Mitos Ideologi Antivaksin

0
84
Mitos Ideologi Antivaksin

Pemikiran atau ideologi antivaksin bukanlah suatu isu yang baru malah telah lama wujud dan malangnya masih lagi dipegang dan diperjuangkan oleh segelintir golongan. Kewujudan golongan antivaksin ini bukan sahaja dapat mengancam nyawa mereka masing masing, namun juga dapat menjadi ancaman kepada negara terutamanya dalam mengekang penularan wabak Koronavirus yang sedang melanda kini.

Lebih parah lagi apabila golongan ini juga bergiat aktif menyampaikan dakyah pemikiran antivaksin dengan hujah dangkal mereka kepada masyarakat lain menggunakan aplikasi laman sosial khususnya WhatsApps yang sangat mudah diakses oleh setiap orang.

Penyebaran ideologi ini amat membimbangkan kerana kebanyakan hujah mereka adalah saling bertentangan dengan sains dan perubatan atau hanyasanya mitos. Penyebaran maklumat yang salah menggunakan laman sosial ini juga sangat pantas justeru dapat mengelirukan ramai pihak dalam waktu singkat.

Malah, keberadaan golongan antivaksin serta penyebaran maklumat palsu mereka mengenai vaksin mungkin menjadi perkara yang lebih serius berbanding penularan virus itu sendiri terutama dalam keadaan kes yang kian meningkat saban hari. 

Tambahan itu, Pakar Sosial, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran mengaitkan kesan penyebaran maklumat salah tentang vaksin ini sebagai punca keengganan sesetengah masyarakat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun mereka sudah berdaftar, mengambil contoh kes di Kelantan yang mana hampir 10,000 orang tidak hadir untuk janji temu vaksinasi.

Mitos Pemahaman Antivaksin

1. Vaksin Berasaskan DNA Babi

Antara mitos yang sering dikaitkan dengan vaksin adalah berkenaan status halal vaksin yang dipercayai berunsurkan bahan daripada babi. Hal ini adalah tidak sahih sama sekali kerana vaksin yang digunakan di Malaysia adalah seratus peratus diyakini bebas daripada penggunaan sumber daripada babi.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun mengulas mengenai status halal vaksin, bahawa tiada perkara yang perlu dibimbangkan oleh rakyat kerana di Malaysia, sebagai sebuah negara Islam, KKM sangat tegas dalam isu penggunaan bahan berasaskan babi atau ‘porcine’ dalam vaksin. Kata beliau, KKM telah menapis kandungan dalam vaksin dan memastikan ia tidak mengandungi sebarang bahan yang meragukan.

Malahan realitinya, kebanyakan vaksin yang wujud di dunia ketika ini juga tidak mempunyai unsur babi, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, ketika mengulas mengenai isu vaksin ini.

Penggunaan vaksin di negara ini dijelaskan juga dalam keputusan fatwa muzakarah kebangsaan yang disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan ia juga selari dengan fatwa yang sama di seluruh dunia iaitu harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Tambahan pula, dalam situasi di mana apabila terdapat bahan yang tidak diizinkan dari segi agama di dalam mana-mana vaksin, majoriti ilmuan agama telah menyimpulkan bahawa vaksin itu dibolehkan untuk diambil jika tiada pilihan lain dan jika data dari kajian menunjukkan vaksin itu berkesan dan memberi manfaat khususnya dalam menjaga nyawa.

Kepentingan menjaga nyawa atau ‘hifz al-nafs’ adalah bersandarkan kepada Maqasid Syariah atau tujuan yang dikehendaki syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan umat manusia atau lebih spesifik untuk memelihara kesinambungan generasi dan kelangsungan umat manusia.

Dalam buku Mausu’ah al-Fiqh al-Islamy karangan Dr Wahbah al-Zuhaily, kepentingan menjaga nyawa yang mewajibkan untuk memakan atau meminum sesuatu yang asalnya haram berdasarkan dalil dari firman Allah S.W.T ayat 115 surah al-Nahl yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Pendapat tersebut merupakan kesepakatan semua ulama dalam mazhab empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Bahkan mana-mana pihak yang tidak berbuat demikian kemudian menemui ajal, ia dianggap berdosa dan dipersoalkan di hadapan Allah.

Justeru, sebagai masyarakat dan umat Islam yang bertanggungjawab, kita mestilah tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak pasti hanya kerana kita tidak terbiasa dengan perkara tersebut untuk sama ada membuktikan kepintaran atau mendapat perhatian ramai khususnya di laman sosial.

“Maka jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama. Lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat kerana ia boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum khususnya bagi menunaikan kewajipan dalam memelihara nyawa,” ulas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam membincangkan isu penetapan hukum vaksin Covid-19.

2. Vaksin Tingkatkan Keparahan Penyakit Sedia Ada

Selain itu, maklumat yang tersebar mengenai vaksin menyebabkan penyakit sedia ada menjadi bertambah parah adalah palsu. Sebaliknya, vaksin hanya bertindak memberi imuniti kepada penerima. Malah kesan sampingan seperti ruam, demam, sakit-sakit sendi adalah sama antara individu yang berpenyakit dengan individu yang tidak berpenyakit serta ianya tidak berkekalan sebaliknya akan sembuh baik sendiri.

Dalam satu temubual oleh Astro Awani, Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Amirul Amzar mengulas; “Dalam bidang perubatan, tiada ubat atau vaksin yang boleh memberi kesembuhan 100 peratus. Malah, demam pun ada yang tidak sembuh selepas seseorang mengambil ubat, memerlukan pesakit berjumpa doktor semula.”

“Situasi sama berlaku dengan vaksin ini. Sebagai contoh, keberkesanan Pfizer-BioNTech adalah 95 peratus bagi dos kedua bagi penerima vaksin berusia di bawah 60 tahun, iaitu kira-kira lima daripada 100 orang sahaja didapati tidak menghasilkan antibodi yang cukup selepas pemvaksinan. Tetapi, mereka masih perlukan vaksin.”, katanya.

Namun begitu, pesakit kanser dan SLE, buat masa ini tidak boleh menerima suntikan tersebut kerana badan penerima memerlukan imuniti kuat untuk hasilkan antibodi. Katanya, sebaliknya mereka yang menghidap penyakit-penyakit tersebut akan dilindungi oleh ‘imuniti kelompok’ dengan syarat masyarakat sekeliling harus terlebih dahulu menerima vaksin.

‘Imuniti kelompok’ atau ‘herd imunity’ adalah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu.

Menurut WHO, dianggarkan 60 hingga 70% populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap Covid-19 bagi membolehkan ‘imuniti kelompok’ dapat dicapai dan penularan Covid-19 dapat dikawal.

Manakala Malaysia meletakkan sasaran mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta menjelang Februari 2022, bermaksud hampir keseluruhan masyarakat golongan dewasa dan kanak-kanak di atas umur 12 tahun di Malaysia perlu divaksinasi.

Sejajar dengan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Kempen Medical Mythbusters’ Strategic Planning Vaccination, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim mengibaratkan imuniti kelompok sebagai satu set payung.

Beliau menggambarkan, mereka yang menerima vaksin, atau dijangkiti dan pulih kemudiannya, sebagai orang yang memakai payung manakala Koronavirus diibaratkan sebagai hujan.

Menurut beliau lagi, “Jika jumlah orang yang secukupnya membuka payung mereka, orang lain mungkin tidak perlu, tetapi semua masih dilindungi daripada dibasahi hujan. Dengan kata lain, sekiranya kita mencapai ambang tertentu imuniti dalam komuniti, sebagai contoh, 70 hingga 80 peratus populasi divaksinasi, perlindungan ini boleh merangkumi 100 peratus komuniti.”.

3. Mitos Bunga Cengkih Mampu Merawat Covid-19

Tular juga di media sosial, amalan menyedut wap daripada rebusan bunga cengkih dapat mencegah serta merawat jangkitan penyakit Covid-19 secara semulajadi tanpa perlu menerima vaksin.

Namun maklumat berkenaan adalah tidak sahih sama sekali kera­na tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan kebolehan bunga cengkih dalam menjadi penawar kepada Koronavirus.

Menurut artikel daripada seorang ahli kimia berdaftar, Dr Che Puteh Osman  mengatakan cengkih dikenali atau nama saintifik syzygium aromaticum mengandungi sebatian kimia eugenol sekitar 70 hingga 80 peratus diikuti eugenyl acetate, eucalyptol, beta-caryophyllene, flavonoid, asid krategolik, vanillin dan lain-lain.

Katanya, wap air rebusan bunga cengkih kemungkinan besar mengandungi eugenol. Eugenol diuji dapat merencat enzim 5- lipoxygenase dalam kajian tabung uji dan bertanggungjawab dalam penghasilan leukotrienes, yang menjadi mediator pelbagai penyakit berkaitan keradangan termasuk asma.

Manakala dalam kajian model haiwan, pemberian eugenol terbukti mengurangkan simptom asma. Tambahan itu, secara tradisi juga, wap air rebusan cengkih digunakan bagi melegakan simptom batuk, bronchitis, selesema, dan asma, namun, ianya tidak bertindak merawat atau mencegah daripada serangan virus termasuk koronavirus.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar turut memberi ulasan, beliau sendiri menggunakan cengkih dan beberapa bahan tradisional lain seperti bawang putih, madu dan limau nipis untuk merawat sakit tekak, selesema dan batuk.

Namun sebaliknya, masih tiada kajian yang boleh membuktikan bahan-bahan ini dapat membunuh Koronavirus. “Lagipun virus ini berada di dalam hidung sehingga paru-paru,” katanya dalam temubual Kosmo

Malah, menurut beliau, amalan menyedut wap panas secara berterusan juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada paru-paru seperti penyakit keradangan atau kerosakan salur pernafasan seseorang. Tambahan pula di dalam laporan lain, wap eugenol mencetuskan serangan asma dan resdung (sinusitis) di kalangan pekerja yang terdedah kepada wap eugenol.

Ini bermakna sekiranya mengalami serangan asma atau bronchitis, kita perlu dapatkan rawatan perubatan dengan segera dan bukan hanya bergantung dengan rawatan tradisional menggunakan wap air rebusan cengkih ini sahaja kerana ia boleh menyebabkan serangan asma bertambah teruk kepada sesetengah individu.

Tidak salah sebenarnya untuk kita mencuba apa-apa kaedah tradisional atau amalkan pemakanan tertentu, namun kita tidak seharusnya menolak kaedah moden yang sudah terbukti keberkesanannya secara klinikal.

Malahan amalan pemakanan organik juga merupakan salah satu usaha yang baik dalam memelihara kesihatan, justeru dapat mengekalkan sistem imuniti yang baik serta mengurangkan insiden penyakit kronik tetapi pergantungan kepadanya semata-mata tidak mampu mengelakkan penyakit cegahan vaksin.

Dalam hal ini, menolak kemudaratan yang lebih besar adalah perlu didahulukan kerana pengabaian pemvaksinan boleh melibatkan risiko kematian. Maka, dengan mendahulukan pengambilan vaksin adalah lebih selari kepada kaedah fiqh sendiri iaitu menolak mafsadah didahulukan daripada meraih maslahah.

Justeru dalam membahas isu vaksin, kita seharusnya merujuk kepada mereka yang lebih arif contohnya doktor atau pengamal perubatan lain kerana mereka pastinya lebih tahu dan lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tidak seharusnya kita mudah percaya dengan perkongsian viral di media sosial terutamanya dari sumber yang tidak rasmi atau lebih parah menjadi ejen penyebaran perkongsian tersebut sebelum mengetahui kesahihannya.

Dalam Al-Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Penulis; Siti Fatimah Zahra Nordin, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.