Saturday, July 13, 2024
HomeArtikelMenguasai Kemahiran Berenang Asas Keselamatan Diri

Menguasai Kemahiran Berenang Asas Keselamatan Diri

Kebelakangan ini, kejadian kes lemas semakin meningkat dan lebih menimbulkan kebimbangan yang mendalam, terutama apabila kebanyakan daripadanya berakhir dengan kematian. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan ketika masyarakat sering terlibat dalam aktiviti riadah di kawasan seperti air terjun dan pantai ketika masuk musim tengkujuh.  Hal ini adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu tentang keselamatan diri dan asas berenang pada diri seseorang sewaktu melakukan aktiviti air seperti di pantai, kolam renang atau semasa banjir sekalipun.  

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 1595 panggilan kecemasan yang diterima melibatkan kes lemas untuk tempoh lima tahun 2018 hingga 2022. Oleh itu, dalam konteks ini, pembelajaran asas berenang bukan sahaja menjadi satu keperluan, malah ia juga menjadi penentu keselamatan diri yang penting dalam kehidupan seharian.

Mengapa pembelajaran asas berenang penting? Mempelajari asas berenang bukanlah hanya sekadar riadah atau sukan untuk bertanding, malah ia adalah satu kemahiran yang sangat penting dalam melindungi diri daripada bahaya di sekitar air. Amat sedih menelan kebenaran apabila masih ramai yang kurang mahir asas berenang, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko seperti kawasan yang selalu dilanda banjir atau pinggir laut. Oleh kerana Malaysia ini adalah negara yang kaya dengan sumber air seperti sungai dan laut serta berisiko untuk banjir disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu, pembelajaran asas berenang adalah suatu keperluan yang semakin mendesak.

Dengan menguasai kemahiran berenang, seseorang individu dapat mengurangkan kemungkinan lemas dan melindungi diri daripada bahaya. Ini kerana, dalam situasi darurat di sekitar air, kemahiran berenang memberikan keupayaan untuk menyelamatkan diri atau orang lain dari kemalangan yang berlaku. Maka, pembelajaran asas berenang bukanlah hanya sekadar membentuk kemahiran, tetapi juga merupakan langkah proaktif untuk menjaga keselamatan diri dalam situasi yang tidak dijangka.

Namun, terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dalam mempelajari seni berenang. Antara halangan yang paling ketara ialah kekurangan akses kepada fasiliti yang bersesuaian seperti kolam renang yang terbuka untuk awam. Selain itu, kos yang tinggi untuk mengikuti kursus berenang menjadi penghalang utama bagi sesetengah individu. Kos yang tinggi ini merangkumi bayaran penyewaan fasiliti semasa kelas berlangsung, pelaburan untuk kelengkapan renang yang berkualiti seperti pakaian renang dan keperluan untuk berlatih di bawah pengawasan jurulatih berlesen. Tambahan pula, kurangnya kesedaran tentang kepentingan berenang turut menyumbang kepada rendahnya minat dalam mempelajari kemahiran ini.

Selain menguasai kemahiran berenang, adalah penting dan menjadi tanggungjawab semua orang supaya setiap individu mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai aspek keselamatan diri semasa berada di sekitar air. Salah satu ilmu yang paling perlu dikuasai adalah memahami arus air, yang mana ia boleh menjadi bahaya kepada diri sendiri jika tidak dilatih walaupun arus air kelihatan tenang. Mengetahui arah, geografi pantai dan kekuatan arus air dapat membantu seseorang dapat membuat keputusan yang bijak tentang di mana dan bagaimana mereka akan berenang.   

Di samping itu, menilai kedalaman dan keadaan laut sebelum memasuki air adalah menjadi satu faktor keselamatan diri seseorang individu. Ini kerana risiko untuk mendapat luka atau tenggelam selepas terjun adalah tinggi jika seseorang individu tersebut tidak mengetahui kedalaman air dan tidak nampak akan bahaya yang ada di dalamnya.  Contohnya, adalah sangat bahaya terjun ke dalam air yang cetek dengan cara yang tidak betul kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan pada leher atau tulang belakang akibat hentakan dengan dasar yang keras.

Kadangkala, walaupun kedalaman air tersebut kelihatan selamat untuk terjun, namun tanpa penilaian yang teliti, seseorang individu boleh mendapat kecederaan yang serius kerana tidak sedar akan kewujudan objek tajam seperti terumbu karang atau batu di dasar laut.  Oleh itu, penting untuk kita mengambil kira kedalaman air dan melakukan terjunan yang betul untuk mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.

Pada masa yang sama, penggunaan peralatan keselamatan juga merupakan langkah yang bijak untuk mengurangkan risiko cedera atau kecemasan semasa berenang. Ilmu penggunaan peralatan keselamatan ini perlu dipelajari dan didedahkan kepada orang awam kerana ia amat berguna terutamanya dalam situasi air yang atau mempunyai arus yang kuat contohnya seperti waktu banjir. Peralatan keselamatan tidak semestinya perlu dibeli, namun ia berdasarkan situasi. Contohnya, jika bersukan atau beriadah di kawasan berair seperti kolam dan pantai, peralatan keselamatan yang penting yang perlu dimiliki oleh semua orang adalah pakaian renang yang berkualiti serta persediaan jaket dan pelampung keselamatan di sekitar kawasan tersebut.

Namun, peralatan keselamatan ini boleh berubah mengikut situasi seperti  ketika banjir besar yang memiliki arus yang deras dan air yang dalam, peralatan keselamatan berubah kepada apa yang  ada di sekeliling mereka  sahaja. Peralatan keselamatan ini sangat penting kerana ia berfungsi sebagai sokongan tambahan dan memastikan bahawa seseorang tetap mengapung dalam keadaan darurat.

Pembelajaran asas berenang bukanlah sekadar satu kemahiran tambahan; ia adalah satu keperluan untuk keselamatan diri dan kesejahteraan. Dengan peningkatan kejadian lemas di Malaysia, adalah penting bagi setiap individu untuk memahami kepentingan pembelajaran asas berenang. Melalui kesedaran, latihan, dan pendekatan holistik, kita dapat membina masyarakat yang lebih selamat dan sihat di sekitar air. Kesedaran tentang risiko yang berkaitan dengan aktiviti air adalah penting untuk diingati oleh semua peminat berenang. Walaupun berenang adalah aktiviti yang menyeronokkan dan menyihatkan, ia juga melibatkan potensi risiko yang tinggi, terutamanya jika tidak dijalankan dengan berhati-hati.

Oleh itu, semua individu perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan mengambil tahu tentang langkah-langkah keselamatan yang sesuai sebelum terlibat dalam aktiviti berenang. Dengan begitu, mereka dapat menikmati aktiviti air dengan lebih yakin dan tanpa risiko yang tidak perlu. Jangan tunggu lagi – mulakan perjalanan pembelajaran berenang hari ini untuk keselamatan dan kesejahteraan kita semua.

Penulis: Wan Nur Alya Nabihah Binti Mazli, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular