Wednesday, August 17, 2022
HomeArtikelMasyarakat Prihatin Pemangkin Kesejahteraan Negara

Masyarakat Prihatin Pemangkin Kesejahteraan Negara

Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Kepelbagaian ini mungkin dilihat sebagai satu halangan kepada negara Malaysia untuk mencapai kesepakatan dan kesejahteraan hidup.

Namun begitu, rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman dan damai sejak kemerdekaannya pada tahun 1957. Sifat prihatin yang ada dalam diri rakyat Malaysia telah menjadi resipi dan pemangkin yang mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan di negara ini.

Sifat prihatin dalam diri setiap individu dan masyarakat sangat penting untuk membantu dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan dalam sesebuah negara yang merdeka. Benarlah pernyataan bahawa berjuang untuk menuntut kemerdekaan sangat sukar tetapi lebih sukar lagi untuk mengisi kemerdekaan negara, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk memupuk dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Mutakhir kini, banyak peristiwa mengejutkan yang berlaku di Malaysia, antaranya pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang sangat teruk. Peristiwa ini menyerang dan mengancam seluruh masyarakat tidak mengenal latar belakang kaum dan agama seseorang mangsa.

Gejala kelaparan dan tiada tempat perlindungan turut dirasai merentasi sempadan kaum dan agama mereka yang terlibat. Terdapat juga mangsa yang terpaksa mencari tempat perlindungan di atas bumbung rumah dalam keadaan gelap disebabkan bekalan elektrik yang terputus dan juga kesejukan kerana hujan. Seluruh masyarakat terkesan dengan musibah yang berlaku.

Selaras dengan ini, sifat prihatin masyarakat Malaysia perlulah dipertingkatkan dan dipraktikkan bagi mewujudkan rasa kepedulian dan membantu dalam mengharungi pandemik dan bencana ini dengan jayanya. Sifat prihatin dalam diri masyarakat Malaysia dapat dilihat dengan jelas dalam usaha untuk membantu mengurangkan beban mangsa.

Banyak bantuan yang disalurkan kepada mangsa yang mengalami musibah. Ini termasuklah bantuan ekonomi dan sosial kepada mangsa yang terjejas seperti pemberian bantuan keperluan asas, bank makanan, membantu mencuci rumah, bantuan menyelamat mangsa banjir dan sebagainya. Sebagai rakyat yang prihatin, kita sewajarnya mengambil berat dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

Keprihatinan ini merangkumi pelbagai lapisan masyarakat sama ada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, rakan sekerja dan sebagainya tanpa mengira kaum dan agama.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila terdapat sekumpulan remaja yang berbangsa India yang membantu membersihkan surau dan juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang majoritinya adalah masyarakat Melayu membantu membersihkan kuil. Selain itu, banyak NGO dan individu yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama turut turun padang bagi membantu mangsa yang terjejas.

Dalam situasi ini, mangsa yang terjejas juga mungkin akan mengalami masalah tekanan perasaan dan mental. Mereka pasti diselubungi dengan perasaan sedih yang bersangatan kerana kehilangan tempat tinggal, barang berharga dan ada juga yang kehilangan insan tersayang. Jadi, sebagai masyarakat yang prihatin, kita sewajarnya memerhatikan pihak yang berada di sekeliling kita dan juga memberikan semangat kepada mereka.

Jika kita lihat dalam komunikasi di dunia digital melalui media sosial, ramai pengguna media sosial yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada mangsa yang terlibat. Selain itu, ada juga pihak yang menyediakan platform kepada sesiapa yang tidak dapat membantu disebabkan oleh kekangan yang tertentu seperti jarak yang jauh dan sebagainya, untuk membantu meringankan beban dari segi kewangan.

Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai peluang untuk membantu, mereka boleh memberi semangat dan sumbangan dari jarak jauh melalui platform yang disediakan.

Ini jelas menunjukkan keprihatinan dan juga semangat kerjasama dalam diri rakyat Malaysia amat tinggi dan kuat. Seluruh masyarakat berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk membantu mengurangkan beban mangsa. Peristiwa bencana banjir dalam keadaan negara masih lagi berjuang menghapuskan pandemik Covid-19 bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga, sangat menyedihkan jika tidak ada masyarakat yang prihatin dan ambil peduli.

Tambahan pula, jika kita meneliti dalam hadis Nabi SAW, banyak galakan yang menggalakkan kita untuk bersikap prihatin dan ambil peduli. Ini jelas menunjukkan sikap prihatin adalah satu nilai yang wajar dipupuk dan dipraktikkan dalam diri setiap individu dan masyarakat tidak mengenal umur dan jantina.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud;

Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis di atas menerangkan tentang kasih sayang terhadap saudaranya yang dikaitkan dengan keimanan

Dalam hadis lain, Rasulullah juga menggalakkan sikap prihatin terhadap jiran. Sabda Nabi SAW yang bermaksud;

Tidak termasuk orang beriman, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat al-Tabrani)

Natijahnya, setiap individu perlulah bersikap prihatin dan mengambil peduli dengan masyarakat sekeliling kita tanpa mengambil kira bangsa dan agama. Hal ini kerana bencana dan musibah yang melanda tiada kaitan dengan agama dan kaum secara khusus.

Setiap orang akan terkesan dengan musibah yang melanda. Semua pihak yang berautoriti perlulah bekerjasama membantu untuk memupuk sikap prihatin dalam diri setiap masyarakat. Ibu bapa perlulah mendidik anak-anak untuk menanamkan dan meningkatkan sikap prihatin dalam diri sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Keprihatinan masyarakat amatlah penting pada saat negara ditimpa musibah. Justeru, tingkatkan keprihatinan dengan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama agar kita dapat menghadapi segala musibah ini bersama sekali gus meningkatkan semangat perpaduan dan mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara kita.

Penulis; Siti Maisarah Binti Mohammad Zamani, Pelajar Tahun 1, Fakulti Ekonomi Muamalat, USIM
RELATED ARTICLES

Most Popular