Wednesday, July 24, 2024
HomeKehidupanPenangan Vaksin

Penangan Vaksin

Lama saya tidak menulis, seolah kering idea. Hakikatnya keinginan menulis itu ada tetapi kudrat agak terbatas. Saya baharu sahaja melengkapkan suntikan vaksin COVID 19. Sebelum ini, saya mendengar pelbagai reaksi setelah melengkapkan suntikan vaksin ini.

Mak misalnya mengadu tidak ada selera makan, apa juadah yang hadir di depan mata tidak dapat ditelan. Lalu saya ingatkan mak agar memaksa untuk makan walaupun sedikit. Janganlah langsung tidak makan.

Saya berpesan kepada adik supaya memesan sahaja apa-apa makanan yang ingin dimakan oleh mak. Semalam adik berwhatsapp memberitahu dia memesan piza untuk mak! Kami berbalas emoji ketawa kerana mak, setahu kami tidak pernah mahu makan piza.

Ada antara kawan saya memaklumkan bahawa kesan suntikan vaksin dos ke-dua agak ketara. Bahu terasa lenguh. Badan sakit-sakit. Kepala pening. Rasa mahu tidur sahaja. Dan mereka pun memberi pelbagai petua. Yang paling banyak cadangan ialah ambil panadol sebelum disuntik. Cadangan itu amat berat untuk saya kerana saya tidak gemar makan ubat kecuali jika benar-benar sakit.

Hari vaksin dos ke-2 pun tiba. Saya tidak mengambil panadol dengan doa saya tidak akan terasa apa-apa sebagaimana saya menerima dos pertama tempoh hari. Walaupun proses di PPV agak perlahan akhirnya saya dapat melengkapkan dos ke-2. Bahu terasa sedikit lenguh dan menjelang malam, badan saya mulai terasa seram sejuk. Saya menyuruh Acik mengambil 2 biji panadol, menelannya lalu terus mearik selimut.

Pagi esoknya badan saya masih tidak kuat tapi saya gagahkan untuk menjerang air dan membancuh teh O. Abang yang entah mengapa tidak menyambung tidurnya, bertanya kepada saya, “ Nak Abang beli roti canai ka ibu?”, dia menawarkan diri.

Setelah menjamah sedikit roti canai, saya menelan 2 biji panadol lagi dan berpesan kepada Abang untuk memasak nasi dan membeli lauk di kedai berhampiran. Saya tertidur dan apabila terjaga jam sudah menunjukkan angka 2 petang. Badan saya berpeluh dan rasa seram sejuk tiada lagi. Alhamdulillah. Saya mengucap syukur dan berdoa semoga saya tidak demam lagi.

Pengalaman menerima vaksin ini mungkin berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada tahap ketahanan badan seseorang. Yang paling penting kita perlukan perisai untuk mempertahankan diri daripada musuh tidak kelihatan ini. Lindung diri, lindung semua.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular