Friday, May 20, 2022
HomeArtikelPandemik Covid-19: Pencetus Gangguan Emosi

Pandemik Covid-19: Pencetus Gangguan Emosi

Pandemik Covid-19 telah berlaku sejak bulan Mac pada tahun 2020 baru-baru ini telah sedikit sebanyak telah memberi kesan yang mendalam terhadap komuniti kita. Ini adalah kerana untuk mengatasi pandemik tersebut, kerajaan telah memutuskan untuk melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana terdapat pelbagai sektor yang terpaksa ditutup bagi menghalang penyebaran penyakit Covid-19 seperti sektor pendidikan dan ekonomi.

Kesannya, terdapat sebahagian komuniti yang terpaksa diberhentikan kerja atau ditangguhkan pekerjaannya. Oleh hal yang demikian, golongan ini cenderung untuk mengalami stress dan gangguan emosi.

Bukan itu sahaja, dari segi pendidikan, terdapat sebilangan pelajar juga turut mengalami stress kerana terpaksa mengikuti pelajaran secara atas talian.

Oleh itu, kita akan membahaskan beberapa punca dan langkah bagi menangani stress dan gangguan emosi sepanjang pandemik tersebut.

Punca Berlakunya Stress & Gangguan Emosi

Komuniti

Pertama sekali mari kita lihat kepada komuniti kita sendiri. Kehilangan pekerjaan merupakan salah satu punca utama komuniti kita menghadapi stress dan gangguan emosi sepanjang pandemik.

Apabila kerajaan mengumumkan PKP, terdapat sebilangan besar majikan mengambil keputusan untuk memberhentikan mahupun menangguhkan pekerjaan pekerja mereka disebabkan oleh kekurangan pendapatan syarikat ataupun keadaan syarikat yang tidak mampu untuk membayar gaji pekerja yang ramai.

Hampir keseluruhan pekerja yang masih bekerja mengalami potongan gaji tidak kira sektor swasta mahupun kerajaan. Ini menyebabkan komuniti hilang mata pencarian dan kos kehidupan seharian mereka.

Selain itu, kekurangan wang simpanan juga merupakan salah satu punca berlakunya stress dan gangguan emosi. Semasa berlakunya kecemasan sebagai contoh semasa pandemik ini, keperluan menggunakan wang kecemasan amatlah diperlukan. Ketiadaan dan kekurangan wang kecemasan amatlah membuatkan komuniti tertekan dan terdesak. Oleh hal yang demikian, mereka tidak mampu untuk menampung kos harian mereka terutama jika mereka hilang mata pencarian mereka.

Kesimpulannya, kehilangan pekerjaan dan ketiadaan serta kekurangan wang simpanan menjadi punca yang boleh mengakibatkan komuniti kita mengalami stress dan gangguan emosi yang boleh memudaratkan mereka semua sekiranya tidak dikawal.

Pendidikan

Dari segi pendidikan pula, pelajar sering mengalami stress dan gangguan emosi oleh kerana tugasan yang diberikan oleh guru mahupun pensyarah. Ini adalah kerana pelajar kurang memahami pelajaran yang diajar secara atas talian menyebabkan mereka susah untuk melakukan tugasan yang diberikan.

Selain itu, keadaan rumah turut menjadi salah satu sebab mengapa pelajar menghadapi stress dan gangguan emosi. Ini adalah kerana suasana rumah yang bising dan tidak tenteram menganggu fokus dan konsentrasi mereka.

Di samping itu, masa juga turut menjadi salah satu sebab berlakunya stress dan gangguan emosi terhadap pelajar. Pembahagian masa yang tidak teratur boleh mengakibatkan pelajar tidak sempat untuk melakukan tugasan yang diberikan kepada guru atau pensyarah dalam masa yang ditetapkan.

Akan tetapi, terdapat juga pelajar yang terlalu diharapkan oleh ibu bapa mengakibatkan pelajar tersebut lebih menghabiskan masa dengan membantu keluarga mereka di mana ini turut mengganggu masa pelajaran mereka di rumah.

Tidak dilupakan juga, guru-guru dan pensyarah turut mengalami stress dan gangguan emosi sepanjang pandemik ini kerana mereka tidak mengetahui dan pandai untuk mengendalikan kelas secara atas talian yang memerlukan mereka untuk menggunakan peralatan seperti komputer riba dan telefon pintar.

Guru-guru dan pensyarah juga terpaksa menerima tekanan dari pihak atasan yang ingin mendapatkan laporan tentang keadaan pelajar secara berkala namun guru-guru dan pensyarah tidak tahu sama ada pelajar belajar ataupun tidak di rumah.

Langkah Untuk Mengatasi Stress & Gangguan Emosi

Komuniti

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi stress dan gangguan emosi dalam kalangan komuniti ialah komuniti haruslah mengawal emosi dan bersabar dengan setiap yang berlaku. Ini adalah kerana pengawalan emosi yang baik dan sabar mampu menghalang dan mengawal stress yang berlaku terhadap diri mereka masing-masing.

Terdapat pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk mengawal emosi seperti melakukan senaman, berkongsi masalah yang dihadapi kepada orang yang boleh dipercayai dan sebagainya.

Selain itu juga, komuniti haruslah bertenang dan mencari pekerjaan sampingan yang lain sekiranya diberhentikan atau ditangguhkan. Mereka boleh mencari pekerjaan tersebut tanpa perlu memilih kerana terdapat sebilangan orang yang merasakan bahawa dia tidak layak untuk kerja yang sedemikian kerana merasakan diri mereka layak untuk kerja yang lagi memulangkan pendapatan yang lebih kepada mereka. Perkara ini amatlah menyukarkan kelangsungan hidup mereka.

Oleh itu, komuniti yang diberhentikan atau ditangguhkan kerja haruslah menerima sebarang pekerjaan sampingan yang dipohon. Sebagai inisiatif, komuniti berkenaan boleh juga mengambil peluang untuk menjadi sebagai penghantar makanan seperti Grabfood, Foodpanda dimana pekerjaan ini amat diperlukan sekarang sepanjang pandemik Covid-19 ataupun berniaga menjual makanan secara atas talian.

Akhir sekali, kita boleh mengurangkan pinjaman yang dilakukan agar tidak terbeban untuk membayar kadar pinjaman tersebut pada masa akan datang yang boleh mempengaruhi emosi kita.

Oleh itu, mengawal emosi, mencari pekerjaan sampingan dan mengurangkan pinjaman merupakan langkah-langkah yang bagus untuk mengatasi stress dan gangguan emosi dalam kalangan komuniti.

Pendidikan

Dalam sektor pendidikan pula, pelajar boleh mengatasi stress dan gangguan emosi dengan cara membahagi masa dengan betul. Pelajar boleh berbuat demikian dengan cara membuat sendiri jadual waktu seharian di mana mereka boleh membahagikan masa untuk belajar, menolong ibu bapa, dan sebagainya mengikut keadaan pelajar masing-masing.

Sebagai contoh, pelajar boleh menyenaraikan segala tugasan yang diberikan kepada mereka dan memilih tugasan yang perlu disiapkan segera dahulu agar semua tugasan dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.

Selain itu juga, pelajar boleh bertanya kepada guru atau pensyarah tentang topik yang kurang difahami agar pelajar faham dengan jelas dan boleh melakukan setiap tugasan dengan lebih mudah dan berkesan. Tambahan pula, pelajar boleh mengadakan perbincangan sesama  pelajar secara atas talian dan ini dapat membantu mereka untuk lebih faham tentang tugasan yang diberikan.

Perbuatan sedemikian mampu mengurangkan serta menghalang pelajar daripada mengalami stress dan gangguan emosi sepanjang pandemik Covid-19. Tidak lupa juga kepada guru-guru dan pensyarah yang sukar untuk mengendalikan kelas secara atas talian kerana tidak mengetahui dan pandai untuk mengadakan kelas secara atas talian.

Pihak kerajaan sewajarnya mengadakan satu kursus kepada guru-guru dan pensyarah tersebut supaya mereka lebih mudah dan faham bagaimana untuk mengadakan kelas secara atas talian dan sebagainya.

Oleh itu, sudah jelas lagi bersuluh bahawa pelajar boleh mengatasi stress dan gangguan emosi dengan cara membuat jadual waktu harian dan selalu bertanya kepada guru, pensyarah dan rakan-rakan manakala guru-guru dan pensyarah boleh mengikuti kursus untuk mengendalikan kelas secara atas talian.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat beberapa punca yang berlakunya stress dan langkah-langkah untuk mengatasinya. Ia tertakluk kepada kita sendiri sama ada mahu atau tidak untuk mengawal stress dan emosi kita supaya tidak mengalami tekanan tersebut. Kegagalan melakukan perbuatan tersebut mampu memberi kesan yang buruk terhadap diri kita sendiri.

Oleh yang demikian, kita haruslah mengawal emosi dan stress kita agar hidup kita lebih baik dan mampu untuk mengharungi cabaran yang berlaku sepanjang pandemik Covid-19.

Penulis: Nur ‘Aisyah Arina Bt. Mohd Fauzi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular