Kebelakangan ini, terdapat banyak kemunculan program-program rancangan realiti di kaca televisyen yang menyebabkan lahirlah kelompok baharu yang digelar ‘Dai’, ‘Imam Muda’, ‘Pencetus Ummah’ dan sebagainya.
Kelahiran golongan ini mula menimbulkan keraguan malah kandungan dakwah yang mereka bawa juga boleh dipersoalkan lebih-lebih lagi apabila terdapat beberapa orang pendakwah selebriti yang dikaitkan dengan isu-isu sensasi yang kurang enak untuk didengar seperti isu penyampaian ilmu yang salah, isu rogol, cerai isteri yang sarat mengandung dan sebagainya.
Kes-kes seperti ini sudah terang lagi bersuluh bertentangan dengan jalan syariat Islam yang sebenarnya dan akhirnya menimbulkan spekulasi buruk masyarakat terhadap pendakwah-pendakwah yang lain sekaligus mengheret agama ke kancah yang memalukan.
Lebih malang lagi apabila orang bukan Islam melihat perkara ini sedangkan mereka tidak melakukan perkara sedemikian rupa. Hal ini akan menyebabkan mereka bertambah jauh daripada agama fitrah ini.
Selain itu, perkara sebegini juga akan merosakkan perpaduan umat Islam daripada dalam kerana sikap mengkritik dan membenci antara umat Islam itu sendiri. Perpecahan seperti ini akan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghentam umat Islam.
Kalau kita lihat, berita-berita yang melibatkan selebriti atau ahli-ahli agama cepat sahaja disensasikan oleh golongan tertentu malah ada juga yang ditokok tambah untuk menjadikan cerita itu lebih ekstrem sedangkan orang bukan di dalam bidang agama atau orang bukan Islam juga tidak kurang banyaknya terlibat di dalam perlakuan buruk ini.
Belajar dan mengajarkan ilmu merupakan komponen yang penting di dalam bidang ilmu. Manusia diwajibkan untuk menuntut ilmu agar kita dapat menghayati ciptaan Allah, menambahkan perasaan takut kepada-Nya dan dimudahkan jalan ke syurga.
Daripada Abu Darda, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu.”
Manusia ialah makhluk yang bertuah kerana dikurniakan nikmat akal dan fikiran supaya kita boleh mengkaji ilmu Allah berbeza dengan makhluk yang lain. Oleh sebab itu, golongan manusia telah dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka Bumi bagi mentadbir dunia dan menyelesaikan masalah.
Selain daripada kewajipan menuntut ilmu, manusia juga diwajibkan untuk menyampaikan ilmu iaitu ilmu yang wajib diajarkan kepada mereka yang telah bersedia dan mempunyai kemampuan untuk memahami ilmu tersebut.
Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran ayat 187 di mana Allah memberitahu manusia berkenaan dengan perjanjian antara Allah dan Bani Israil di mana mereka diarahkan untuk menjelaskan kepada manusia berkenaan isi Kitab Suci yang diberikan kepada mereka.
Ayat ini mengingatkan kita untuk menyampaikan dan mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Bukan itu sahaja, ayat ini juga ditambah lagi dengan larangan untuk menyembunyikannya. Hal ini menunjukkan kepentingan untuk belajar dan menyampaikan sesuatu di dalam tradisi ilmu.
Tujuan penyampaian ilmu adalah untuk membawa manusia ke jalan hidup Islam yang diredhai Allah. Maka, metod penyampaian ilmu hendaklah dirancang dengan baik dan menentukan sasaran dakwah agar penyampaian tersebut dapat dijalankan secara teratur dan berkesan. Si penyampai ilmu juga hendaklah mempersiapkan diri sebelum berdakwah agar dia mampu untuk mengajar dengan baik dan boleh menghapuskan kejahilan di muka Bumi ini.
Seorang pendakwah yang terkenal merupakan golongan yang bertuah kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menyebarkan dakwah dengan lebih meluas. Selagi mana ilmu yang mereka sampaikan diamalkan oleh orang lain maka dengan izin Allah pahala mereka akan terus berjalan.
Namun, di sebalik kelebihan mereka terselit satu tanggungjawab yang amat berat. Hal ini kerana disebabkan oleh pengaruh mereka yang agak kuat maka setiap maklumat penyampaian dan perilaku sama ada baik atau buruk akan memberi impak yang amat besar kepada masyarakat.
Orang-orang yang berilmu mungkin boleh membezakan yang mana salah dan yang mana betul tetapi kebanyakan masyarakat awam agak kurang pengetahuan ilmu agamanya yang menyebabkan mereka cenderung untuk mengambil bulat-bulat dengan apa yang pendakwah tersebut katakan. Oleh itu, pendakwah hendaklah lebih berhati-hati semasa ingin menyampaikan kandungan dakwah.
Menjadi figura yang popular menyukarkan seseorang untuk melindungi dan menjaga privasi mereka. Memang benar, manusia itu tidak sempurna dan sudah sikap manusia yang sering melakukan kesilapan. Namun, apabila kita sudah terjebak di dalam bidang populariti ini, netizen tidak memikirkan perkara itu dan akan ada sahaja orang yang akan sentiasa cuba untuk mencari titik kesilapan seseorang individu.
Apabila ruang kelemahan itu sudah kelihatan, mereka akan menghentam habis-habisan tanpa melihat sudut pandang yang berbeza. Para asatizah juga adalah manusia, namun masyarakat terlalu memandang tinggi terhadap golongan ini dan mengharapkan agar mereka bersikap layaknya seorang asatizah. Lebih-lebih lagi persepsi masyarakat sekarang yang menilai keilmuan seseorang berdasarkan populariti dan kefasihan percakapan mereka.
Oleh itu, apabila mereka melakukan sedikit sahaja kesilapan masyarakat susah untuk menerimanya.
Tugas menyampaikan ilmu bukanlah satu kerja yang mudah dan tidak boleh dilakukan secara semberono. Para pendakwah hendaklah kembali untuk mengetahui asas dan adab di dalam berdakwah. Antara adab berdakwah ialah ikhlas di dalam menyampaikan ilmu. Keikhlasan merupakan salah satu syarat diterimanya suatu ibadah oleh Allah. Maka wajib kepada para pendakwah untuk mengikhlaskan niatnya dan tidak berdakwah atas dasar riya’ atau untuk mengejar syuhroh (populariti) mahupun harta.
Seterusnya, pendakwah hendaklah mempunyai ilmu yang benar dan diberikan tauliah atau kepercayaan untuk menyampaikan dakwah. Orang-orang yang ingin menyampaikan ilmu perlu memastikan dirinya dipandu oleh bimbingan guru yang boleh membawanya menjadi seorang pendakwah sebelum menyampaikan ilmu agar mereka tidak salah faham terhadap perkara yang disampaikan.
Mereka hendaklah mempelajari sesuatu bidang dengan lebih mendalam supaya mereka tidak mendatangkan kekeliruan semasa berdakwah kelak. Tokoh pendakwah yang warak dan alim mengambil masa yang panjang dalam pengajian sesuatu ilmu untuk memastikan kualiti dakwah dan pengamalan ilmu mereka dapat dihayati sepenuhnya.
Berbeza dengan masyarakat sekarang, ramai yang suka menyampaikan maklumat, berkongsi atau memberi pandangan terhadap sesuatu yang di luar bidang mereka. Ada juga yang baru belajar asas sesuatu ilmu tetapi sudah pandai membincangkan sesuatu yang bukan tahap mereka. Sedangkan setiap bidang ilmu ada ahlinya. Maka seharusnya mereka sentiasa merujuk kepada yang pakar terhadap permasalahan tertentu.
Seorang da’i juga hendaklah mengamalkan ilmu yang diperolehnya. Allah SWT juga mencela orang-orang yang mengetahui akan sesuatu ilmu dan menyuruh orang lain melakukannya sedangkan tingkah lakunya tidak selari dengan apa yang diperkatakan.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud;
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir?” (Surah al-Baqarah ayat 44)
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Saff ayat 2-3)
Oleh itu, pendakwah hendaklah mengamalkan ilmu yang dimiliki kerana masyarakat akan lebih memandang tinggi dan mudah untuk menerima ucapan orang-orang yang mempunyai tingkah laku yang baik dan benar sesuai dengan ajaran agama.
Hal ini kerana perbuatan melalui teladan merupakan kaedah yang terbaik untuk mengajar masyarakat. Kita hendaklah sentiasa memikirkan apabila kita ingin memberi sesuatu nasihat, maka nasihat itu harus ditujukan untuk memperbaiki diri sendiri bukan sahaja untuk membetulkan orang lain.
Berkenaan dengan beberapa rancangan realiti dakwah yang mempertandingkan para peserta melalui pengucapan awam di kaca televisyen, ramai yang mula memandang serong terhadap kualiti produk kelahiran program-program sebegini kerana beberapa orang pesertanya sering sahaja dikaitkan dengan isu-isu yang memalukan. Persoalannya, adakah rancangan realiti ini harus dihentikan?
Penulis berpendapat, rancangan ini tidaklah mendatangkan keburukan secara mutlak kerana ramai sahaja peserta keluaran program ini menjadi orang yang berguna kepada masyarakat. Malah, ia juga memberikan peluang kerjaya kepada para peserta apabila sudah tamat penyiarannya.
Oleh itu, penulis merasakan penutupan rancangan ini akan merugikan ramai pihak. Bagi menyelesaikan isu ini, tanggapan masyarakat hendaklah diubah. Rancangan realiti ini hendaklah dilihat sebagai medan untuk mengasah atau melatih peserta di dalam pengucapan awam sahaja dan bukanlah sebagai lesen untuk melayakkan mereka memberikan fatwa dan membincangkan sesuatu yang bukan bidang mereka.
Tradisi Islam haruslah berasaskan ilmu dan akhlak. Kehadiran pendakwah ‘segera’ dikhuatiri akan menghakis pendekatan ilmu melalui para ulama’ yang bertauliah di dalam bidang agama. Kita semua hendaklah menapis terlebih dahulu kriteria-kriteria yang diperlukan untuk membolehkan seseorang tampil di kaca televisyen atau media sosial atas tujuan berdakwah di dalam sesuatu bidang ilmu.
Pentauliahan terhadap sesuatu ilmu amatlah penting supaya dia tahu akan asas sesuatu ilmu. Hal ini tidak bermaksud bahawa kita tidak boleh berkongsi langsung pengetahuan agama kita. Namun, kita hendaklah memeriksa kesahihan sesuatu sebelum menyampaikan ilmu tersebut kerana ditakuti kesalahan di dalam informasi tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat dan akhirnya akan menyesatkan umat. Oleh itu, kita hendaklah menghapuskan tradisi pendakwah ‘segera’ bagi menjamin kemaslahatan masyarakat Islam secara amnya.
Penulis: Siti Nirwana Binti Madduamsa, Pelajar Tahun 2 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM