Tuesday, September 27, 2022
HomeArtikelNyawa Bukan Cagaran

Nyawa Bukan Cagaran

Saban hari, kes kemalangan jalan raya sering sahaja dipaparkan di akhbar, televisyen dan bahkan juga di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Whatsapp. Hal ini demikian kerana media sosial sering digunakan oleh masyarakat untuk berhubung antara satu sama lain dan juga sebagai platform untuk menyebarkan sesuatu berita. 

Tambahan pula, pada era teknologi dan maklumat yang berkembang pesat, orang ramai tidak perlu lagi bersusah payah membeli senaskhah akhbar semata-mata untuk mengetahui isu-isu semasa kerana semua maklumat dan info boleh didapati di hujung jari. 

Menurut data yang telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2011 sehingga tahun 2019, jumlah kes kemalangan jalan raya telah meningkat pada setiap tahun iaitu 449,040 kes (2011), 462,423 kes (2012), 477,204 kes (2013), 476,196 kes (2014), 489,606 kes (2015), 521,466 kes (2016), 533,875 kes (2017), 548,598 kes (2018) dan 567,516 kes pada 2019. Manakala pada tahun 2020, jumlah kes kemalangan jalan raya telah menurun berbanding tahun-tahun sebelumya iaitu sejumlah 195,358 kes.

Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya sedangkan pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PDRM seperti Op Selamat bagi mengurangkan kadar kemalangan khususnya pada musim perayaan? 

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang masih tinggi disifatkan sebagai punca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan.

Tidak Fokus Ketika Pemanduan 

Antara kecuaian yang sering dilakukan oleh pemandu ialah mereka tidak peka atau fokus pada keadaan sekeliling semasa memandu seperti mereka menggunakan telefon bimbit, makan dan minum semasa memandu serta rancak berbual dengan penumpang sehinggakan mata tidak lagi fokus ke depan untuk melihat jalan. 

Kita bukan sahaja perlu melihat jalan, tetapi juga perlu sentiasa peka terhadap potensi bahaya di sekeliling kita kerana boleh jadi kita terlibat dengan kemalangan disebabkan oleh bahaya yang timbul akibat kecuaian pemandu lain. 

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, beliau menegaskan walaupun sekadar ‘mengintai’ mesej telefon sekadar lima saat, akan tetapi pada kelajuan 90 km/jam jaraknya sama seperti kita memandu sepanjang padang bola tanpa melihat jalan. Tambahan pula, perhatian yang terganggu ketika memandu adalah sangat bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya. 

Salah satu contoh kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kelalaian pemandu telah berlaku pada 25 Ogos 2020 di Kulim, Kedah di mana seorang datuk yang berusia 85 tahun telah meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggang oleh beliau dirempuh oleh sebuah lori yang membawa muatan pasir dari arah bertentangan. 

Sewaktu kejadian berlaku, beliau sedang berhenti di garisan tengah jalan sebelum cuba untuk menyeberangi jalan. Kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh pemandu lori tersebut tidak perasan akan kewujudan motosikal tersebut disebabkan beliau tidak fokus semasa memandu.

Mabuk Ketika Memandu

Seterusnya, kes kemalangan juga sering berlaku disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang memandang remeh terhadap kesan pengambilan alkohol terhadap pemanduan mereka di jalan raya. 

Berdasarkan laporan akhbar Metro pada 1 Jun 2020, PDRM telah merekodkan sebanyak sembilan kes kemalangan maut yang berlaku disebabkan oleh pemandu yang mabuk sejak Januari sehingga Mei 2020. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan kerana jumlah berkenaan dicatatkan hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2020 berbanding tahun lalu iaitu sembilan kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga Disember. 

Buktinya, pada 11 Februari 2020, seorang pemandu wanita yang dipercayai mabuk telah melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggang oleh dua orang remaja sehingga mengakibatkan remaja tersebut meninggal dunia. Kejadian ini berlaku di Butterwoth, Pulau Pinang. 

Manakala, pada 6 Februari 2020, kes yang sama juga telah berlaku di Kuala Lumpur yang melibatkan pemandu mabuk merempuh motosikal di Bulatan Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan. Kemalangan ini juga telah meragut nyawa penunggang motosikal tersebut.

Langgar Lampu Isyarat

Selain itu, sikap pemandu yang tidak mematuhi lampu isyarat juga boleh mengundang kemalangan jalan raya. Perbuatan tersebut sering kali dilakukan oleh pengguna motosikal. 

Tujuan utama kerajaan meletakkan lampu isyarat pada setiap simpang jalan untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Akan tetapi, pengguna jalan raya sering melanggar lampu isyarat tanpa menghiraukan keselamatan dan nyawa diri sendiri. Contohnya, di Johor Bharu, tindakan seorang lelaki yang melanggar lampu isyarat berakhir dengan kematian apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan pacuan empat roda. Mangsa maut disebabkan oleh kecederaan yang parah di kepala. 

Pemanduan Dengan Jarak Yang Tidak Selamat

Di samping itu, pemandu yang tidak mengekalkan jarak yang selamat ketika memandu juga boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya. Setiap pemandu haruslah mematuhi jarak yang selamat kerana kemungkinan besar pemandu tersebut akan merempuh kenderaan di hadapan mereka.

Jarak selamat antara kenderaan akan memberikan masa yang secukupnya untuk bertindak balas. Mengekalkan jarak selamat adalah cara yang paling mudah dan paling berkesan dalam pemanduan berhemah. 

Sebagai contoh, pada 8 November 2017, seorang penunggang motosikal maut setelah digilis oleh sebuah lori muatan kelapa sawit di Jalan Keningau – Sook, Keningau. Kejadian tersebut berlaku apabila kereta di hadapan motor tersebut membrek secara tiba-tiba menyebabkan mangsa merempuh belakang kereta tersebut lalu tercampak ke lorong bertentangan dan digilis oleh sebuah lori. Oleh itu, pengekalan jarak selamat amatlah penting semasa memandu kenderaan.

Membuat Pusingan U Secara Tiba-tiba

Sementara itu, pemandu kenderaan juga tidak seharusnya bertindak sembrono dengan membuat pusingan U di hujung pembahagi jalan semata-mata untuk menukar arah. Tindakan ini akan menimbulkan gangguan dan kejutan kepada pemandu lain yang sedang memandu di bahagian belakang dan juga di lorong bertentangan. 

Ia akan mengakibatkan kemalangan kerana kenderaan yang sedang bergerak laju tidak akan sempat memberhentikan kenderaan mereka kerana kejadian ini berlaku secara spontan. Kebiasaannya, kemalangan teruk akan berlaku dan mengakibatkan kehilangan nyawa. 

Seperti contoh yang berlaku di Tuaran pada tahun lalu, 3 Ogos 2020. Kemalangan ini melibatkan sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di pembahagi jalan mengakibatkan penunggang motosikal yang berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas motornya merempuh lori tersebut lalu terperosok dan terseret di bawah lori.

Terlelap Ketika Memandu

Selain daripada itu, “microsleep” juga merupakan salah satu faktor terjadinya kemalangan jalan raya. “Microsleep” merujuk kepada satu episod tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan berlaku untuk tempoh antara 1 hingga 30 saat. 

Ia boleh terjadi tanpa amaran dan kerap berlaku apabila seseorang individu yang dalam keadaan mengantuk cuba untuk melawan rasa tersebut dan kekal berjaga. Dalam sesetengah kes, ia juga boleh berlaku ketika mata sedang dan masih terbuka.

Apabila dalam keadaan mengantuk, sebahagian otak sebenarnya mula tertidur atau tidak berfungsi sepenuhnya walaupun secara fizikal kita masih terjaga. Jika keadaan ini berlaku, elakkan daripada memandu kenderaan. Berhenti seketika di kawasan rehat dan rawat (R&R) sekiranya kita menguap tanpa henti ketika memandu kenderaan. 

Ia bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain. Sebagai contoh, Utusan Melayu  pada 29 Julai 2020 melaporkan seorang pelajar UPM telah meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas di Linggi, Negeri Sembilan. 

Sewaktu kemalangan itu berlaku, Allahyarham Amin Faizz dalam perjalanan daripada Kluang, Johor menuju ke UPM. Sebelum mangsa kemalangan, dia sempat memuat naik status di Instagram Story miliknya dengan mengatakan dia sudah dua kali mengalami microsleep dan terpaksa memberhentikan motosikal. 

Namun tiada siapa sangka bahawa selepas memuat naik status tersebut, dia telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang berpunca daripada microsleep. Oleh sebab itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhenti daripada memandu apabila berasa letih dan mengantuk bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang lagi terutamanya mereka yang memerlukan pemanduan yang berjam-jam lamanya untuk tiba ke destinasi yang diingini. 

Selain itu, pastikan berhenti di kawasan yang selamat seperti RnR bagi mengelakkan kejadian samun dan sebagainya.

Kenderaan Yang Tidak Diselenggara Dengan Baik

Akhir sekali, tidak menyelenggara kenderaan dengan sebaiknya juga menjadi faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Pastikan brek kereta masih berfungsi, tayar kereta tidak haus, kesemua lampu brek masih berfungsi dan menyala, hon dalam keadaan baik, lampu di hadapan menyala dengan terang dah tidak malap serta memastikan juga lampu signal berfungsi dengan baik. 

Hal ini demikian kerana kesemua peralatan tersebut sangat penting bagi mengelakkan kemalangan jalan raya yang teruk sehingga membawa maut. Semasa memandu, hidupkan lampu apabila menjelang senja di dalam terowong ataupun ketika hujan. Amalkan ia sebaik sahaja berada dalam kawasan yang sumber cahayanya terhad bagi mengelakkan kemalangan yang melibatkan pertembungan antara dua kenderaan.

Seterusnya, setiap pemandu perlu memberi isyarat kepada pemandu lain sebelum menukar lorong atau membelok supaya pemandu lain boleh menjangkakan arah tuju pemanduan. 

Kemalangan juga sering berlaku apabila lampu signal tidak berfungsi. Sebagai contoh, pada 3 Jun 2018, 3 orang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspres, lori tangki dan kontena di Kilometer (KM) 142 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran persimpangan Pagoh, Johor. 

Kejadian ini berlaku apabila sebuah lori kontena membawa muatan ‘pallet‘ dari arah tol Pagoh menuju ke utara bergeser dengan sebuah lori tangki ketika menuruni susur keluar ke lebuh raya. Pergeseran itu menyebabkan pemandu lori kontena terbabit hilang kawalan mengakibatkan lori itu terbalik dan merentangi kawasan tengah jalan. Kemudian, sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur membawa 27 penumpang, yang kebetulan berada di lokasi, melanggar belakang kontena yang sudah tertanggal dari badan lori.

Kesimpulannya, semua pemandu hendaklah mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa berhemah semasa memandu. Kecuaian pemandu untuk terus berdisiplin semasa berada di jalan raya boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku. Ingatlah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 

Janganlah kecuaian dan kelekaan kita semasa memandu menyebabkan orang lain binasa kerana kebiasaanya kemalangan jalan raya bukan sahaja melibatkan nyawa kita sendiri bahkan nyawa orang lain juga. 

Oleh sebab itu, isu kemalangan jalan raya ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana impaknya sangat besar contohnya kepada negara kerana kerugian sumber tenaga yang produktif.  

Slogan “Pandu Cermat Jiwa Selamat” hendaklah dijadikan pedoman bagi semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah yang perlu dihargai.

Penulis; Siti Sarah Binti Suhaimi, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular