Adalah suatu keperluan kepada masyarakat untuk menggunakan telefon pintar mereka bagi mengetahui kemas kini harian, berita-berita sosial dan tugasan peribadi mereka, namun tidak ramai yang sedar akan mekanisme atau sistem yang terdapat dalam telefon pintar tersebut.
Teknologi ‘Kecerdasan Buatan’ atau ‘Artificial Intelligence’ (AI) boleh dikatakan sudah beroperasi dalam kebanyakan jenis telefon pintar sejak beberapa dekad yang lalu dan ini hanyalah satu contoh ringkas mengenai aplikasi teknologi AI yang dapat dinyatakan dalam konteks ini.
Masyarakat perlu memahami penjelasan asas mengenai teknologi AI untuk menolak dan mencantas pemikiran-pemikiran negatif seperti AI-fobia, salah faham dan mitos berkaitan penggantian atau kehilangan pekerjaan.
Di Malaysia, teknologi AI ini telah diterapkan di seluruh pelusuk wilayah, dan lebih spesifik lagi dalam pelbagai jenis industri yang wujud di negara ini. Contohnya, hospitaliti dan penjagaan kesihatan, kewangan dan perniagaan dan semestinya dalam sektor utama seperti kilang dan syarikat pembuatan.
Dari perspektif masa, AI adalah evolusi dalam sistem komputer dan ia telah diimprovisasikan sejak awal 50-an dan juga dikemaskini dengan pembaharuan baharu sehingga sekarang. Tidak mustahil untuk teknologi AI ini berkembang dengan lebih maju pada masa akan datang dengan wujudnya generasi pintar yang kian bercambah seiring dengan polisi masyarakat berkaitan permintaan dan kebergantungan mereka terhadap teknologi.
Merujuk kepada isu ini, perkara paling asas mengenai teknologi AI yang perlu dipertimbangkan oleh orang ramai adalah kenyataan bahawa ia adalah sistem di dalam komputer atau mesin dan ia diprogramkan untuk beroperasi dan melakukan tugas seperti yang dilakukan oleh manusia sendiri.
Secara teorinya, komputer atau mesin ini melaksanakan pemerhatian visual daripada perspektif mereka, pengenalan ucapan atau ‘voice recognition’, terjemahan antara bahasa-bahasa dan juga menitikberatkan pembuatan keputusan. Dalam peredaran zaman ini, ciri-ciri mesin dan komputer ini semakin moden dan berkembang dari segi fungsi dan kecerdasan.
Berikutan dari konteks telefon pintar, masyarakat dapat memerhatikan dari semasa ke semasa, fungsi telefon pintar terus dinaiktarafkan dan berbeza dalam pelbagai ciri seperti ‘Google Assistant’, ‘Siri’ dan ‘Alexa’. Model-model ini adalah antara ciptaan-ciptaan terkenal yang dilampirkan di dalam telefon pintar yang berbeza tetapi tujuannya adalah untuk menunjukkan persamaan mereka dalam konteks teknologi AI.
Persoalan utamanya, bagaimanakah teknologi AI berfungsi dan apakah tujuan penting penemuannya sejak 50 tahun dahulu?
Istilah saintifik untuk menjelaskan mekanisme yang terdapat dalam AI adalah pembelajaran mesinari atau ‘machine learning’. Pembelajaran mesinari adalah komponen yang memberikan kemampuan kepada mesin dan komputer untuk belajar secara automatik dan memperbaiki kesalahan sendiri dari pengalaman tanpa diprogram secara manual oleh manusia.
Ia menggunakan sejumlah besar data untuk mengembangkan programnya dan seterusnya mempelajari corak data, analisis dan menambahbaik perincian sendiri. Proses pembelajaran ini merupakan bahagian yang menarik di mana ia dimulakan dengan pemerhatian ke atas sampel data, contohnya, pemerhatian secara langsung atau dari arahan, dan ia mencari corak atau mobiliti data-data tersebut dan akhirnya membuat keputusan di masa depan berdasarkan contoh-contoh tersebut.
Tujuan utamanya adalah untuk membolehkan komputer belajar secara automatik tanpa campur tangan atau bantuan manusia dan dalam masa yang sama menyesuaikan tindakan mereka dengan sewajarnya. Manfaat yang dapat diperoleh adalah, pembelajaran mesinari dalam teknologi AI ini membolehkan analisis data dilengkapkan dalam jangka masa yang lebih pendek walaupun melibatkan sejumlah data yang besar.
Meskipun prosesnya beroperasi dengan lebih cepat, namun ia tidak mempengaruhi keputusan pengiraan dan sebaliknya, ia menghasilkan output yang lebih tepat untuk mengesan sebarang peluang dan risiko.
Untuk memahami subjek AI ini dengan lebih mendalam, teknologi AI dapat dibahagikan kepada empat dimensi seperti mana yang dinyatakan oleh Russel dan Norvig (2003).
Definisi pertama, AI adalah sistem yang berfikir seperti manusia. Setelah beberapa dekad dalam peredaran zaman, nenek moyang kita telah berusaha untuk mencipta mesin yang mempunyai mekanisme atau kebolehan untuk berfikir sama seperti manusia. Tentang bagaimana manusia berfikir, bagaimana manusia mengambil tindakan berdasarkan pilihan yang ada, bagaimana manusia bertindak balas secara normal terhadap sesuatu perkara?
Semua butiran ini terlalu banyak untuk dikaji, namun dalam beberapa dekad ini, terdapat mesin yang berupaya melakukan semua perkara ini dan bahkan menghasilkan keputusan yang lebih baik. Dengan wujudnya model yang mensimulasikan sifat manusia, akhirnya sistem ini dapat berfikir mengikut tingkah laku manusia berdasarkan sesuatu tujuan yang mereka tetapkan.
Kedua, AI bertindak seperti manusia. Tujuan utama perwujudan teknologi AI adalah apabila interaktiviti oleh program atau sistem yang perlu kepada interaksi dengan orang lain. Ini adalah ketika AI beroperasi dengan kelakuan mengikut kebiasaan manusia normal supaya tiadaketidakjelasan berlaku dalam suatu urusan.
Definisi seterusnya adalah, AI berfikir secara rasional. Rasional di sini bermaksud kesesuaian dengan akal dan juga logik. Model sistem teknologi AI ini berproses berdasarkan logik dan kesimpulan yang dibuat adalah berdasarkan logik simbolik tertentu.
Akhir sekali, AI bertindak secara rasional. Ketika beroperasi, secara rasionalnya, adalah penting untuk mencapai objektif seseorang, sesuai dengan sasarannya. Teknologi AI bertindak sebagai ejen yang memerhati, menelaah dan beroperasi dari segi pengekodannya untuk menghasilkan keputusan yang betul, logik dengan penerimaan akal, serta output yang baik.
Dalam konteks Malaysia, jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, pendekatan teknologi AI telah banyak dilaksanakan sama ada oleh kerajaan atau kerajaan negeri, organisasi awam, NGO dan juga firma-firma. Sebagai contoh, dalam sektor ekonomi, teknologi AI telah digunakan dalam peranan eksport yang berfungsi dalam peramalan model.
Selain itu, terdapat juga suatu pengoperasian AI yang terletak di Basin, Selangor, di mana ia digunakan untuk meramalkan keberangkalian untuk musim kemarau. Juga teknologi AI yang menjadi model untuk ramalan indeks evapotranspirasi pemendakan standard atau ‘standardized precipitation evapotranspiration index’ (SPEI) di Sungai Langat.
Dalam sektor hospitaliti pula, Ipoh Specialist Hospital Malaysia juga terlibat secara langsung dalam teknologi seperti ini. Mereka mengaplikasikan diagnosis penyakit arteri koronari menggunakan sistem sokongan keputusan berdasarkan AI dalam konteks masalah jantung.
Dengan segala teknologi yang dipertingkatkan dengan kemajuan AI seperti ini, ia akan mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk generasi seterusnya tanpa mengira sebarang jangkaan masyarakat.
Penulis; Eizmal Haikal bin Mazul Azrie, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.