Thursday, December 1, 2022
HomeArtikelPemberian Gajet kepada Kanak-kanak dalam Era Pandemik

Pemberian Gajet kepada Kanak-kanak dalam Era Pandemik

Tahun 2020 telah melabuhkan tirainya. Tidak keterlaluan jika dikatakan tahun baru 2021 merupakan tahun yang penuh cabaran buat semua. 

Golongan kanak-kanak juga turut terkesan dengan gelombang wabak pandemik Covid-19  yang melanda seluruh negara. Boleh dikatakan segalanya ibarat menjadi lumpuh seketika. 

Zaman persekolahan, pembelajaran dan pengajaran semakin hari semakin berubah demi memastikan nyawa sekalian penduduk negara dapat diselamatkan daripada wabak ngeri tersebut. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang berumur 7 tahun sehingga 12 tahun yang terpaksa menamatkan persekolah tanpa ucapan selamat tinggal kepada guru-guru dan rakan-rakan mereka. 

Hari demi hari, mereka terpaksa menghabiskan waktu di rumah bersama keluarga, sehingga ada yang telah mampu mencipta hobi baru  demi memastikan tahap kebosanan di rumah berkurang dan memenuhi masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Sementara setiap rakyat berehat di rumah, pihak kerajaan dan semua pihak berkuasa memerah keringat memikirkan cara bagaimana setiap kanak-kanak boleh meneruskan pembelajaran mereka walaupun berada di rumah. 

Oleh itu, keputusan telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia bahawa setiap pelajar perlu melalui PDP secara atas talian atau pembelajaran jarak jauh menggunakan gajet dan peranti elektronik tanpa bersemuka dan bersentuhan dengan warga sekolah yang lain.

Wajarkah tindakan ini dilakukan? Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang masih terkial-kial menggunakan gajet? dan bagaimana pula bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli gajet? Adakah tindakan ini mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan? .

Dalam penulisan ini, penulis bakal mengupas serba sedikit mengenai kewajaran pemberian gajet kepada kanak-kanak dalam era pandemik Covid-19. Bagi mengupas dengan lebih lanjut, penulis terlebih dahulu akan menyenaraikan beberapa kebaikan dan keburukan pemberian gajet kepada kanak-kanak terutamanya yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun iaitu kanak-kanak yang masih bersekolah rendah.

Antara kebaikan yang diperolehi daripada pemberian gajet kepada kanak-kanak dalam era pendemik ini ialah dapat mengelakkan penularan wabak, membolehkan kanak-kanak menjalani pembelajaran dan pengajaran secara atas talian dengan lebih kondusif tanpa perlu berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.

Pemberian gajet juga mampu mendidik kanak-kanak untuk lebih dekat dengan teknologi semasa dan juga dapat memberikan pendedahan kepada mereka untuk berfikiran lebih kreatif. 

Walaupun begitu, pemberian gajet kepada kanak-kanak ketika pandemik ini juga boleh mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada kanak-kanak tersebut, malahan seluruh masyarakat juga turut terkesan. 

Pemberian gajet sudah tentu memerlukan wang untuk membeli peranti-peranti elektronik bagi membolehkan kanak-kanak menjalani pembelajaran secara atas talian. Namun begitu, bagi golongan yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa mencari wang dengan meminjam atau lebih teruk lagi segelintir daripada mereka langsung tidak mampu turut serta belajar secara atas talian. Ada dalam kalangan kanak-kanak yang diberi gajet juga berkemungkinan besar bakal mengalami kejutan budaya dengan penggunaan gajet serta mempengaruhi tahap kesihatan mereka. 

Seperti yang sudah kita ketahui, wabak Covid-19 ini boleh berjangkit melalui sentuhan. Bukan sahaja sentuhan terus kepada manusia malahan sentuhan barangan atau alatan-alatan lain terutamanya barangan yang berasaskan besi seperti tombol pintu, tiang elektrik dan kerusi besi.

Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah mengambil tindakan untuk mengurangkan kontak antara masyarakat dengan cara duduk di rumah bagi mengelakkan penularan wabak secara berterusan. Rantaian jangkitan juga dapat diputuskan jika rakyat Malaysia dapat mengurangkan kadar perjumpaan secara bersemuka. 

Bagi golongan kanak-kanak sudah semestinya mereka juga perlu mengurangkan pergerakan dan perjumpaan kerana golongan mereka mempunyai kadar jangkitan yang tinggi disebabkan jumlah antibodi yang kurang di dalam tubuh badan mereka.

Pembelajaran secara atas talian dapat menyelesaikan masalah pembelajaran kanak-kanak tanpa bersemuka. Ibu-bapa juga digalakkan untuk memberikan kanak-kanak gajet seperti telefon pintar dan komputer riba bagi membolehkan mereka belajar dengan lebih kondusif tanpa perlu berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.

Pemikiran kanak-kanak mula berkembang sejak mereka kecil lagi. Oleh itu, dengan pemberian alatan elektronik  mereka dapat meneroka dunia teknologi dengan lebih kreatif. Hal ini kerana guru-guru juga semakin kreatif dalam memberi tugasan kepada pelajar. 

Terdapat segelintir guru yang memberi tugasan melalui media sosial seperti “live Facebook dan Instagram”, video menarik melalui Tiktok dan Youtube. Internet tanpa had yang disediakan mampu membantu mereka untuk mengembangkan lagi bakat serta kebolehan mereka dalam bidang teknologi. 

Sesetengah ibu bapa sanggup melanggan perkhidmatan internet demi memudahkan proses pembelajaran anak mereka. Segala jenis maklumat dan informasi terkini boleh didapati hanya di hujung jari sahaja. Kajian saintifik membuktikan kanak-kanak yang mampu menggunakan teknologi, sebenarnya mampu mengembangkan potensi mereka sejak mereka kecil lagi.  

Namun begitu,  jika ditinjau daripada sudut keburukan pula, ibu bapa yang terlalu awal memberikan gajet pada kanak-kanak boleh menyebabkan anak-anak mengalami kejutan budaya. 

Kanak-kanak yang pada mulanya hanya bermain di luar rumah bersama rakan-rakan pada masa lapang kini digantikan dengan permainan video yang terdapat di dalam gajet. Hal ini kerana mereka terpaksa memegang telefon hampir setiap masa jika guru-guru mereka ingin melaksanakan pembelajaran secara atas talian. 

Perkara seperti ini sepatutnya dipantau oleh setiap ibu bapa dengan cara menghadkan penggunaan gajet kepada anak-anak. Sebagai contoh anak-anak hanya boleh menggunakan gajet untuk tujuan pembelajaran sahaja bukan untuk bermain permainan video. 

Dr. Sheikh Muzaffar Angkasawan Malaysia sendiri telah memberikan beberapa panduan kepada para ibu dan bapa di luar sana tentang cara terbaik mendidik anak menggunakan gajet. Melalui laman instagramnya, beliau menyarankan agar ibu bapa dapat mengawal aktiviti anak-anak ke arah yang lebih produktif dan sihat. Malahan beliau juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “My Way of Parenting” buat rujukan ibu bapa. Beliau  juga amat menitik beratkan pelaksanaan peraturan  penggunaan gajet semasa anak-anak berada di dalam rumah dan menjalani pembelajaran secara atas talian. 

Selain daripada itu, harga gajet yang sangat mahal sebenarnya boleh membebankan ibu bapa yang berpendapatan rendah iaitu daripada keluarga golongan B40. Mereka terpaksa membeli gajet untuk memastikan anak-anak mereka dapat menyertai pembelajaran atas talian. 

Bantuan yang diberikan oleh kerajaan dilihat tidak mencukupi untuk memastikan anak-anak mereka tidak perlu berkongsi dan juga memenuhi segala keperluan lain di dalam rumah terutamanya ketika pelaksanaan PKP. 

Selain memberi kesan kepada kewangan ibu bapa, pemberian gajet kepada kanak-kanak juga memberi kesan kepada kesihatan mereka. Hal ini kerana radiasi yang dihasilkan oleh gajet sebenarnya mampu merosakkan sistem saraf di dalam penglihatan kanak-kanak dalam jangka masa panjang. Kanak-kanak yang menjalani pembelajaran secara atas talian sudah semestinya akan berasa lapar apabila belajar di rumah dalam keadaan terpaksa duduk yang terlalu lama. Oleh itu penggunaan gajet akan menyebabkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Apabila mereka terpaksa menghadap gajet terlalu lama sambil makan dan minum makanan ringan, kadar metabolisma di dalam badan mereka menjadi rendah. 

Aktiviti bersenam juga jarang dilakukan kerana tuntutan belajar yang terpaksa di penuhi. Tambahan pula ketika waktu lapang mereka sanggup menghabiskan masa bermain permainan video selama berjam-jam sambil berbaring atau duduk serta menyuapkan makanan ke dalam mulut. Tidak disangkal lagi, terdapat kajian membuktikan bahawa beberapa orang-kanak-kanak mengalami masalah diabetes iaitu kencing manis ketika berumur dalam lingkungan 9-12 tahun.  

Hal ini membuktikan bahawa pemberian gajet kepada kanak-kanak pada era pandemik ini sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan dan juga keburukan . Oleh itu, ia sebenarnya  bergantung kepada ibu bapa untuk membentuk tingkah laku kanak-kanak dan menyusun aktiviti mereka agar mereka dapat menjalani pembelajaran secara atas talian di samping dapat menyemai sikap produktif dan proaktif dalam diri setiap kanak-kanak. 

Antara aktiviti yang boleh dilakukan dan dirancang oleh ibu-bapa sepanjang pelaksanaan PKP di rumah ialah bersenam bersama ahli keluarga untuk mengeluarkan peluh dan memastikan tubuh badan cergas dan sihat, bercucuk tanam untuk menghilangkan kebosanan serta menambahkan aktiviti-aktiviti agama seperti solat berjemaah, membaca al-Quran  dan bahan-bahan ilmiah untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim di antara ahli keluarga. Ibu bapa juga perlu memantau tahap kesihatan fizikal dan mental anak-anak mereka. 

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan bermacam-macam-macam berita tentang masalah mental kanak-kanak sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana terlalu bosan duduk di rumah dan tidak dapat berjumpa dengan rakan-rakan di luar semasa tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.  

Penulis berharap agar wabak ini dapat dihapuskan segera demi memastikan kelangsungan hidup seluruh manusia di muka bumi ini. Persekolahan juga hendaklah seperti biasa agar proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara bersemuka semula serta kesemua aktiviti dan kegiatan ekonomi sosial dan seluruhnya dapat kembali seperti sediakala. 

Kanak-kanak juga dapat mengurangkan masa mereka dalam penggunaan gajet yang terlalu lama sehingga mampu memberi kesan negatif kepada diri mereka sendiri, ahli keluarga dan masyarakat, tetapi sudah tentu pengalaman yang mereka lalui pada tahun ini dengan pembelajaran secara atas talian dan penggunaan teknologi semasa yang semakin canggih, pastinya akan memberi impak yang besar dan positif kepada mereka,juga para ibu-bapa dan seluruh masyarakat di luar sana. 

Doa dan harapan dititipkan buat seluruh rakyat Malaysia agar kita dapat sama-sama mengharungi dugaan ini dengan jayanya. Kita Pasti Menang! 

Penulis; Fatin Nur Raudhah Binti Faridulamini, Pelajar Perubatan Tahun 2, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Negeri Sembilan. 
RELATED ARTICLES

Most Popular