Sunday, September 25, 2022
HomeArtikelPembelajaran Atas Talian: Satu Perspektif Baharu

Pembelajaran Atas Talian: Satu Perspektif Baharu

Dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu pembelajaran atas talian atau juga dikenali sebagai e-pembelajaran.

Isu ini seringkali hangat diperdebatkan di setiap platform sama ada secara maya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp ataupun secara fizikal iaitu perjumpaan di kedai makan dan tempat masyarakat berkumpul seperti masjid, surau dan sebagainya.

Tambahan pula, yang menjadi punca utama kegusaran masyarakat ialah kebolehmampuan generasi sekarang meneruskan pengajian dalam kaedah atau norma baharu. 

Seperti yang kita sudah sedia maklum, pada tahun lepas, World Health Organization (WHO) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan pandemik Covid-19 di peringkat global pada tanggal 11 Mac 2020 apabila diadakan sidang media di ibu pejabat WHO yang terletak di Geneva. 

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ketika ditemubual dalam sidang media tersebut, “Dalam dua minggu terakhir, jumlah kes di luar China meningkat tiga belas kali ganda dan jumlah negara yang terjejas meningkat tiga kali ganda”.  Jumlah ini dijangkakan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Berikutan pandemik yang diumumkan itu, seluruh dunia mula mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani wabak yang berjangkit ini. Wabak yang senang tersebar melalui udara ini memerlukan penjagaan atau langkah pencegahan yang lebih teliti. 

Oleh itu, satu alternatif telah dijalankan oleh Kerajaan Malaysia iaitu pada 18 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari berikutan peningkatan kes Covid-19 yang meningkat selepas adanya satu perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling. 

Ketika ini, segala pergerakan adalah terbatas dan dikawal ketat oleh tentera dan polis. Masyarakat juga masih dalam keadaan terkejut dan terpinga-pinga serta cuba menyesuaikan diri dengan keadaan baharu di mana mereka digalakkan untuk berada di rumah dan hanya keluar untuk menyelesaikan hal-hal penting sahaja. 

Cuba anda bayangkan jika selama ini kita bebas untuk melakukan apa jua dalam kehidupan seharian dan secara tiba-tiba dikeluarkan satu perintah untuk kekal di rumah dalam usaha membendung penularan wabak penyakit, apakah yang akan berlaku kepada diri anda?

Lebih memburukkan lagi keadaan, keseluruhan institusi pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat universiti juga diarahkan untuk ditutup demi kemaslahatan bersama. Maka, timbul satu lagi persoalan di benak fikiran, bagaimana kita ingin memastikan generasi masa kini dapat meneruskan pengajian mereka ketika berlakunya pandemik ini di samping membendung penularan wabak penyakit? 

Ini adalah masalah yang berlaku di Malaysia ketika semua jalan penyelesaian kelihatan mustahil. Kita tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah untuk pergi ke institut pengajian dan kuliah atau kelas secara bersemuka khususnya dalam skala yang besar adalah dilarang sama sekali. Adakah kita perlu terus membiarkan anak-anak muda ini berseronok menikmati ‘cuti tergempar’ mereka tanpa berbuat apa-apa? 

Pandemik ini tidak akan berakhir dalam masa yang singkat malah ia akan memakan masa yang sangat lama untuk kembali ke keadaan yang sedia ada. Tidak ada seorang pun yang dapat menyatakan secara spesifik bilakah keadaan akan kembali normal – mungkin setahun dari sekarang atau mungkin juga lima tahun akan datang. 

Oleh itu, kehidupan perlu diteruskan dengan menerapkan norma-norma baharu. Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, maka tidak hairanlah jika pembelajaran atas talian yang dahulunya kita lihat mustahil untuk dijalankan, diserap masuk untuk menggantikan kaedah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) agar generasi sekarang dapat meneruskan pembelajaran mereka walaupun apa jua keadaan yang menimpa dunia. 

Walaupun ada sebahagian dan segelintir masyarakat yang selalu memenuhi media sosial tentang keburukan internet dan e-pembelajaran ini, namun mereka tidak dapat menafikan bahawa ini adalah satu langkah yang produktif yang dikemukan dalam menangani pandemik ini.

Seringkali kita lihat di Twitter, para pelajar universiti dan ibu bapa selalu menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pembelajaran atas talian ini atas kekangan-kekangan yang mereka hadapi ketika menghadiri kelas secara alam maya. 

Namun begitu, kita perlu melihat dari sudut pandang yang lain di mana dengan adanya pembelajaran atas talian ini, banyak perkara yang sebelum ini mustahil telah dapat kita gapai dan kecapi bersama. Amatlah penting untuk kita sentiasa berfikiran optimis dan positif dalam mengharungi ranjau dan liku-liku kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini.

Antara cabaran yang sering diperdebatkan di media sosial ialah masalah internet yang dihadapi oleh pelajar terutamanya di kawasan pedalaman. Tidak dapat dinafikan, kelajuan atau kemudahan internet ini kebanyakkannya hanya terletak di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk dan kepesatan ekonomi yang sedang meningkat. 

Kita tidak boleh membandingkan kemudahan internet yang sedia ada di kawasan tempat tinggal kita dengan kemudahan di bandar metropolitan yang besar seperti Kuala Lumpur. 

Sebagai analogi, jika anda membandingkan dua keadaan infrastruktur ini, ia seakan-akan anda cuba mencari perbezaan saiz di antara semut dan gajah. Masyarakat Malaysia dilihat seringkali menimbulkan isu kemudahan dan kelajuan internet ini dan meletakkannya sebagai satu batu besar yang menjadi penghalang kepada kejayaan dalam pendidikan. 

Tetapi adakah mereka pernah berfikir untuk mencari alternatif lain supaya mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas atas talian? Ini bukan bererti mereka perlu hidup nomad atau berpindah ke bandar-bandar besar, cukup sekadar mereka cuba mencari tempat yang membolehkan capaian internet yang bagus di sekitar kawasan tempat tinggal mereka bak kata peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. 

Kita seharusnya mengambil iktibar daripada kisah kehidupan saudari Veveonah Mosibin, pelajar Asasi Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tidak kenal erti penat lelah dalam mencari ilmu. 

Beliau berusaha memanjat pokok dan bermalam di dalam hutan untuk mendapatkan capaian internet yang laju bagi menjawab peperiksaan. Kesungguhan pelajar ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak dan akhirnya, anak muda ini yang sebelumnya hanya dikenali sebagai seorang anak desa di kepulauan Borneo mampu membuka mata pihak berwajib untuk meningkatkan taraf infrastruktur dan kemudahan Internet di kawasan pedalaman. 

Dengan menyedari hakikat ini dikala berlakunya pandemik Covid-19, satu inisiatif iaitu Jalinan Digital Negara atau Jendela telah diumumkan oleh kerajaan untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12. 

Inisiatif ini adalah untuk memastikan tiada warga Malaysia yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan termasuklah penduduk di Sabah dan Sarawak yang sebahagian besarnya agak ketinggalan dalam memperoleh akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi. 

Justeru itu, e-pembelajaran dikatakan membawa kebaikan kepada masyarakat yang selama ini ketinggalan dalam arus pemodenan.

Melahirkan masyarakat yang celik teknologi merupakan harapan kerajaan menjelang tahun 2021 di mana revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) semakin mendapat tempat di peringkat global. IR 4.0 ini melibatkan teknologi automasi yang akan memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing. 

Oleh itu, tidak hairanlah jika kita menggunakan kesempatan di masa pandemik ini untuk mendedahkan diri dan mula berjinak-jinak dengan teknologi untuk mempersiapkan diri menghadapi IR 4.0. 

Jika dilakukan tinjauan ke atas warganegara Malaysia, rata-rata yang pandai atau celik IT terdiri daripada golongan muda dan anak-anak kecil. Golongan veteran selalunya masih terikat dengan adat dan kepercayaan mereka yang tidak mahu dipengaruhi oleh teknologi. 

Malah, ada segelintir daripada mereka yang menyatakan teknologi ini adalah agenda yahudi yang cuba melalaikan generasi muda. Kerana kesombongan, keangkuhan dan sikap golongan tua yang kurang fleksibel ini telah menyusahkan banyak pihak ketika e-pembelajaran diperkenalkan. 

Sebagai contoh, untuk anak-anak yang tinggal bersama atuk dan nenek di kampung, mereka selalu ketinggalan semasa guru memberikan kerja di atas talian atas faktor penjaga mereka tidak pandai menggunakan teknologi dan tidak mempunyai peranti untuk berhubung dan mengakses internet. 

Alangkah sedih dan kasihan melihat nasib anak-anak ini di kala teknologi mula mengambil tempat dan menjadi satu keperluan dalam kehidupan. Adakah golongan veteran ini masih menginginkan para guru untuk mengutuskan surat menggunakan burung merpati di dunia yang serba canggih ini? 

Itu dari aspek seorang penjaga, bagaimana pula dengan pendidik atau guru itu sendiri? Sepertimana yang kita ketahui, tidak semua warga pendidik di Malaysia mahir dalam bidang teknologi dan ini adalah salah satu cabaran pembelajaran atas talian yang perlu dihadapi oleh guru-guru untuk melaksanakannya kerana ia mengambil masa yang agak lama bagi guru yang kurang mahir dengan aplikasi atas talian untuk menyediakan bahan mengajar yang lengkap dan mampu menarik perhatian para pelajar. 

Namun begitu, kesungguhan dan rasa tanggungjawab para guru di Malaysia ini harus dipuji kerana mereka tetap berusaha untuk belajar cara menggunakan aplikasi digital yang ada semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar. 

Sesungguhnya, kemahiran dan pengalaman berharga yang diperoleh oleh semua pihak tidak kira penjaga, guru atau pelajar sendiri ketika e-pembelajaran menunjukkan e-pembelajaran ini bukanlah suatu hal yang menyusahkan seperti yang ditularkan tetapi ia boleh dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi kemajuan sebenar yang akan datang.

Kesimpulannya, setiap pihak sama ada guru, pelajar atau ibu bapa mestilah berkerjasama dan berganding bahu dalam mengatasi setiap masalah yang wujud agar pembelajaran atas talian menjadi satu kaedah yang berkesan dalam menyampaikan ilmu tanpa menyebabkan sesiapa pun ketinggalan dalam pelajaran. 

Pembelajaran atas talian ini perlu dipandang dari perspektif yang baharu melihatkan kepada impak-impak positif yang diperolehi. Kita tidak boleh terperangkap dengan stigma lama yang menganaktirikan pembelajaran di atas talian. 

Jika kita bergerak seiring dengan peredaran zaman, nescaya kita dapat melahirkan generasi minda kelas pertama yang akan mengharumkan nama negara. Dengan perubahan dan kebaikan yang dikecapi ini, tidak mustahil nama Malaysia akan dikenali gah di persada dunia serta  mampu duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, German dan Amerika Syarikat.

Penulis; Siti Nurul Diyana Binti Rosli, pelajar Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular