis berusaha menghasilkan vaksin bagi menyembuhkan manusia daripada virus ini, akhirnya terhasillah lima jenis vaksin. Namun begitu, di Malaysia kita hanya menerima beberapa jenis vaksin sahaja antaranya Pfizer, Astrazeneca, Sinovac dan lain-lain lagi.

Pelbagai usaha yang telah diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani wabak ini dengan sebaik mungkin. Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.

Apabila arahan penutupan sektor ekonomi dikeluarkan, ramai individu yang telah hilang punca pendapatan khususnya kepada individu yang mempunyai perniagaan sendiri sama ada perniagaan besar-besaran atau kecil- kecilan, semua individu turut merasai kesannya.

Statistik Bunuh Diri di Malaysia

Pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan kepada ramai pihak daripada aspek kesihatan mental. Kes bunuh diri di Malaysia telah meningkat daripada tahun- tahun sebelumnya.

Mengikut kenyataan akhbar Berita Harian pada 1 Julai 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 631 kes bunuh diri sepanjang tahun 2020 dan 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021. Bagi tahun 2019, sebanyak 609 kes bunuh diri dicatatkan dan secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dari tahun 2019 hingga Mei 2021. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021 juga seramai 281 lelaki dan 1,427 orang wanita dilaporkan membunuh diri.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud; “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kita sebagai seorang Muslim tidak sepatutnya meletakkan diri kita dalam keadaan bahaya termasuklah membunuh diri.

Punca dan Kesan

Antara punca utama masalah kesihatan mental dalam kalangan para pelajar adalah faktor pendidikan, keluarga dan ekonomi. Ketiga-tiga faktor ini merupakan faktor yang paling memberi kesan terhadap kesihatan mental pelajar.

Faktor pertama iaitu faktor pendidikan. Disebabkan pandemik COVID-19 ini, para pelajar terpaksa meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian. Keadaan ini merupakan satu keadaan yang baru dan masih mengambil masa untuk para pelajar menyesuaikan diri dalam keadaan ini.

Sesetengah pelajar mengalami masalah internet untuk menyertai kelas bersama pensyarah. Masalah ini walaupun dilihat sebagai satu masalah yang kecil, namun bagi sesetengah pelajar perkara ini amat mengganggu konsentrasi pembelajaran.

Mereka akan ketinggalan pelajaran dan akan berasa tertekan untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah. Ini kerana mereka sendiri tidak memahami apa yang dipelajari dan sehingga satu tahap pelajar menggunakan konsep ‘Asal Siap’.

Kebanyakan pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan tanpa mereka sendiri memahami apa yang mereka lakukan. Apabila pelajar tidak memahami apa yang dipelajari, ini akan memberi kesan kepada markah peperiksaan akhir, kuiz dan ujian para pelajar.

Selain itu, mempunyai ahli kumpulan yang tidak memberi kerjasama dalam menyiapkan tugasan juga menambahkan tekanan kepada para pelajar untuk belajar. Ahli kumpulan seperti ini atau lebih dikenali dengan istilah ‘Free Rider’ selalunya hanya berdiam diri dan tidak membantu menyelesaikan tugasan yang diberikan bersama-sama ahli kumpulan yang lain.

Selain itu, faktor keluarga juga memberi kesan kepada kesihatan mental para pelajar. Sesetengah keluarga meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak-anak mereka untuk berjaya dalam pelajaran.

Mereka tidak menghiraukan langsung segala alasan yang diberikan dan hanya ingin anak-anak mereka berjaya sehingga menjadi seseorang yang berjaya seperti yang dijangkanya. Ibu bapa gemar membandingkan anak-anak mereka dengan anak-anak orang lain termasuklah membandingkan keputusan peperiksaan. Ini sedikit sebanyak menambahkan tekanan terhadap anak- anak untuk belajar.

Ibu bapa perlulah sedar bahawa setiap anak-anak itu mempunyai keistimewaannya tersendiri dalam bidang masing-masing. Tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik, ada yang cemerlang dalam bidang sukan dan ada juga yang cemerlang dalam bidang seni.

Apa yang penting adalah sokongan daripada keluarga terutamanya ibu bapa. Tambahan di zaman pandemik COVID-19 ini, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak memahami anak-anak ketika mereka sedang mengikuti kelas secara dalam talian atau sedang menyiapkan tugasan.

Sesetengah ibu bapa menganggap anak-anak ini tidak membantu langsung mengerjakan kerja-kerja rumah dan hanya memberi alasan dengan mempunyai kelas dan sebagainya.

Keadaan ini sangat memberi kesan kepada para pelajar daripada aspek emosi. Apabila emosi mereka terganggu, mereka akan hilang fokus pada pembelajaran. Anak-anak akan merasai bahawa ibu bapa tidak memberi sokongan sama sekali terhadap kehidupan mereka.

Seterusnya, faktor ketiga iaitu ekonomi. Tidak semua individu dilahirkan mempunyai nasib yang baik. Ada individu yang mempunyai kehidupan yang sederhana dan ada juga yang mempunyai kehidupan yang mewah.

Pembelajaran secara dalam talian ini amat berat kepada keluarga yang kurang berkemampuan. Hal ini kerana para pelajar perlu mempunyai peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk mengikuti kelas pada setiap hari. Pelajar yang tidak mempunyai peranti elektronik terpaksa pergi ke rumah rakan-rakan atau jiran bagi meminjam peranti elektronik tersebut.

Bagi sesetengah keluarga, ibu bapa terpaksa berkongsi telefon bimbit mereka dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menyiapkan tugasan kerja dan anak-anak pula perlu mengikuti kelas dalam talian serta menyiakan tugasan pembelajaran.

Selain peranti elektronik, pelajar juga perlu membeli data internet untuk mengikuti kelas. Internet sangat penting bagi membolehkan mereka mengakses aplikasi-aplikasi keperluan masing-masing. Ditambah pula dengan masalah capaian internet di tempat-tempat tertentu memberikan sedikit tekanan kepada para pelajar untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Cara Mengatasi

Masalah kesihatan mental ini perlulah diatasi dengan segera agar tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada individu tersebut. Walaupun masalah yang kecil seperti tekanan dalam meneruskan pembelajaran, namun masalah kecil ini jika dibiarkan boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu tersebut.

Pertama, langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kesihatan mental adalah pelajar haruslah menyediakan jadual pembelajaran agar kehidupan pelajar tersebut lebih teratur.

Jadual yang dibuat itu termasuklah kelas, menyiapkan tugasan dan hal-hal lain. Apabila pelajar mempunyai jadual yang teratur, semua tugasan dapat disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan. Segala maklumat yang diberikan oleh pensyarah juga tidak akan terlepas pandang dan dicatat dengan baik.

Selain itu, pengambilan makanan yang seimbang juga dapat membantu para pelajar untuk mempunyai emosi yang baik sepanjang mengikuti kelas secara dalam talian. Pengambilan makanan yang sihat ini juga termasuklah mengambil air yang secukupnya dan mengambil makanan yang berkhasiat mengikut piramid makanan yang telah ditetapkan. Pengamalan gaya hidup sihat ini membantu menjamin kesihatan mental dan fizikal.

Seterusnya, ibu bapa juga haruslah memberi sokongan yang penuh kepada para pelajar terutamanya dalam proses pembelajaran. Mereka seharusnya memahami bahawa anak-anak mereka perlu meluangkan masa pada kelas dan menyiapkan tugasan. Ibu bapa seharusnya memberi kata-kata semangat kepada anak-anak mereka dan berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk anak- anak.

Di samping itu, para pensyarah seharusnya cakna dengan keadaan para pelajar sepanjang sesi pembelajaran secara dalam talian ini. Jika ada pelajar yang mempunyai masalah internet dan tidak dapat menyelesaikan ujian atau kuiz, pensyarah seharusnya dapat bertolak ansur dengan membuka masa yang lebih lama untuk memberi peluang kepada pelajar menjawabnya.

Akhir sekali, pihak universiti atau pihak kerajaan seharusnya memberi bantuan komputer riba dan data internet kepada para pelajar yang memerlukan. Hal ini sangat membantu pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian dengan baik.

Kesimpulan

Kesimpulannya, masalah kesihatan mental ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah oleh mana-mana individu. Segelintir pihak masih tidak mempunyai kesedaran tentang masalah kesihatan mental ini kerana beranggapan orang yang mempunyai masalah ini hanya memberikan alasan.

Orang yang tidak mengalaminya sendiri tidak akan pernah mengetahui akan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh orang yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Masalah ini merupakan masalah emosi. Fizikalnya kelihatan sihat namun sakitnya tidak dapat dilihat menyebabkan sesetengah individu sukar mempercayainya. Orang yang mempunyai masalah mental ini bukanlah tidak mahu berkongsi dengan orang lain, tetapi mereka beranggapan bahawa tiada siapa yang akan mempercayai kata-kata mereka. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berdiam diri dan memendam sakitnya itu sendiri.

Setiap pihak haruslah mengambil inisiatif bersama-sama bagi membantu para pesakit mental ini. Kita tidak seharusnya menghina atau mempersoalkan keadaan mereka, namun kita seharusnya sentiasa memberi sokongan yang penuh kepada mereka.

Buktikan pada mereka bahawa mereka tidak keseorangan dan ramai yang menyayangi mereka. Jika semua pihak mempunyai kesedaran akan kesihatan mental ini, masalah ini dapat kita tangani bersama-sama dan seterusnya mengurangkan kes bunuh diri di Malaysia. Semoga para pelajar dapat terus bersemangat untuk meneruskan pelajaran dan terus mengejar cita-cita masing-masing.

Penulis; Nur Adzimah binti Mahmud, pelajar Tahun 2 program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular