Thursday, April 18, 2024
HomeMutiara KataHimpunan Kata-Kata Mutiara Ustaz Ebit Lew Yang Penuh Inspirasi

Himpunan Kata-Kata Mutiara Ustaz Ebit Lew Yang Penuh Inspirasi

Ustaz Ebit Lew atau nama sebenar beliau Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau merupakan seorang pendakwah terkenal tanah Air.

Beliau dilahirkan pada 21 Disember 1984 dan berasal dari Muadzam Shah Pahang. Beliau merupakan anak ke 3 daripada 12 orang adik beradik yang berasal daripada bangsa Cina.

Ustaz Ebit Lew aktif dalam menyampaikan dakwah dan sering turun dijalanan bagi membantu dan mengajak orang sekeliling mendekati Islam. Beliau juga seringkali menitipkan kata-kata mutiara dan kata hikmah setiap kali menyampaikannya kepada masyarakat. 

Di sini terdapat beberapa himpunan dan koleksi mutiara kata dan hikmah yang penuh inspirasi dikongsikan beliau melalui Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.

BACA JUGA: Koleksi Kata-kata Mutiara Farith Ismeth Emir Yang Boleh Dihayati Bersama

Allah Sayang

1) Kita hidup untuk Redha Allah. Buat baik untuk Allah sayang. Orang tahu atau tak tahu, Allah pasti tahu. Orang sayang atau benci bukan urusan kita. Yang penting Allah sayang. Kita tidak hidup untuk penghormatan orang. Kita hidup untuk Redha Allah. Terus buat dakwah cara Nabi s.a.w dengan rendah diri. Hakikatnya tiada kita punya. Semuanya Allah punya.

2) Ujian yang datang dalam hidup kita ini sebab Tuhan sayang kita. Semua ujian itu, sebab Tuhan sayang kita. Allah nak beri kebaikan, Dia beri ujian. Jadi kita yakin selepas ujian ini ada rahmat besar yang nak datang. Apabila Allah sayang seseorang, Allah beri ujian-ujian yang berat. (Petikan daripada Facebook beliau pada 19 April 2020).

3) Doa buat hati rasa bahagia. Hidup hanya untuk Allah. Tiada boleh beri mulia melainkan Allah, Tiada yang boleh beri hina selain Allah. Kita tidak hidup untuk penghormatan orang. Kita buat kebaikan hanya untuk Allah sayang. 

4) Kita sangka apa yang kita nak itu yang terbaik, tapi apa yang Allah beri itulah yang terbaik.

5) Kenal Allah sumber segala kebijaksanaan. Orang kenal Allah, orang paling berani dalam dunia. Orang kenal Allah, orang paling rajin dan amanah. Orang kenal Allah tak pernah putus asa sebab Allah bersamanya.

Keluarga Bahagia

1) “Menjadi seorang pendengar yang baik.Mendengar dengan hati dan perasaan. Mendengar ialah syarat cinta yang pertama. Belajar mendengar dan memahami maka kita akan mampu untuk mencintai dan dicintai”  (petikan daripada buku “Isteriku Bidadariku”)

2) Pesan pada isteri. Sayang Allah baik pada kita. Siang malam jaga kita. Kita terhutang budi pada Allah yang bagi semua. Pesan pada anak, baik Allah pada kita. Dia bagi semua.

3) Dalam keluarga kita bukan nak cari siapa betul siapa salah, kita nak sama-sama pimpin setiap ahli keluarga kita melangkah syurga Allah. 

4) Betapa penting kita kuatkan asas jati diri iman dan bayangan Allah dan keluarga bayangan syurga.

5) Sebagai suami jom kita doakan bidadari kita sentiasa cantik, penyejuk hati, dikuatkan iman dan takwa serta dapat cinta bertambah setiap hari seperti pengantin yang baru jatuh cinta. 

6) Punca utama keluarga tak bahagia bila ketua keluarga tak jaga solat. Bagaimana boleh bahagia tanpa solat?

7) Ukuran utama bahagia dalam rumahtangga ialah bila suami isteri solat. Jika tak solat mereka dalam kesedihan dan keresahan.

8) Suami atau isteri tak solat buat sebuah rumahtangga hilang rahmat. Anak yang tak solat membuat mereka asyik boring dan cari masalah. Bahagia ialah bila kenal Allah.

9) Anak-anak boleh terima kekurangan harta. Tapi terlalu sukar anak-anak untuk menerima kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa.

10) “Untuk merasai nikmat bahagia jangan kita tunggu sehingga minggu depan, jangan kita tunggu sehingga kita kaya, jangan kita tunggu sehingga kita memiliki apa yang kita inginkan tercapai. Pilih dan buatlah keputusan untuk bahagia sekarang…” (petikan daripada buku “Isteriku Bidadariku”)

11) “Wanita sebenarnya lembut dan sentiasa inginkan kebaikan. Kita selalu berusaha memenangi hati seseorang kerana cinta dan suka padanya. Apalah salah jika kita curahkan segala usaha, kasih sayang, kelembutan, kebaikan, ilmu kita dan untuk kita pimpin isteri dan anak-anak” (petikan daripada buku “Isteriku Bidadariku”)

12) Anak milik Allah yang diamanahkan kepada kita semua. Anak kita semua yang akan bawa kebaikan dan rahmat ke seluruh alam. 

13) Kemuncak Islam ialah takwa. Kemuncak takwa akhlak yang mulia. Kemuncak akhlak ialah buat baik terhadap isteri dan ahli keluarga. Rasulullah saw orang paling baik terhadap isteri dan keluarganya.

14) Saat kita berusaha membuat isteri dan ibu kita tersenyum bahagia dalam hidup kita, saat itu Allah beri segala kebaikan dunia dan akhirat buat kita. Bertindaklah dan lihatlah bagaimana kita dilayan dalam hidup kita oleh Allah. Siapa tak mengasihi dia tak dikasihi. – Ustaz Ebit Lew

15) Kejutkan pasangan setiap hari paling kurang 2 rakaat tahajud. ALLAH rahmati pasangan suami isteri yang kejut pasangannya bangun tahajud. Lihatlah dan tunggulah hadiah yang Allah sediakan.

Muhasabah Diri

1) Setiap dari kita pasti buat silap, tetapi yang terbaik yang BERTAUBAT kepada Allah.

2) Takut Allah adalah sumber kebijaksanaan. Orang yang paling berani dalam dunia adalah orang yang takutkan Allah.

3) Bila kita maafkan orang, bukan hidup orang jadi baik. Tapi hidup kita jadi baik.

4) Setiap hari kita fikir apa yang kita nak. Kadang-kadang cuba fikir apa yang Allah nak?

5) Setiap orang ada garis hidup tersendiri. Laluilah sahaja hidup ini dengan Redha ketentuan Allah dan teruskan kebaikan sehingga mati. Ketentuan Allah sempurna cantik dan baik. Pasti tidak ada yang kebetulan. Melainkan semuanya suratan takdir Allah. Yang tak baik tak sempurna dan tak punya itu kita. Sibukkan diri dengan taubat dan minta ampun pada Allah. Taubat dan hanya taubat. Taubat mengubah semuanya menuju Redha Allah dan Hidup hanya untuk Allah. 

6) Hati jadi resah kerana kita lupa untuk tanya apa yang Allah nak. Sibuk fikir dan tanya apa orang nak. Apa orang kata. Apa saya belum dapat. Sampai lupa tujuan hidup ini. Belajarlah tanya apa Allah nak pasti hati kita tenang dan bahagia.

7) Buatlah solat sunat 2 rakaat. Allah selesaikan semua masalah dunia akhirat. Nabi saw ajarkan jika ada hajat kepada Allah atau hajat mengenai manusia mintalah pada Allah.

8) Tiada yang boleh beri bahagia melainkan hanya Allah. Dia beri kepada orang yang kenal dia sebagai tuhan.

Kehidupan

1) Jangan mengeluh dengan apa yang belum kita dapat, tapi syukur dengan apa yang Allah beri pada kita.

2) Apa yang Allah takdirkan untuk kita pasti jadi milik kita. Jika bukan milik kita, satu dunia pun tidak boleh beri.

3) Bahagia itu di mana? Jangan tangguhkan rasa bahagia itu. Kita dicipta untuk bahagia dan masuk syurga.

4) Saat kita rasa lemah dan tak bermaya ingatlah ada seorang lelaki telah berjuang dengan air mata dan darahnya dan seluruh keluarganya dan para sahabah rhum demi melihat kita dan keluarga yang kita sayangi bahagia dan masuk syurga. Bangun dan bangkitlah kerana kita semua telah didoakan oleh Nabi saw. Jangan lemah dan berputus asa.

5) Sahabatku, orang yang sempurnakan solat sebenarnya dia sedang menyempurnakan hidupnya. Musnah hidup kerana cuaikan solat.

6) Bahagia bermula di dalam hati sendiri. Orang bahagia akan bawa bahagia ke mana sahaja mereka pergi.

7) Bagaimana kita nak bahagia, jika kita tidak solat dan sujud kepada pemberi bahagia?

Semoga Ustaz Ebit Lew diberikan kesihatan yang baik untuk terus berdakwah dalam masyarakat.


Jom baca juga 5 fakta yang menarik tentang Ustaz Ebit Lew yang sungguh inspirasi.

Baca juga kisah Ustaz Ebit Lew yang mengislamkan seorang kontraktor dari Australia ini.

BACA JUGA: Lebih 10 Tahun Merantau dan Mengenali Islam, Akhirnya Lelaki Ini Mengucap Di Hadapan Ustaz Ebit Lew


JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular