Thursday, September 28, 2023
HomeKehidupanNaluri dan Doa Seorang Ibu

Naluri dan Doa Seorang Ibu

Sering kali kita mendengar seorang ibu memiliki seakan kuasa sakti terutama berkenaan hal anak-anaknya. Agak aneh bunyinya bukan?

Namun semakin menginjak usia, saya rasa perkara ini ada kebenarannya. Pernah sekali saya terlambat setengah jam menjemput anak ketiga atau panggilannya Acik dari sekolah agamanya yang terletak hampir 5 kilometer dari rumah. Kelewatan itu bukanlah disengajakan kerana saya leka berbual di telefon dengan seorang rakan lama.

Sesampai saya di hadapan surau, saya tidak melihat kelibatnya. Perasaan pada ketika itu menjadi cemas namun saya cuba bertenang.

Selalu saya pesan pada Acik, “Kalau ibu lewat, Acik tunggu sampai ibu datang ya.”

Namun kali ini Acik tidak berbuat begitu. Mungkin dia rasa sudah lama menunggu hingga kawan-kawan pun ramai yang sudah balik ke rumah. Saya terus memandu sambil mencarinya di laluan yang biasa diikuti. Hati saya berdetik, “Acik ada, dia cuma jalan kaki”.

Sampai di simpang jalan, dari belakang saya lihat sesusuk tubuh  berbaju melayu biru dan saya tahu itulah Acik, anak saya yang berjalan kaki kerana bosan menunggu ibunya yang lewat menjemputnya. Doa atau naluri ibu atau suatu kebetulan?

Abang, anak saya yang sulung juga pernah tiba-tiba menelefon dan bercakap dengan suara yang agak lain daripada biasa.

“Ibu, ada masalah di asrama tapi abang tak buat macam tu.” Dan panggilan itu terputus begitu sahaja.

Perasaan saya bercampur aduk. Macam-macam kemungkinan bermain di fikiran saya sehinggalah saya mengetahui perkara sebenar apabila wardennya memanggil ke sekolah.

Hati saya berdetik lagi, “ Abang tak bersalah, Allah akan tunjuk kebenarannya.”

Dan setelah kes itu disiasat, abang didapati berada di pihak yang benar. Sekali lagi doa atau naluri ibu atau suatu kebetulan?

Mungkin banyak lagi insiden yang pernah anak-anak lalui dan kita sebagai ibu hanyalah mendoakan yang terbaik buat mereka. Anak yang kita kandung selama sembilan bulan sepuluh hari, maka wajarlah ibu seakan merasai apa yang dirasai oleh mereka.

Bukan naluri, bukan juga kuasa sakti, cuma doa yang tak pernah berhenti agar anak-anak menjadi insan cemerlang duniawi dan ukhrawi.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular