Wednesday, September 27, 2023
HomeSemasaPEMERKASA: Teks penuh perutusan khas Perdana Menteri

PEMERKASA: Teks penuh perutusan khas Perdana Menteri

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA) 17 MAC 2021 (RABU) BERSAMAAN 3 SYAABAN 1442H

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.

1.       Kini,  genap  setahun  negara  kita  melaksanakan  pelbagai  bentukPerintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19.  Sepanjang  tempoh  ini,  Kerajaan  terus  melakukan  apa  sahaja  yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

2.      Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R   Pelan   Komprehensif   Pemulihan   Ekonomi,   iaitu   ‘Revitalize’   atau Memperkasa   ekonomi.   Pada   tahap   ini,   strategi   pemulihan   ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.

3.      Sehubungan  itu,  Kerajaan  telah  mengenal  pasti  5  Fokus  Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu   mengawal   penularan   COVID-19,   memacu   pemulihan   ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

PROGRAM  STRATEGIK  MEMPERKASA  RAKYAT  DAN  EKONOMI (PEMERKASA)

4.      Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan  akan melaksanakan  Program  Strategik  Memperkasa  Rakyat dan  Ekonomi  atau PEMERKASA  bernilai  20  bilion  ringgit,  dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit.

5.      PEMERKASA    akan    menumpukan    20    inisiatif    strategik    bagi melonjakkan    pertumbuhan    ekonomi,    menyokong    perniagaan    dan meneruskan  bantuan bersasar  kepada  rakyat  dan  sektor  yang  masih terkesan.

FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19

Inisiatif Pertama: Program Imunisasi COVID-19

6.      Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang   melaksanakan    pelbagai    tindakan    kesihatan    awam    untuk membendung  COVID-19  di  samping  memulakan  Program  Imunisasi COVID-19  Kebangsaan.  Setakat  ini,  lebih  300  ribu  rakyat  telah  pun menerima suntikan pertama vaksin.

7.      Kerajaan   akan   menaikkan   peruntukan   bagi   program   imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

8.      Untuk   mencapai   sasaran   ini,   seramai   15   ribu   petugas   akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. Mengambil kira pertambahan tugas tersebut,  Kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar 200 ringgit sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

Inisiatif Kedua: Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh

9.      Kerajaan   juga   akan   melaksanakan   strategi   kawalan   penularan COVID-19  secara  lebih  bersasar  dengan  bersandarkan  sains  dan  data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,  Kerajaan  berkemungkinan  tidak  perlu  lagi melaksanakan     Perintah     Kawalan    Pergerakan     (PKP)     secara menyeluruh   merangkumi   seluruh   negara   atau  sesuatu   negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Inisiatif Ketiga: Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus

10.    Selaras   dengan   Ordinan   Darurat   (Kuasa-Kuasa   Perlu)   2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan  telus  akan  terus dilaksanakan  bagi  mengawal  penularan  wabak COVID-19.

11.    Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat  kerja  dan  penginapan  yang  kondusif  bagi  para  pekerja.  Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi   dalam   keadaan   di   mana  pekerja-pekerja   kontak   rapat diasingkan  daripada  komuniti  setempat  dan  pekerja-pekerja  lain  dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19.

12.    Sebagai  galakan  kepada  syarikat  untuk  menyertai  program  yang bersifat sukarela  ini,  Kerajaan  bersetuju  memberikan  potongan  cukai tambahan   kepada   syarikat   pengilangan   dan   syarikat   perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI   dan   telah   lulus   audit   pematuhan   Safe@Work.   Syarikat   boleh mendaftar mulai 1 April 2021.

13.   Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI

14.    Kerajaan  juga  komited  untuk  memulihkan  semula  sektor  ekonomi yang  terkesan   melalui   pelaksanaan    segera   projek   pembangunan, penyediaan  insentif penggajian  serta  pemberian  insentif  percukaian  dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Inisiatif Keempat: Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

15.    Sehubungan   itu,   bagi   terus   merancakkan   aktiviti   projek-projek berskala     kecil     di     peringkat     akar     umbi,     Kerajaan     bersetuju menambah   peruntukan  projek  berskala  kecil  tahun  2021  daripada  2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.

16.    Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak  akibat  banjir,  pembaikan jalan,  program  ameniti  sosial,  baik  pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

17.    Kerajaan      akan      memudahkan      tatacara      perolehan      bagi mempercepatkan   pelaksanaan   projek.   Sebagai   contoh,   kaedah   kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada 100  ribu  kepada  200  ribu  ringgit.  Di  samping  itu,  kerja-kerja  kecil  bagi kontraktor   tempatan   akan   dikhususkan   kepada   negeri   dan   daerah berkenaan.

Inisiatif Kelima: Geran Khas Prihatin 3.0

18.    Kerajaan    akan    terus    memberi    sokongan    untuk    memastikan kelangsungan  perniagaan,  khususnya  kepada  PKS  tempatan.  Untuk  itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 supaya  perniagaan  mendapat  bantuan  untuk  beroperasi  semula.  Setiap perusahaan  mikro  dan  PKS  yang  layak  akan  menerima  bantuan  one-off sebanyak 1,000 ringgit.  Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

Inisiatif Keenam: Kemudahan Mikro Kredit

19.    Semasa  pengumuman  Belanjawan  2021  yang  lalu,  Kerajaan  telah meluluskan   peruntukan   sejumlah   1   bilion   ringgit   bagi   kemudahan pembiayaan  mikro  kredit.  Prihatin  dengan  situasi  yang  mencabar  ini, Kerajaan   bersetuju   untuk   menyediakan  dana   pembiayaan   tambahan sebanyak  500  juta  ringgit  bagi  kemudahan pembiayaan  mikro  kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

20.    Melalui BSN, dana sebanyak 300 juta ringgit akan disediakan dengan had pembiayaan  sehingga  50  ribu  ringgit,  di  mana  kadar  faedah  telah dikurangkan  daripada  3.5  kepada  3  peratus.  Tempoh  pinjaman  adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

21.    Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana   tambahan   sebanyak   60   juta   ringgit,   terutamanya   untuk   Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga 5,000 ringgit bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

22.    Selain itu,  program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan  membaik  pulih  atau  membeli  motosikal  baharu  dengan  had sehingga   10   ribu   ringgit.   Bagi   melengkapi   inisiatif   ini,   motosikal pemasangan  tempatan  dengan kapasiti  enjin  150cc dan  ke bawah  akan diberi  pengecualian  100  peratus  duti  eksais  mulai  1  April  hingga  31 Disember 2021.

23.    TEKUN juga akan memperkenalkan  program TEKUN POS-preneur di    mana    pemohon    dapat    menjana    pendapatan    melalui    kontrak penghantaran barangan. Bantuan pembiayaan diberikan sehingga 20 ribu ringgit untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga 50 ribu ringgit untuk pembelian van atau lori.

24.    Melalui  MARA,  Skim  Pembiayaan  Perniagaan  Prihatin  Mikro  akan dilaksanakan   dengan  keutamaan   untuk   membantu  1,000  PKS  mikro Bumiputera  untuk meneruskan  kelangsungan  perniagaan.  Sebanyak  50 juta ringgit  disediakan  dengan  nilai  pembiayaan  sehingga  50  ribu  ringgit pada kadar faedah serendah 3 peratus.

25.    Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan 50 juta ringgit untuk membantu  PKS tempatan  mendapatkan  pembiayaan  sehingga  250  ribu ringgit pada kadar faedah juga serendah 3 peratus.

Inisiatif Ketujuh: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26.    Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir  200  ribu  pekerja  dalam  sektor  formal  berjaya  ditempatkan.  Bagi membantu   golongan  yang   kehilangan   pendapatan   atau   pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan  memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:

•  Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

•  Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform   penyedia   perkhidmatan   gig   yang   berdaftar   dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

27.    Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih  daripada  14.4  bilion  ringgit  bagi  membiayai  program  subsidi  upah yang telah membantu  2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

28.    Namun,   Kerajaan   sedar   bahawa   masih   terdapat   sektor   yang terkesan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit  bagi melanjutkan  Program  Subsidi Upah  3.0  selama  tiga  bulan  lagi  secara lebih bersasar. Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa. Inisiatif ini dijangka akan membantu 400 ribu pekerja dan 37 ribu majikan.

29.    Di  samping  itu,  program  perantisan  di  bawah  PenjanaKerjaya  juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri  yang  mendapati  tempoh  3  bulan  program  perantisan  ini  agak singkat dan tidak mencukupi. Oleh itu, Kerajaan akan melanjutkan tempoh program  perantisan  selama  6  bulan,  di  mana  pelatih  yang  mengikuti program   ini   akan   diberi   insentif   sebanyak   800   ringgit   bagi   tempoh perantisan 6 bulan.

30.    Bagi     menangani     masalah     pengangguran,     Kerajaan     telah menubuhkan  Majlis  Pekerjaan  Negara,  atau  NEC.  Bagi  tahun  ini,  NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

31.    Di bawah seliaan Perbadanan Sumber Manusia Berhad atau HRDF, beberapa inisiatif telah diperkenalkan. Ini termasuklah:

Pertama:    Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan

Kedua:    Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma.

Inisiatif   Kelapan:   Merangsang   Semula   Sektor   Pelancongan   dan Peruncitan

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

32.    Industri  pelancongan  merupakan  antara  sektor  yang  terjejas  teruk akibat  penularan   wabak   COVID-19.   Bagi   mengurangkan   beban   dan menyokong pemulihan sektor ini, Kerajaan akan:

•  Melanjutkan     pengecualian     cukai     pelancongan     dan     cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021;

•  Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

•  Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa;

•  Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat  hiburan  seperti  taman  tema,  persembahan  pentas,  acara sukan  dan  pertandingan  serta  tayangan filem  pawagam  di  semua Wilayah Persekutuan;

•  Memperluas   skop   pelepasan   khas   cukai   pendapatan   individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan  melalui  ejen pelancongan  yang  berdaftar  dengan MOTAC; dan

•  Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

33.    Selain  itu,  Kerajaan  bersetuju  untuk  menyalurkan  Geran  Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

34.    Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off  sebanyak   600   ringgit   kepada   pengusaha   homestay   yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

35.    Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, Kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri  secara  berperingkat,  malah  mewujudkan  special  green  lane  bagi perjalanan  sempadan   yang   melibatkan  pengangkutan  udara.   Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak Kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil.

36.    Untuk  membantu  aliran  tunai  dan  mengurangkan  kos  perniagaan pengendali  hotel,  taman  tema,  pusat  konvensyen,  pusat  membeli  belah, pejabat  syarikat  penerbangan  tempatan  dan  agensi  pengembaraan  dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan  dilanjutkan  selama  3  bulan  lagi  sehingga  30  Jun  2021.  Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, Kerajaan akan menanggung jumlah kos sebanyak 135 juta ringgit.

Inisiatif Kesembilan: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

37.    Bagi  memastikan  pembiayaan  alternatif  terus  berkembang,  pihak Suruhanjaya  Sekuriti  Malaysia  (SC)  akan  menambah  baik  peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan  dinaikkan  daripada  10  juta  kepada  20  juta  ringgit  serta  Equity Crowdfunding   akan   diperluaskan   kepada   syarikat   berhad   yang   tidak tersenarai.

38.    Untuk   terus  menggalakkan   syarikat  mengumpul  dana  menerusi pasaran  saham,  fi  berkaitan  penyenaraian  akan  dikecualikan  selama  12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE.  Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga  akan  diberikan  kepada  syarikat  tersenarai  yang  telah  melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

39.    Seterusnya,  bagi  membantu  mengurangkan  beban  syarikat  yang menghadapi    masalah    kewangan    dan    boleh    menyebabkan    risiko penggulungan,   Suruhanjaya   Syarikat   Malaysia   (SSM)   bersetuju   nilai ambang   keterhutangan   atau  indebtedness   threshold   dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit.

40.    Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

41.    Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik  COVID-19.  Susulan  itu,  Suruhanjaya  Koperasi  Malaysia  akan menyediakan  insentif  pembiayaan  sehingga  100  ribu  ringgit  tanpa cagaran    bagi    membantu    koperasi    yang    terkesan.    Permohonan pembiayaan   ini   akan   dipermudahkan   dan  proses   kelulusan   akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan   Suruhanjaya   Koperasi   Malaysia   akan   diperuntukkan   yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

42.    Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta  ringgit  untuk  menggalakkan  pelaburan  dalam  mekanisasi  dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak 20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

43.    Geran   Padanan   Digitalisasi   di   bawah   BSN   yang   sebelum   ini dimanfaatkan   oleh   syarikat   turut   diperluaskan   kepada   koperasi   bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA

44.    Dalam  memperkukuh  daya  saing  negara,  Kerajaan  komited  untuk menarik    pelaburan,    memperkasa    perdagangan    luar,    meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari.

Inisiatif Kesepuluh: Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

45.    Untuk  itu,  Kerajaan  melalui  Pasukan  Petugas  Khas  Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang   tangkas   atau   agile   regulation   dilaksanakan   bagi   mendorong pelaburan semula perniagaan domestik.  Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau  kepada  syarikat  yang  layak  bagi  urusan  eksport  dan  import  dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

Inisiatif Kesebelas: Automasi dan Digitalisasi

46.    Bantuan   moratorium   bersasar   yang   diumumkan   oleh   Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam   individu   dan   PKS   yang   terjejas,   dengan   kadar   kelulusan sehingga 95 peratus. Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.

47.    Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah   meningkatkan   Kemudahan   Bantuan   dan   Pemulihan   Bersasar sebanyak  2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.

48.    Di  bawah  MIDF,  sebanyak  200  juta  ringgit  disediakan  untuk  skim pembiayaan    pembangunan    automasi,    digitalisasi    dan    penggunaan teknologi  hijau.  MIDF  juga  telah  bersetuju  untuk  mengurangkan  kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

49.    Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan   Syarikat   Tahap   Pertengahan,   atau   Mid-Tier   Companies   dapat meningkatkan  kecekapan  operasi  dan  pembuatan  menerusi  teknologi tinggi.  Selain  itu,  bagi  menyokong  IR4.0,  peruntukan  berjumlah  50  juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

50.    Bagi   menggalakkan   PKS   meningkatkan   automasi   yang   dapat mengurangkan kebergantungan  kepada  pekerja  asing,  SME  Bank  akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

Inisiatif Keduabelas: Mengurangkan Jurang Digital

51.    Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Jaringan  Prihatin  bagi  memastikan  lebih  ramai  rakyat  mendapat  akses kepada internet, merapatkan jurang digital golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.

52.    Jika  Belanjawan  2021  sebelum  ini  telah  mengumumkan  subsidi pembelian  telefon  sebanyak  180  ringgit  kepada  semua  penerima  BPR, sukacita diumumkan Kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada 300 ringgit  khusus  untuk  isi  rumah  yang  mempunyai  anak  bersekolah  bagi pembelian  telefon  pintar  atau  peranti  baharu. Dengan  itu,  peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit dan insha-Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei. Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.

53.    Rangka   kerja   MyDIGITAL   dan   Ekonomi   Digital   Malaysia   telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. Oleh itu, perkhidmatan

5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

54.    Selain   itu,   bagi   meningkatkan   kualiti   perkhidmatan   jalur   lebar terutamanya  di  luar  bandar,  Suruhanjaya  Komunikasi  dan  Multimedia Malaysia atau SKMM telah memperuntukkan 3.2 bilion ringgit untuk tahun

2021  di  bawah  Kumpulan  Wang  Pemberian  Perkhidmatan  Sejagat  bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.

55.    Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan  program MyBAIKHATI dengan   kerjasama    pihak    syarikat    telekomunikasi    sebagai    inisiatif crowdsourcing peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen  kutipan  peranti  terpakai  seperti  komputer  riba  yang  akan  dibaik pulih  dan  diagihkan  kepada  antara  lain  Pusat  Internet  Komuniti  dan pertubuhan komuniti.

Inisiatif Ketigabelas: Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

56.    Sebagai  pemboleh  daya  yang  penting  bagi  program  pemulihan negara,  pelaburan  asing  dan  perdagangan  antarabangsa  perlu  diberi tumpuan khusus. Bagi tujuan ini, MITI akan terus meneroka potensi eksport baharu,  serta  menggalakkan  penggunaan  automasi  serta  mekanisasi dalam kalangan pemain industri.

57.    Antara   langkah   yang   akan   dilaksanakan   termasuklah   inisiatif eBizLink,  iaitu  platform  pemasaran  digital  secara  maya  dan  hibrid,  serta inisiatif   Globepreneur   yang   bertujuan   mengetengahkan   lebih   banyak syarikat PKS berpotensi ke pasaran antarabangsa.

58.    Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang  menyertai  platform  pameran  antarabangsa.  Bagi  menjana  sumber kekayaan  baharu  negara,  geran  padanan  bernilai  50  juta  ringgit  akan disediakan   untuk   membangunkan   industri  aeroangkasa   dan   peranti perubatan.

Inisiatif Keempatbelas: Menggalakkan Pembiayaan Mampan

59.    Program PEMERKASA akan menyokong agenda kelestarian negara, terutamanya  ke  arah  mencapai  Matlamat  Pembangunan  Mampan  atau SDG menjelang 2030. Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan dari pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria SDG.

60.    Bagi  menyokong  matlamat  negara  untuk  menjadi  hab  kewangan lestari, Kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang dari 1 bilion dolar Amerika. Hasil dari sukuk  berkenaan akan membiayai program  dan  projek  yang  mempunyai  elemen kelestarian  di  samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

61.    Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini,  Kerajaan akan terus memelihara  kebajikan  rakyat  terutamanya  mereka  yang  masih  terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Inisiatif Kelimabelas: Bantuan Kehilangan Pendapatan

62.    Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:

•   Bantuan tunai secara  one-off  sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan

•   Bayaran  tambahan  sebanyak  500  ringgit  diberikan  kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.

63.    Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan  pendapatan  dan  semakan  silang  akan  dibuat  melalui  sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

64.    Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan  memudahkan  urusan  mereka  dengan  pihak  bank  dalam  menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang   dikreditkan   tidak   akan   mengalami   sebarang   potongan   ansuran bulanan.

65.    Seterusnya,  Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan  tempoh  kuat kuasa  perlindungan  bagi  ketidakupayaan  untuk  melaksanakan  obligasi kontraktual  yang  akan berakhir  pada  31  Mac  ini  sehingga  30  Jun  2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Inisiatif   Keenambelas:   Menambahbaik   Program   Bantuan   Rentan Bandar

66.    Kerajaan  sentiasa  berusaha  untuk  memastikan  semua  golongan masyarakat   dapat   dibantu   semasa  tempoh   yang   sukar   ini  termasuk golongan  gelandangan.  Oleh  yang  demikian,  DBKL  telah  mengambil inisiatif  dengan  menubuhkan  Anjung Kelana  di  Taman  Desa  Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.

67.    Seterusnya, bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin  yang tinggal  di  bandar,  Kerajaan  akan  menyediakan  peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.

68.    Mengenai   kesihatan   rakyat   pula,   inisiatif   mySalam   berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari  selama  maksimum  14  hari  tertakluk  kepada  pengesahan oleh Pegawai Perubatan.

69.     Selain   itu,   program   klinik   bergerak   merupakan   satu   program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan    kesihatan    dan    kesejahteraan    rakyat.    Pada    masa    ini, MyMedic@Wilayah  di  bawah  DBKL  menyediakan  perkhidmatan  klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang  kurang  berkemampuan  serta  rawatan  secara  terus  kepada  pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah. Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS)   dengan   kerjasama   kumpulan   pakar   perubatan   dari   Hospital Pengajar Universiti.

70.    Seterusnya,    dalam    melaksanakan    proses    verifikasi    penerima bantuan,  Jabatan  Kebajikan  Masyarakat  akan  melantik  seramai  2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif Ketujuhbelas: Prihatin Wanita

71.    Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS  Mikro, serta  Program  Shop  Malaysia   Online,  Kerajaan  akan menyediakan  dana  30  juta  ringgit  untuk  membantu  mereka  beralih  ke pasaran  dalam  talian.  Sebagai  tambahan,  BSN  juga  akan  menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

72.    Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit  dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut  disediakan  di  bawah  Skim  Keselamatan  Sosial  Pekerjaan  Sendiri PERKESO.

Inisiatif Kelapanbelas: Prihatin OKU

73.    Saya telah dimaklumkan golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan  had  kelayakan  gaji  maksimum  bagi  bantuan  Elaun Pekerja  Cacat  daripada  1,200  kepada  1,500  ringgit  sebulan.  Untuk tujuan  ini,  sebanyak  26  juta  ringgit  akan  disediakan  di  mana  ia  akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

74.    Selain   itu,   bagi   membantu   program   keusahawanan   termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,

Kerajaan  bersetuju  menambah  20  juta  ringgit  untuk  memperkukuhkan program  di bawah  institusi  seliaan  Kementerian  Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

75.    Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

76.    BSN  telah  menyediakan  sebanyak  25  juta  ringgit  di  bawah  Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan  had  pembiayaan  sehingga  50  ribu  ringgit  dan  kadar  faedah serendah 3 peratus.

Inisiatif Kesembilanbelas: Prihatin Belia

Seterusnya buat anak muda,

77.    Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Sukacita diumumkan bahawa program tersebut akan ditambahbaik dengan  meningkatkan  nilai  kredit  daripada  100  kepada  150  ringgit  yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.

78.    Bagi  menggalakkan  penyertaan  anak  muda  bandar  terlibat  dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar   atau   PEKB  akan   diperluas   dengan   tambahan   peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit. Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

79.    Selain  itu,  program  Tunas  Usahawan  Belia  Bumiputera  akan ditambah   peruntukan   bagi   melahirkan   seramai   250   usahawan   belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp   akan   diperkenalkan  bagi  tujuan   latihan   penyediaan   serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

80.    BSN  juga  menawarkan  Skim  Pembiayaan  Mikro  PEMERKASA- BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.

Inisiatif Keduapuluh: Penerusan Subsidi bagi Meringankan Kos Sara Hidup

81.    Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

82.    Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling  RM2.05  seliter  dan  RM2.15  seliter.  Kerajaan  pada  masa  ini menanggung  subsidi  pada  kadar  hampir  30  sen  seliter.  Ini  bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.

83.    Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair  petroleum  atau  LPG.  Harga  sebenar  di  pasaran  setong  gas  LPG bersaiz  14  kg  pada masa ini  adalah  sekitar  RM50.  Namun,  harga runcit telah  ditetapkan  pada  paras  RM26.60 setong.  Oleh  itu,  Kerajaan  telah memberi  subsidi  hampir  50  peratus  bagi  setiap  tong LPG  14  kg  yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi   berkenaan   supaya   harga   barangan   keperluan   harian   kekal berpatutan.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

84.    Setelah setahun Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami   terus   merencana   pelbagai   strategi   pemulihan   ekonomi   demi kesejahteraan rakyat.  Kami telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada  kumpulan  masyarakat  yang  tercicir daripada  menerima  manfaat.

PEMERKASA dengan nilai keseluruhan  20 bilion ringgit  adalah  satu lagi inisiatif  Kerajaan  Perikatan  Nasional  untuk  meringankan  beban  yang sedang   ditanggung  oleh   rakyat,   mengukuhkan   semula   pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

85.    Kerajaan  Perikatan  Nasional  sebagai  Kerajaan  yang  Prihatin  akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat. InsyaAllah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.

86.    Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran   Kerajaan.   Saya   juga   menyanjung   tinggi   peranan   sektor korporat,  NGO  dan  para  sukarelawan  yang  turut  menyumbang  kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat.

87.    Saya  juga  ingin  menyeru  saudara  dan  saudari  supaya  segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Jangan bertangguh,   terus   daftar  sekarang.   Lebih   cepat   kita   mendaftar   dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal.

88.    Lindung  diri,  lindung  semua.  Insha-Allah,  kita  terus  berikhtiar  dan bertawakkal  sepenuhnya  kepada  Allah  Subhanahu  Wa  Ta’ala.   Faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Llah.

Teguh Kita, Menang Bersama.

Wabillahi  al-taufik  walhidayah  wassalamu’alaikum  wa  rahmatullahi  wa barakatuh.

RELATED ARTICLES

Most Popular