Kemajuan teknologi zaman ini telah membawa dunia kepada pelbagai penciptaan permainan video yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan ataupun artificial intelligence. Permainan video ini telah menjadi salah satu bentuk hiburan yang paling popular dalam masyarakat moden zaman ini, tambahan pula permainan video ini tidak hanya menjadi fenomena kepada kanak-kanak malahan turut diminati oleh orang dewasa.
Selain daripada itu, permainan video ini tidak hanya menjadi tujuan untuk masyarakat berhibur, malah telah meraih perhatian pihak kerajaan khususnya di Malaysia untuk menjana ekonomi negara melalui industri sukan.
Pengenalan Kepada Mobile Legends: Bang Bang
Terdapat seribu satu permainan video yang hebat telah dicipta antaranya ialah Mobile Legends: Bang Bang ataupun singkatannya MLBB. Permainan video ini sangat menjadi fenomena di seluruh dunia lebih-lebih lagi di rantau asia.
Permainan video MLBB ini dibangunkan oleh Shanghai Montoon Technology pada tahun 2016. Selain daripada itu, permainan video MLBB ini telah diterbitkan sendiri oleh Shanghai Moonton Technology dan Elex Technology pada platform Android dan iOS. Para pemain boleh memuat turun permainan tersebut di Google Play Store dan Apple App Store pada peranti pintar masing masing.
Permainan video MLBB ini memperkenalkan pemain kepada pengalaman bermain multiplayer online battle arena (MOBA) dengan aksi yang pantas dan permainan yang strategiknya, permainan video ini dengan cepat menjadi sensasi dalam kalangan pemain diseluruh dunia.
Asas Bermain Mobile Legends: Bang Bang
Serba sedikit asas mengenai permainan video ini, MLBB menggabungkan dua pasukan yang terdiri daripada lima pemain setiap pasukan, menentang antara satu sama lain. Dalam permainan video ini, MLBB mendatangkan 10 mod untuk para pemain bermain. Terdapat 2 mod yang menjadi pilihan dihati iaitu classic dan ranked.
Sebelum perlawanan bermula, para pemain harus memilih karakter hero terlebih dahulu di sistem pemilihan hero atau istilah dalam permainan video ialah draft-pick. Dalam sistem draft-pick yang berlangsung kira-kira 5 minit, para pemain perlu mengeluarkan karakter hero di fasa ban-phase sekiranya bermain di ranked-mode dan memilih karakter hero di fasa pick-phase untuk kedua-dua mod.
Lebih mengujakan para pemain, terdapat 124 jenis karakter hero yang mempunyai berbagai-bagai kuasa dan kebolehan untuk dikeluarkan dan dipilih dalam sistem draft-pick yang telah disediakan. Setelah selesai memilih dan mengeluarkan karakter hero di sistem draft-pick, barulah para pemain akan menentang antara satu sama lain dalam permainan tersebut. Mobile Legends menampilkan permainan arena pertempuran tradisional, para pemain mesti bertarung di tiga lorong untuk menjatuhkan menara musuh dan mempertahankan menara pasukan mereka sendiri.
Satu perlawanan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit, pun begitu ianya bergantung kepada menara yang akan dijatuhkan. Semakin cepat menara dijatuhkan, semakin cepat perlawanan berakhir. Secara umumnya, kemahiran, kebolehan, dan strategi para pemain menjadi faktor utama terhadap kemenangan atau kekalahan yang diperoleh.
Perbezaan Antara Classic Mode Dan Ranked Mode
Perbezaan yang ketara antara ranked mode dan classic mode di Mobile Legends adalah terletak pada aturan, mekanisme, serta tingkat persaingan yang ditawarkan. Classic mode yang merupakan mod pertama di Mobile Legends, para pemain akan bermain seperti biasa kerana tidak mempunyai ranking. Bermain di classic mode biasanya bertujuan untuk mendapatkan kredit skor atau berlatih menggunakan karakter hero yang belum dikuasai sepenuhnya sebelum digunakan pada Ranked Mode.
Seterusnya, ranked mode merupakan salah satu mod yang menjadi tujuan utama dalam bermain Mobile Legends. Pemain akan dipadankan sama dengan ranking semasa mereka ketika bermain. Terdapat tujuh ranking dalam permainan dengan Warrior adalah yang paling rendah diikuti oleh Elite, Master, Grandmaster, Epic, Legend, dan ranking tertinggi, Mythic.
Ranked mode sering digunakan untuk para pemain menilai prestasi mereka sendiri. Dalam mod ini semakin tinggi ranking pemain tersebut, maka semakin bagus prestasi yang pemain dapatkan. Sekiranya bermain di ranked mode ini, pemain yang berjaya mendapatkan kemenangan akan memperoleh satu bintang, manakala jika tewas dalam perlawanan tersebut akan kehilangan satu bintang.
Kejohanan MLBB Di Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa
Kolaborasi antara kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan langkah yang signifikan dalam mempromosikan e-sport di Malaysia. Musim pertama MPL Malaysia merupakan tonggak sejarah penting dalam perkembangan industri e-sport di Malaysia.
MPL Malaysia musim pertama dianjurkan pada tahun 2018 sebagai sebuah liga rasmi untuk Mobile Legends Bang Bang di Malaysia. Tujuan utama MPL Malaysia adalah untuk memberikan kesempatan kepada pemain lokal untuk bersaing di peringkat profesional. Musim pertama MPL Malaysia menarik peserta daripada pelbagai pasukan e-sport terkemuka di Malaysia.
Pasukan-pasukan ini terdiri daripada pemain-pemain berbakat dalam negara. Musim demi musim, kini 2024, MPL Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya menganjurkan 11 musim dengan jayanya. Tidak lama lagi, pada 29 Mac 2024 MPL Malaysia musim ke-12 akan membuka tirainya.
Di kejohanan antarabangsa pula, satu kejohanan dunia MLBB World Championship dianjurkan setiap tahun. Wakil Malaysia tidak pernah terlepas walau satu slot untuk bertanding di peringkat tertinggi MLBB. Tambahan pula, Malaysia mampu menyaingi negara-negara besar dalam dunia e-sport seperti Filipina dan Indonesia.
Pasukan MLBB dari Malaysia berjaya merangkul tempat ke-3 ketika kejohanan MLBB World Championship siri pertama yang berlangsung pada 2019. Secara keseluruhan, kolaborasi antara MPL Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan langkah positif dalam memajukan industri e-sport di Malaysia, dengan potensi untuk memberikan impak yang signifikan bagi pemain, komuniti, dan industri secara keseluruhan.
Kesimpulan
E-sport memiliki kepentingan yang signifikan dalam konteks perkembangan budaya moden, industri hiburan, dan pertumbuhan ekonomi. Selain menjadi bentuk hiburan yang popular bagi jutaan orang di seluruh dunia, e-sport juga menciptakan kesempatan bagi pemain dan profesional di industri tersebut. Lebih dari sekadar permainan, e-sport juga merupakan wadah bagi kerja sama pasukan, strategi, dan saingan, yang memperkuat keterampilan interpersonal dan kognitif.
Penulis: Muhammad Azim bin Aladi,Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.