Monday, December 9, 2024
HomeKehidupanMeraikan Guru

Meraikan Guru

16 Mei tiba lagi. Menariknya 16 Mei pada tahun ini datang dalam suasana Syawal. Seperti biasa ucapan menghujani pelantar Whatsapp dalam pelbagai cara. Ada yang memetik puisi terkenal nukilan sasterawan negara, ilustrasi komik yang lucu dan video lagu Kami Guru Malaysia. Tujuannya cuma untuk mengenang dan menghargai insan bernama guru.

Setelah hampir 20 tahun dalam dunia pendidikan yang bukanlah pilihan utama, saya mencintai bidang ini. Perasaan yang masih sama, mengajar murid dari tidak tahu kepada tahu, yang tahu semakin tahu.

Namun bidang ini bukan sekadar mengajar ilmu di dalam buku semata, bidang ini menuntut kita menyantuni emosi murid. Mengapa murid yang dia tahu tetapi tidak mahu menyerlahkan potensi diri? Mengapa murid yang tidak tahu masih tidak tahu biarpun diulang topik yang sama berulang kali?

Setelah bergelar seorang guru, saya tidak mengira berapa ramaikah anak murid yang mendapat A, saya hanya mahu mereka menjadi insan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.

Lagipun susah sekali meletak tanda aras bagi definisi orang yang berjaya. Seorang murid yang meraih semua A tetapi tidak menyapa guru, adakah berjaya daripada seorang murid yang bekerja di pasar malam tetapi mesra menyapa gurunya?

Dalam mendepani cabaran mendidik generasi Z saya rasa nilai-nilai murni masih perlu dijadikan tunjang utama. Jika murid itu telah menguasai semua topik dalam sesuatu subjek dia masih perlu belajar banyak perkara.

Mencari ilmu tiada titik noktahnya, proses menuntut ilmu umpama satu pengembaraan yang hebat. Guru hanya menjadi penunjuk jalan.

Kepada semua murid yang pernah saya didik, semoga kamu menjalani hidup dengan baik, jika hidup kamu tidak berjalan seperti yang kamu ingini, kamu teruskan perjalanan itu dengan tekad dan usaha yang lebih gigih.

Jangan lupa berdoa selalu kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular