Makanan tin adalah sangat terkenal di pasaran dunia kerana ciri-cirinya yang senang dimasak dan boleh juga dimakan secara langsung. Tidak juga ketinggalan, harganya yang sangat berpatutan, senang dibawa dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding dengan bahan mentah lain. Oleh kerana itu, orang ramai memilih untuk membawa makanan tin ketika mereka pergi ke tempat yang kekurangan makanan seperti hutan, gunung, atau padang pasir.
Penggunaan makanan tin menjadi lebih meluas kerana banyak program yang diadakan di hutan dan juga banyak orang menggunakan makanan dalam tin ketika mereka terlalu malas atau terlalu letih untuk memasak. Oleh itu, industri makanan menggunakan peluang ini untuk memperbesar perniagaan mereka dengan menghasilkan banyak jenis makanan tin.
Pengetinan adalah satu bentuk menyimpan makanan dengan memasukkannya ke dalam bekas yang divakum dan tertutup untuk jangka masa panjang. Pengetinan yang pertama kali dibuat ialah pda pada akhir abad ke-18 sebagai sumber untuk membekalkan tentera dan pelaut berperang dengan bekalan makanan berkhasiat.
Kaedah menyediakan pengetinan makanan adalah sedikit berbeza sedikit dengan produk makanan lain. Ini kerana terdapat 3 peringkat utama bagi penyediaan pengetinan makanan, iaitu:
- Pemprosesan: Makanan dikupas, dihiris, dicincang, diadu, ditumbuk, dikupas, atau dimasak.
- Pengedap: Makanan yang disediakan ditutup dan divakum dalam tin.
- Pemanasan: Tin dipanaskan untuk membunuh bakteria berbahaya dan mencegah makanan daripada rosak.
Tin akan dipanaskan untuk memusnahkan bakteria yang berbahaya di dalam tin untuk mencegah makanan daripada rosak. Ini membantu makanan selama 1-5 tahun atau lebih stabil dan selamat untuk dimakan. Buah-buahan, sayur-sayuran, kacang, sup, daging, dan makanan laut adalah jenis-jenis makanan tin yang selalu dijumpai di pasaraya.
Walau bagaimanapun, ada kemungkinan bahawa pengurusan makanan dalam tin adalah meragukan dan tidak mengikuti perintah Akta Makanan 1983 . Oleh yang sedemikian, berikutan adalah penerangan panduan yang kita perlu menitikberatkan di dalam pemilihan makanan tin.
Elakkan daripada membeli makanan tin yang menggunakan terlalu banyak bahan pengawet dengan membaca label kandungan kerana ianya boleh menjejaskan badan. Contohnya, penggunaan asid benzoik yang terlalu banyak di dalam makanan boleh menyebabkan kerengsaan perut dan menjejaskan sistem saraf.
Penggunaan bahan pengawet lain seperti gula dan garam yang terlalu banyak juga tidak digalakkan kerana ianya boleh meningkatkan risiko penyakit yang berbahaya seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung, obesiti dan sebagainya.
Pengguna juga mestilah membaca dan memahami kandungan label yang diletakkan di luar pembungkusan dengan mengenal pasti kuantiti setiap bahan. Kuantiti bahan yang paling banyak diletakkan di dalam makanan ialah bahan ramuan yang pertama disenarai diikuti bahan yang kedua paling banyak sehinggalah bahan yang paling sedikit diletakkan.
Oleh itu, membaca label kandungan makanan adalah penting dan memilih makanan yang kurang bahan pengawet seperti asid benzoik, nitrat, gula atau garam supaya dapat mengurangkan risiko-risko penyakit berikut.
Kemudian, kita perlu elakkan daripada membeli makanan yang telah melepasi tarikh akhirnya. Tarikh akhirnya itu bermaksud adalah anggaran makanan tersebut akan kehilangan dan kekurangan kesegarannya, rasa, aroma, dan nutrisi asalnya. Bahkan tarikh akhirnya itu juga mengakibatkan pertumbuhan kulat atau bakteria.
Terdapat pasaraya mengasingkan makanan yang telah melepasi tarikhnya di satu tempat lalu dijual dengan harga yang lebih murah. Pengasingan ini menyebabkan ramai orang membeli makanan tersebut kerana harganya kebih murah dari harga asalnya, namun kesan penggunaan makanan tersebut boleh mengakibatkan keracunan makanan. Oleh itu, pengguna mestilah membeli apa jua makanan yang tidak melepasi tarikh tamatnya untuk mengelakkan badan kita dijangkiti bakteria-bakteria lain.
Kebarangkalian terdapat isu pencemaran berlaku di dalam produk makan tin. Salah satu masalahnya ialah mereka mungkin mengandungi bakteria yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Bakteria ini sangat jarang dijumpai, namun jika makanan dalam tin tidak diuruskan dengan pengurusan yang betul, makanan tin tersebut mungkin akan mengandungi bakteria berbahaya yang disebut yang dikenali sebagai Clostridium Botulinum.
Sekiranya pengguna memakan makanan yang tercemar yang disebabkan oleh Clostridium Botulinum, mereka akan mengalami botulisme yang merupakan penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kelumpuhan dan kematian apabila pengguna tidak dirawat. Banyak kes botulisme berasal dari makanan tin dari rumah yang tidak melalui proses pengetinan dengan betul. Kes botulisme daripada makanan tin yang dikomersialkan adalah jarang berlaku kerana produk tersebut telah dipanaskan secukupnya sebelum dipasarkan.
Selain itu, kilang-kilang juga meletakkan asid sitrik di dalam makanan tin bagi melindungi makanan dari bakteria yang telah disebutkan tadi. Adalah tidak digalakkan untuk membeli atau menggunakan makanan tin yang telah mengembung, pecah, berkarat, bocor atau berlekuk kerana juga dikhuatiri dicemari oleh bakteria yang berada di sekeliling kita.
Namun, jika tin itu berubah bentuk (bocor, mengembung, atau berlekuk) dari bentuk asalnya disebabkan jatuh atau suhu yang terlalu tinggi, pengguna mempunyai dua pilihan sama ada membuang makanan tin tersebut atau meletakkan makanan itu di dalam bekas bertutup yang lain lalu disimpan di tempat yang sejuk dan kering (untuk mengurangkan pembiakan bakteria).
Namun, dinasihatkan makanan tin yang diletakkan dalam peti sejuk itu mestilah digunakan dengan kadar segera bagi mengelakkan makanan itu daripada basi atau dicemari oleh bakteria-bakteria lain.
Pencemaran lain yang boleh berlaku ialah pengaratan. Pengaratan terjadi apabila warna ferum atau dikenali sebagai besi bertukar daripada kelabu kepada warna merah keperangan, iaitu ferum (lll) oksida yang disebabkan kehadiran udara dan juga air melalui proses pengoksidaan. Industri-industri menggunakan besi untuk menghasilkan tin kerana sifatnya yang tahan lama dan tidak mudah berubah bentuk.
Akan tetapi, jika bekas besi tersebut didedahkan ke udara dan air, dikhuatiri akan mempercepatkan proses pengaratan berlaku. Pengaratan bukan sahaja menyebabkan bekas itu menjadi rapuh dan hancur, malah ia boleh menjadi medium untuk pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan tetanus (kancing gigi). Maka dengan itu, bagi menghalang besi itu daripada berkarat, pihak industri juga menyadur besi dengan satu lapisan nipis logam yang lain.
Namun begitu, logam yang lebih elektropositif daripada besi tidak digunakan dalam menpenyaduran besi kerana tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik pembeli untuk membelinya. Sebaliknya, timah yang kurang elektropositif daripada besi digunakan kerana memberi struktur yang cantik dan licin yang akan menarik ramai pengguna untuk membelinya.
Justeru, jika lapisan pelindung (timah) itu tercalar, ia akan mengakibatkan proses pengoksidaan besi turut berlaku kerana besi adalah lebih elektropositif daripada timah lalu terjadinya pengaratan di bekas tin tersebut. Oleh itu, pengguna perlulah meneliti pembungkusan tin tersebut sebelum membelinya agar dapat mengurangkan risiko daripada penyakit tetanus.
Pencemaran lain yang boleh berlaku ialah makanan tin tersebut mungkin mengandungi BPA. BPA atau namanya bisphenol-A adalah bahan kimia yang selalu terdapat dalam bungkusan makanan seperti plastik dan bekas makanan tin. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kandungan BPA di dalam tin dapat berpindah dari tin kepada makanan di dalamnya.
Selain itu, mereka menemui daripada 78 makanan tin, 90% daripadanya mengandungi BPA. Selanjutnya, penyelidikan menunjukkan bahawa memakan makanan dalam tin adalah penyebab utama pendedahan BPA dan perkara itu adalah tidak baik untuk badan kerana pendedahan BPA boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, dan disfungsi seksual lelaki.
Makan banyak makanan dalam tin bukanlah pilihan yang paling terbaik kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap badan manusia. Justeru, untuk mengelakkan pendedahan BPA di dalam badan kita, disarankan pengguna untuk tidak mengguna semula bekas makanan tin atau bekas-bekas yang mengandungi BPA (plastik).
Kemudian, untuk pemilihan makanan yang halal, pengguna yang beragama Islam mestilah melihat logo halal yang diitiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dilabel di permukaan tin tersebut sebelum membelinya. Hal ini kerana pihak tersebut memantau proses pengilangan makanan tersebut bagi memastikan pengeluaran makanan itu dijamin halal dan selamat untuk digunakan.
Pihak JAKIM tidak hanya memantau proses pengilangan makanan itu sahaja, malah mereka memantau sumber bahan mentah yang digunakan bagi mengesahkan bahan-bahan mentah tersebut adalah halal.
Isu halal pada buah atau sayur-sayuran tin kebiasaanya tidak mempunyai isu halal kerana pengeluar dan JAKIM hanya perlu memastikan ramuan yang mereka gunakan adalah halal dan prosedurnya tidak dicemari dengan bahan-bahan yang diragukan atau haram.
Namun, untuk daging tin atau sup tin, kebarangkalian isu ini berlaku kerana kita perlu menyiasat pengeluaran daging tersebut, sama ada ia disembelih dengan cara yang halal atau tidak. Oleh itu, isu halal makanan tin tersebut sangat diragukan kecuali jika pengilang sudah mendaftarkan produk dengan sijil halal.
Berdasarkan penjelasan yang diberikan di atas, ada kemungkinan bahawa masalah pencemaran, dan halal akan muncul dalam industri makanan dalam tin. Pencemaran dan kadar pengambilan bahan ramuan yang tinggi dalam makanan boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit berbahaya seperti yang dibincangkan di atas. Kemudian, sebagai pengguna, kita perlu memastikan bahawa bungkusan (tin) tidak berkarat menggelembung, lekuk, pecah, atau bocor dan cuba mencari label dan mencari “rendah natrium”, “tiada ada garam tambahan”, dan memilih buah di air bukan sirap.
Di samping itu, pengguna juga dinasihatkan merendam dan mencuci makanan tin terlebih dahulu supaya dapat mengurangkan kandungan garam dan gula di dalam makanan. Akhirnya, pemilihan makanan tin yang halal di Malaysia tidak lagi menjadi masalah kerana pengguna hanya perlu memastikan logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM.
Penulis : Nur Aqilah bt Abdul Karim, Pelajar Tahun 2, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan
Sumber Rujukan
Vandergriendt, C. (2021). Is Rust Harmful, and What’s the Best Way to Get It Off Your Skin? Healthline; Healthline Media. Diambil daripada https://www.healthline.com/health/rust-on-skin#rust-stain-removal
Admin. (2012). 7 Amalan Membeli Belah Secara Sihat – PORTAL MyHEALTH. PORTAL MyHEALTH. Diambil daripada http://www.myhealth.gov.my/7-amalan-membeli-belah-secara-sihat/
Sinarharian. (2019). Maksud label “Tarikh luput” dan “Baik sebelum.” Sinarharian; sinarharian. https://www.sinarharian.com.my/article/39160/LIFESTYLE/Sinar-Aktif/Maksud-label-Tarikh-luput-dan-Baik-sebelum
Cikgu Kwee. (2016). Kaedah Pencegahan Pengaratan – Kimia SPM. Kimia SPM. Diambil daripada https://spmkimia.blog.onlinetuition.com.my/kaedah-pencegahan-pengaratan/
McDonell, K. (2019, October 9). Canned Food: Good or Bad?. Retrieved from https://www.healthline.com/nutrition/canned-food-good-or-bad
NA. (ND). CANNING FOOD. Retrieved from https://www.doc-developpement-durable.org/file/Conservation-Graines-Semences-Vegetaux-Legumes-Refrigeration/Canning%20food.pdf
NA.(2014). Sugar plays important role in food preservation | Sugar Producer Magazine. Retrieved from https://www.sugarproducer.com/2014/09/sugar-plays-important-role-in#:~:text=Sugar%20is%20used%20in%20the,preserve%20natural%20color%20and%20shape.&text=In%20addition%2C%20sugar%2C%20upon%20entering,the%20shelf%20life%20of%20products.
Van, G. (2019, February 15). What Is Citric Acid, and Is It Bad for You? Retrieved January 19, 2021, from Healthline website: https://www.healthline.com/nutrition/citric-acid#artificial-sources
RAC/CP.(2001). Pollution prevention in food canning processes. Retrieved from http://www.cprac.org/docs/conservera_eng.pdf