Sunday, December 8, 2024
HomeArtikelNilai Positif Perkukuhkan Keharmonian Di Tempat Kerja

Nilai Positif Perkukuhkan Keharmonian Di Tempat Kerja

Pandemik COVID-19 yang mengejutkan warga dunia, memberi kesan dalam pelbagai perkara terutamanya dalam kehidupan sosial masyarakat. Begitu juga dengan aktiviti pengukuhan keharmonian di tempat kerja.

Namun, itu bukanlah penghalang dalam memperkukuhkan keharmonian di tempat kerja kerana perkara yang lebih utama adalah sikap yang positif setiap warganya.

Sebagai individu dalam sesebuah organisasi, pastinya kita perlu tahu akan peranan masing-masing. Semua ada tanggungjawab tersendiri dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak kira profesional ataupun sokongan, semuanya ditetapkan di tempat yang sesuai.

Secara analoginya, cuba kita lihat di badan kita sendiri iaitu otak, jantung, tangan, kaki dan lain-lain, semuanya memainkan peranan tersendiri walaupun ada yang berada di tempat yang tersembunyi.

Pastinya setiap anggota saling melengkapi supaya tubuh badan manusia dapat bergerak mengikut ketetapannya. Begitu jugalah kita sebagai individu yang berada dalam kelompok organisasi tidak akan mampu bergerak seorang diri.

Bantu-membantu dalam memudahkan urusan setiap orang dalam organisasi amatlah dituntut. Sesungguhnya, “Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah melapangkan daripadanya satu kesusahan di hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama mana hamba tersebut menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap orang telah ditetapkan, ada yang memberi arahan, ada yang membuat perancangan dan ada yang melaksanakan berdasarkan ketetapan arahan. Semuanya jelas.

Sebagai seorang pekerja, apa yang penting adalah penyelesaian tugas atas apa yang telah diberikan. Jangan sesekali merungut dan selalu terapkan dalam hati elemen ikhlas kerana ini yang kita pilih.  Jika satu-satu fungsi atau peranan dalam organisasi mengabaikan tanggungjawab masing-masing, pastinya apa yang dihasratkan tidak akan tercapai.

Bukan itu sahaja, majikan haruslah bersikap adil dengan pekerja dan sentiasa memberi ruang dan peluang yang sama kepada pekerja terutamanya dalam menyuarakan pendapat dan sebagainya. Pekerja pula perlu melaksanakan arahan selagi tidak melanggar hukum.

Jika wujud permasalahan, berbincang dan cari jalan penyelesaian yang terbaik agar semua faham dan merasa selesa. Pekerja yang bijak tidak akan menjatuhkan tempat diri sendiri mencari rezeki.

Walaupun teknologi media sosial pada masa kini menjadi pilihan, elakkanlah daripada memuat naik atau mengancam organisasi untuk kepentingan sendiri. Gunakanlah saluran yang betul dan bermusyawarah itu yang lebih baik. Apa sahaja isu dan cadangan penambahbaikan berterusan perlu dalam tindakan bersama.

Tidak dinafikan, selagi bernama manusia, salah faham dan berbeza pandangan itu adalah fitrah. Pastinya ada sahaja isu dan cadangan yang mahu dibangkitkan.

Namun, segala perbezaan inilah memberi seribu satu hikmah. Menghormati idea dan pandangan orang lain itu sangat dituntut, walaupun yang memberi pandangan itu hanya penghantar surat.

Cuba bayangkan masakan tanpa garam, gula atau perisa, pastinya menu itu menjadi hambar dan tidak menyelerakan. Begitulah juga keharmonian di tempat kerja yang bergantung kepada bagaimana kita menghormati dan menerima perbezaan.

Jangan sesekali ada sifat takbur dalam diri. Penyakit ini akan menyebabkan jauhnya nilai kerjasama dan runtuhnya perpaduan dan kesejahteraan sesebuah organisasi.

Sentiasalah bermuhasabah diri agar terhindar dari sifat takbur. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, Ayat 18).

Sifat takbur yakni sombong diri ini amat dikeji. Tidak dinafikan ada dalam kalangan kita pada hari ini merasakan diri sendiri hebat dari orang lain. Ajar diri untuk berlapang dada serta bertolak ansur dengan setiap orang.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran dan hati, perlu beringat bahawa tidak semua daripada kita adalah sempurna dalam segala hal. Sekiranya ada teguran yang perlu dibuat, tegurlah dengan hati yang lembut dan berhikmah.

Tidak semua orang suka akan teguran yang menjatuhkan sebaliknya setiap orang akan merasa lega sekiranya teguran disemat dengan kata-kata membina untuk kemajuan bersama. Kesetiaan kepada organisasi juga akan dapat dipertingkatkan.   

Sumbangan setiap orang untuk kemajuan organisasi itu sangat penting. Sama ada kecil atau besar sumbangan yang diberikan, ianya tetap satu jasa yang mungkin tidak akan diperolehi pada masa akan datang.

Dalam setiap kerja yang dibuat pastinya kita mahukan keikhlasan dan bukannya rasa keterpaksaan. Namun begitu, jika tugasan disuntik elemen penghargaan (bukan rasuah) walaupun dengan hanya ucapan “terima kasih” atau “tahniah” dapat meningkatkan motivasi pekerja. Kadang kala sebagai pekerja kita akan berasa kurang dihargai selagi tidak mendapat penghargaan dari pihak atasan.  

Majikan jangan lokek dalam menghargai kakitangan. Sebagai pekerja pula, tanamkan rasa syukur dalam diri nescaya kita akan rasa lebih tenang dan melaksanakan tanggungjawab tanpa mengharap balasan semata. Sentiasa percaya pada rezeki. Jika mendapat penghargaan itu adalah bonus.

Setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan di tempat kerja. Belajar dan pupuk diri untuk sentiasa positif demi mengukuhkan perpaduan antara setiap individu.

Amalkan sikap memaafkan dan meminta maaf kerana sikap ini tidak sedikit pun menjatuhkan kita sebaliknya menjadikan kita insan yang penuh dengan kelapangan dan kerendahan hati.

Pastinya sikap yang baik membentuk perkara yang baik. Perpaduan dan keharmonian organisasi itu adalah peranan semua orang. Ibarat kata pepatah “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Penulis; Shahaniza Shamsuddin, Penolong Pendaftar Kanan di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris
RELATED ARTICLES

Most Popular