Saturday, April 20, 2024
HomeArtikelMasalah Kewangan Dan Kesihatan Mental Dalam Kalangan Pelajar Di Universiti Serta Cara...

Masalah Kewangan Dan Kesihatan Mental Dalam Kalangan Pelajar Di Universiti Serta Cara Mengatasinya

Masalah Kewangan dan Cara Mengatasi 

Sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), masalah kewangan adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh pelajar dalam kehidupan mereka. Sebilangan besar pelajar tidak tahu mengurus perbelanjaan mereka sendiri, terutamanya pelajar tahun satu yang baru memasuki bidang sekolah hingga ke universiti.

Sekiranya pada masa lalu, bagi keluarga yang tidak mempunyai latar belakang yang berkemampuan daripada pelbagai aspek mungkin ibu bapa hanya mampu membiayai anak-anak ketika masih sekolah, namun apabila memasuki peringkat universiti ada sesetengah keluarga yang tidak mampu membiayainya lagi.

Di peringkat IPT, bukan sahaja kewangan, tetapi juga banyak aspek lain yang perlu dikendalikan, seperti penyertaan akademik dan penyediaan keperluan harian. Keadaan ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar dengan lebih matang.

Golongan pelajar secara asalnya di mana tidak mempunyai sumber pendapatan kerana mereka masih belajar dan tidak digalakkan untuk mencari duit. Kebiasaanya sumber kewangan mereka sama ada melalui pinjaman, biasiswa ataupun duit belanja daripada ibubapa. Sumber kewangan utama bagi kebanyakan pelajar adalah pinjaman dari institusi tertentu, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagi mereka yang bernasib baik, mereka akan mendapat biasiswa atau tajaan daripada Kementerian Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Nasional atau agensi korporat. Tetapi biasanya, biasiswa atau tajaan ini hanya diberikan kepada pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam akademik. Tidak seperti peminjam PTPTN, mereka tidak perlu membayar setelah tamat pengajian. 

Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus, kerana kenaikan kos sara hidup dan banyak perbelanjaan yang perlu dibayar, perlu mengurangkan perbelanjaan harian mereka. Oleh itu, persiapan awal harus dibuat, seperti membuat senarai keperluan sebelum membeli. Kaedah ini sangat membantu dalam pengurusan kewangan tanpa meminta wang kepada ibu bapa.

Beberapa pendapat menunjukkan bahawa pelajar yang sudah berkahwin mempunyai jumlah perbelanjaan harian yang lebih tinggi daripada pelajar bujang (terutama lelaki). Ini kerana lelaki itu adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab untuk perbelanjaan kesihatan, perbelanjaan hidup dan pakaian isterinya.

Pelajar perlu membuat pertimbangan yang bijak antara kehendak dan keperluan sebenar. Sekiranya banyak wang dibelanjakan untuk hal yang hanya berdasarkan kemahuan dan bukannya keperluan, tidak hairanlah sebilangan pelajar harus makan mi segera pada akhir semester.

Memetik hadis Rasulullah s.a.w, yang bermaksud “yang terbaik adalah sederhana”. Penulis mengajak pembaca untuk memikirkan faktor perbelanjaan termasuk iklan, tren, dan pengaruh rakan sebaya.

Dalam Islam, kita didorong untuk menjalani kehidupan yang sederhana. Kita perlu bersyukur kepada Allah SWT atas nikmatnya. Kita diminta untuk tidak membazir kerana ini adalah amalan syaitan. Allah menjelaskan bahawa hambaNya perlu mempunyai konsep yang seimbang, atau dalam Islam disebut “tawazun” dalam pengajaran.

Kawalan perbelanjaan amatlah perlu dititikberatkan dalam diri pelajar. Hal ini kerana pelajar perlu ada sikap ‘beringat-ingat sebelum kena’ iaitu mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada kemudian harinya.

Manusia tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, contohnya mungkin pada hari keesokannya kita kemalangan, sakit teruk, memerlukan kos rawatan tinggi, atau motorsikal rosak. Kesemuanya memerlukan duit dalam jumlah yang banyak dan masa yang singkat. Duit simpanan yang sudah dikumpul sebelumnya boleh membantu kita pada waktu-waktu terdesak.

Selain berjimat dalam berbelanja, pelajar juga boleh memikirkan cara yang terbaik untuk mencari duit poket sekaligus tidak menjejaskan proses pembelajaran. Keadaan ini seringkali dilihat apabila terdapat ramai penuntut IPT cuba mengumpul duit poket dengan bekerja sambilan di mana-mana kedai yang berhampiran. Jika penuntut benar-benar terpaksa melakukannya, maka kesungguhan dan komitmen yang tinggi antara belajar dan bekerja adalah amat penting bagi membuatnya menjadi seimbang.

Keadaan ini boleh diibaratkan dengan kehidupan seorang pelajar yang menceburkan diri dalam bidang penulisan. Dengan memperuntukkan masa dengan menulis, pelajar ini mampu meningkatkan kemahirannya dalam bahasa. Namun, kemahiran ini perlulah digilap setiap masa.

Oleh itu, penglibatan dalam mana-mana bidang atau kerja ketika belajar amat memerlukan kesungguhan yang tinggi di samping perancangan yang rapi dan betul supaya tidak menjejaskan prestasi akademik.

Sungguhpun kos perbelanjaan agak tinggi bagi yang tinggal di luar kampus, namun perkara ini boleh ditangani dengan memahami keperluan dan kehendak sebenar seseorang supaya mempunyai  kawalan belanja yang bersesuaian. Dengan adanya pengurusan kewangan yang betul, pelajar mampu membuat simpanan duit untuk kegunaan pada masa akan datang.

Bagi pelajar yang tidak melakukan pekerjaan sambilan, terdapat beberapa tips lain yang boleh diikuti bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.

1. Buat Catatan

Pelajar disarankan untuk sentiasa mencatat duit keluar masuk setiap hari. Hal ini boleh membantu agar sentiasa berwaspada dengan keadaan kewangan semasa dan dapat mengenal pasti barang keperluan yang perlu dibelanjakan. Lebih baik mengurangkan perbelanjaan sekiranya barang tersebut bukan barang keperluan.

2. Wang Pinjaman 

Rata-rata pelajar hari ini mendapat pinjaman wang (seperti PTPTN) untuk melanjutkan pelajaran. Pasti ada lebihan selepas ditolak pembayaran yuran, kolej kediaman dan sebagainya. Pelajar sangat disarankan agar baki wang itu dijadikan simpanan. Jangan berbelanja pada sesuatu yang tidak perlu.

3. Jangan Berhutang

Perkara yang perlu dielakkan oleh seorang pelajar adalah berhutang. Tidak kiralah sama ada membeli sesuatu dengan cara berhutang atau meminjam wang daripada rakan-rakan. Apabila berhutang, pelajar akan berdepan dengan masalah kewangan setiap masa.

4. Bijak Dalam Merancang Belanjawan

Perbelanjaan perlu dirancang supaya para pelajar dapat menentukan keutamaan barang keperluan sendiri. Hal ini kerana, rata-rata pelajar sering berbelanja lebih daripada kemampuan sendiri kerana terikut dengan gaya hidup kawan-kawan yang mungkin dihidangkan dengan kehidupan yang mewah sedangkan diri sendiri hanyalah berlatar belakangkan kehidupan yang sederhana. Oleh itu, pelajar perlulah sedar akan hakikat kehidupan zaman sekarang dimana kita perlu hidup ibarat mengukur baju di badan sendiri.

5. Simpan Wang Di Tempat Selamat

Apa sahaja yang dibelanjakan perlulah direkod. Wang perlulah disimpan di tempat selamat. Bank merupakan institusi kewangan yang selamat untuk menyimpan wang. Sekiranya pelajar berminat untuk membuat pelaburan, terdapat beberapa institusi bebas risiko yang boleh digunakan untuk membuat pelaburan antaranya Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Masalah Kesihatan Mental dan Cara Mengatasi 

Kesihatan mental perlu dilihat dari aspek baik dan buruk. Setiap orang, mungkin dalam hidupnya mengalami kedua-dua aspek tersebut, kadangkala keadaan mentalnya sihat, tetapi pada sesuatu masa yang lain adalah sebaliknya.

Ketika mengalami masalah kesihatan mental, seseorang memerlukan pertolongan orang lain untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Kesihatan mental dapat memberikan kesan terhadap kehidupan sehari-hari atau masa depan seseorang. Merawat dan melindungi kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting yang dapat membantu perkembangan individu yang lebih baik di masa depan.

Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar universiti adalah sangat umum dan kurang pengetahuan mengenai kesihatan mental dipercayai merupakan punca utama kepada peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan pelajar.

Pelajar universiti juga cenderung kepada masalah mental akibat pelbagai perubahan psikososial dan tekanan akademik. Oleh itu, pelajar universiti perlu menyesuaikan diri terhadap perubahan-perubahan ini bagi menyiapkan diri untuk kerjaya profesional yang lebih mencabar. Secara tidak langsung, golongan pelajar ini mengalami tekanan akibat jangkaan yang berlebihan ke atas mereka sehingga membahayakan kesihatan fizikal dan mental mereka.

Masalah keluarga dan pembelajaran juga menyumbang kepada gangguan emosi pelajar. Masalah kemurungan, kebimbangan dan tekanan merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pelajar termasuk yang berada di pusat pengajian tinggi.

Apabila stres dilihat daripada aspek negatif, ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang pelajar. Oleh kerana stres di kalangan pelajar merupakan satu fenomena yang membimbangkan pelbagai pihak sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh, maka adalah penting bagi mengenalpasti faktor-faktor penyebab stres pelajar terlebih dahulu sebelum sesuatu program intervensi direka bentuk.

Oleh yang demikian, stres boleh menyebabkan kehidupan dan pergaulan seharian seorang pelajar terjejas sehingga memberi impak negatif terhadap tahap kesihatan, personaliti, interaksi sosial dan pencapaian akademik mereka.

Antara tips yang dapat dilakukan oleh pelajar sekiranya menghadapi masalah kesihatan mental adalah seperti berikut:

1. Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Amalkanlah gaya hidup yang sihat. Makanlah makanan yang sihat dan seimbang. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Tidak perlu melakukan aktiviti berat, memadai dengan berjoging, menaiki basikal atau berjalan di taman. Jika berasa serabut dan stres semasa menyiapkan kajian, berehatlah sebentar dan lakukan senaman ringan dan ambillah snek yang sihat seperti buah-buahan.

2. Jangan Menyendiri

Mengasingkan diri semasa dalam keadaan tertekan atau stres bukanlah jalan yang betul. Carilah seseorang untuk meluahkan perasaan atau berkongsi cerita pada mereka. Mungkin, jika berjumpa dengan seseorang yang dipercayai dan berkongsi kepadanya mungkin berasa tenang dan dapat memikirkan jalan penyelesaian terbaik. Jika tidak mempunyai  kenalan rapat, minta bantuan dari penyelia. Orang yang lebih berpengalaman dapat membantu memberi bantuan untuk tekanan yang dialami. Kebanyakan setiap universiti juga mempunyai khidmat kaunseling pelajar. Jadi, itu juga merupakan satu pilihan untuk anda berkongsi dengan mereka. 

3. Dapatkan Tidur yang Mencukupi 

Rutin tidur dan rehat yang betul dapat memastikan kesihatan mental terjaga dan boleh menguruskan stres dengan baik. Tidur merupakan cara terbaik untuk merehatkan fizikal dan mental selepas melakukan tugasan yang berat setiap hari. Stres boleh mengganggu corak tidur seseorang. Ambil masa beberapa minit sebelum tidur untuk bertenang dan menguruskan diri seperti mandi dan solat sebelum tidur. 

4. Memperuntukkan Masa Rehat

Carilah masa untuk berehat setelah mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja atau tugas kerana hal ini dapat mengurangkan pelajar mengalami stres melampau. Selain itu, carilah masa untuk bercuti dan berehat pada hujung minggu supaya dapat hilangkan rasa penat melakukan tugasan. Rehat yang berkualiti dapat menjamin kesihatan yang berkualiti.

Penulis; Nur Emielia Batrisyia binti Ismail, pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia,Nilai.
RELATED ARTICLES

Most Popular