Apa itu semangat patriotisme? Semangat sayang dan cinta akan negara atau patriotisme ialah perasaan sayang dan bangga kepada negara melebihi kepentingan diri. Patriotisme juga didefinisikan sebagai sikap yang berani, pantang menyerah dan rela berkorban demi bangsa dan negara.
Mengikut jurnal International Journal of the Malay World and Civilisation perkataan patriotisme berasal dari perkataan atau istilah patriota dalam bahasa Latin, patriote dalam bahasa Perancis dan patriotes dalam bahasa Greek yang merujuk kepada seseorang yang mempunyai perasaan cinta, sentiasa menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan dan berpanjangan. Manakala isme pula merujuk kepada semangat, fahaman ataupun perasaan. Gandingan kedua-dua perkataan ini melahirkan perkataan baru dalam Bahasa Inggeris lalu diserap ke dalam bahasa Melayu dan mengekalkan penyerapan istilah itu.
Umumnya kita ketahui bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang rakyatnya terdiri daripada etnik yang pelbagai. Sebagai contoh kaum Melayu, Cina, India, dan bumiputera lain yang wujud di Sabah dan Sarawak seperti Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan lain-lain. Malaysia merupakan negara yang sangat kaya dengan keunikan budaya, adat resam, agama dan kepercayaan, dan juga gaya hidup.
Secara dasarnya, amatlah sukar untuk dilihat bahawa sebuah negara yang bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik disatukan di bawah sebuah negara akan tetapi keunikan inilah yang menjadikan Malaysia dikenali seantero dunia.
Oleh itu, menjadi signifikan untuk setiap jiwa masyarakat majmuk menyemai dan memupuk perasaan cinta akan negara yang sangat mendalam di dalam hati. Hal ini kerana, perasaan cinta terhadap negara menyumbang kepada perpaduan yang kukuh dalam masyarakat.
Dengan adanya semangat ini juga, ia akan mengukuhkan lagi sosial dan budaya, kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pengekalan integrasi dan perpaduan. Pada waktu yang sama, kestabilan sosial juga menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik, membangun serta berdaya saing di peringkat global.
Apabila memperkatakan tentang semangat patriotisme, eloklah untuk kita menyoal diri sendiri. Adakah kita benar-benar cinta akan negara ini dan sejauh manakah rasa sayang kita terhadap negara? Apakah sumbangan yang telah kita lakukan untuk memperluaskan lagi budaya kebangsaan, keharmonian, perpaduan serta integrasi nasional sesama keluarga Malaysia yang berbilang etnik, pegangan agama, juga budaya dan adat resam yang pelbagai.
Secara tuntasnya, keamanan serta kestabilan negara bergantung kepada tahap kecintaan rakyat terhadap negaranya. Oleh hal yang demikian, semangat patriotisme yang kuat tunjang kepada perpaduan keluarga Malaysia.
Jika dilihat dari sudut pandang yang lain, memupuk semangat patriotisme bukanlah hanya ketika hari kemerdekaan pada bulan Ogos sahaja, akan tetapi semangat itu haruslah sentiasa tersemat utuh dalam jiwa keluarga Malaysia.
Rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian sesama kaum sekali gus dapat mengelakkan pergaduhan serta permusuhan sesama kaum. Ini juga bertujuan bagi mengelakkan memoir naratif luka berulang kembali sebagai contoh peristiwa 13 Mei. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan peristiwa berdarah yang mencatatkan satu sejarah hitam bagi rakyat Malaysia.
Peristiwa bersejarah ini merupakan titik kemuncak bagi masalah perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia di mana berlakunya rusuhan kaum besar-besaran antara orang Melayu dan Cina. Rentetan daripada peristiwa ini, berlakunya pertumpahan darah serta kematian. Antara kejadian yang berlaku ialah pembunuhan, dipancung dan dibunuh.
Di sebabkan itu, bilangan angka korban yang dicatatkan ialah seramai 196 orang, manakala bilangan yang tercatat bagi kemusnahan kenderaan ialah sebanyak 211 kenderaan yang musnah dan 753 bangunan yang rosak atau terbakar.
Memetik kata-kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, peristiwa 13 Mei memberi peringatan tentang kebenaran peribahasa kalah jadi abu, menang jadi arang kerana konflik itu merugikan semua kaum, selain menjejaskan imej negara di persada antarabangsa.
Selain itu, tambah beliau lagi peristiwa ini perlu sentiasa diperingati kepada rakyat agar kita semua bukan sahaja perlu muhasabah diri pada setiap masa, lebih penting lagi ialah kita hendaklah memastikan ia tidak berulang lagi dengan menentukan hubungan etnik sentiasa baik.
Oleh hal demikian, rakyat Malaysia haruslah mengambil iktibar daripada peristiwa berdarah ini. Peristiwa seperti ini akan menyebabkan berlakunya perbalahan dan perpecahan antara kaum sekali gus membuka peluang kepada campur tangan kuasa asing yang ingin mengambil kesempatan dan memecah-belahkan keluarga Malaysia serta menakluk Malaysia sebagai taklukan dan negara jajahannya.
Dengan keadaan sedemikian, keluarga Malaysia seharusnya mempunyai kesefahaman yang kuat juga perpaduan yang utuh bagi mengekalkan dan mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir. Rakyat yang mempunyai semangat cinta akan negara yang teguh dan utuh tidak mahu negaranya dijajah, pecah-belah akibat pergaduhan dan perselisihan antara kaum. Sebaliknya, rasa sayang terhadap negara melebihi rasa sayang kepada yang lain.
Haruslah ditegaskan di sini bahawa perasaan cinta yang kuat kepada tanah air menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan rakyat. Pada waktu yang sama, semangat patriotisme juga menyumbang kepada rakyat yang bersatu padu dan saling membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, kita dapat lihat rakyat Malaysia sedang diuji dengan pandemik Covid-19 dan sekarang sedang diuji bencana alam banjir yang telah menimpa beberapa buah negeri seperti Selangor, Pahang dan Melaka.
Rentetan daripada bencana ini, seluruh keluarga Malaysia bersatu-padu turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Tidak kira bangsa dan agama, seluruh rakyat Malaysia saling membantu antara satu sama lain sehinggakan tular di media sosial seorang rakyat Malaysia yang tidak terjejas disebabkan banjir sanggup turun padang memandu dari Melaka ke Selangor dengan membawa bot bersamanya untuk menyelamatkan mangsa banjir yang masih terkandas.
Terdapat perkongsian lain, seorang wanita berbangsa cina yang turut serta membantu menyediakan makanan di salah sebuah masjid di Shah Alam. Dalam perkongsian tersebut wanita tersebut kelihatan memakai pakaian yang sopan serta berselendang bagi menghormati tempat tersebut.
Turut tular sebuah keluarga berbangsa India yang bergotong-royong memasak untuk memberikan bantuan makanan kepada mangsa banjir. Pelbagai lapisan masyarakat tidak mengenal pangkat sehinggakan kepada rakyat marhaen menyumbangkan tenaga, wang ringgit dan barang-barang keperluan lain. Sikap permuafakatan dalam kalangan rakyat Malaysia sesuai dengan pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Sebagai kesimpulannya boleh diperkatakan, semangat patriotisme ini membawa pelbagai impak positif untuk keluarga Malaysia. Seharusnya, semangat ini difahami dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Kehidupan yang aman dan sejahtera ini sewajarnya dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia agar kekal sepanjang masa.
Penulis; Siti Nur Qardina Binti Abd Rahim, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan, USIM.