Tuesday, March 19, 2024
HomeArtikelPemupukan Perpaduan Keluarga Malaysia Melalui Kepelbagaian Makanan Tradisional

Pemupukan Perpaduan Keluarga Malaysia Melalui Kepelbagaian Makanan Tradisional

Malaysia mempunyai keunikan dari segi latar belakang masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum misalnya Melayu, Cina dan India yang mempunyai keistimewaan budaya masing-masing. Salah satu aspek yang menyumbang kepada keistimewaan masyarakat Melayu ialah makanan tradisional yang merupakan salah satu warisan tradisi bagi setiap kaum.

Dengan kepelbagaian makanan yang terdapat di Malaysia ini sebenarnya dapat memberikan ruang dalam proses mengukuhkan ikatan perpaduan antara kaum yang secara tidak langsung menggambarkan tradisi kehidupan masyarakat Malaysia.

Terdapat beberapa makanan setiap kaum yang dapat dilihat memberi peranan yang besar dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Antaranya ialah Nasi Lemak yang merupakan makanan tradisi orang Melayu namun dinikmati oleh semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Nasi lemak bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat Melayu sebaliknya turut menjadi kegemaran kaum Cina dan India. Hal ini dikatakan demikian kerana, nasi lemak bukan sekadar dijual di restoran Melayu malah turut ada di restoran Cina mahupun India.

Seperti yang kita sedia maklum, nasi lemak merupakan juadah yang disajikan pada waktu pagi. Kini, tidak hairan jika nasi lemak dimakan pada waktu tengah hari, petang mahupun malam. Lauk sampingan turut disediakan bagi meningkatkan lagi kelazatan nasi lemak. Sebagai contoh, ayam goreng berempah, paru goreng, rendang ayam atau daging, sambal sotong, udang dan kerang menjadi lauk sampingan kegemaran ramai untuk dimakan bersama nasi lemak.

Di samping itu, makanan Cina turut menjadi tarikan kaum Melayu dan India. Hal in dikatakan demikian kerana, Restoran Mohd Chan sentiasa menjadi tempat tumpuan pelanggan yang berbilang bangsa semata-mata untuk menikmati masakan asli kaum Cina. Antara makanan kaum Cina yang menjadi kegemaran masyarakat ialah dumpling, dimsum, yong tau foo dan kue tiau.

Makanan ini dilihat menepati serta mengikuti cita rasa rakyat Malaysia. Yee sang yang merupakan makanan kebudayaan kaum Cina juga dilihat sebagai hidangan yang menjadi simbol perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Ini kerana makanan tradisi ini menjadi hidangan yang dinikmati bersama masyarakat pelbagai kaum semasa perayaan Tahun Baru Cina. Ramuan yang digunakan dalam Yee Sang adalah daripada makanan biasa sahaja namun makanan ini kelihatan menarik ketika digaulkan kesemuanya dan menjadi lebih enak jika dinikmati bersama dengan masyarakat yang berbilang bangsa ini.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga tidak mengetepikan sajian kaum India dengan menjadikan juadah tersebut sebagai makanan harian mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, kedai mamak yang dipelopori oleh pelanggan berbilang kaum terutamanya Melayu sentiasa menjadi tempat untuk menjamu selera yang berpatutan dengan pelbagai aneka makanan India disediakan pada masa yang sama makanan melayu juga turut didagangkan. Sebagai contoh, roti canai, tosai, roti nan, roti bom, nasi kandar dan banyak lagi.

Kedai mamak telah wujud di serata tempat, di mana kedai ini menjadi medan pertemuan antara kaum. Fenomena ini akan merealisasikan peribahasa melayu yang berbunyi “Bagai Isi Dengan Kuku. Di medan pertemuan itu masyarakat kita akan bersembang dan mengenali antara satu sama lain sambil menikmati teh tarik kaw yang menjadi pilihan ramai setiap kali mengunjungi kedai mamak. Oleh hal yang demikian, kita dapat memupuk perpaduan, mengeratkan silaturahim serta mewujudkan rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dengan kepelbagaian makanan antara kaum di Malaysia seperti yang telah dinyatakan dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Misalnya, setiap kali perayaan besar atau majlis-majlis rasmi disambut semestinya diiringi dengan pelbagai aneka hidangan makanan yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, dan India.

Jelaslah bahawa dengan hanya kepelbagaian makanan tradisi ini, dapat menggerakkan sesuatu kaum dengan lebih erat lagi dalam perhubungan. Perkara ini di mata masyarakat hanya di pandang sebelah mata namun hakikatnya makanan tradisi berbilang kaum ini dapat memberikan pelbagai impak terhadap keharmonian dan perpaduan di negara ini. Tegaslah bahawa, pemupukan perpaduan keluarga Malaysia perlu dititikberatkan supaya peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan sejarah hitam perkauman di Malaysia dapat dielak berulang kembali.

Secara keseluruhannya, makanan tradisi sesuatu kaum dilihat mampu mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia ini. Rakyat Malaysia dapat mengenali dengan lebih mendalam makanan tradisi yang terkenal antara pelbagai jenis kaum di Malaysia.

Selain itu, masyarakat dapat mengetahui tentang keistimewaan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut yang mempunyai keunikan yang tersendiri yang mampu menarik kaum lain untuk cuba merasa.

Di samping itu, kepelbagaian makanan tradisi ini dilihat turut menyumbang kepada tahap pemahaman dan perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Akhir sekali, kepelbagaian makanan tradisi membuktikan bahawa tahap perpaduan mengikut kaum dapat memainkan peranan dan semangat perpaduan dalam kalangan kaum.

Oleh itu, pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dititik berat supaya pengetahuan tentang makanan tradisi pelbagai kaum sentiasa diingati oleh masyarakat di Malaysia dalam mencapai keharmonian di negara ini.

Penulis; Nawal Farhani Binti Nidzamuddin, Pelajar Tahun 1 Kelab Integrasi Komuniti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular