Friday, December 2, 2022
HomeArtikelMenyedari Realiti Kehidupan Masyarakat Dalam Pelbagai Etnik

Menyedari Realiti Kehidupan Masyarakat Dalam Pelbagai Etnik

Kepelbagaian etnik merupakan antara salah satu imej negara kita. Sejak dari zaman nenek moyang lagi kita sudah dipupuk untuk menjaga hubungan antara satu sama lain tidak kira agama dan bangsa khususnya di negara Malaysia yang rata-rata penduduknya adalah berbilang kaum.

Ini tidak dapat dinafikan sendiri oleh Menteri Perpaduan, Datuk Seri Halimah Sadique yang memberi tumpuan untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional serta mencapai objektif ke arah pembentukan Malaysia yang bersatu.

Masalah yang kecil tidak boleh dipandang enteng apabila melibatkan unsur perkauman. Hal ini kerana isu perkauman boleh menjadi isu yang sangat sensitif dikalangan penduduk Malaysia apabila berlakunya ketidakfahaman antara satu sama lain dan sukar untuk ditangani apabila berlakunya isu seperti itu.

Perpaduan adalah sentimen yang penting dan perlu diterap oleh setiap rakyat di negara kita bagi menyempurnakan maksud bagi keindahan hidup dalam kepelbagaian etnik. Masyarakat perlu melakukan pelbagai cara bagi melengkapkan diri mereka dengan gaya kehidupan sebegini ini.

Untuk menambah baik lagi definisi perpaduan dalam diri masing-masing adalah dengan menerapkan semua nilai yang positif supaya dapat membentuk suasana yang harmoni.

Mencorak kain seseorang seawal usia yang muda boleh menjadi perkara yang amat mudah dan langkah yang signifikan untuk memupuk mereka tentang kepentingan kehidupan dalam pelbagai etnik. Generasi muda ini yang akan menjadi tonggak kejayaan bagi sesebuah negara. Tambahan pula mereka lebih cepat untuk mengadaptasi sesuatu yang baharu berbanding golongan dewasa.

Namun, itu bukan penghalang ataupun alasan bagi golongan dewasa mengabaikan tanggungjawab mereka dalam perkara ini lebih-lebih lagi merekalah yang menjadi teladan kepada orang muda di luar sana.

Seperti mana dalam institusi kekeluargaan, ibu bapa adalah teladan bagi anak-anak mereka sama ada baik atau buruk. Itulah contoh perumpamaan bagi tugas golongan dewasa dalam sesebuah komuniti. 

Jikalau dilihat dari skop yang lebih besar iaitu dari sudut sesebuah negara, pemimpin dan juga individu yang mempunyai pengaruh politik merupakan penggerak bagi elemen-elemen yang berkaitan perpaduan dikalangan masyarakat.

Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sesuatu perkara tanpa melakukan rancangan yang teliti supaya akibat yang buruk seperti wujud perasaan berat sebelah dapat dielakkan. Oleh kerana itulah tugas dan tanggungjawab mereka bukan semudah yang kita sangka, namun itulah yang mereka perlu berhati-hati dalam setiap perilaku mereka.

Kesejahteraan sosial datangnya dari perpaduan yang kukuh. Itulah kunci untuk kita hidup bersama-sama. Setiap etnik mempunyai budaya atau cara kehidupan masing-masing. Perbuatan yang menunjukkan kebencian atau mempermainkan adat resam adalah tidak wajar tetapi itulah realiti masalah rakyat pada masa kini.

Masalah seperti itulah yang menghancurkan imej warisan negara kita. Kebebasan adalah hak bagi semua pihak, tidak kiralah berlainan adat antara satu sama lain, namun kita perlu menerima dengan fikiran terbuka kerana itulah warna-warni kehidupan bermasyarakat.

Jika mereka tidak memandang serius tentang hal ini, peristiwa seperti 13 Mei 1969 boleh berulang jika sentimen perkauman dipermainkan. Kita perlu ingat bahawa negara kita mempunyai Rukun Negara yang perlu dipatuhi bagi melancarkan visi negara kita dalam mencapai ikatan perpaduan yang erat.

Benar, tidak mudah untuk kita lihat perkara ini dari konteks umum khususnya pada mereka yang sudah biasa hidup berjirankan bangsa sendiri tetapi kita perlu letakkan dalam minda kita bahawa tanggungjawab ini perlu digalas oleh setiap individu yang lahir di Malaysia.

Kita perlu ingat bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Itulah peribahasa yang dapat diungkapkan jika kita semua bersama-sama menggalas tanggungjawab kita untuk memastikan kita hidup dalam keadaan aman dan sentosa.

Perlu kita sedar bahawa sejauh mana kita mengikuti peredaran masa, kita perlu kembali pada asal usul kita ataupun identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Jangan kita lalai dan alpa dengan kejayaan dan kemewahan diri kita, terus kita meremehkan jati diri dan maruah kita sebagai warganegara.

Ini perlu dibendung kerana kejayaan diri kita juga adalah kejayaan negara kita biarpun kejayaan itu tidak dipandang orang ataupun nilainya tidak sebesar pejuang tanah air kita terdahulu. Ttetapi jika dilihat dari perspektif yang lain, mungkin ia boleh mendatangkan manfaat pada generasi yang akan datang seperti menaikkan semangat anak muda untuk terus bangkit daripada berada di dalam kelompok yang tiada matlamat dan hala tuju yang jelas dalam diri mereka.

Hakikatnya kita yang akan membawa aspirasi ini untuk terus unggul ke depan. Kita perlu bangga setiap usaha yang dipikul ini adalah sama seperti tugas-tugas yang digalas oleh para barisan hadapan negara kita.

Biarpun berlainan dari sudut pengorbanan dalam usaha kita untuk dibandingkan dengan usaha para barisan hadapan yang berada di dalam situasi yang lebih sukar dan genting. Ini kerana kita membawa matlamat yang sama.

Natijahnya, semua pihak perlu menggerakkan kudrat masing-masing untuk terus berjuang dan berusaha bagi memastikan keharmonian di negara kita terus meningkat. Perlu kita semat dalam diri kita bahawa bukan sahaja maruah diri yang perlu diberi tumpuan malah maruah negara juga terletak pada penduduknya.

Selagi kita hidup, berusahalah menjaga keharmonian dan juga ketenteraman bagi kepentingan sejagat. Jadilah masyarakat yang terkenal dengan sifat keterbukaan supaya lebih mudah untuk didekati walau apa jua bangsa ataupun etnik.

Oleh hal demikian, keserasian dapat dibentuk bagi mengharungi situasi yang lebih mencabar pada masa hadapan dengan lebih berkesan.

Penulis; Wan Irfan Solihin bin Wan Suhaimi, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Previous article
Next article
RELATED ARTICLES

Most Popular