Pada zaman milenium waktu ini, terdapat banyak anak-anak muda yang giat menceburi bidang perniagaan dan perusahaan. Bidang perniagaan dan perusahaan dilihat sebagai bidang yang mudah diceburi dan sesuai dengan jiwa anak muda yang lebih gemar meluangkan masa bermain peranti-peranti elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan juga tablet.
Golongan muda ini telah menjadi antara orang yang berpengaruh di media sosial seperti di Instagram, Whatapps , Twitter dan juga Facebook. Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh golongan ini untuk mempromosikan dan memperkenalkan produk-produk atau barangan yang dijual oleh mereka.
Antara barangan yang menjadi pilihan usahawan-usahawan muda pada waktu ini ialah menjual barangan terpakai. Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, kita mestilah mengetahui apakah itu barangan terpakai?.
Barangan terpakai bermaksud barangan yang pernah digunakan dan dijual semula sebagai barang terpakai. Harganya boleh jadi lebih murah dari harga asal dan keadaan fizikal barang bergantung kepada penggunaan sebelum ini. Barangan terpakai boleh terjadi dalam pelbagai bentuk termasuklah barang seperti pakaian, alatan elektronik, perabot mahupun kereta.
Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan untuk barangan-barangan terpakai. Antaranya ialah seperti ‘pre-loved’, ‘pre-owned’, ‘originally manufactured’ atau ‘refurbish’.Terdapat perbezaan antara setiap istilah yang digunakan.
Barangan ‘refurbish’ atau ‘recond’ adalah barangan yang dikembalikan kepada penjual atas pelbagai sebab. Produk ‘refurbish’ biasanya diuji untuk fungsi dan kecacatan sebelum dijual semula. Perbezaan utama antara produk “refurbish” dan “terpakai” adalah ‘ refurbish’ produk yang diperbaharui dan telah diuji dan disahkan berfungsi dengan baik. Oleh itu, ia bebas daripada kecacatan.
Sementara itu, produk ‘terpakai’ ialah produk yang mempunyai keberangkalian yang sama antara rosak ataupun tidak rosak. Barangan ‘refurbish’ mungkin juga barangan yang dipulangkan pelanggan dan tidak dipakai langsung atau juga barangan yang masih dalam jaminan, ia kemudian dikembalikan dan dijual semula oleh pengilang barangan tersebut. Kebiasannya istilah “refurbish” ini digunakan untuk alatan elektronik seperti telefon pintar dan peti sejuk.
Seterusnya, untuk istilah ‘Pre-owned’ dan Pre-loved’. Istilah ini sebenarnya mempunyai maksud yang sama dengan barangan terpakai dan ia digunakan untuk mengelakkan penggunaan istilah terpakai atas dasar supaya nampak lebih meyakinkan. Istilah ini biasanya digunakan untuk barangan seperti buku-buku atau barangan koleksi.
Kemudian, untuk istilah ‘Originally re-manufactured’ ia bermaksud membina semula produk kepada spesifikasi produk keluaran asal menggunakan kombinasi penggunaan semula, pembaikan dan bahagian baru. Ia memerlukan pembaikan atau penggantian komponen dan modul yang usang dan teruk.
Bahagian yang mempengaruhi prestasi atau jangka hayat akan digantikan keseluruhannya untuk memastikan kualitinya terjamin. Istilah ini kebiasaannya diguna untuk produk seperti kereta dan motosikal. Jadi barangan apakah yang menjadi pilihan usahawan-usahawan muda untuk memulakan perniagaan?
Jawapannya adalah pakaian. Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua, pakaian membawa makna apa-apa sahaja yang dipakai di badan seperti baju dan seluar. Penjualan pakaian seperti baju dan seluar terpakai mendapat sambutan hangat di pasaran dan istilah yang digunakan untuk barangan pakaian ini ialah ‘bundle’.
Mungkin pada awalnya barangan ‘bundle’ ini hanya mendapat sambutan kerana ia merupakan satu barangan pakaian yang mudah didapati namun pada hari ini ia dianggap seperti emas kerana ‘bundle’ kini dipandang seperti emas yang mempunyai nilai tinggi dengan konsep semakin lama pakaian tersebut, semakin mahal harganya kerana menjadi ‘rare’ dan ‘vintage’.
Apakah sebab di sebalik kenaikan harganya? Sebab utama barangan ini semakin mahal mengikut tahun ialah kerana terdapat sesetengah pakaian yang telah diberhentikan proses penghasilannya atau dipanggil dalam bidang ini ialah ‘deadstock’. Hal ini menyebabkan barangan ini menjadi sangat dicari-cari dan mempunyai nilai yang tinggi. Istilah yang digunakan untuk pakaian ini ialah ‘vintage’ dan ‘rare’ kerana nilainya semakin meningkat mengikut tahun.
Selain itu, sebab pakaian ini menjadi mahal ialah kerana terdapat sesetengah pakaian yang hanya dikeluarkan untuk sesuatu sambutan, kejohanan, peristiwa dan juga konsert. Disebabkan kebanyakan barangan ‘bundle ‘ ini diperolehi dari luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Korea dan juga Kemboja, kemungkinan untuk memperolehi barangan yang jarang ditemui dan diperolehi menjadi lebih tinggi.
Menurut Suraya Roslan di dalam artikel yang ditulisnya dalam Harian Metro, seorang pemilik bundle Tokor Amerika, Ahmad Baihaki Hussin, memiliki seluar jeans Levis pertama 1890. Seluar itu merupakan jean poket satu ataupun dikenali sebagai ‘First Blue Jeans’. Seluar ini dianggap sebagai satu pakaian yang ‘rare’ dan ‘vintage’ kerana umurnya yang sudah menjangkaui 100 tahun namun kualitinya masih bagus.
Ahmad juga mengatakan di dalam artikel tersebut bahawa terdapat sehelai baju-T band rock seperti ‘Nirvana’ yang mana harganya boleh mencecah RM3,000 hingga belasan ribu. Selain itu di dalam artikel yang diterbitkan oleh Beritan Harian pada 2019 dan ditulis oleh Poliana Ronnie Sidom, terdapat seorang pengusaha bundle yang bernama Rudy Alham Zulkifli yang memiliki baju kemeja-t terpakai memaparkan gambar karektor kartun ‘sumo’ yang mana harganya sangat mahal.
Beliau juga mengatakan harga yang harus dibayar untuk memiliki baju kemeja-T tersebut adalah sebanyak RM10,000. Kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa pakaian ‘bundle’ ini mempunyai harga pasaran yang tinggi bergantung kepada jenama atau jenis pakaian tersebut.
Tambahan lagi, kedua-dua pengusaha pakaian bundle ini kedua-duanya merupakan seorang usahawan pakaian teerpakai yang hanya menjual pakaian biasa yang hanya bernilai serendah RM 5. Jadi, mengapakah pakaian bundle ini sangat laris di kalangan masyarakat kita terutamanya masyakat melayu Malaysia?
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan barangan bundle ini menjadi kegilaan atau rebutan orang ramai. Pertama sekali, faktor yang menyebabkan barangan bundle ini selalu mendapat sambutan pasaran ialah kerana ia mempunyai peminat. Peminat di sini bermaksud golongan yang suka membeli dan mengumpul barangan ‘bundle’ ini.
Antara peminat yang selalu membeli dan memborong barangan bundle ini golongan-golongan orang yang berumur. Golongan ini suka membeli barangan seperti tali pinggang dan pelbagai jenis beg seperti beg pakaian dan juga beg sandang. Kebanyakan golongan ini hanya membeli barangan ini sekadar hanya sebagai hobi dan bukanlah kerana mereka memerlukan barangan tersebut.
Seterusnya, faktor yang menyebabkan barangan ini selalu mendapat perhatian ialah kerana harganya yang murah dan mampu milik. Ini sangat sesuai untuk golongan yang tidak berkemampuan dan hanya memerlukan pakaian untuk tujuan berkebun atau bekerja di tempat-tempat yang akan menyebabkan pakaian itu kotor dan rosak. Sebagai contoh, pekerja-pekerja pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk melakukan kerja-kerja buruh, sudah semestinya mereka akan memilih pakaian bundle ini sebagai pilihan mereka kerana mereka tahu bahawa kerja mereka memerlukan pakaian yang lasak dan di samping mempunyai harga yang murah.
Selain itu, pakaian ini juga menjadi pilihan para pelajar universiti ataupun graduan yang memerlukan pakaian untuk ke kelas. Kebanyakan pelajar-pelajar akan ke kedai ‘bundle’ untuk mencari pakaian seperti kasut kulit, tali leher, tali pinggang dan juga baju kemeja untuk dipakai ke kelas. Hal ini kerana, barangan tersebut boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding pakaian-pakaian baru di pasaraya mahupun butik pakaian.
Di samping itu, faktor yang menyebabkan pakaian ini menarik perhatian umum ialah kerana ia mempunyai corak dan gaya yang menarik. Hal ini kerana, kebanyakan pakaian ‘bundle’ diambil dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun dan juga Amerika syarikat. Corak dan gaya yang ada pada pakaian bundle ini tidak sama dengan corak yang ada pada pakaian-pakaian tempatan.
Hal ini bukan menunjukkan bahawa pakaian-pakaian tempatan tidak menarik tetapi kebanyakan pakaian tempatan mempunyai gaya yang sama dan membuatkan pelanggan bosan dan jemu melihat corak dan warna yang seakan-akan sama. Pakaian ‘bundle’ membolehkan para pelanggan mengubah gaya penampilan mereka dengan mengenakan pakaian yang mempunyai corak-corak yang menarik.
Tambahan pula, pakaian bundle juga menjadi pilihan generasi muda pada zaman ini. Hal ini terbukti apabila kebanyakan anak-anak muda suka bergaya ‘ala-ala retro’ yang mana ia menjadi ‘trend’ di kalangan generasi muda. Kebanyakan barangan ‘bundle’ mempunyai pakaian yang mampu merealisasikan ‘trend’ tersebut sekaligus membuatkan anak muda lebih tertarik untuk membeli pakaian di tokor-tokor bundle.
Mempunyai banyak pilihan yang sesuai untuk setiap lapisan umur juga menjadikan pakaian-pakaian ‘bundle’ ini menjadi sasaran pelanggan-pelanggan. Hal ini kerana, setiap pelanggan yang hanya datang untuk membeli untuk diri sendiri memilih pakaian untuk ahli-ahli keluarga yang lain. Sebagai contoh, apabila seseorang sedang memilih pakaian untuk dirinya sendiri namun terlihat pakaian yang sesuai untuk adik mahupun anaknya sudah semestinya pelanggan tersebut tidak akan melepaskan peluang untuk memborong barangan tersebut.
Akhir sekali, faktor yang menyebabkan pakaian ini sering diserbu para pelanggan ialah kerana kepuasan dan keseronokan apabila mencari dan menjumpai barangan pakaian yang diingini. Istilah yang sering digunakan untuk para pelanggan pakaian ‘bundle’ ialah ‘menyelam’. Istilah ini menunjukan bahawa apabila mencari barangan ‘bundle’, pelanggan akan berusaha sedaya upaya untuk mencari pakaian yang mempunyai kualiti dan mempunyai saiz yang sesuai.
Pelanggan pakaian ‘bundle’ juga akan melihat teg saiz di setiap pakaian yang ada kerana melalui teg tersebut pelanggan akan dapat mengetahui tempat asal pakaian itu dibuat sekaligus membolehkan mereka mendapat pakaian ‘jackpot’.
‘Jackpot’ di sini bermaksud pakaian yang yang mempunyai jenama yang terkenal namun dapat dimiliki dengan harga yang murah. Dan berdasarkan pengalaman saya terdapat sahabat-sahabat handai saya sering mendapat barangan ‘jackpot’ ini hasil usaha mereka mencari dengan bersungguh-sungguh. Ini menunjukkan bahawa proses pencarian barangan dapat memberikan kepuasan dan keseronokan yang tersendiri kepada para pelanggan sekali gus menyebabkan kedai-kedai ini sentiasa penuh dengan para pelanggan dari lapisan umur dan masyarakat.
Kesimpulannya, penjualan barangan terpakai adalah satu industri baru yang baru sahaja mempunyai nama dalam bidang perniagaan di Malaysia dan menjadi pelantar kepada usahawan-usahawan muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menyokong usahawan-usahawan muda ini supaya mereka lebih semangat untuk mencari duit poket sendiri dan keluar dari zon selesa yang sudah semestinya tidak bagus untuk perkembangan mental dan fizikal seseorang individu.
Penulis; Muhammad Alif Muhaimin Bin Mahasan, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.