Monday, June 27, 2022
HomeArtikelPalestin Atau Israel: Siapakah Pengganas Yang Sebenar?

Palestin Atau Israel: Siapakah Pengganas Yang Sebenar?

Kira-kira sebulan yang lalu, seluruh dunia digemparkan dengan berita tentang penindasan sebuah negara ke atas negara yang didudukinya. Negara tersebut merupakan di antara negara Israel dan negara Palestin.

Negara haram Israel telah melakukan penindasan terhadap Palestin. Penduduk Palestin diserang ketika mereka melakukan ibadah solat terawih pada 10 malam terakhir Ramadan baru-baru ini.

Tentera-tentera Israel telah mengganggu dan menghalau keluar rakyat Palestin yang sedang solat di kawasan Masjidil Aqsa. Lebih teruk lagi, mereka telah membaling bom pemedih mata dan memukul sesiapa sahaja yang ingkar arahan mereka.

Akibat daripada tindakan pihak Israel yang melampaui batas, maka tercetus sebuah peperangan antara kedua-dua pihak Israel dan juga Palestin yang diketuai oleh Hamas.

Jadi apakah itu Hamas? Hamas merupakan sebuah organisasi kebangsaan dan organisasi ketenteraan Islam Palestin. Perkataan Hamas berasal daripada singkatan bahasa arab yang bermaksud “Gerakan Perjuangan Islam”.

Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yassin telah menubuhkan Hamas selepas berlakunya Intifadah Pertama (penentangan rakyat Palestin menentang Israel) yang berlaku pada 1987-1993 dengan tujuan untuk membebaskan Palestin daripada pendudukan Israel.

Di bawah pertubuhan ini juga, terdapat sebuah sayap ketenteraan yang memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin yang dinamakan sebagai Briged Izzuddin al-Qassam.

Gambar: Angkatan Pejuang Palestin sentiasa bersiap sedia mempertahankan bumi Palestin

Pada Jumaat, 21 Mei, Israel telah mengumumkan gencatan senjata ke atas Palestin setelah 11 hari serangan udara rejim zionis ke atas Gaza. Namun, dalam masa kurang 24 jam selepas gencatan senjata diumumkan, rejim Israel sudahpun melanggar persetujuan dan kembali menyerang perkarangan Masjidil Aqsa.

Warga Palestin yang sedang berkumpul untuk meraikan kemenangan gencatan senjata di sekitar perkarangan itu diserang dan dibaling bom asap oleh tentera Israel. Ianya bagai tiada penghujung selagi Israel masih berdegil dan tidak patuh kepada tindakan mereka sendiri.

Gambar: Tentera Israel menyerang penduduk Palestin di sekitar perkarangan Masjidil Aqsa.

Sejarah awal perpindahan kaum Yahudi Israel ke tanah Palestin ini telah berlaku sejak beratus tahun yang lalu. Pada tahun 1897, Persidangan Basel atau dikenali sebagai First Zionist Congress yang berlaku di Switzerland diadakan bertujuan untuk perbincangan dalam menubuhkan sebuah negara Yahudi.

Persidangan ini turut dihadiri dengan Bapa Politik Moden Zionisme, Theodor Herzl dan juga Abraham Salz. Persidangan ini juga berlaku kerana golongan Yahudi ini menginginkan tanah air sendiri dan ianya disepakati untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin oleh negara-negara yang hadir pada masa itu.

Pada masa yang sama, khalifah terakhir kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hameed dengan penuh rasa tanggungjawab dalam mempertahankan Palestin daripada permainan licik kaum Yahudi ini telah mengeluarkan perintah bahawa jemaah pilgrim Yahudi tidak dibenarkan tinggal di Palestin melebihi tiga bulan.

Walaubagaimanapun, delegasi demi delegasi kaum Yahudi dihantar ke Turki bagi memujuk Sultan Abdul Hameed.

Sehinggakan pada tahun 1902, delegasi daripada Theodor Herzl bertemu dengan perdana menteri setelah Sultan menolak perjumpaan delegasi tersebut. Mereka telah menawarkan untuk menjelaskan semua hutang kerajaan Turki Uthmaniyyah £23 juta dan membiayai kos armada perang Turki dengan tujuan mendapatkan kebenaran sultan untuk menubuhkan negara Yahudi.

Sultan Abdul Hameed yang bijaksana dan berani tidak terpedaya dengan tawaran pihak Yahudi telah menolak semua tawaran itu dan memilih untuk menjaga maruah rakyat Palestin serta tanah suci itu.

‘Holocaust’ ataupun pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi telah berlaku pada Perang Dunia Kedua itu telah diketuai oleh Hitler iaitu ketua Nazi Jerman. Kaum Yahudi di Eropah Timur ketika itu dianggap sebagai kelas bawahan dan ada yang dijadikan sebagai hamba. Peristiwa hitam itu menjadi titik tolak dalam usaha mereka untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi.

Setelah jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah, Palestin diletakkan di bawah bidang kuasa British. British bertanggungjawab dalam melakukan migrasi kaum Yahudi di Eopah ke Palestin. Akhirnya, sebuah negara Yahudi telah ditibuhkan secara rasmi pada tahun 1948 di Palestin.

Ratusan ribu rakyat Palestin diusir keluar dari tempat mereka sendiri oleh tentera-tentera Yahudi. Gambar di bawah menunjukkan bagaimana tahun demi tahun, tanah Palestin dirampas secara haram oleh Israel.

Gambar: Peta negara Palestin semakin mengecil akibat dirampas oleh zionis Israel

Pada 15 Mei 1948, berlaku peristiwa hitam bagi sejarah negara Palestin yang dinamakan sebagai Nakbah. Tarikh tersebut merupakan tarikh peringatan tragedi buruk bagi seluruh rakyat Palestin kerana pada fasa itulah mereka diusir daripada rumah dan tanah mereka sendiri dengan kejam.

Rumah-rumah dan kampung-kampung mereka dimusnahkan dan ribuan mangsa dibunuh oleh pengganas Zionis Israel. Lagi menyedihkan apabila, pada masa yang sama, Deklarasi Hak Asasi Manusia dari piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disepakati dan diluluskan.

Namun, sejurus ia diluluskan, rakyat Palestin menjadi mangsa kepada pelanggaran hak asasi yang pertama. Deklarasi itu bagai sebuah janji manis semata-mata. Sehingga saat ini, 72 tahun telah berlalu saat pertama kali warga Palestin dicabuli hak mereka oleh pendatang haram Israel.

Menurut Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, beliau menyifatkan peristiwa bersejarah ini merupakan malapetaka yang perlu dikenang oleh seluruh umat manusia.

Gambar: Penduduk Palestin berpindah selepas dihalau dari tanah mereka sendiri

Dahulunya, sebelum kedatangan pendatang haram Israel ke tanah suci Palestin, mereka hidup dalam keadaan yang damai dan harmoni walaupun terdiri daripada berbilang kaum. Jika dapat dilihat, tiada rekod yang menunjukkan bangsa atau kaum yang terdiri daripada bukan Islam yang menetap di negara yang di bawah pemerintahan Islam ditindas dan tidak diberi layanan dan hak yang sama.

Begitu juga dengan negara kita, Malaysia, sangat menjaga keselamatan warganya yang pelbagai kaum dan agama termasuk Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Kita tetap hidup dalam kesepaduan tanpa berlaku pergaduhan antara satu sama lain. Sebaliknya, umat Islam minoriti di beberapa negara di bawah pemerintahan bukan Islam teruk ditindas dan diancam keselamatan mereka.

Buktinya, bangsa Uyghur ditangkap dan ditahan di dalam kem oleh kerajaan China, etnik Rohingya di Myanmar pula tidak diberi hak kewarganegaraan oleh pemimpin negara mereka sendiri. Manakala, masyarakat muslim di India pula diserang, dibakar kediaman, premis perniagaan serta masjid-masjid dirobohkan.

Begitulah juga nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel di tanah mereka sendiri. Kononnya mereka menentang ekstrimisme Islam yang ‘ganas’. Kononnya Islamofobia menganggu hidup mereka. Padahal mereka sendirilah yang ekstrim mengganas dan menzalimi umat Islam.

Balingan batu dibalas dengan peluru dan bom. Kanak-kanak, wanita, orang-orang tua, serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut diperlakukan seperti binatang tanpa belas kasihan. Sesiapa sahaja yang bertindak melawan mereka pasti dikenakan hukuman yang sangat tidak berperikemanusiaan. Tentera-tentera Israel bagaikan orang yang takut dengan bayangan sendiri.

Gambar: Kanak-kanak juga turut menjadi mangsa keganasan tentera Israel

Tidak kurang juga wartawan dan pihak media serta petugas perubatan yang menjalankan tugas membuat liputan dan menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa dan korban keganasan Zionis turut dikasari dan diserang. Walhal, menurut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) atau Undang-undang Konflik Bersenjata, mana-mana negara yang terlibat dalam konflik peperangan mestilah mematuhi peraturan-peraturan terkandung di dalamnya.

Peraturan asas UUKA termasuklah melindungi, tidak membunuh dan mencederakan pihak yang tidak mengambil bahagian di dalam pertempuran seperti orang awam, kakitangan perubatan, anggota tentera yang tercedera serta tawanan perang. Walaubagaimanapun, Israel laknatullah telah melanggar semua peraturan termasuk peraturan asas UUKA.

Buktinya jelas dapat dilihat, pada 1 Jun 2018, Razan al-Najjar, seorang sukarelawan perubatan wanita telah ditembak tepat oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika dalam cubaannya untuk membantu dalam proses evakuasi mangsa yang tercedera dalam kejadian protes berlaku di perbatasan Gaza.

Selain itu, pada 15 Mei lalu, tentera rejim Israel telah mengebom sebuah bangunan media antarabangsa iaitu Menara al-Galaa terletak di Genting Gaza yang menempatkan pejabat media seperti al-Jazeera dan Associated Press.

Tindakan tersebut merupakan sebuah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Israel dituntut untuk tampil memberikan penerangan ke atas serangan itu oleh Jawatankuasa Perlindungan Wartawan.

Tentera Israel mendakwa bahawa serangan itu dilakukan kerana dipercayai bangunan tersebut digunakan oleh pejuang Hamas untuk memperkukuh ketenteraan mereka untuk menyerang Israel.

Namun, tiada bukti ke atas dakwaan tersebut. Joel Simon, pengarah eksekutif organisasi media antarabangsa, menyifatkan bahawa IDF sengaja membedil bangunan itu untuk menutup segala kejahatan yang dilakukan oleh mereka dan menyekat liputan tentang kesengsaraan berlaku di Gaza.

Gambar: Bangunan Al-Galaa ranap dibom oleh tentera Israel.

Zionis Israel telah melakukan banyak serangan ke atas Palestin secara mengejut. Orang-orang awam di Palestin tidak diberi amaran untuk mereka meninggalkan kawasan yang akan disasarkan serangan menyebabkan ramai korban yang terlibat akibat serangan itu.

Dalam satu laporan, serangan Zionis di jalan Wehdah telah mengorbankan 33 syuhada’, 12 daripadanya wanita dan 8 adalah kanak-kanak. Berbeza dengan cara Islam, Hamas terlebih dahulu memberi amaran kepada Israel supaya penduduk lari menyelamatkan diri dengan mengosongkan bangunan yang akan disasarkan serangan.

Islam juga melarang supaya tidak menyerang dan memusnahkan tempat ibadah dan kawasan tanaman pihak musuh. Begitulah indahnya etika peperangan dalam Islam.

Gambar: Mangsa kanak-kanak ditemui di bawah runtuhan

Sehubungan itu, Israel telah mendapat kecaman yang teruk dari masyarakat dunia akibat daripada aktiviti keganasan dan tidak berperikemanusiaan mereka ke atas Palestin. Banyak negara melakukan demonstrasi bagi membantah perbuatan keji Israel dan menyatakan solidariti mereka ke atas rakyat Palestin. Demonstrasi ini berlaku di banyak negara seperti Jepun, Korea, Jerman, Sepanyol, Yaman, Syria dan pelbagai lagi.

Gambar: Demonstrasi seluruh dunia menunjukkan solidariti terhadap Palestin

Tahun demi tahun, dunia kini telah membuka mata mereka dalam menyokong dan membantu Palestin. Dahulunya, tindakan-tindakan Israel ke atas Palestin dipertahankan, namun kini pandangan umum masyarakat antarabangsa telah berubah.

Cemuhan demi cemuhan ke atas Israel dinyatakan oleh masyarakat dan pemimpin dunia. Menurut penganalisis konflik Palestin-Israel, entity Israel bakal lenyap dari landskap politik timur tengah. Jika dahulu rakyat Palestin dianggap sebagai pengganas, kini Israel pula digelar sebagai negara penyangak.

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam wajiblah mempertahankan hak saudara sesama Islam kita di Palestin. Kita mestilah berganding bahu membanteras segala keganasan dan kejahatan yang dilakukan oleh tentera rejim zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan itu.

Kita boleh memboikot barangan keluaran Israel dan barangan yang memberi sokongan terhadap Israel. Selain itu, kita juga mampu berdoa kepada Allah agar sentiasa melindungi dan memberi kemenangan kepada Palestin suatu hari nanti.

Penulis; Ahmad Iqmal Afifi Bin Lokman, pelajar tahun 2 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular