Wednesday, April 16, 2025
HomeMutiara KataHimpunan Mutiara Kata HAMKA Yang Menjentik Hati dan Jiwa

Himpunan Mutiara Kata HAMKA Yang Menjentik Hati dan Jiwa

Mutiara kata HAMKA mampu menjentik hati orang yang membaca dan menghayatinya. 

Ini kerana HAMKA menulis sesuatu dengan penuh jiwa dan perasaan. 

Ketika hayatnya, Hamka seorang yang aktif menulis dalam pelbagai lapangan  terutamanya dalam bidang sejarah, dakwah, kemasyarakatan dan lain-lain.

Maka tidak hairanlah mutiara kata HAMKA banyak yang menyentuh hati kita terutamanya kata-kata hikmah beliau tentang kehidupan yang penuh dengan nasihat dan didikan yang penuh inspirasi. 

BACA JUGA: Himpunan Kata-Kata Mutiara Ustaz Ebit Lew Yang Penuh Inspirasi

Pesanan HAMKA  Jangan Bersikap Sombong

“Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali ke tanah. Kenapa masih bersifat langit?” – HAMKA

“Umur badan terbatas. Umur batu nisan kadang-kadang lebih panjang dari umur badan tetapi umur jasa dan kenangan lebih panjang dari umur batu nisan.” – HAMKA (Lembaga Budi)

“20 kerbau yang sama, gemuk dan sama sihat tentu harganya tidak jauh berbeza. Tapi 20 manusia yang sama tinggi dan kuat belum tentu sama “harganya”. Sebab bagi manusia, yang mahal adalah keperibadiannya.” – HAMKA (Peribadi Hebat

“Dalam penghidupan sehari-hari kerapkali bertemu orang yang mendapat pangkat yang sangat tinggi dan sombong dengan pangkatnya itu, lalu merasa tidak ada lagi musuh-musuhnya yang akan sanggup menggeser kedudukannya; tiba-tiba timbul suatu krisis besar. Dia tumbang, dia terbenam, kian lama kian hilang terbenam dalam lubang kehinaan, tidak ada orang yang dapat menolong”. – HAMKA (Tafsir al-Azhar)

“Orang yang diikat dunia memperkaya badan kasarnya, bersolek, sombong, memuliakan diri dari orang lain. Tetapi orang yang percaya bahawa dia hanya singgah di dunia ini, berusaha memperindah batinnya, budi dan jiwa.” – HAMKA 

Bicara Hamka Tentang Cinta 

“Bahawasanya cinta yang bersih dan suci murni itu, tidaklah tumbuh dengan sendirinya.” – HAMKA 

“Cinta sejati tidaklah meminta balas jasa.” – HAMKA

Kalau hati telah jatuh cinta, yang berat rasanya jadi ringan, pendakian di rasa tanah datar saja, kepayahan dijadikan suatu bingkisan kasih kepada si jantung hati. – HAMKA  Lembaga Budi

“Kalau cinta itu hanya pada kecantikan, maka kecantikan seorang perempuan kelak akan dikalahkan pula oleh kecantikan yang lain” – HAMKA

“Kehidupan ini seumpama BUNGA, maka CINTA adalah madunya.” – HAMKA

“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan” – HAMKA

“Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak. Bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka. Bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merindu dan cemburu.” – HAMKA 

“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.” – HAMKA (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.” – HAMKA (Tenggelamnya Kapal Van der Wijck)

“Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam  dirinya.” – HAMKA 

Kata-kata Hamka Tentang Ilmu

Jangan lalai menuntut ilmu, kerana diri merasa kaya atau mampu atau berkedudukan tinggi. Kerana bertambah tinggi kedudukan bertambah banyak persoalan yang dihadapi, dan bertambah pentinglah ilmu. – HAMKA, Lembaga Hidup.

“Jangan putus asa jika otak tumpul dan akal kurang cerdas. Kerana kadang-kadang seseorang yang tumpul otak tetapi tidak putus asa, lebih berhasil daripada seorang yang cerdas tetapi PEMALAS”. – HAMKA, Lembaga Hidup.

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.” – HAMKA

Ilmu akan sempurna kalau hidup dengan beragama. Agama pula akan cukup kalau hidup dengan berilmu. Ilmu untuk mengetahuinya dan agama untuk merasainya. Ilmu untuk bendanya. Agama untuk jiwanya. Akal untuk memperkuatkan iman beragama dan agama untuk memberi arah mulia dari akal. – HAMKA 

“Sabar dan teguhkan hati dalam menuntut ilmu, jangan lekas bosan dan kecewa. Bukan sahaja menuntut ilmu, bahkan segala perkara, pekerjaan, usaha, semuanya berkehendak kepada kesabaran.” – HAMKA

Hati, Akal dan Nafsu

“Yang melemahkan semangat ada dua perkara. Yang pertama ialah prasangka. Manakala yang kedua adalah hati yang busuk.” – HAMKA

“Budi pekerti yang baik dapat diperoleh jika ada keseimbangan antara akal yang sihat dan nafsu.” – HAMKA (Akhlaqul Karimah

“Akal selalu menimbang antara buruk dan baik, lalu memilih mana yang baik. Sedang hawa atau nafsu, yang jahatlah yang dipilihnya. Akal selalu mengikat dan menahan, sedang hawa nafsu selalu ingin lepas. Akal membatas kemerdekaan, hawa nafsu ingin merdeka di dalam segala perkara.” – HAMKA 

Mutiara Kata Hamka tentang Makna Kebahagiaan Sejati

“Tahan menderita kepahitan hidup sehingga menjadi kekayaan adalah BAHAGIA” – HAMKA

“Orang yang hidup hanya diikat oleh mencari sesuap nasi, bukan diikat keenakan mengerjakan pekerjaan, amat sukarlah merasai BAHAGIA, tetapi  kian lama kian mundur tenaganya dan kian kecewa hatinya” – HAMKA (Tasawuf Moden)

“Ridha adalah menerima nasib di waktu senang dan di waktu susah.” – HAMKA (Akhlaqul Karimah) 

“Kerapkali kita temui orang yang masih hidup tetapi telah mati, kerana semangat hidupnya yang padam. Dan kerapkali pula kita bertemu orang yang telah lama mati padahal ia masih hidup kerana semangat perjuangan hidupnya tidak pernah mati.” – HAMKA (Lembaga Budi)

“Kalau engkau merindukan kekayaan, capai lah dengan “qana’ah” iaitu mencukupkan apa yang ada di tanganmu. Kalau tidak ada qana’ahnya, seberapa banyak pun hartamu tidak akan cukup. Tidak ada harta bagi sesiapapun yang meninggalkan qana’ah.” – HAMKA 

“Sejatinya hidup yang bahagia itu adalah hidup bermasyarakat. Hidup menyendiri adalah hidup yang sangat merugi. Maka hubungkanlah tali kasih-sayang dengan sesama manusia, saling mengingatkan mana yang benar, agar yang benar itu dapat dijunjung tinggi bersama. Saling memperingatkan pula mana yang salah, agar yang salah itu sama-sama dijauhi.” – HAMKA (Tafsir al-Azhar) 

Pesanan Hamka Tentang Kehidupan Ini

“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja” – HAMKA

“Jika diam saat agamamu dihina, maka gantilah bajumu dengan kain kafan.” – HAMKA

“Kehidupan itu laksana lautan. Orang yang tiada berhati-hati dalam mengayuh perahu, memegang kemudi dan menjaga layar, maka karamlah ia digulung oleh ombak dan gelombang. Hilang di tengah samudera yang luas. Tiada akan tercapai olehnya tanah tepi.” – HAMKA

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata. – HAMKA

“Kepercayaan akan hari akhirat adalah pengubat hati dalan menghadapi dunia yang penuh dengan kecewa dan kepalsuan ini.” – HAMKA

“Kemajuan tidak akan berhenti, tetapi satu soal telah putus dan tidak akan berubah lagi iaitu Tuhan Yang Satu” – HAMKA

“Biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan. Namun cita-cita manusia tidak pernah padam.” – HAMKA

“Teranglah bahawasanya hidup duniawi yang kelihatannya melarat, tetapi jiwa berisi iman, lebih baik daripada kehidupan yang dipenuhi kufur walaupun di luar kelihatan kaya dan mampu. Sebab mereka hanya mampu harta, tetapi yang di dalam adalah kosong, tiada berisi apa-apa.” – HAMKA

Alangkah miskinnya hidup ini, kalau mata terkembang, tapi tak melihat. Telinga terdandang, tapi tak mendengar.  Alangkah payahnya “menggesek rebab di telinga kerbau”. – HAMKA Pandangan Hidup Muslim

“Allah yang mengadakan penyakit. Dia yang mengadakan ubatnya. Cuma mati yang tidak dapat diubati kerana mati bukan penyakit” – HAMKA (Tasawuf Moden)

Erti Kesyukuran Menurut HAMKA

“Jangan tertawakan orang yang jatuh, tetapi bersyukurlah kerana engkau sendiri tidak jatuh.” – HAMKA

“Syukur dan sabar seperti sayap, jika patah salah satunya, maka jatuhlah kita.” – HAMKA

“Syukur memang tidak ada kalau iman tidak ada” – HAMKA

“Apabila orang bersyukur kepada Allah, nescaya dia akan merasai kebahagiaan. Sebab apabila nikmat yang telah ada disyukuri, Allah berjanji akan menambahkannya lagi berlipatganda” – HAMKA (Petikan Tafsir al-Azhar)

“Jangan dilepaskan dari tangan barang yang telah ada kerana mengharapkan barang yang masih jauh. Seorang mukmin mensyukuri nikmat yang telah ada dalam tangannya dan menerima dengan syukur kalau mendapat tambahan lagi.” – HAMKA

“Pada waktu nikmat membanjir, hendaklah syukuri, letakkan di tempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu hari muda, gunakanlah kemudahan itu dengan baik, dan diyakini masa muda itu tak lama. Kalau dia digunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda dahulunya, badan ini telah berbuat baik”. – HAMKA, Tasawuf Moden.

Kata-kata Motivasi Hamka Yang Membangkitkan Semangat Hidup

“Jangan takut GAGAL kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah.” – HAMKA

“Jauhilah mengharapkan penghargaan manusia. Tetapi carilah amal yang disukai Allah” – HAMKA (Lembaga Budi)

“Sebuah kata maaf selalu yang menjadi terbaik apabila kita ingin melepaskan beban dalam hati kita. Walaupun terasa berat untuk mengucapkannya.” – HAMKA 

“Jangan takut menghadapi suatu kegagalan kerana dengan kegagalan itu kita juga memperoleh pengetahuan tentang kelemahan dan kekuatan diri kita. Yang perlu ditakuti adalah, gagal dua kali pada persoalan yang sama.” – HAMKA (Lembaga Budi

“Mengapa kita putus asa menghadapi hidup lantaran tidak ada ijazah, tidak dapat gelar Dr. Drs., Ir dan sebagainya. Padahal bukan di sana tempat menggantungkan hidup. Ribuan orang beroleh ijazah dan menyandang sarjana, tetapi tidak lulus ujian di dalam masyarakat.” – HAMKA

Bukan emas saja yang diuji orang, iman juga dapat ujian. Disaat-saat susah, janganlah hidup berkeluh kesah, anggap saja sedang menempuh ujian. Jika penuh syarat Iman tentu akan lulus. Sebab apa, seluas-luasnya menahan sabar akhirnya kita akan bersyukur. – HAMKA 

“Tugas kita bukanlah untuk berhasil. Tugas kita adalah untuk mencuba kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan dan belajar membangun kesempatan untuk berhasil” – HAMKA

“Amalan yang kerana rindu masuk syurga dan takut masuk neraka itu, lebih tinggi darjatnya daripada amalan kerana mencari puji manusia.” – HAMKA (Lembaga Budi)

Mutiara Kata Hamka Tentang Persahabatan

“Persahabatan manusia yang didapati sesudah menempuh sengsara adalah persahabatan yang lebih kekal daripada yang didapati waktu gembira” – HAMKA

“Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya.” – HAMKA

“Syarat untuk mengekalkan persahabatan telah disusun oleh para budiman. Setengah berkata, supaya persahabatan kekal dan lama usianya, sampai tulang hancur dikandung tanah, hendaklah diketahui, bahawa kita bersahabat dengan manusia, bukan dengan malaikat. Tentu kesalahan akan ada pada sahabat itu. Kalau hendak mencari sahabat yang tidak ada salahnya, alamatnya kita tidak akan mendapat sahabat.” – HAMKA (Falsafah Hidup)

“Bila seorang perempuan telah sudi menghulurkan tangan persahabatan kepadamu, alamat bahawa umurmu telah lepas dari zaman bercinta.” – HAMKA

“Orang perempuan tidaklah tahu benar bagaimana besar harga persahabatan di antara dua laki-laki. Dia tidak faham harga persahabatan di antara dua laki-laki berlainan dengan harga percintaan di antara seorang laki-laki dengan seorang perempuan. Dia tidak kenal bahawa harga persahabatan itu lebih mahal dari harga percintaan. Sebab itu, sahabat suaminya kerapkali dipandangnya musuhnya, dia benci dan takut. Takut akan dicurinya sebahagian daripada cinta suaminya kepadanya.” HAMKA (Falsafah Hidup)

“Tidak ada karib atau kerabat yang lebih setia daripada seorang teman yang menyokong dan membantu membesarkan hati memberanikan kita di dalam menempuh suatu perbuatan baik” – HAMKA (Falsafah Hidup)

“Orang yang berakal tidak mahu berkawan dengan orang yang rendah budi. Sebab orang yang rendah budi samalah dengan ular, badannya lunak tetapi membelit, lidahnya halus tetapi bercabang dua, kepalanya tidak runcing tetapi penuh boleh, dia masuk ke dalam rumah diam-diam, kerana hendak menggigit kita.” – HAMKA

Mutiara Kata Hamka Tentang Adab dan Budi 

“Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.”

“Kemunduran negara tidak akan terjadi kalau tidak kemunduran budi dan kekusutan jiwa.” – HAMKA (Dari Lembah Cita-Cita

“Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.” – HAMKA

“Keutamaan budi itulah tujuan hidup yang akhir. Menyingkirkan diri dari kebinatangan itulah cita-cita yang mulia” – HAMKA 

“Jangan lupa bahawa harta adalah pencapai maksud yang mulia. Dikumpulkan untuk tangga mempertinggikan budi, bukan untuk menghinakan dan merendahkan orang lain.” – HAMKA 


Semoga himpunan Mutiara kata Hamka dapat dihayati dan dikongsikan bersama yang lain.

Sumber Rujukan Mutiara Kata Hamka

  1. Dari Lembah Cita-Cita
  2. Falsafah Hidup
  3. Tafsir al-Azhar
  4. Lembaga Budi
  5. Peribadi Hebat
  6. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
  7. Tasawuf Moden
  8. Akhlaqul Karimah
  9. Facebook Prof. Dr. Hamka
  10. Instagram Hamka Centre

Baca juga mutiara kata Imam Syafie buat penuntut ilmu yang sangat bermanfaat ini.

Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular